Social Icons

Pages

Thursday, October 10, 2013

Mencabar Tok Guru!



kedamaian solat di surau!
Hari tu. Malam Rabu. Lokasi, surau kampungku. Kuliah tasawuf; kitab ‘Penawar B
Hari tu. Malam Rabu. Lokasi, surau kampungku. Kuliah tasawuf; kitab ‘Penawar Bagi Hati’.  Biasanya sambutan pendengar agak baik kerana ‘presentation’ ustaz ini agak baik dengan kemampuan membuat seloka sesuai dengan selera golongan pertengahan dan tua. 

Beliau adalah tuan guru kepada madrasah pondok yang terkenal di negeri ini. Selepas solat maghrib, sebelum kuliah bermula, aku biasanya balik sekejap ke rumah ku yang sejauh 20-30  langkah daripada surau untuk memastikan 4  orang anak lelaki telah memulakan sessi mengaji dan menghafaz pada selang 2 waktu yang singkat itu.  Aku terpaksa… sebab mereka belum memiliki disiplin diri atas apa yang disebut  dan diidami oleh setiap parents pada anak-anak mereka iaitu kemampuan ‘memulakan sendiri tanpa disuruh’.  

Aku teringat kata mutiara seorang sarjana tempatan antara paling faqih yang aku ketahui dalam soal tarbiyatul aulad iaitu Ustaz Hasrizal yang aku fahami begini,

‘seorang itu dapatlah dikatakan berjaya, jika anaknya yang biasa melakukan kebaikan dalam kehadirannya, biasa juga melakukan kebaikan yang sama dibelakangnya’.


Kata di atas telah terpinda dari kata asal yang lebih indah sebab aku sebenarnya tidak ingat kata-kata hikmah ustaz itu, cuma aku fahami maksud katanya. Aku harap pembaca dapat memahaminya -  malah ia boleh dipinda ikut sesuka hati kita dan ditafsir lebih luas asalkan membawa maksud positif. Bagi ibubapa yang anak-anaknya telah memiliki sifat ini, tahniah!  Tetapi ingat ini adalah satu aspek kejayaan dalam satu aspek pentarbiyahan.

Fokus, fokus fokus. Aku membisikkan kepada diri sendiri. Itulah masalah aku. Itulah kelemahan aku yang ditegur editor buku. Tapi kat sini, aku  tidak peduli,  mesej selagi banyak ilmu dapat dikongsikan, aku nak kongsikan. Takut simpan, lupa. Aku nak ikut manhaj Dr Muhayah, tamak PV pahala.  

 Kembali kepada kisah asal.  Aku melihat mereka sedang dalam keadaan mahu memulakan sesi hafazan. Aku bertanya kepada anakku yang berumur 12 tahun, “Faruq, kenapa tidak nampak kau pada saf pertama?.” Dia menjawab dalam keadaan marah, sedih dan kecewa betapa dirinya telah diarahkan berpindah ke saf  belakang. Tidak  perlu lah aku beritahu siapa.  Masalah yang sama….  (seperti pernah aku tulis sebelum ini).

Kuliah kedengaran telah dimulakan. Macammana aku tahu? Manakan tidak, mic utk speaker luar di hidupkan. Bunyinya sangat kuat dan jelas. Bahkan dari rumah aku, sangat jelas, lebih jelas daripada jika aku berada di dalam surau. Sebenarnya ia mengganggu sesi hafazan anakku… susah mereka nak fokus tapi apalah daya ku…  Mereka mengadu bising sangat, macammana nak hafal… aku terpaksalah menjawab … bahawa seorang penghafaz yang baik mesti mampu menghafaz dalam apa jua suasana. Kalau hafaz kat hutan, pun ada bunyi bising monyet mengganggu.

Tok guru tidak memulakan dengan kitabnya tetapi tiba-tiba membangkitkan isu saf solat dan kedudukan kanak-kanak dalam saf solat orang dewasa. Dia melarang dengan  tegas dan keras larangan kanak-kanak berada dalam saf orang dewasa. Banyak yang dikatakan dan antara yang ditegaskan ialah

“Batal pahala semua jemaah (dewasa) pada solat saf itu!” 

“Ah tak habis lagi isu ini!”, kata aku sambil memandangkan tingkap menghala ke surau. Aku terasa bahawa tiba-tiba isu ini dibangkit kerana anak-anak ku telah berada di saf solat -yang pertama. Lalu, aku teringat antara jawapan terbaik pada  persoalan ini dari ustaz terbaik yang aku telah print dan simpan yang sebenarnya ketika itu betul-betul berada di hadapan aku, ketika itu.  Aku pun mencapainya, dan meninggalkan anak-anakku untuk pergi ke surau untuk berdepan dengan tok guru itu (… ceh, ayat gempak aje).

