Social Icons

Pages

Saturday, June 29, 2013

Bukti Kewudan Unsur Riba Di Mahkamah Syariah

Ini kisah benar. Fail Kes Mahkamah Syariah.  Ditakdirkan pada 16/4/2009 di satu mahkamah syariah di satu daerah di Negeri Johor, suatu perbicaraan dijalankan.

Suami memohon perintah taat terhadap Isterinya. Dalam keterangan si suami, beliau menjelaskan bagaimana isterinya berterusan ingkar mentaatinya walaupun pujukan demi pujukan telah suami lakukan. Isteri tetap enggan.

Untuk membuktikan kesungguhannya ingin memulihkan masalah rumahtangga dan meyakinkan isteri, suami merujuk kepada suatu dokumen perjanjian jualbeli sebuah rumah (telah siap) berharga RM120,000-00.
Isteri dituntut agar kembali mentaati suami dan berpindah ke rumah yang dibeli oleh suami untuk mereka tinggal bersama.  Suami mengatakan bahawa selain jumlah 10% yang di bayar kepada penjual, baki 90% harga jualbeli adalah dibiayai melalui pinjaman bank. Suami dengan bantuan peguam syarienya telah mempersembahkan permulaan kes mereka dengan baik.

Cuba tuan-tuan teka di mana masalahnya? Apa isunya di sini!

Peguam syarie isteri kemudian meneliti dokumen pinjaman bank yang dikemukakan. Astagfirullah! Ia dokumen asas bagi pinjaman Riba. Ia adalah surat tawaran bank (konvensional).

Oleh kerana dalam keterangan suami mengatakan bahawa suami telah tinggal di situ dan dia telah mengajak isterinya berpindah dari rumah ibubapa isterinya ke rumah itu maka ia adalah suatu presumpsi (anggapan) fakta  :

(a)    Suami telah memasuki satu transaksi atau urusniaga Riba dan/atau telah melaksanakan serta menandatangani suatu dokumentasi perjanjian Riba.
(b)   Suami telah mendapat manfaat wang urusniaga Riba itu, di mana wang pinjaman itu telah dibayar kepada penjual.
(c)    Suami kini perlu membayar balik wang pinjaman itu mengikut cara yang ditetapkan bank berdasarkan pengenaan faedah yang ditetapkan bagi tempoh masa tertentu yang lama. Keseluruhan yang disyaratkan oleh bank untuk di bayar balik oleh peminjam adalah pasti lebih daripada jumlah yang dipinjam. Ia adalah Riba yang nyata lagi pasti.
Peguam syarie isteri kemudiannya meninjau kepada nama peguam sivil yang melaksanakan transaksi jualbeli dan pinjaman.
 
Sah, 100% firma bumiputra melayu-Islam.
 
Apakah hakim dalam kes syariah ini terperasan? Adakah peguam syarie yang mewakili suami terperasan?  Bagaimana dengan si suami itu? Tahukah dia, dia telah membeli rumah dengan cara Riba? Bagaimana dengan peguam Islam yang menguruskan kes legal pinjaman Riba itu... tahu atau tak kisah?
 
Jika tidak silap peguam Islam yang ada di situ adalah lulusan Universiti Islam Antarabangsa. Manakala bank tersebut, diketahui kebanyakan kakitangan dan pegawainya adalah melayu-Islam termasuklah pengurus cawangannya. Begitulah betapa terlibatnya banyak pihak (orang-orang Islam) atas satu sahaja transaksi Riba.
Berbalik kita kepada prosiding kes syariah tersebut. Timbul satu isu:-

Wajarkah Isteri diperintah taat untuk kembali ke rumah yang diibaratkan kubu perang terhadap Allah dan Rasul-Nya?


FB: hisham.ahmad.1420  

Tuesday, June 25, 2013

Virus Riba di Mahkamah Syariah?

2013. Setelah bertahun-tahun usaha keras sama ada kerana ikhlas atau kerana kehendak pasaran, kini produk kewangan Islam telah berlambak di pasaran. Pilihlah antara yang berkualiti dan menguntungkan pelanggan dari yang kelihatan halal tapi mahal.

Namun ingatlah, wahai yang bersifat pesimis, bahawa pilihan produk syariah/islam (sekalipun dipertikai kualiti islamiknya) telah difatwakan sah dan halal oleh panel pakar syariah sedangkan yang satu lagi iaitu yang konventional (bukan islamik/syariah)  adalah pasti atau hampir pasti kepada kedudukan paling ngeri, ”PRODUK DOSA RIBA”.

Untuk org awam pilihan ditangan sendiri, antara Islamik yang ada isu pada kualiti islamiknya  versus dengan produk Dosa Besar Riba Yang Pasti.  Mudah sahaja rasionalnya.

Justeru, bolehkah kalau saya katakan tiada alasan lagi untuk ’melacuri’ produk Riba.

Bagi sesiapa yang masih terpalit, terjebak dan terbelenggu dengan pinjaman Riba pada rumah, kereta, tanah, pelajaran atau pada produk lain seperti insuran dan lagi, lagi dan lagi,  yang sebahagiannya masih ’membelit tengkuk’ dan akan terus membelit untuk bertahun-tahun lamanya lagi, maka:-dapatkan ilmu, berfikir, merangka, dan berusaha keras untuk menyelesaikan isu ini.

