Social Icons

Pages

Monday, May 26, 2014

Cukuplah Sudah 'Dibabikan'



we hereby declare war ...
Memang keras perkataan di atas. Tidak peduli kita kalau ia perlu difahami secara literal @ harafiah atau kiasan @ sindiran. Mana-mana satu pun cara bacaan, tiada bezanya pada hakikat. 

Hakikatnya entah berapa ramai orang Islam telah dimasukkan babi atau unsur babi dalam tubuh mereka, …. atau secara ringkas dibabikan. Perlakukan dibabikan pada tubuh itu adalah tanpa kerelaan, maka ia umpama satu jenayah perkosa, rogol, ceroboh terhadap tubuh badan.

Kasihan kepada sesiapa yang telah memakan coklat babi itu! 

Terasa dikhianati tapi siapa sebenar yang khianat itu, sebenar-benarnya? 

Coklat itu sendiri atau syarikat kaya sekian lama berjasa membantu ekonomi negara yang takkanlah kerana nila setitik rosak ‘arak’ sebelanga atau adakah ianya sipemantau agama yang diletakkan harapan padanya kerana dah memang tugas mereka atau keseluruhan sistem yang kecewa dan semakin mengecewakan kita? 

Baru sekarang kita rasa dikhianati. Apabila satu kes dibukti. Bagaimana tentang pelbagai produk makanan lain.  Bagaimana dapat difahami antara :-

(1)    batas minima halal pada syarak atas hujah selagi tidak dibuktikan haram ia adalah halal atau jika pada ‘surface’nya halal ia adalah halal, (walau ada sebenarnya ada elemen haram pada kandungannya, tanpa diketahui) 

(2)    kepada mengelakkan syubhat dengan nasihat agar meninggalkan yang meragukan.

(3)    Hingga kepada tujuan maksima, iaitu mencari keberkatan pada makanan yang halal, baik tanpa elemen syubhah dan meragukan.

Ilmuan-ilmuan agama banyak mendatang perbahasan tetapi kurang merujuk pada realiti kes dan contoh-contoh real dan praktikal seperti ada di pasaran, seperti yang kita dan anak-anak kita makan. 

Kita lihat bagaimana banyaknya jajan-jajan bukan sahaja buatan cina tempatan tapi dari tanah besar cina yang tiada tanda halal yang entah apa bahan-bahan yang digunakan khususnya pada pelbagai  coklat, gula-gula dan manisan dan dijual pula dengan harga sangat berpatutan. Ia dijual begitu berleluasa dan menjadi mamahan dan kunyahan kegembiraan anak-anak kita termasuk di sekolah agama, pusat tahfiz, sekolah pondok, tadika Pasti atau bukan Pasti dan lain-lain.  Saya menyaksikan sendiri.  

Tentulah mereka yakin halal walau tak Toyyib, dan tentu mereka juga rasa tidak ada unsur syubhat, meragukan .. kalau tak, takkan mereka tergamak, sanggup jual, tapi takkanlah pula ada keberkatan.  

Persoalan;- apa ukuran agama sebenar-benarnya secara ilmiah dan amalan praktikal pada isu ini?

Kita lihat bagaimana tema promosi bank islam iaitu mencari yang halal itu fardu. Lagi, ada  ilmuan yang menekan kepada memastikan logo halal jakim atau yang diiktiraf  yang mengandungi no siri sebagai satu syarat tugasan orang Islam dalam melepaskan tanggungjawab mencari dan memastikan yang halal. 

Sebaliknya ada ilmuan lain pula mengatakan selagi mana pada luaran yang terlihat adalah halal, maka halallah. Buat apa nak pergi sampai ke dapur. Ada contoh hadith-hadith diberikan yang  boleh dijadikan kes bandingan @ kiasan contoh keadaan. saya masih ingat lagi lama dahulu, ceramah Ust Samsuri betapa baiknya (wajib?) kita bertanya mee yang digoreng di kedai makan itu? Kalau dia ambil mee cina sebab tahan lama, nanti agak-agak boleh tahan lama dalam neraka. Gitulah, yang ingat dan yang tak diingat. Tidak jelas penekanan ustaz adalah ia isu halal haram atau berkat tidak berkat? Inilah sebahagan contoh perbezaan pandangan yang perlu diperbahaskan kembali dan didatang rumusan panduan terbaik dan difahami. 