Tuan guru itu masih terus membahaskan isu kanak-kanak itu..

Lalu saya mengangkat tangan mohon bertanya, tuan guru membenarkan:-

S: “Ustaz, apakah maksud kanak-kanak itu?  
J : “ yang belum baligh ..” (seperti diduga)
S: “maknanya tidak kira kanak-kanak itu dah bersunat atau tidak?”
J : “Ya, benar”.
S: Walaupun dia dah sunat, mumayiz dan pandai jaga hal najis?”
J: Ya.
S: Tapi apa sebabnya- kanak-kanak itu dilarang .. walaupun dia dah bersunat?
J: Ulama tetapkan ukurannya baligh. Pendapat palung kuat dalam mazhab Syafie.  

(Saya sebenarnya masih tidak berpuashati apa justifikasi ketetapan baligh itu sebagai syarat… bersama saf orang dewasa. Tetapi… tak tergamak lagi nak bersoal jawab lebih dalam dalam hal itu ngan ustaz)

Saya pun beralih kepada realiti hari ini:-

S: Ustaz, kebetulan saya lambat sikit datang solat tadi, masuk saf dua, seorang bapa muda bawa anak kecil, dia bagi laluan dulu pada saya, rupanya dia solat sebelah saya dan anaknya sebelah dia. Takkan batal pahala jemaah saya kerana anak dia ada dalam saf kami … itu diluar kawalan saya. Bukankan ada firman Allah…  yang bermaksud .. Allah tidak membebankan apa yang diluar kemampuan kita..?

J: Itu takpa.. bukan salah kita.  

Sya rasa memadailah… walaupun terdapat banyak lagi kemusykilan logik daripada larangan itu .

Tanpa bermaksud untuk mencabar tuan guru atau ustaz itu, lalu saya berkata:-

“Maafkan saya ustaz, kerana isu ini pernah dibangkit maka saya telah buat kajian sendiri dan menemui beberapa penulisan tentang isu ini oleh ustaz-ustaz termasuk oleh seorang imam di Masjid di Terengganu.  Kesimpulannnya kesemua membenarkan satu saf untuk orang dewasa dengan kanak-kanak. Bahkan terdapat dalil hadith dan hujah ulama yang berpendapat begini”.  

Saya kemudiannya bangun dan menuju ke tempat ustaz dan bersimpuh disebelah depannya. Saya tunjukkan beberapa bahagian penting daripada artikel itu antaranya:-

1.      Adanya hadith sahih di mana nabi mengimamkan solat jemaah di mana saf pertama makmun terdiri daripada Anas bin Malik dan seorang anak yatim (belum baligh).

2.      Larangan mengalihkan atau memindahkan kanak-kanak yang berada di dalam saf pertama dengan orang dewasa ke saf belakang.

3.      Dan beberapa yang lain.  

Saya juga mengatakan; “Maaf saya ustaz, saya keliru kerana ada pandangan ilmuan berbeza .. kalau boleh ustaz perjelaskan”

Kesimpulan; ustaz mengiyakan hujah dalam artikel itu tetapi masih menegaskan bahawa pandangan terkuat (dikatakan Imam Nawawi, jika tidak silap) dalam mazhab Syafie namun kini syukurlah, sekadar difokus hanya kepada kaedah penyusunan saf pada awal solat jemaah nak didirikan. Jika kanak-kanak dah masuk dalam saf yang kosong, tidak  boleh dihalau kebelakang. Tapi ustaz masih menegaskan kalau dari awal, kanak-kanak perlu diasingkan ke saf lain.

Walaupun saya bersyukur ustaz tidak lagi men’ generalisasi’ larangan itu dan mula fokus kepada susunan awal saf, saya masih tidak dapat bersetuju kerana ustaz tidak mendatang dalil dan hujah yang diharapkan.

Saya nak tahu sangat siapa ulama yang kata batal pahala jemaah solat semua orang dalam saf kerana adanya kanak-kanak (walaupun dan sunat dan suci dari najis dan sudah tahu dan faham solat) dan apa dalil dan hujahnya.  

Sebaliknya artikel yang saya baca begitu lengkap dan meyakinkan, setakat ini. Saya berprinsip jika ada kekuatan hujah yang lebih kuat, saya bersedia tunduk pada kebenaran.     

Saya hadiahkan ustaz artikel tebal itu untuk bacaan ustaz. Saya faham ustaz sebagai tuan guru yang hebat dalam pengajian kitab turath khususnya pada mazhab syafie telah begitu lama bertahan dalam pandangan hukum yang diketahui dan diajarnya. Cuma saya berharap jika atas hujah dan dalil, ternyata pandangan yang lebih kuat pada sunnah ialah yang lain walaupun diluar mazhab, sebagai guru yang tawaduk, tentulah bersedia untuk tunduk kepada kebenaran … iaitu pendapat hukum yang paling menepati sunnah Rasulullah s.a.w.