Upps. Saya sudah terlari topik.  Apa yang hendak dikatakan di sini bahawa walaupun perkembangan kewangan Islam begitu baik tetapi kesan virus Riba telah menjangkiti tempat-tempat yang tidak disangka  dan tidak dijangka. Antaranya mahkamah syariah. Percaya atau tidak, terserah. Ini pengetahuan peribadi seorang peguam. Adapun virus Riba di mahkamah syariah wujud dalam bentuk yang tidak besar dan mudah di atasi (jika dikehendaki). Pihak mahkamah  mungkin ter ’over looked’. Namun wajarlah  virus itu terus dihapuskan.Riba dalam mahkamah syariah boleh wujud secara tak langsung atau tak diperasankan hakim bicara semasa membuat keputusan mengenai sesuatu perintah pembayaran wang oleh satu pihak kepada satu pihak atau melibatkan kepentingan satu pihak yang lain. 

Antaranya melibatkan nafkah anak, nafkah tunggakan, bayaran muta’ah, potongan atau tahan pendapatan, bayaran nilai harta sepencarian dan sebagainya. Pihak yang perlu dibayar (katakan Plaintif) diarahkan memberikan butiran akaun bank. Tanpa pengetahuan atau kesedaran, Plaintif dan atas kelemahan, atau ketidakhirauan peguam syarienya, butiran akaun bank konvensional bank tertentu telah diberikan bagi tujuan pembayaran dibuat secara bulanan dan sebagainya.

Akaun bank konvensional ini adalah Riba atau berunsur Riba. Apabila hakim membenarkan butiran akaun ini direkodkan dalam perintahnya atau melalui perintahnya, pembayaran oleh pihak satu lagi hendaklah dimasukkan ke dalam akaun itu, maka tidak dapat dikatakan tidak, hakim berkenaan telah turut serta dan mengedoskan satu kerjasama perlakuan yang berunsurkan Riba.

Perlu diingatkan bagi setiap pembayaran yang kemudiannya masuk ke dalam akaun Riba itu, faedah  akan terbentuk dari masa ke semasa sesuai dengan pertambahan dan pengurangan wang dalam akaun itu. Saham dosa terus mengalir. Bagaimana kalau pembayaran itu melibatkan wang yang besar ke dalam akaun simpanan (berunsur Riba) dalam perbankan konvensional.

Kita tentu maklum ayat al-Quran yang antaranya bermaksud ’jangan tolong menolong dalam perkara maksiat dan dosa’ – apalagi dosa Riba.  Sudah tentu, ia tidak wajar untuk dibenarkan menjejaskan kesucian mahkamah syariah.Jika tiada wang atau terlalu sedikit wang yang masuk pada akaun itu dan terlalu rendah faedah yang terbentuk, selekeh-lekeh pandangan pun harus mengatakan bahawa kerjasama itu telah memberi satu sokongan moral kepada institusi Riba untuk terus berkuasa di persada kewangan di Malaysia. Semoga dijauhi Allah Subhanahu wa Taa’la  hendaknya.

Dakwah di Mahkamah (Jangan di tinggalkan)

Kes-kes syariah khususnya dalam isu tuntutan harta sepencarian dan nafkah sudah tentu melibatkan tuntutan wang dan harta.Tuntutan wang dan harta itu sebahagiannya melibatkan akaun-akaun bank dan perjanjian pinjaman yang berunsur Riba. Wang-wang dan harta yang terlibat boleh membawa  kepada ribuan dan ratusan ribu ringgit atau lebih.

Hakim yang bijaksana akan membuat keputusan mengenai wang dan harta pihak-pihak yang bertikai termasuklah memutuskan siapa yang berhak, lebih berhak atau tidak berhak kepada wang dan harta itu dan dalam memutuskan pembahagian dan kadar pembahagian harta dan wang itu kepada pihak-pihak yang berhak. Oleh yang demikian itu, wajarlah hakim yang bijaksana menasihati pihak-pihak yang bertikai tersebut mengenai kedudukan harta dan wang mereka yang terlibat dengan Riba dan berusaha untuk melepaskan diri dalam Riba tersebut.

Antara langkah proaktif yang boleh dilaksanakan oleh hakim yang bijaksana ialah (1) dengan memerintahkan semua pembayaran wang dilakukan ke dalam akaun-akaun Islamik (2) menasihati mengenai kedudukan diri dan harta-harta yang terikat dengan pinjaman Riba  (sama ada kerja, harta kediaman, perniagaan, kenderaan, saham dan lain-lain asset) dan memberi panduan dan kaedah untuk membebaskan diri dari Riba.