Tolonglah wahai ustazah pilihan atau ustazah solehah termasuklah yang semanis kurma atau grup  pencetus ummah sekalipun merasakan diri daie bukan mufti, juga imam-imam muda atau lebih baik yang menggelarkan diri mereka grup ulama muda –selagi mereka tidak terpaksa letak jawatan bila dah tua, atau panel-panel Tanyalah ustaz, tidak kisah lah jika ada ustaz-ustaz itu yang menjadi ikon produk sunnah dari kurma, buah tin, zaitun yang dijampi  yang dapat bantu membersihkan hati (tetapi macammana nak bersih - takkan nak makan ini sahaja kerana malangnya kami terpaksa makan juga produk tak sunnah? seperti nasi, cekodok, ayam,  biskut, mee tiaw, mee goreng, perut tahu, bebola-bebola daging, ikan dan bla-bla-bla hingga kepada pelbagai jajan, coklat, gula-gula dan sebagainya) atau kami minta masa 10 minit sahaja daripada Ustaz Don daripada 30 minit masanya untuk menjelaskan isu ini sebagaimana sebahagian masa itu pernah diguna untuk menjawab isu kontraversi dan sensasi melibatkan diri sedangkan ini isu sensasi dan kontroversi melibatkan ummah ini.

Perjelaskan kepada kami sejelas Kristal …  panduan yang berkesan dan praktikal.

Agak-agaknya tanpa kita sedari berapa banyak bahan haram, syubhah yang masuk ke perut anak-anak orang Islam? lihat tingkatan ketakutan di bawah:-

1. bayangkanlah betapa banyak pelbagai makanan yang dibuat oleh bukan Islam.
2. bayangkanlah betapa banyak pelbagai makanan yang dibuat dan dan dijual oleh orang islam yang bahan mentahnya dibuat oleh bukan Islam
3. bayangkan berapa ramai orang bukan Islam yang benar-benar faham halal dan haram dan diantaranya pula berapa ramai pula yang melaksanakan dan mematuhinya
4. bayangkan betapa banyak pelbagai makanan yang dijual tanpa cop tanda halal sebahagian produk tempatan sebahagian produk negara cina atau luar negara
5. bayangkan betapa banyak produk yang ada cop halal tanpa no siri, atau cop halal buatan sendiri, iaitu cop halal yang di cop sendiri
6. betapa banyak cop halal yang sah bernombor siri -tapi tidak pernah ditelefon dan disahkan -yang jika ditelefon - tarikh sah halalnya dah berakhir - cop halal luput tarikh
7. bagaimana coklat yang dapat cop halal yang bernombor siri yang sahih tapi ada BABI atau sebahagian dari gen BABI . Jika begini, apa jaminan produk cop halal sah yang lain.
8- bayangkan pula cara pihak berkuasa negara dan pihak berkuasa agama melayani syarikat 2 pengkhianat itu. Adakah anda puashati bahawa ia dibuat kerana menegakkan syariat Allah dan kepentingan ummah 'without fear and favour'?

Akhirnya, pada siapa kita dapat lagi bergantung harap - melainkan kepada Allah dan usaha kita sendiri.

Justeru, sudah tiba masanya kita ambil langkah berhati-hati lebih tinggi menepati nasihat baginda nabi (saw)- yang sebahagiannya yang saya ingat dan tak ingat iaitu ‘tinggalkan apa yang meragukan ...kepada yang tidak meragukan’

 -sementara menunggu jawapan panduan dan bimbingan terbaik dan praktikal daripada ilmuan-ilmuan agama kita.

Dan Allah jua yang maha mengetahui.

hisham-ahmad.blogspot.com

Tuesday, May 20, 2014

In the name of Justice & Dr Asri



20 Mei 2014.[1] Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur melepas dan membebaskan bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin daripada tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah lima tahun lalu. 

Walaupun terdapat kemungkinan munasabah iaitu pihak pendakwa akan merayu dan walaupun terdapat suatu kerisauan yang dikongsi bersama atas suatu rasa bahawa adalah sangat tidak menghairankan juga bahawa dengan fakta yang sama, mahkamah yang lebih tinggi boleh membuat dapatan atau keputusan yang berbeza, biarkanlah... ia dirisaukan bila tiba masanya. 

Untuk masa ini, mari kita lihat dari sudut lain. 