Minggu berikutnya… dengan kepercayaan bahawa ustaz telah meneliti artikel itu, ustaz masih menekankan pandangan – keterbatalan pahala jemaah saf solat kerana ada kanak-kanak atas alasan bahawa ia adalah pandangan paling rajih dalam mazhab syafie namun saya lihat pada amalan dan realiti , kelihatan ustaz tidaklah  begitu memantau saf kanak-kanak …

Ustaz kemudian ada mengatakan bahawa  … seorang kanak-kanak yang memayiz, tahu solat, baca pun sedap… boleh jadi imam solat jemaah.  

Saya terkesima …

Kerana apa? Kalau berada dalam saf solat, membatalkan pahala jemaah satu saf solat itu, tidak batalkah pahala jemaah semua makmum solat pada semua saf solat … apabila imamnya kanak-kanak ..  bila berada paling depan?  

Fikirkan …..


Muqaddimah

Dewasa ini, masyarakat dimomokkan dengan pegangan batal solat orang dewasa apabila bersentuh kanak-kanak yang belum baligh dan juga mewujudkan saf khusus untuk kanak-kanak. Apa yang dilihat sebahagian besar masjid-masjid diseluruh Malaysia terdapat papan tanda “Saf Kanak-Kanak” yang diletakkan disebelah belakang masjid (saf dewasa).

Timbul persoalan…. Adakah pegangan sedemikian terdapat dalil atau hujah syarak yang menyokong pegangan tersebut. Sejak kecil lagi saya didedahkan dengan pegangan (membatalkan solat apabila tersentuh kanak-kanak yang belum baligh & terdapat saf kanak-kanak)… dan sedia maklum sejak turun-temurun fahaman sedemikian berakar umbi dalam benak pemikiran masyarakat melayu khususnya.

Adakah terdapat hadis-hadis yang sahih dalam menyatakan perkara ini….. atau pandangan ulama-ulama muktabar membicarakan kedua isu ini ??? insyaallah… saya akan mengupas kedua-dua isu ini dari sudut dalil-dalil yang sahih daipada hadis-hadis Nabi
r dan hujah ulama muktabar daripada kitab-kitab muktabar.


ISU PERTAMA :
HUKUM MENYENTUH KANAK-KANAK YANG BELUM BALIGH KETIKA SOLAT BERJEMAAH

Sebelum saya menyatakan apakah hukum sekira orang dewasa tersentuh kanak-kanak yang belum baligh dalam solat membatalkan solat atau tidak, sudi sekiranya kita renungkan beberapa hadis sahih dibawah :

Hadis (1) :

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ، فَأَكَلَ مِنْهُ، ثُمَّ قَالَ: «قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ» قَالَ أَنَسٌ: فَقُمْتُ إِلَى حَصِيرٍ لَنَا، قَدِ اسْوَدَّ مِنْ طُولِ مَا لُبِسَ، فَنَضَحْتُهُ بِمَاءٍ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَصَفَفْتُ وَاليَتِيمَ وَرَاءَهُ، وَالعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya :
Daripada Anas bin Malik r.a katanya, neneknya Mulaikah telah menjemput Nabi
r untuk makan makanan yang disediakannya, lalu Baginda maka sebahagian darinya, kemudian bersabda : “Bangunlah saya akan mengimami solat kamu”. Berkata Anas r.a : “Saya telah menyediakan sebidang tikar hitam yang sudah lama digunakan dan merenjiskan air ke atasnya.” Rasulullah berdiri (untuk bersolat), saya dan anak yatim berada dibelakang baginda dan nenek berada dibelakang saf kami. Kemudian Baginda besolat bersama kami dua rakaat, kemudian baginda berlalu pergi…(HR Bukhari, hadis no. 380. Muslim, hadis no. 266. Abu Dawud, hadis no. 612. At-Tirmizi, hadis no. 234. An-Nasaie, hadis no. 801)

Hadis di atas menerangkan Nabi
r bersolat bersama Anas, anak yatim dan juga neneknya. Apa yang didapati daripada hadis tersebut, anak yatim berdiri dalam saf bersama Anas r.a. Sekira anak yatim tersebut menyentuh Anas membatalkan solat, nescaya Nabi r menyuruh anak yatim tersebut berdiri dalam saf belakang.