Kisah Benar Kes Mahkamah (Jadi Tauladan) (Sila baca di blog, bagi yang berminat)

Dalam sekian banyak kisah benar di mahkamah, ditakdirkan pada 16/4/2009 disatu mahkamah syariah, suatu perbicaraan dijalankan. Suami memohon perintah taat terhadap Isterinya. Dalam keterangan si suami, beliau menjelaskan bagaimana isterinya berterusan ingkar mentaatinya walaupun pujukan demi pujukan telah suami lakukan. Isteri tetap enggan. Untuk membuktikan kesungguhannya ingin memulihkan masalah rumahtangga dan meyakinkan isteri, suami merujuk kepada suatu dokumen perjanjian jualbeli sebuah rumah (telah siap) berharga RM120,000-00. Isteri dituntut agar kembali mentaati suami dan berpindah ke rumah yang dibeli oleh suami untuk mereka tinggal bersama.  Suami mengatakan bahawa selain jumlah 10% yang di bayar kepada penjual, baki 90% harga jualbeli adalah dibiayai melalui pinjaman bank. Suami dengan bantuan peguamnya telah mempersembahkan permulaan kes mereka dengan baik. Cuba tuan-tuan teka di mana masalahnya? Peguam isteri meneliti dokumen pinjaman bank yang dikemukakan. Allah! Ia dokumen asas bagi pinjaman Riba. Ia adalah surat tawaran bank (konvensional). Oleh kerana dalam keterangan suami mengatakan bahawa suami telah tinggal di situ dan dia telah mengajak isterinya berpindah dari rumah ibubapa isterinya ke rumah itu maka ia adalah suatu presumpsi (anggapan) fakta  : (a)    Suami telah memasuki satu transaksi atau urusniaga Riba dan/atau telah melaksanakan serta menandatangani suatu dokumentasi perjanjian Riba. (b)   Suami telah mendapat manfaat wang urusniaga Riba itu, di mana wang pinjaman itu telah dibayar kepada penjual. (c)    Suami kini perlu membayar balik wang pinjaman itu mengikut cara yang ditetapkan bank berdasarkan pengenaan faedah yang ditetapkan bagi tempoh masa tertentu yang lama. Keseluruhan yang disyaratkan oleh bank untuk di bayar balik oleh peminjam adalah pasti lebih daripada jumlah yang dipinjam. Ia adalah Riba yang nyata lagi pasti.

Peguam isteri kemudiannya meninjau kepada nama peguam yang melaksanakan transaksi jualbeli dan pinjaman. Sah, 100% firma bumiputra melayu-Islam. Apakah hakim dalam kes syariah ini terperasan? Adakah peguam syarie yang mewakili suami terperasan?  Bagaimana dengan si suami itu. Tahukah dia, dia telah membeli rumah dengan cara Riba? Bagaimana dengan peguam Islam yang menguruskan kes legal pinjaman Riba itu... tahu atau tak kisah? Jika tidak silap peguam Islam yang ada di situ adalah lulusan Universiti Islam Antarabangsa. Manakala bank tersebut, diketahui kebanyakan kakitangan dan pegawainya adalah melayu-Islam termasuklah pengurus cawangannya. Begitulah betapa terlibatnya banyak pihak (orang-orang Islam) atas satu sahaja transaksi Riba.

Berbalik kita kepada prosiding kes syariah tersebut. Timbul satu isu:- wajarkah Isteri diperintah taat untuk kembali ke rumah yang diibaratkan kubu perang terhadap Allah dan Rasul-Nya?

Seperkara lagi, ironinya kita mungkin sebelum ini menganggap bahawa  mahkamah-mahkamah sivil sahaja terlibat membicarakan kes-kes berkaitan pinjaman Riba. Realitinya tidak begitu

Saya peringatkan sekali lagi ayat ini, terjemahan. “ Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki Riba, jika benar kamu orang- orang yang beriman. (al-Baqarah: 278) oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.(al-Baqarah : 279)

Berminat. Bagi sesiapa yang merasa perlu untuk mendapatkan maklumat lebih khusus, anda boleh membaca buku tulisan seorang peguam sivil dan syarie bertajuk ‘Syurga Lebih Hampir Tanpa Riba’ terbitan Galeri Ilmu Buku ini berbeza daripada buku riba yang lain kerana terdapat bicara khusus melibatkan aspek realiti seperi isu riba di mahkamah, kes mahkamah berkaitan riba, Fatwa Pakar Luar negara, Fatwa (Mufti) Johor, Bicara khusus kerjaya-kerjaya  seperti peguam, perbankan  dan sebagainya, Isu Darurat dan ketidakberdosaan riba? dan banyak lagi. Bagi buku motivasi meninggal riba, anda boleh baca buku “Dosa Perang Dengan Allah” terbitan Kemilau Publika oleh penulis yang sama. (Berminat sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)

Sunday, June 23, 2013

Hadiah Puisi Nisfu Syaaban - Khusus Untuk Lelaki 40 tahun Ke atas


[Puisi dipapar atas rasa takjub, pelik dan kecewa. Takjub- malam tadi, di surau, punya ramai manusia. Pelik - pagi subuh, mana menghilang majoriti mereka?. Kecewa - Ini rasanya kesan salah faham keutamaan dalam agama]


“Jom Solat Jemaah Setiap Waktu”


 Ya Allah.
kami ragui jika kami memiliki keberanian,
tapi masih menyimpan keinginan
ke bumi Palestin menjadi sukarelawan, 
jika bertuah,  syahid  menjadi ketentuan,
mati di pandangan manusia
hidup di sisi Tuhan yg Esa!