Pembebasan Dr Asri pasti melegakan penyokong diri dan idea-pemikiran Islamnya khususnya di kalangan golongan generasi muda Islam. Begitulah juga sebaliknya. Pembebasannya, pasti mengecewakan ramai golongan yang tidak menyukai diri atau anti idea-pemikiran Islam Dr. Asri

 Bagaimanapun, saya percaya terdapat sekian ramai dari kita yang tidak dapat menyukai dan menyetujui undang-undang yang bersifat menghalang penyampaian ilmu agama atas alasan ‘tiada tauliah’. Sepatutnya, dakwaan adalah atas isi ceramah, contoh samada sesat atau benar. Jika ada asas kepada ‘tauliah’, dan ada kemurnian bagi tujuan asalnya, kita takuti ia disalahguna atau diguna secara salah atau sukar untuk dilihat bahawa keadilan telah dilakukan, pada cara ia digunakan.  

Tentulah sukar diterima oleh akal munasabah oleh sekian ramai generasi muda bagaimana mungkin seorang bekas mufti, pemegang PHD, pensyarah agama yang pemikiran dan pandangan sentiasa diminta dan didengari (walaupun belum tentu dipersetujui), yang telah entah berapa banyak kali berceramah disana-sini, tiba-tiba tidak ‘layak’ berceramah disebuah negeri. 

Kita percaya pembebasan Dr Asri menepati dua elemen besar erti keadilan di sini iaitu (1) ungkapan hikmah yang begitu masyhur dalam memahami erti keadilan “Justice must not only be done but it must be seen to be done (Keadilan bukan sekadar dilaksanakan tetapi mesti kelihatan/nampak dilaksanakan). (2) Bahkan, lebih menarik ialah kata bekas almarhum hakim Tun Suffian[2] di mana beliau menukilkan kata indah[3]:-  “Justice must not only seen to be done but in fact it has not been done”  keadilan tidak berguna jika kononnya kelihatan seperti telah dilakukan tetapi sebenarnya ia telah tidak dilakukan ...” 

Justeru, adakah berlebihan jika dikatakan; atas nama keadilan pada hakikat kebenaran, pembebasan Dr Asri adalah satu kewajaran, bersifat hikmah dan menyerlah kebijaksanaan.  Wallahu ta’ala alam.

 “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (Kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.Surah al-Maa’idah 5:8)

...bukan kerana Dr. Asri.

hisham-ahmad.blogspot.com


[1] Laporan sinarharian.com
[2] yang semasa itu sangat kecewa dan sedih melihat sistem keadilan yang telah disakiti teruk dalam era pemerintahan ….
[3] yang jika saya tidak silap

Friday, May 16, 2014

Israk Mikraj. Fakta Releven Perlu Diketahui



Setelah sebahagian masa berharga ribuan peminat web ini terbazir begitu sahaja kerana melayan-baca kisah berunsur ‘lawak mega’ segelintir pemain politik di bumi penyu bertelur, marilah kita hayati kembali fakta-fakta relevan Israk Mikraj yang pada 27 Rejab, Mei bakal menjelma. 

Inilah fakta Israk Mikraj dari guru sunnah kita[1]:-

Maksudnya: Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang Telah kami berkati  sekelilingnya [Maksudnya: Al Masjidil Aqsa dan daerah-daerah sekitarnya dapat berkat dari Allah dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya] agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui}. [Surah Al-Isra’: 01]

Penentuan masa berlakunya peristiwa bersejarah ini terdapat sedikit khilaf, antara pendapat-pendapat tersebut ialah: 

1.    At-Thabari menentukan berlakunya di tahun Baginda s.a.w dibangkitkan [diutuskan sebagai rasul].
2.    An-Nawawi dan al-Qurtubi mentarjihkan berlaku di tahun kelima kebangkitan Baginda s.a.w.
3.    Al-‘Allamah al-Mansurfuri menetapkan pada malam 27 di bulan Rejab tahun kesepuluh kebangkitan Baginda s.a.w.
4.    Pendapat lain mengatakan 16 bulan sebelum hijrah iaitu di bulan Ramadhan tahun dua belas kebangkitan Baginda s.a.w.
5.    Ada pendapat setahun dua bulan sebelum hijrah iaitu di bulan Muharram tahun ketiga belas kebangkitan Rasulullah s.a.w
6.    Satu lagi pendapat menyebut berlakunya setahun sebelum hijrah iaitu di bulan Rabiulawal tahun ketiga belas kebangkitan Baginda s.a.w.