Hadis (2) :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: «أَقْبَلْتُ رَاكِبًا عَلَى حِمَارٍ أَتَانٍ، وَأَنَا يَوْمَئِذٍ قَدْ نَاهَزْتُ الِاحْتِلاَمَ، وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بِمِنًى إِلَى غَيْرِ جِدَارٍ، فَمَرَرْتُ بَيْنَ يَدَيْ بَعْضِ الصَّفِّ، وَأَرْسَلْتُ الأَتَانَ تَرْتَعُ، فَدَخَلْتُ فِي الصَّفِّ، فَلَمْ يُنْكَرْ ذَلِكَ عَلَيَّ»

Maksudnya :
Daripada ‘Abdullah bin ‘Abas r.a, katanya, saya tiba (di Mina) dengan menaiki keldai betina dan ketika itu saya belum lagi baligh. Didapati Rasulullah
r sedang bersolat di Mina tanpa ada dinding (di hadapan), lalu saya turun melalui beberapa saf dan melepaskan keldai (untuk memakan rumput). Kemudian saya masuk ke dalam saf. Tidak ada seorang pun yang menegur (perbuatan saya tersebut). (HR Bukhari, hadis no. 76)

Hadis tersebut menjelaskan seorang sahabat Nabi
r iaitu ‘Abdullah bin ‘Abas telah tiba di Mina, didapati Baginda sedang bersolat berjemaah bersama sahabat yang lain. Beliau turun dari keldai lalu melalui antara saf-saf tersebut, kemudian memasuki saf untuk solat bersama. Perbuatan beliau tidak ditegur dan dibantah oleh Nabi dan juga para sahabat yang lain. Sedangkan beliau ketika itu masih belum baligh. Sekira sentuhan kanak-kanak yang belum baligh boleh membatalkan solat, nescaya beliau akan terus ditegur oleh Nabi dan para sahabat yang lain.


Hadis (3) :
عَنْ عَمْرِو بْنِ سُلَيْمٍ الزُّرَقِيِّ، أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا قَتَادَةَ، يَقُولُ: «بَيْنَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ جُلُوسٌ، خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحْمِلُ أُمَامَةَ بِنْتَ أَبِي الْعَاصِ بْنِ الرَّبِيعِ، وَأُمُّهَا زَيْنَبُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهِيَ صَبِيَّةٌ يَحْمِلُهَا عَلَى عَاتِقِهِ، فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهِيَ عَلَى عَاتِقِهِ، يَضَعُهَا إِذَا رَكَعَ، وَيُعِيدُهَا إِذَا قَامَ، حَتَّى قَضَى صَلَاتَهُ يَفْعَلُ ذَلِكَ بِهَا»

Maksudnya :
Daripada ‘Amru bin Sulaim az-Zuraqiy, sesungguhnya beliau pernah mendengar Abu Qatadah r.a berkata : Ketika kami duduk didalam masjid (menunggu waktu solat), Nabi
r masuk ke dalam masjid sambil mendukung Umamah binti Abi al-As bin ar-Rabi’, emaknya adalah Zainab binti Rasulillah. Dia merupakan kanak-kanak (ketika itu) dan didukung Baginda. Lalu baginda bersolat sambil mendukung (Umamah), meletakkan disebelah (Baginda) ketika rukuk dan mendukung semula apabila berdiri sehingga selesai dari solatnya, itulah yang dilakukan oleh Baginda ketika solat. (HR Abu Dawud, hadis no. 918. An-Nasaie, hadis no. 711)

Hadis di atas menjelaskan ketika solat, Nabi
r mendukung Umamah cucu baginda. Sekira menyentuh kanak-kanak boleh membatalkan solat, nescaya baginda tidak akan mendukung cucunya ketika bersolat.


Hadis (4) :
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ: بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بِأَصْحَابِهِ إِذْ خَلَعَ نَعْلَيْهِ فَوَضَعَهُمَا عَنْ يَسَارِهِ، فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ الْقَوْمُ أَلْقَوْا نِعَالَهُمْ، فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاتَهُ، قَالَ: «مَا حَمَلَكُمْ عَلَى إِلْقَاءِ نِعَالِكُمْ»، قَالُوا: رَأَيْنَاكَ أَلْقَيْتَ نَعْلَيْكَ فَأَلْقَيْنَا نِعَالَنَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " إِنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَانِي فَأَخْبَرَنِي أَنَّ فِيهِمَا قَذَرًا - أَوْ قَالَ: أَذًى - " وَقَالَ: " إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ: فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا "،