Biarlah jasad kami bersemadi
Nun jauh dari keluarga dikasihi
Ia hanya  jauh dimata tapi  dekat dihati.

Namun bagaimana kalau ditakdir kami harus dahulu menderita
diseksa zionis israel manusia durjana? 
Kecut hati begitu terasa
...  lalu langkah (kesatria) terhenti sebelum bermula.


Ya Allah.
Kami juga tidak mempunyai banyak wang dan harta,
 untuk berinfaq kepada manusia.
Simpanan yang ada sekadar budget di hari tua.
Sedekah yang dibuat sedikit, sekali sekala

Kami juga tidak tahan lapar,
berpuasa sunat, begitu mencabar  
isnin dan khamis,  bolehlah... 
tapi itupun dah sukar

Pernah ada yang mengajak berdakwah ,tapi  kami tidak mampu buat,
payah berhadapan dengan masyarakat.
Kita buat baik takut  dibalas kata kesat.

Ah!  Banyaknya alasan, banyaknya dalihan. 
Wajarkah menjadi hujah di mahkamah tuhan?

Lemahnya  jiwa, malu terasa. Lalu dihati kami berbicara,
Ya Allah dari pintu apa, dapat kami yang hina memasuki syurga?” 

Ya Allah
dengan baki usia dan sisa kudrat,
apa lagi kebajikan yang boleh kami buat,
.... yang kami terlarat?

Allahu akbar, Allahu akbar...

Sayup-sayup…. kami terdengar  azan dilaungkan,
Kami membersih diri , berwuduk dan berpakaian
lalu melangkah dengan semangat,
menuju surau yang tidak begitu dekat…
tapi jika bermotor… taklah jauh sangat,

Kami tahu kepentingan solat,
secara berjemaah,  besar fadilat
selangkah menghapus dosa  selangkah meningkatkan darjat. 

Ya Allah!
 Kami janji akan istiqamah,
tidak  akan tinggalkan  solat jemaah.
Biar susah, biar payah... panas, hujan kami redah.

Inilah amalan kami harapkan.
Asbab satu pintu ke syurga idaman. 

Maha suci Allah, Segala puji bagi Allah,
Tiada Tuhan Melainkan Allah,
Allah Maha Besar.

 hisham-ahmad.blogspot.com 
blog ;- “invite  mankind to Allah’s paradise”

Friday, June 21, 2013

Kebal Tanpa Syahwat

Abu Dubeis masih teringat cerita maklangnya, isteri bapa saudara sebelah ibu. Kisah mengenai ibu dan bapa maklang, selepas mereka balik Haji. Ibunya keturunan melayu manakala bapanya keturunan India-mamak. Cuma terlupa, terlupa sebelah mana. Malbari, agaknya. Entahlah.

Ibu dan bapa Maklang ni, pernah ditemui satu atau dua kali. Bapanya walaupun dari ketegori mamak, tapi kulitnya tidak hitam, tetapi lebih menghampiri putih. Perkahwinan dan cinta mereka terbukti hingga ke akhir hayat.

Oh, Ya. Kisahnya ialah ibu Maklang bermazhab Syafie manakala bapanya bermazhab bukan Syafie. Seingatnya, mazhab Hanafi. Pada suatu hari di suatu ketika yang telah lama, Maklang bercerita dengan mengajuk semula, dengan gaya ala-ala mamak bagaimana bapanya bercakap perihal kisah mereka suami isteri semasa haji dalam isu wuduk dan sentuhan antara suami dan isteri, ”sini tak boleh pegang, sana boleh pegang. Ini macam. (Ditunjuk sambil memaut lengan)”

[Bagi siisteri sentuhan antara suami dan isteri membatalkan wuduk berdasarkan mazhab Shafie, manakala bagi suami pula, tidak batal kerana mazhab berbeza].

Gelihati mendengarnya. Seperti si suami merasa pandangan mazhabnya dalam hal ini lebih lebih sesuai diikuti. Tentulah bagi kita generasi muda merasa agak pelik apabila bersentuhan di Malaysia, wuduk menjadi terbatal tetapi di Mekah tidak pula batal.

Di Mekah, si isteri menjadi kebal. Lebih pelik, jika di tanah air, kesan sentuhan suami isteri itu hanya membatalkan wuduk si isteri. Tidak si suami. Kemudian si isteri berimamkan si suami. Kagum juga dengan sikap toleransi mereka. Bukti berlainan mazhab boleh berkompromi. Senanglah, suami dan isteri. Kalau berselisih, boleh ‘settle’ sendiri.

Terlupa pula ditanya, bagaimana pula dengan maklang saya. Mazhab mana pula yang diwarisinya?