Ketiga-tiga pendapat yang terawal [1-3] ditolak kerana Sayyidah Khadijah r.a telah wafat di dalam bulan Ramadhan tahun kesepuluh kebangkitan Baginda, kewafatan beliau adalah sebelum sembahyang lima waktu difardhukan, dan tiada khilaf bahawa sembahyang itu mememang difardhukan di malam berlakunya Isra’ dan Mi’raj itu.

Manakala tiga pendapat terakhir, Dr Basit sendiri tidak dapat mentarjihkan yang mana satu pun. Namun gaya bahasa surah al-Isra’ itu menunjukkan Isra’ itu berlaku di ketika masa-masa yang terakhir sebelum hijrah.

Peristiwa Isra’ Mi’raj berdasarkan hadis sahih”, ringkasannya:

Ibnu al-Qayim telah menyebut: Rasulullah s.a.w relah diisra’kan jasadnya dari masjid al-Haram ke Baitul Maqdis dengan menunggang buraq, dengan ditemani oleh Jibril a.s, Rasulullah s.a.w turun ke Baitul Maqdis dengan mengimami sembahyang, bersama para nabi-nabi a.ss yang terdahulu, buraq ditambat di halaman masjid al-Aqsa.

1.    Langit terdekat-1. Setelah itu Rasulullah s.a.w dimi’rajkan di malam yang sama dari Baitul Maqdis ke langit terdekat, lalu Jibril meminta supaya pintu langit dibuka, setelah dibukanya, di sana Rasulullah s.a.w telah melihat Adam a.s bapa sekalian manusia, Baginda pun s.a.w memberi salam kepadanya, Baginda  dialu-alukan dan membalas salam dan Baginda s.a.w diperakukan sesuai dengan kenabiannya. Allah SWT memperlihatkan kepada Baginda roh-roh para syuhada’ di sebelah kanan dan roh-roh yang terseksa di sebelah kirinya.

2.    Langit Kedua.  Jibril a.s meminta supaya dibuka pintu langit, setelah dibuka mereka memasukinya dan di sana didapati nabi Yahya bin Zakaria dan Isa Ibni Mariam a.s, diberinya salam lalu dijawab salam dan dialu-alukan mereka, disamping memperakui kenabian Muhammad s.a.w.

3.    Langit Ketiga. Mereka bertemu dengan Nabi Yusof a.s, setelah salam diberikan dan disambut Baginda s.a.w dialu-alukan dan diperakui kenabiannya.

4.    Langit Keempat. Mereka berjumpa dengan Nabi Idris a.s. Rasulullah memberi salam kepadanya dan beliau menjawabnya. Baginda s.a.w dialu-alukan dan diakui kenabiannya.

5.    Langit Kelima. Baginda s.a.w bertemu dengan Nabi Harun bin Imran a.s, Baginda s.a.w menjawab salam yang diberi, Baginda s.a.w dialu-alukan dan diakui kenabiannya.

6.    Langit Keenam. Baginda s.a.w bertemu dengan Musa bin Imran a.s, Baginda s.a.w memberi salam dan dijawab serta dialu-alukan dan diperakui kenabiannya. Setelah Rasulullah s.a.w ingin bertolak dari tempat Musa a.s, Musa pun menangis, lalu di tanya Musa a.s apakah yang membuatmu menangis? Jawab Musa a.s: aku menangis kerana orang yang diutuskan selepas ku, umatnya memasuki syurga lebih ramai dari umatku

7.    Langit Ketujuh, padanya Baginda s.a.w menemui Ibrahim a.s, setelah salam diberi dan dijawab, Baginda s.a.w dialu-alukan dan diakui kenabiannya. Sesudah itu Baginda s.a.w dimi’rajkan ke Sidratul Muntaha dan dibawa ke al-Baitul Makmur.