Maksudnya :
Daripada Abu Said al-Khudriy katanya : ketika Rasulullah
r bersolat bersama para sahabat, baginda menanggalkan selipar, lalu diletakkan disebelah kiri baginda. (Perbuatan Baginda tersebut) dilihat oleh para sahabat, lalu ditanggalkan juga selipar mereka (dan diletakkan disebelah). Apabila selesai baginda bersolat, baginda bersabda : Kenapa kamu semua menanggalkan selipar kamu? Jawab mereka : Kami melihat kamu menanggalkan selipar, lalu kami juga menggalkan selipar. Rasulullah r bersabda : Sesungguh Malaikat Jibrail telah datang memberitahu saya, terdapat najis pada kedua selipar. Sabda Baginda lagi : Apabila salah seorang daripada kamu dating ke masjid hendaklah melihat (kedua belah selipar) sekira terdapat najis atau kotoran, hendaklah disapukan (terlebih dahulu) kemudian bersolat dengan memakai kedua belah selipar (tadi). (HR Abu Dawud, hadis no. 650)

Hadis di atas menjelaskan Nabi
r sedang bersolat dan ketika itu baginda memakai selipar. Didapati pada selipar baginda terdapat najis. Setelah diberitahu oleh Malaikat Jibrail, terus baginda menanggalkan selipar tersebut dan diletakkan di sebelah kiri baginda, kemudian meneruskan solat sehingga selesai. Sekira perbuatan tersebut (memakai selipar yang terdapat najis) boleh membatalkan solat, nescaya baginda akan bersolat semula, kerana solat yang ditunaikan tersebut terbatal, tetapi baginda terus menunaikan solat sehingga selesai.

Kesimpulannya, setelah dilihat dan diteliti daripada hadis-hadis di atas, apa yang dapat disimpulkan disini ialah :

a) Kesemua hadis di atas menjelaskan Nabi bersolat dan dalam masa yang sama terdapat kanak-kanak yang belum baligh turut sama bersolat bersama Nabi dan para sahabat.

b) Ketika solat berjemaah sudah tentu berlaku sentuhan antara orang dewasa dan juga kanak-kanak. Sekira menyentuh kanak-kanak boleh membatalkan solat, sudah tentu akan dinyatakan oleh Nabi
r dalam hadis-hadis baginda, ini kerana perkara yang berkaitan ibadat solat merupakan perkara yang penting sekali, sudah tentu perkara yang penting ini mesti diberitahu terlebih dahulu oleh baginda.

c) Tidak terdapat hadis-hadis yang sahih menyatakan batal solat sekira bersentuhan kanak-kanak yang belum baligh dengan orang dewasa.


Pandangan ulama muktabar dalam isu ini :

Imam An-Nawawi telah menegaskan di dalam Rawdah at-Talobin dengan katanya : "Sekiranya (seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci (pada jasadnya seperti kanak-kanak) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka TIDAK BATAL SOLATNYA" . [Rujuk Rawdah at-Tolibin, 1/274].

Alasan ia tidak membatalkan adalah kerana:-

a. Sentuhan itu tidak secara langsung dengan najis yang di tanggungi. Jika secara langsung terbatal solat seseorang itu tapi tidak wuduknya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih, dan tidak perlu memperbahurui wuduknya.

b. Bersentuh secara tidak langsung dengan kanak-kanak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau dirinya menyentuh pakaian kita, adalah tiada membawa sebarang masalah kerana mereka bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali, ia hanya menanggung najis sahaja.

Maka jika anak kecil yang menanggung najis duduk di riba kita dan dielak dengan segera, ia tidak membatalkan solat. [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, Bab: Perkara yang Membatalkan Solat. 1/169] [Lihat: Uzar, Mutiara Akidah dan Ibadat ms 175-176]


Pandangan ulama’ semasa:

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam al-Fiqh al-Islami [1/576] yang merujuk kepada kitab al-Muhazzab dan al-Majmu' karangan Imam An-Nawawi menyebut: “Tiada perselisihan di dalam mazhab Syafie dan Hanafi bahawa tidak memudaratkan (membatalkan solat) membawa kanak-kanak yang tidak zahir padanya najis, maka sekiranya dia membawa haiwan yang suci dalam solatnya maka sah solatnya kerana Nabi saw membawa Umamah binti Abu al-'As di dalam solatnya. Kerana najis yang ada pada haiwan itu adalah pada tempatnya (tidak merebak keluar) dan ianya samalah dengan najis yang berada di dalam perut orang yang solat”.

Mafhum daripada kenyataan ini, tidak batal solat sekiranya kita tersentuh dengan kanak-kanak yang belum berkhitan atau memakai lampin itu kecuali zahir pada pakaian/tubuh badannnya najis.