Satu polemik menarik, juga. Sebenarnya sebelum pergi haji, Abu Dubeis mendengar pelbagai pegangan dan aplikasi prinsip dalam hal wuduk jemaah Malaysia bagi tahun sebelum itu. Kalau didengar dari orang-orang yang telah pergi haji, macam-macam maklumat diberi. Bermakna masih ada ketidakjelasan dan keraguan. Ada kata taklid mazhab hanafi, hambali dan sebagainya. Ada yang kata, bila sudah bertaklid mazhab Hambali, makan daging unta, batal wuduk.

Kemudian apabila tahun Abu Dubeis pergi pula, pendekatannya berbeza. Kaedah lain digunapakai untuk menangani isu wuduk, batal wuduk dan sentuhan. Tidakkah isu ini telah wujud zaman berzaman? Masih tak diselesaikan? Ketika tahun haji Abu Dubeis, pegangan dan pandangan hukum dipakai mungkin paling sesuai. Semua jemaah kebal di seluruh tanah haram, apabila melangkah keluar sahaja dari hotel penginapan. Kuasa kebal ini ini hanya sementara. Bila masuk hotel hilanglah kuasa.

Diluar, tersentuh siapa sahaja, kulit ke kulit, tidak mengapa, asal sahaja syahwat jangan terasa. Terasa apa? Kita dah dewasa. Awak tahu, saya pun tahu. Saya tahu awak tahu, awak pun tahu saya tahu. Jadi tak perlu beritahu, kita buat-buatlah tak tahu.

Apabila difikirkan semula… adakah kita benar-benar faham apakah yang dikatakan ‘…dengan syahwat’. Apakah definisi dan keluasan tafsiran. Adakah ia pada rasa atau keinginan pada emosi dan perasaan atau pada tindakan balas kimia dalam badan. Adakah sekadar ada ‘rasa’ atau ‘gerakan’ atau sampai merasa kelazatan. Kekadang rasa dan gerakan itu itu sekadar tindakbalas semulajadi (auto reaction) dan serta merta yang bukan bukan dikawal akal yang sedar tetapi minda bawah sedar (subconscious mind).

Kebal. Had kebal. Cuma saya dah lupa, tafsiran kebal iaitu tidak terbatal. Adakah apabila disentuh dan menyentuh? Atau sekadar disentuh, tidak menyentuh? Sedangkan menyentuh termasuk juga (1) menyentuh secara tidak sengaja atau (2) menyentuh secara sengaja? Bagaimana pula secara sengaja tetapi perlu atau terpaksa?

Begitulah polemik yang kita alami. Kesan jenis Fiqah yang kita pilih sendiri. Semasa tawaf sunat kita boleh pakai jubah labuh, boleh pakai stoking, boleh tutup kepala untuk mengurangi risiko sentuhan. Namun bila berpakaian ihram untuk umrah atau haji, sebahagian tubuh kita begitu terdedah. Kaki, bahu, tangan, kepala. Siapa yang tidak pernah alami tumit kakinya ditendang atau dalam bahasa lembut, disentuh oleh jejari kaki kaum hawa khususnya dari daerah sekitar ‘bollywood’ sana.

Saya ingat lagi kata-kata seorang ustaz yang saya sukai, juga pembimbing umrah atau haji, Beliau meninggalkan sunnah ittiba’ dalam tawaf kerana tidak tertahan disentuh bahunya oleh gadis-gadis bukan mahram. Ini pengakuan kejujuran. ‘Don’t get me wrong’. Maksud saya bukan tidak tertahan syahwatnya, tetapi tidak tertahan terganggu khusyuk dan tawaduknya. Ustaz yang sentiasa setia jiwa dan hati dengan mazhab syafie, hal sentuh-sentuh begini, memang sangat ‘allergic’.

Syukur, kini saya dengar dia dah dapat nikmat berganda melalui poligami. Saya harap dapat bergurau dengannya bila bertemu nanti. “Ustaz dah boleh ittiba kerana dah kurang geli’. Begitulah apabila sebahagian daripada kita yang begitu setia untuk berpegang kuat pada pandangan yang ketat, ditakuti kita sendiri yang tidak larat. Bukankah agama itu mudah dan bersifat memudahkan. Tidak dibebankan seseorang lebih dari kadar yang dia mampu. Mungkin niat dihati nak mematuhi amalan agama sedaya upaya, sesungguh jiwa-raga.

Baguslah kalau sunnah amalan itu begitu, bagaimana kalau sunnah itu sendiri membuka ruang dan pilihan yang memudahkan. Supaya amalan lebih khusyuk dan tenang. Ilmu dan Kefahaman Marilah kita saksikan di sini antara maklumat terbaik yang saya temui hasil penulisan seorang tokoh sunnah di Malaysia dalam isu sentuhan ini supaya ilmu dan kefahaman kita ditahap terbaik dalam memahami sunnah dan melaksanakan sunnah. Insya Allah:-

Haram Menyentuh Perempuan Bukan Mahram Bersalam atau menyentuh perempuan ajnabi (bukan mahram; keluarga terdekat yang haram dinikahi) dengan sengaja adalah satu perbuatan yang haram. Demikian juga seorang perempuan menyentuh lelaki ajnabi, ini berdasarkan sabda Nabi saw: Maksudnya: “Kalau dicucuk dengan jarum dikepala salah seorang dari kamu adalah lebih baik daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya”. (Rujuk HR Tabarani 20/212, Sahih Al-Jami’ No. 4921)

Kedudukan Wuduk Atas Sentuhan Tidak Sengaja Masalah yang akan dibincangkan ialah apabila tersentuh perempuan ajnabi secara tidak sengaja atau menyentuh isteri sendiri, adakah batal wuduk atau tidak?