8.    Akhirnya, Baginda s.a.w dimi’rajkan ke hadapan Allah al-Jabbar Jalla Jalaluh, Baginda s.a.w menghampiri-Nya di kedudukan paling dekat, maka difirman dan diwahyukan kepada hamba-Nya Muhammad s.a.w segala sesuatu, difardhukan ke atas Baginda s.a.w solat 50 waktu, dengan itu Baginda s.a.w pun turunlah untuk pulang dan dipertengahan jalan Baginda s.a.w melalui Musa bin Imran a.s yang bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w: dengan apa engkau diperintahkan? Jawab Baginda s.a.w: Daku difardhukan dengan 50 waktu solat. Jawab Musa a.s: Umat kau tidak akan mampu, kembalilah kepada Tuhan SAW, pohon kepadanya pengurangan, demi untuk umatmu, Baginda s.a.w berpaling kepada Jibril a.s bagaikan untuk mendapat pandangan maka Jibril a.s pun memberi persetujuan dengan pendapat Musa a.s itu, dengan itu Jibril a.s membawa semula kehadapan Tuhan Rabbul Jalil, justeru itu Allah SWT pun mengurangkan sehingga tinggal 10 waktu sahaja, maka Baginda s.a.w turun, semasa itu sekali lagi Baginda s.a.w melewati Musa a.s, Baginda s.a.w menceritakan apa yang berlaku, maka kata Musa a.s sekali lagi sebagai menasihati, ayuh pulanglah semula kepada Tuhanmu SWT dan mintalah agar dikurangkan lagi, demikianlah Rasulullah s.a.w berulang–alik di antara Allah Rabbul Jalil dan Musa a.s, dengan itu Allah SWT telah mengurangkan, hingga tinggal menjadi 5 waktu solat sahaja, masih lagi Musa a.s menyuruh Rasulullah s.a.w mengatakan: Sesungguhnya aku terasa malu, malah setakat inilah aku merelai dan menerima perintah-Nya itu, setelah jauh, Baginda s.a.w diseru: Sesungguhnya Aku menguatkuasakan solat fardu dan Kuringankan keatas hamba-hamba-Ku.

Peristiwa Isra’ Mi’raj. Baginda s.a.w menyaksikan berbagai-bagai perkara:

1.     Telah dipersembahkan kepada Baginda s.a.w susu dan khamar, namun Baginda s.a.w memilih susu, maka disebutkan kepada Baginda s.a.w: Engkau telah menunjukkan kepada fitrah atau telah menepati fitrah, tapi sekiranya engkau mengambil khamar nescaya sesatlah seluruh umatmu.

2.    Baginda telah menemui empat sungai di dalam syurga, dua sungai zahir dan dua sungai batin. Dua sungai zahir adalah sungai Nil dan Furat, ini bermakna agama dan risalah yang dibawanya akan bertapak di lembah-lembah subur Nil dan Furat, penduduknya merupakan pendokong-pendokong agama Islam dari generasi ke generasi yang lain, bukanlah bererti yang airnya mengalir dari syurga.

3.    Juga Baginda s.a.w melihat malaikat Malik penjaga neraka, yang tidak pernah senyum malah di mukanya tiada sedikit pun tanda mesra atau lembut, Baginda s.a.w melihat syurga dan neraka.

4.    Baginda menyaksikan pemakan-pemakan harta anak yatim secara zalim, mulut-mulut mereka bak mulut-mulut unta, dilontarkan ke dalam rahang mulut mereka ketulan-ketulan api neraka bak harimau meluru keluar dari dasar neraka keluar melalui dubur mereka.

5.    Baginda menyaksikan pemakan-pemakan riba dengan perut yang besar, kerananya mereka tidak berupaya bergerak dari tempat-tempat mereka, dan keluarga Firaun lalu di hadapan mereka dan melanyak mereka dengan tapak kaki.

6.    Penzina-penzina diletakkan di hadapan mereka daging-daging elok dan segar di samping daging buruk dan busuk, namun mereka memilih dan memakan yang busuk, ditinggalkannya yang segar. Baginda s.a.w menyaksikan sekumpulan wanita yang masuk ke dalam majlis lelaki yang bukan anak-anak mereka, mereka digantung dari (menggunakan) payudara-payudara mereka.

7.    Juga Baginda s.a.w melihat sekumpulan unta penduduk Makkah yang sedang dalam perjalanan. Pada masa itu Baginda s.a.w telah menunjukkan mereka unta yang mereka hilang itu, dan Baginda s.a.w telah meminum air dari bekas-bekas mereka yang tertutup kemas sedang mereka nyenyak tidur. Selepas habis diminum, Baginda s.a.w menutup kembali tudungnya, kejadian ini menjadi bukti kebenaran kepada peristiwa Isra’ Mi’raj yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w.