ISU KEDUA :
SAF KANAK-KANAK DALAM SOLAT BERJEMAAH

Dalam masyarakat melayu kini berpegang dengan wujudnya saf bagi kanak-kanak yang belum baligh dalam solat berjemaah. Di masjid-masjid kelihatan papan tanda “Saf Kanak-Kanak” di belakang saf dewasa. Adakah wujud saf kanak-kanak ini di zaman Nabi
r atau di zaman para sahabat atau tabi’in….? inilah yang perlu kita kaji semula pegangan turun temurun masyarakat kita berdasarkan dalil-dalih sahih dan pandangan ulama muktabar.

Terdapat beberapa hadis yang membicarakan mengenai kanak-kanak dalam solat berjemaah bersama orang dewasa, antaranya ialah :

Hadis (1) :
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ، فَأَكَلَ مِنْهُ، ثُمَّ قَالَ: «قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ» قَالَ أَنَسٌ: فَقُمْتُ إِلَى حَصِيرٍ لَنَا، قَدِ اسْوَدَّ مِنْ طُولِ مَا لُبِسَ، فَنَضَحْتُهُ بِمَاءٍ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَصَفَفْتُ وَاليَتِيمَ وَرَاءَهُ، وَالعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya :
Daripada Anas bin Malik r.a katanya, neneknya Mulaikah telah menjemput Nabi
r untuk makan makanan yang disediakannya, lalu Baginda maka sebahagian darinya, kemudian bersabda : “Bangunlah saya akan mengimami solat kamu”. Berkata Anas r.a : “Saya telah menyediakan sebidang tikar hitam yang sudah lama digunakan dan merenjiskan air ke atasnya.” Rasulullah berdiri (untuk bersolat), saya dan anak yatim berada dibelakang baginda dan nenek berada dibelakang saf kami. Kemudian Baginda besolat bersama kami dua rakaat, kemudian baginda berlalu pergi…(HR Bukhari, hadis no. 380. Muslim, hadis no. 266. Abu Dawud, hadis no. 612. At-Tirmizi, hadis no. 234. An-Nasaie, hadis no. 801)

Hadis di atas menjelaskan Nabi
r bersolat berjemaah bersama Anas r.a, anak yatim dan Mulaikah (nenek kepada anak yatim). Anak yatim tersebut berada dalam saf bersama Anas r.a di sebelah dan neneknya dibelakang. Sekira wujud saf kanak-kanak, sudah tentu baginda akan menyuruh anak yatim tersebut berdiri dalam saf belakang Anas r.a.

“Abu Isa (al-Tirmizi) berkata: Hadis Anas adalah sahih. Amalan mengikut hadis ini di sisi ahli ilmu iaitu apabila bersama imam itu ada seorang lelaki dan perempuan, maka lelaki itu hendaklah berdiri di sebelah kanan imam dan perempuan itu di belakang mereka berdua. Sesetengah orang mengharuskan sembahyang seorang lelaki berseorangan di belakang saf. Mereka berkata, sembahyang kanak-kanak itu tidak dikira dan Anas berseorangan di belakang Rasulullah s.a.w. Pendapat ini tidaklah tepat kerana kerana Rasulullah s.a.w. menempatkan Anas bersama anak yatim di belakang baginda. Andai kata baginda tidak mengira sembahyang anak yatim itu tentu baginda tidak menempatkannya bersamanya (Anas) dan tidak juga menempatkannya di kanannya (Anas).”

Daripada komentar al-Tirmizi itu dapat difahami bahawa sembahyang kanak-kanak tetap dikira sah dan sewajarnya dia diletakkan bersama saf orang lain. Kalaulah sembahyangnya tidak dikira sah disebabkan tidak diketahui dia menjaga kebersihan diri dan pakaian tentu sekali al-Tirmizi menganggap sebaliknya.

Dalam mensyarahkan hadis ini, Abdul Rahman al-Mubarakpuri menyimpulkan bahawa kanak-kanak diletakkan dalam satu saf bersama orang lain. (Tuhfah al-Ahwazi, jil. 1, hal. 494)

Hadis (2) :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: «أَقْبَلْتُ رَاكِبًا عَلَى حِمَارٍ أَتَانٍ، وَأَنَا يَوْمَئِذٍ قَدْ نَاهَزْتُ الِاحْتِلاَمَ، وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بِمِنًى إِلَى غَيْرِ جِدَارٍ، فَمَرَرْتُ بَيْنَ يَدَيْ بَعْضِ الصَّفِّ، وَأَرْسَلْتُ الأَتَانَ تَرْتَعُ، فَدَخَلْتُ فِي الصَّفِّ، فَلَمْ يُنْكَرْ ذَلِكَ عَلَيَّ»

Maksudnya :
Daripada ‘Abdullah bin ‘Abas r.a, katanya, saya tiba (di Mina) dengan menaiki keldai betina dan ketika itu saya belum lagi baligh. Didapati Rasulullah
r sedang bersolat di Mina tanpa ada dinding (di hadapan), lalu saya turun melalui beberapa saf dan melepaskan keldai (untuk memakan rumput). Kemudian saya masuk ke dalam saf. Tidak ada seorang pun yang menegur (perbuatan saya tersebut). (HR Bukhari, hadis no. 76)

Hadis di atas menjelaskan perbuatan ‘Abdullah bin ‘Abas melalui beberapa saf, kemudian masuk dalam saf bersama orang dewasa. Sekira wujud saf kanak-kanak, sudah tentu beliau ditegur oleh sahabat yang lain kerana berada dalam saf orang dewasa.