Terdapat beberapa pandangan para ulama’ tentang permasalahan ini. Ibnu Al-Munzir menyebut di dalam kitabnya (Al-Ausat) lima pendapat, tetapi yang masyhurnya adalah tiga:

Pendapat pertama: Pertemuan/sentuhan diantara kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi (sah dinikahi) atau isteri akan membatalkan wuduk, sama ada dengan syahwat atau tidak, sengaja atau tidak. Tetapi tidak batal jika berlapik walaupun dengan sesuatu yang nipis. Ini adalah pandangan Ibnu Masud, Ibnu Umar م . mazhab Syafei, mazhab Az-Zuhri, ‘Ata’ bin As-Sa’ib, Al-Auza’ie dan lain-lain . Dalil dan hujah mereka; firman Allah: Ertinya: “… atau jika kamu menyentuh perempuan”. [An-Nisa’: 43]. Mereka berhujah bahawa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah: “Al-Lams” iaitu sentuhan. Hakikatnya sentuhan dari segi bahasa ialah menyentuh dengan tangan. Juga telah disabitkan bahawa Ibnu Umar menafsirkan ayat ini sedemikian. Kata Ibnu Umar: Maksudnya: “Kucupan seorang lelaki terhadap isterinya, menyentuhnya dengan tangan adalah dikira “mulamasah”, oleh itu sesiapa yang mengucup atau menyentuh isterinya dengan tangan maka hendaklah dia mengambil wuduk.”

Maka Imam Syafei menyatakan jika sesiapa yang menyentuh dengan tangannya perempuan yang sah dinikahinya, maka terbatal wuduk dengan sebab itu. Manakala tentang hadith-hadith yang digunakan oleh pendapat kedua dan ketiga (disebut di bawah ini), mazhab Syafie menafsirkan samada sentuhan itu berlaku dengan berlapik ataupun khusus untuk Rasulullah s.a.w sahaja.

Pendapat kedua: Tidak terbatal wuduk dengan menyentuh perempuan, sama ada dengan syahwat atau tidak. Ini adalah pendapat Ibnu Abbas dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Al-Lams” itu ertinya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh seperti pendapat kumpulan pertama tadi. Ini juga pendapat yang diriwayatkan daripada Thawus, Al-Hasan, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Sufyan Ath-Thauri. Mazhab Hanafi serta satu riwayat dari Imam Ahmad juga berpendapat walaupun menyentuh dengan syahwat tidak terbatal wuduk kecuali dengan berjimak.

Dalilnya: 1) Ummul Mukminin Aisyah ra. berkata: Maksudnya: “Pada suatu ketika saya tidur di hadapan Rasulullah s.a.w yang sedang bersolat dan dua kaki saya di arah kiblatnya. Apabila Baginda bersujud (tangannya) mengenai (kaki) saya, lalu saya menarik kaki saya, (sedangkan Nabi meneruskan solatnya). Apabila Baginda bangun saya pun menghulurkan semula kaki saya. Kata Sayyidatina Aishah ra. lagi: “Dan rumah-rumah pada masa itu tidak berlampu”.

2) Begitu juga sebaliknya, jika seorang perempuan menyentuh kulit lelaki, tidak batal wuduknya, sebagaimana riwayat daripada Aisyah r.a. Maksudnya: “Pada suatu malam, Rasulullah saw berenggang daripada saya, maka saya pun mencari beliau dengan tangan saya, tiba-tiba tangan saya tersentuh dua telapak kaki Baginda ketika Baginda sedang sujud”.

3) Aisyah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw sedang bersolat manakala aku tidur di arah kiblatnya seperti jenazah. Apabila Baginda ingin bersolat witir, disentuhnya aku dengan kakinya.” 4) Aishah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah s.a.w mengucup salah seorang isteri Baginda, kemudian keluar menunaikan solat, sedangkan Baginda tidak pula mengambil wuduk”

Sebahagian ulama’ (Al-Albani) mengatakan hadith ini sahih, tetapi ramai juga yang mengatakan hadith ini dhaif]. Para ulama di kala menghuraikan hadith ini mengatakan: “Ini juga merupakan satu dalil bahawa menyentuh perempuan itu tidaklah membatalkan wuduk kerana sesungguhnya perbuatan mengucup itu adalah termasuk menyentuh, sedangkan Nabi saw tidak pula memperbaharui wuduknya sebagai akibat perbuatannya itu. Ini adalah fahaman yang dipegang oleh Ibnu Abbas ra..”.