Ibnu al-Qayim berkata: Setelah Rasulullah s.a.w berada di pagi subuh bersama-sama kaumnya dan menceritakan kepada mereka tanda-tanda yang agung (al-Ayat al-Kubra) yang diperlihatkan Allah SWT dan Rasul-Nya, maka semakin ingkar kafir Quraisy dengan risalah Muhammad s.a.w, semakin bengis lagi mereka menyiksa kaum Muslimin. Namun demikian, mahu juga mereka bertanya Rasulullah s.a.w supaya menggambarkan rupa bentuk Baitul Maqdis, maka Allah membuka penglihatan Rasulullah s.a.w sehingga tergambar Baitul Maqdis itu di hadapan matanya, dengan itu Rasulullah s.a.w pun menceritakan segala sesuatu mengenai dengannya hingga mereka tidak mampu untuk menolak atau mendustainya, dan Baginda s.a.w menceritakan juga mengenai kumpulan-kumpulan unta mereka, semasa pemergian dan kepulangan Baginda s.a.w, juga Baginda s.a.w menceritakan unta-unta yang akan tiba dan menyifatkan unta yang akan mendahului kafilahnya, dan benar sebagai yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w namun mereka semakin angkuh dan ingkar, memang sesungguhnya orang yang zalim itu semakin kufurlah mereka.

Adapun Abu Bakar r.a digelar dengan gelaran as-Siddiq kerana pembenaran dan kepercayaan beliau dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, sedangkan ramai manusia mendustainya. {untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami}. [al-Isra’ : 1]
Ini adalah sunnah dan qanun Rasulullah kepada para anbiya’ Nya, sebagaimana penegasan Allah kepada Ibrahim a.s. “…dan demikian Kami memperlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin” (al-An’aam: 75).

Dan penegasan Allah SWT kepada Musa a.s.  ….(Berlakunya yang demikian itu) kerana kami hendak memperlihatkan kepadamu, sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan kami yang besar.” (Thaha: 23)

Penyusunan program Isra’ Mi’raj ini bertujuan untuk memberi keyakinan:

…dan supaya jadilah ia dari orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin”. (al-An’am : 75)
Setelah ilmu dan makrifat para nabi ini berdasarkan penyaksian tanda-tanda agung (al-Ayat al-Kubra) tadi, darinya mereka memperolehi ‘Ain al-Yakin (yakin hakiki) yang tidak dapat dinilai kadarnya, kerana berita pengkhabaran itu tidak boleh disamakan dengan penyaksian dua mata kepala, hasilnya mereka lebih mampu untuk menanggung risiko dakwah yang bakal mereka garap dan tempuhi, seluruh tenaga dunia yang menentang mereka hanya seberat nyamuk sahaja, untuk itu mereka tidak menghiraukan segala pancaroba dan ancaman terhadap mereka.

Teks Khutbah sempena Isra' Mikraj: Membebaskan Baitul Maqdis[2]

Memperingati peristiwa Isra’ Mikraj bererti memperingati perjuangan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan satu misi yang mengambil masa selama 23 tahun. Seerah ataupun perjalanan hidup Rasulullah SAW ini merupakan khazanah yang tidak ternilai...
Memperingati peristiwa Isra’ Mikraj bererti memperingati perjuangan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan satu misi yang mengambil masa selama 23 tahun. Seerah ataupun perjalanan hidup Rasulullah SAW ini merupakan khazanah yang tidak ternilai kepada umat Islam yang melaksanakan misi yang telah diwariskan kepada umat yang datang kemudian. Ini ditegaskan di dalam khutbah wida' (haji perpisahan) ketika Nabi berpesan 'hendaklah mereka yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir agar yang tidak hadir lebih memahami. Mereka yang tidak hadir itu ialah umat Islam yang datang silih berganti dari satu generasi kepada satu generasi dan mereka semua dituntut untuk memahami tugas yang diamanahkan kepada mereka iaitu menyeru kepada al-khair (Islam), menyuruh kepada ma'ruf dan menghalang dari kemungkaran. Inilah misi besar yang ditaklifkan ke atas umat Islam sepanjang zaman.