Walaubagaimanapun, dalam keadan ramai makmun atau jemaah yang besar, kanak-kanak tidak dibenarkan berada secara langsung di belakang imam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abi Mas’ud r.a :
قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ مَنَاكِبَنَا فِي الصَّلَاةِ، وَيَقُولُ: «اسْتَوُوا، وَلَا تَخْتَلِفُوا، فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ، لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ» قَالَ أَبُو مَسْعُودٍ: «فَأَنْتُمُ الْيَوْمَ أَشَدُّ اخْتِلَافًا».

“Luruskanlah dan janganlah kamu saling bertelingkahan lalu dengan itu hati-hati kamu tidak bersatu, hendaklah orang-orang yang cerdik pandai mengiringiku, kemudian yang mengikuti mereka dan yang mengikuti mereka.”(HR Muslim, hadis no. 122. An-Nasa’ie, hadis no. 812)

Sudah tiba masanya masyarakat untuk berubah dan kembali kepada petunjuk hadis terutama sekali pihak pengurusan masjid. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini, gangguan yang berlaku di masjid pada ketika sembahyang Jumaat. Kanak-kanak yang berada sesama mereka mengambil kesempatan untuk berbual-bual sehingga menyebabkan suasana khutbah Jumaat hingar-bingar. Apa yang menyedihkan lagi dan membimbangkan ialah dalam suasana yang tidak terkawal itu ada yang tidak bersembahyang langsung.

Kesimpulannya, dengan meletakkan kanak-kanak di dalam saf iaitu bapa berada bersama-bersama dengannya anaknya, maka anak berada di bawah jagaannya dan keadaan akan terkawal. Selain itu, secara tidak langsung akan mendidik anak-anak cara-cara hidup bermasyarakat kerana dapat berinteraksi dengan semua lapisan umur.

Pandangan ulama muktabar dalam isu ini :

Imam an-Nawawi berkata :
إذا حضر إمام ومامومان تقدم الامام واصطفا خلفه، سوا كانا رجلين أو صبيين أو رجلا وصبيا: هذا مذهبنا ومذهب العلماء كافة. وإذا حضر كثيرون من الرجال والصبيان، يقدم الرجال ثم الصبيان، هذا هو المذهب وبه قطع الجمهور، وفيه وجه حكاه الشيخ أبو حامد والبندنيجي والقاضي أبو الطيب وصاحبا المستظهرى والبيان وغيرهم: أنه يستحب أن يقف بين كل رجلين صبي ليتعلموا منهم أفعال الصلاة.

Maksudnya :
“Apabila Imam dan dua orang makmun hadir bersolat, didahulukan Imam, kemudian makmum berada di saf belakang sama ada dua orang lelaki atau dua orang kanak-kanak atau seorang lelaki dan seorang kanak-kanak dalam satu saf : ini merupakan mazhab kami (Syafie) dan mazhab ulama umumnya. Apabila Jemaah dating dalam jumlah yang ramai yang terdiri daripada lelaki dan kanak-kanak, didahului lelaki kemudian kanak-kanak. Inilah pendapat mazhab (asy-Syafie) dan juga diputuskan oleh jumhur ulama. Ia juga merupakan pandangan Syeikh Abu Hamid (Imam al-Ghazali), al-Bandinijiy, al-Qadhiy Abu al-Tayyib, penulis kitab al-Mustazhariy dan al-Bayan (al-Imraniy) dan lain-lain lagi seraya berkata : “Sunat meletakkan di antara kedua jemah lelaki seorang kanak-kanak untuk mengajar mereka (kanak-kanak) perbuatan solat.” (an-Nawawiy, Kitab al-Majmu’ 4/291-293)

Menurut Khatib asy-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj :
وَمَحَلُّ مَا ذَكَرَ مَا إذَا حَضَرَ الْجَمِيعُ دُفْعَةً وَاحِدَةً، فَلَوْ سَبَقَ الصِّبْيَانُ بِالْحُضُورِ لَمْ يُؤَخَّرُوا لِلرِّجَالِ اللاحِقِينَ، كَمَا لَوْ سَبَقُوا إلَى الصَّفِّ الأَوَّلِ؛ فَإِنَّهُمْ أَحَقُّ بِهِ عَلَى الصَّحِيحِ