Kekuatan dalil mereka ini adalah kerana pada asasnya bersentuh adalah tidak batal wuduk, dan tidak terdapat pula dalil-dalil yang sahih dan jelas bagi mereka yang mendakwa terdapat perbezaan di antara sentuhan dengan syahwat dan sentuhan tanpa syahwat. Pendapat ketiga: Bersyarat, iaitu terbatal wuduk jika menyentuh dengan syahwat, tetapi jika tanpa syahwat, tidak akan terbatal wuduk. Ini adalah pendapat mazhab Hambali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk Madinah.

Pendapat ini juga berdasarkan hadith-hadith Ummul Mukminin Aisyah ra. di atas tadi. Nyata bagi mereka setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah membatalkan wuduk. Perkataan “Ghamazni” dan “Massani birijli” itu adalah dimaklumi bahawa persentuhan sedemikian adalah tanpa keinginan syahwat. Kerana itulah sumber ini digunakan sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wuduk. Pengarang kitab “Al-Mughni” (1/256) mengatakan: “Sesungguhnya dengan hanya menyentuh semata-mata belumlah menghadaskan seseorang, kerana yang menjadikan seseorang itu berhadas ialah dengan keluarnya air mazi atau air mani, iaitu apabila berlakunya keinginan syahwat”. Kesimpulan: Perbandingan antara mazhab ini menunjukkan bahawa hanya mazhab Syafei sahaja yang agak berat dalam masalah ini, di mana hanya bersentuhan sahaja (samada sengaja atau tidak) telah membatalkan wuduk. Sedangkan Imam-imam mazhab lain lebih ringan dan terbuka.

Mazhab Hanafi berpendapat maksud bersentuh itu dengan bersetubuh. Manakala Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal pula mengatakan sentuhan yang membatalkan wuduk ialah yang menimbulkan keinginan syahwat. Maka pendapat yang rajih (kuat) ialah Pendapat Jumhur Iaitu tidak batal wuduk dengan sebab menyentuh perempuan sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Abdullah Ibnu Abbas ra (Turjuman al-Quran dan Habrul Ummah) dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Au Laamastum”, “Al-Lams” itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir].

Adapun dakwaan bahawa sentuhan di antara Rasulullah s.a.w dan Aisyah adalah dengan berlapik atau hanya khusus untuk Rasulullah sahaja, ramai ulama’ mengatakan bahawa dakwaan tersebut tidak mempunyai dalil yang jelas atau bukti yang menunjukkan sentuhan itu adalah berlapik. Kata ulama’: Satu hukum yang amat perlu diketahui oleh umat pasti dijelaskan oleh Rasulullah saw walaupun secara umum kemudian dinukil oleh generasi umat ini… Dengan ini diketahui bahawa tidak wajib mengambil wuduk kerana bersentuh dengan perempuan… kerana seseorang itu sentiasa tersentuh isterinya dengan syahwat atau tidak, kemudian tidak ada pula riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah saw mengarahkan agar mengambil wuduk kerananya. Al-Quran pula tidak menunjukkan maksud sedemikian, bahkan apa yang dikehendaki dengan mulamasah ialah jima’”. [At-Tarjih 73-74]

Namun bagi mereka yang menyentuh dengan syahwat, adalah lebih baik baginya untuk memperbaharui semula wuduknya, sebagaimana yang disarankan oleh sebahagian ulama’.

Pilihan Anda, Pilihan Saya

Mana Satu Pilihan Anda, Pilihan Saya. Mana Satu Pilihan anda bagaimana? Terserahlah kepada anda. Namun bagaimana dengan saya. Pilihan saya. Beginilah. Hasil ilmu dan kefahaman saya, semua pandangan mazhab adalah baik dengan hujah yang baik. Namun saya percaya semua mengetahui pandangan Hanafi lebih memudahkan khususnya semasa ibadah haji. Pandangan mazhab Syafie pula, tidak mudah untuk diamalkan semasa ibadah haji. Pandangan mazhab Maliki sekiranya yang saya fahami ialah ‘batal sekiranya ada syahwat’, mungkin inilah yang paling adil dan sesuai dalam mengimbangi antara kedua pandangan tadi. Ia masih praktikal dan sesuai tetapi meletakkan had batasan yang baik untuk pemakaian umat Islam supaya ada kesungguhan untuk berhati-hati dari mempermudahkan risiko sentuhan.

Dalam pada itu, bagi yang memfokuskan kepada dalil dan hujah yang mendasari pandangan. Melihatkan kepada beberapa hadith yang dirujuk oleh Mazhab Hanafi, zahir hadith secara jelas membuktikan bahawa sentuhan itu tidak membatalkan wuduk dan tanpa syarat. Apabila ada 2 pendapat, dan pendapat mazhab lain disokong oleh dalil yg sahih dan dari sudut hujah paling kuat, manakala pendapat mazhab kita kurang disokong oleh dalil yang kuat, maka tidakkah sewajarnya kita perlu tunduk kepada pandangan yang berbuktikan dalil yang sahih dan hujah paling kuat sebagai menepati kehendak sunnah? Kehendak Allah dan Rasul-Nya? Apalagi kalau hujah yang paling kuat berdasarkan dalil hadith sahih itu paling mudah, praktikal dan sesuai untuk diamalkan? Saya juga gembira dengan fatwa atau pandangan Dr. Wahbah az-Zuhaili, seorang ulama kontemporari, dipercayai bermazhab Syafie. Tokoh Maal Hijrah di Malaysia, yang terkenal dikalangan ilmuan agama seluruh dunia.