Peristiwa Isra’ Mikraj pastinya berkait rapat dengan tanah suci al-Quds di Palestin. Sudah tentu peristiwa besar yang dialami Rasulullah SAW ini sangat relevan di dalam memahami tuntutan perjuangan membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa yang merupakan tempat singgahnya Nabi dalam perjalanan Isra’ Mikraj yang penuh baroqah. Dalam konteks ini kita dapati banyak persamaan di antara peristiwa yang berlaku pada hari ini dengan apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW sendiri. Rakyat Palestin pada hari ini ditindas dan dizalimi oleh Zionis Israel. Mereka dikenakan sekatan perjalanan, penyingkiran dari tanah-tanah milik mereka, kepungan oleh tembok-tembok pemisah dan terakhir sekatan ekonomi dan penutupan laluan darat, udara dan laut di Gaza.

Semua bentuk kezaliman dan penindasan ini pernah ditimpakan ke atas Rasulullah SAW dan komuniti mukmin oleh orang-orang Quraish. Bahkan seluruh Bani Hasyim dan Bani Abu Talib yang mempunyai hubungan keluarga dengan Rasulullah SAW diboikot samada mereka Muslim atau sebaliknya. Ini bererti sesiapa juga yang menyokong atau melindungi Rasulullah SAW walaupun mereka bukan dari kalangan umat Islam turut menerima akibat dan dipulau sama.

Seluruh penduduk Mekah membuat perjanjian untuk memboikot, memulau, tidak bersilaturrahim, tidak berjual beli, tidak berkahwin dengan mereka. Selama tiga tahun lamanya mereka dipinggirkan di Shiib (lembah) Abi Talib. Keadaan menjadi begitu genting sehingga anak-anak menangis kelaparan pada waktu malam dan mereka terpaksa mengalas perut dengan kulit unta dan kulit-kulit kayu. Rasulullah SAW dikhianati dan dianiaya oleh penduduk Mekah termasuk bapa saudara Nabi sendiri iaitu Abu Lahab.

Apabila kita bandingkan dengan apa yang berlaku pada hari ini maka kita akan dilihat persamaan yang amat ketara. Bukan sahaja rakyat Palestin dikepung dan dipulau oleh masyarakat antarabangsa yang didalangi oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Rusia dan PBB bahkan mereka dikhianati oleh pemimpin-pemimpin Arab. Dalam keadaan rakyat Gaza diserang bertalu-talu oleh Zionis Israel, pemimpin-pemimpin Arab bersekongkol menyokong serangan ini dan menghalang bantuan dari menyeberang masuk ke Gaza.

Semua drama yang pahit ini telah kita saksikan di Gaza. Anak-anak merintih kelaparan pada waktu malam sehingga ibu-ibu mengutip rumput di jalanan untuk direbus dan mengalas perut anak-anak mereka. Ini jugalah yang dialami oleh Rasulullah SAW. Dek kerana tidak tertahan mendengar rintihan anak-anak maka ada di kalangan orang-orang Quraish yang tidak sampai hati dan menyusup pada waktu malam untuk menghantar makanan. Kini rakyat Gaza merintih tetapi bantuan dihalang memasuki Gaza.

Kita perhatikan sikap pemimpin-pemimpin Arab yang serupa dengan sikap pemimpin Quraish termasuk Abu Lahab yang merupakan keluarga Rasulullah SAW sendiri. Kita telah melihat bagaimana Hosni Mubarak, pemerintah Arab Saudi, Raja Jordan bahkan
 
Presiden Mahmud Abbas (Pihak Berkuasa Palestin) sendiri merestui serangan ke atas Gaza, melantik kontraktor Mesir untuk membekalkan makanan kepada askar Israel dan mengenakan pelbagai syarat tidak menasabah sehingga menghalang bantuan untuk menyeberang ke Gaza.

Namun seerah menunjukkan pemulauan ke atas Rasulullah SAW adalah merupakan siri-siri awal kepada kemenangan yang bakal ditempa oleh umat Islam. Boikot ini berakhir setelah tiga tahun dan diikuti pula dengan pelbagai bentuk penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh Rasulullah SAW. Ini termasuklah kematian Abu Talib dan isteri tercinta, Sy Khadijah RA yang merupakan tonggak utama kepada Rasulullah SAW. Ini disusuli dengan peristiwa menyayat hati apabila Rasulullah diusir dari Taif dan dilontar dengan batu. Dalam saat-saat yang amat menekan inilah Rasulullah SAW dikurniakan mukjizat yang amat besar iaitu peristiwa Isra' dan Mikraj. Dalam peristiwa bersejarah ini Nabi singgah di Masjid Al-Aqsa sebelum meneruskan mikraj ke Sidratul Muntaha.

Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. - Al-Isra’ 1

Perjalanan ini punya makna yang sangat simbolik dalam perjuangan Palestin pada hari ini. Selepas peristiwa Isra' dan Mikraj bermulalah pertemuan dengan penduduk Yathrib yang membawa kepada perjanjian Aqabah I dan II yang disusuli dengan hijrah dan pemasyuran Yathrib sebagai Kota Madinatul Nabi. Bermula dari saat itu kemenangan demi kemenangan ditempa sehingga cahaya Islam memancar ke seluruh ufuk timur dan barat. Kesemua ini menunjukkan kepada kita bahawa kemanangan bakal datang setelah pelbagai ujian dan mehnah dilalui oleh umat Islam di Palestin.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj juga mengingatkan kita kepada gambaran-gambaran akhir zaman yang telahpun dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Beriman dengan Rasul bererti beriman dan meyakini dengan berita-berita ghaib yang disampaikan oleh baginda, samada menyangkut tentang peristiwa masa depan apatah lagi tentang hari Qiamat. Berkaitan tentang peristiwa masa depan yang bersangkutan dengan Palestin, terdapat begitu banyak perkhabaran-perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi.

Sepatutnya perkhabaran-perkhabaran ini menguatkan azam dan keyakinan umat Islam tentang jihad yang sedang berlaku di Palestin. Malangnya umat Islam pada hari hilang punca apabila berhadapan dengan isu Palestin. Sebabnya ialah kita tidak lagi menggunakan neraca iman dalam menilai perjuangan Palestin. Sebaliknya kita menggunakan penilaian kebendaan dan seringkali menyalahkan rakyat Palestin tanpa melakukan apa-apa untuk membantu mereka. Walhal apa yang saksikan pada hari ini telahpun digambarkan oleh Rasulullah SAW.

Nahik Ibn Suraym al-Sakuni r.a. menyampaikan dari Rasulullah SAW, Baginda bersabda, “Kamu akan memerangi golongan kafir sehingga yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu berada di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka berada di sebelah baratnya (Tebing Barat – Palestin yang dijajah Israel).” - Ibnu Hajar al-Asqalani.

Rasulullah SAW bersabda berhubung dengan penduduk tanah suci al-Quds, “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak dan hamba sahaya mereka berada dalam ribat (kubu) di jalan Allah.” - Al-Tabarani.
Masjid al-Aqsa pasti akan dibebaskan. Sama ada umat Islam peduli atau tidak tentang keadaan Masjid al-Aqsa yang terkepung pada hari ini. Hakikatnya mereka yang berjihad untuk melindungi dan mempertahankan tanah suci akan dimuliakan oleh Allah dan mereka akan dijanjikan kemenangan. Sedang mereka yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad yang merupakan kewajipan setiap umat Islam ini pastilah akan rugi dengan kerugian yang tak mungkin dapat ditaksir di dunia dan di akhirat. 

Semoga Allah membuka hati kita dan memilih kita untuk berada di dalam saf umat Islam yang berjihad untuk membebaskan masjid al-Aqsa.

Muawiyah bin Abu Sufyan menyampaikan Rasulullah SAW bersabda, “Akan ada di kalangan umatku yang akan terus berada di atas jalan kebenaran. Tiada sesiapa yang menentang mereka dapat menyakiti mereka sehingga tiba hari kiamat”, Para sahabat bertanya, “Di mana mereka ya Rasulullah?” Rasulullah SAW jawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.”

Hari ini kita menyaksikan cahaya kemenangan sudah mulai kelihatan. Amat benarlah janji Allah. Kepalsuan tidak dapat dipertahan dan pasti musnah. Hakikat ini sedang kita saksikan pada hari ini. Rejim-rejim Arab yang melindungi Israel ditumbangkan satu demi satu. Masyarakat antarabangsa terutama dari Barat kini berada di barisan hadapan membela rakyat Palestin bahkan bersedia untuk berkorban apa sahaja untuk membantu rakyat Gaza yang terkepung. Semua ini adalah bukti bahawa perjuangan untuk pembebasan Tanah Suci pastinya akan mendapat pembelaan berterusan dari Allah sehingga kejayaan dicapai sepenuhnya.


[1] Abu Anas Madani  http://www.abuanasmadani.com/
[2] Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor,   Pengerusi Aqsa Syarif1 Julai 2011