“Dr. Wahbah az-Zuhaili , tokoh terkenal zaman ini pula menyebut: “Kata majoriti ulama, tidak wajib bertaklid kepada imam tertentu dalam semua masalah atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan mazhab tertentu, seperti Mazhab Abu Hanifah atau asy-Syafie atau selainnya, maka tidak wajib ia berterusan. Bahkan boleh untuk dia berpindah-pindah mazhab. Hal ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan olwh Allah dan Rasul-Nya. Allah dan Rasul-Nya tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu.Hanya yang Allah wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa dihadkan kepada sesiapa. Maksudnya:Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmuan jika kamu tidak mengetahui (Surah al-Nahl 16-43)

Hal ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabat dan tabiin tidak terikat dengan mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanyakan sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja. Maka ini adalah ijmak (kesepakatan) daripada mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seseorang imam, atau mengikut mazhab tertentu dalam semua masalah.

Kemudian, pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan mazhab tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat. Inilah pendapat yang paling kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh. Maka jelas berdasarkan pendapat ini, bahawa yang paling sahih dan kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh adalah tidak wajib beriltizam dengan mazhab tertentu. Harus menyanggahi imam mazhab yang dipegang dan mengambil pendapat imam yang lain. Hal ini kerana beriltizam dengan mazhab bukan suatu kewajipan (seperti yang dijelaskan). Berdasarkan kenyataan ini, maka pada asasnya tidak menjadi halangan sama sekali pada zaman ini untuk memilih hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh mazhab-mazhab yang berbeza tanpa terikat dengan keseluruhan mazhab atau pendetailannya”. Lalu apa pegangan saya? Mana satu pandangan yang menjadi pilihan. Akhirnya, seperti prinsip yang telah diketahui sebelum ini, saya tentu memilih yang menepati sunnah atau yang paling menghampiri sunnah. Saya hanya menerima mazhab bagi tujuan ittiba’ Rasulullah s.a.w. Saya sangat sukakan maksud ayat di bawah ini. Ia sangat relevan dengan tujuan yang saya maksudkan. Perdengarkan. “Maka gembirakanlah hamba-hambaKu, yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan mengikut apa yang terbaik ( Untuk diamalkan dalam urusan agama), mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang yang berakal sempurna”. ( al-Zumar (39) : 17-18)

Perspektif Alternatif.

Kesemuanya pandangan mazhab ahlul sunnah khususnya yang empat secara lazimnya adalah baik walaupun berbeza. Namun dalam perbezaan itu, mungkin ada yang lebih baik di antara yang baik. Setiap kes dan keadaan perlu dinilai dan dihukum satu persatu. Sekiranya dinilai kes permasalahan secara satu persatu, mungkin sentiasa sahaja ada pandangan mazhab yang lebih kuat pada satu keadaan kes tetapi kurang kuat pada kes yang lain. Kita mungkin percaya mazhab kita mungkin yang terbaik pada banyak keadaan permasalahan kes khususnya dalam bidang ibadah solat. Tetapi tentulah tidak perlu sampai perlu dibuat kajian kes perbandingan. Tidak perlulah juga sampai timbul isu bertukar mazhab. Memadailah apa jua mazhab yang telah kita anuti selama ini. Hanya pendekatan dalam penghayatan bermazhab yang perlu. Tidak mudah keluar tetapi tidak terlalu terikat. Selalu mencari yang terbaik, kerana tujuan khas adalah untuk ‘ittiba’ nabi.

Bukankah di dalam mazhab tertentu itu sendiri, ada pandangan-pandangan ulama yang berbeza. Ada yang kita ketahui sebagai lebih baik dari yang lain. Mungkinkah ada pandangan-pandangan yang masyhur pada amalan masyarakat tetapi bukan yang terbaik pada sunnah. Mungkin. Oleh itu, kita bukan sekadar melihat kepada pandangan mazhab tetapi sebenarnya kepada dalil dan alasan kepada pandangan. Manakah yang paling mendekati sunnah. Sekiranya terdapat 2 atau lebih pandangan yang seimbang kekuatannya, tentulah pilihan yang lebih memudahkan menjadi pilihan untuk amalan. Wallahu taala alam. “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”. (Surah al-Israa’ (17) ayat 36 )

Ini adalah sebahagian daripada perbahasan ilmu dan permasalahan yang terdapat di dalam salah satu bab, buku haji (2013) bertajuk Baitullah Aku Datang, Terbitan Karangkraf - karya seorang peguam sivil, syariah. Terdapat kupasan kritis dan argumentatif beberapa isu yang beliau hadapi dan perhatikan semasa ibadah haji. Antara isu menarik, sensisitif dan kontroversi ialah isu kebal tanpa syahwat, solat diudara, wanita solat didepan lelaki dibelakang, kerana cinta (kisah ttg hajaral aswad), mahu susah atau muassasah dan lain-lain. (Ingin membeli sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my) http://hisham-ahmad.blogspot.com