Maksudnya :
“Perbincangan tentang susunan saf itu adalah apabila jemaah datang serentak, tetapi sekiranya kanak-kanak datang awal, maka jangan diundurkan mereka untuk memberi tempat kepada orang dewasa yang baru datang, seperti itu juga kalau mereka lebih awal berada di saf awal, maka mereka lebih berhak menduduki tempat tersebut, menurut pendapat yang sahih….(Khatib asy-Syarbiniy, Mughni al-Muhtaj 1/492)

Adapun dibelakangkan kanak-kanak daripada orang dewasa seperti yang diperkatakan oleh al-Azraie apabila saf orang dewasa telah penuh, tetapi sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa maka ianya diisi dengan kanak-kanak”.

Jelas daripada apa yang dikatakan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini ini, sekiranya mereka datang awal maka menjadi hak mereka tempat tersebut, demikian juga jika saf orang dewasa terdapat kekosongan maka saf tersebut perlu diisi dengan kanak-kanak. Tidak terdapat di sana saf yang dikhususkan kepada kanak-kanak.

Ada juga diantara pihak masjid yang melaksanakan larangan ini disebabkan terdapatnya riwayat yang melarang membawa kanak-kanak ke masjid. Di dalam Sunan Ibn Majah, kitab masjid dan jemaah, bab apa yang tidak disukai didalam masjid, dikatakan Nabi :saw bersabda
:-
جنبوا مساجدكم صبيانكم ومجانينكم وشراركم وبيعكم وخصوماتكم ورفع أصواتكم وإقامة حدودكم وسل سيوفكم واتخذوا على أبوابها المطاهر وجمروها في الجمع
"Jauhi masjid kamu dari kanak-kanak kamu, orang gila, jual beli kamu, pertengkaran kamu, ketinggian suara kamu, perlaksanaan Hudud dan mempamerkan pedang kamu. Jadikan tempat membasuh dan wudhu' berdekatan dengan pintunya dan mewangikannya pada hari Jumaat" [Riwayat Ibn Maajah #750].

Hadith ini Dhaef menurut Ibn al-Jauzi, Munziri, Haitaimi, Ibn Hajar al-Asqalani dan Busyairi. Syeikh Abdul Haqq al-Ishbeli mengatakan bahawa hadith ini tidak berasas. Maka hadith diatas ini tidak boleh dijadikan dalil melarang kanak-kanak dari pergi ke masjid. Disana terdapat sebuah hadith sahih menjelaskan siapakah yang harus berada dibelakang Imam. Riwayat dari Abdulllah bin Mas'ud ra, Nabi :saw bersabda :-
يَلِني منكم أُولُو الأحْلامِ والنُّهى
"Jadikan dibelakangku mereka yang kalangan kamu yang alim dan matang" [Hadith Riwayat Muslim, #432]

Syeikh Ibn Baaz rh semasa menjelaskan hadith ini mengatakan bahawa ini bermakna orang yang alim dan matang digalakkan datang awal dan melakukan solat dihadapan jemaah-jemaah lain [1]. Hadith ini tidak menunjukkan larangan kepada kanak-kanak untuk duduk dai saf awal. Malah Imam al-Nawawi rh. juga menjelaskan bahawa adalah mustahab bagi seorang kanak-kanak berdiri diantara dua orang dewasa agar dia dapat mempelajari pergerakan solat dari mereka.(sebagaimana yang telah disebut di atas). al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani menjelaskan bahawa Ibn Abbas bersama-sama dengan jemaah bersolat jenazah semasa Nabi saw melakukan Haji Wadaa' sedangkan beliau belum baligh.

Peristiwa diatas ini jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak dilarang berada di saf hadapan.

Bagaimana pula dalam situasi kanak-kanak yang berada di saf hadapan itu dipindahkan kepada saf yang ke belakang? Syeikh Abdul Aziz bin Baaz rh mengatakan bahawa perbuatan ini menyalahi hadith sahih dimana Abdullah bin Umar ra, meriwayatkan bahawa Nabi :saw bersabda :-
لا يقيم الرجل الرجل من مجلسه ثم يجلس فيه

"Tidak boleh seorang lelaki menyuruh seorang lelaki yang lain berdiri dari tempat duduknya, kemudian dia pun duduk (menggantikannya) ditempatnya" [Hadith Sahih Riwayat al-Bukhari, al-Jaami' al-Sahih, no: 6269].

Syiekh bin Baaz rh menegaskan bahawa jika kanak-kanak itu telah duduk disaf dapan, mereka tidak boleh dipindahkan ke saf yang yang belakang, dan makmum tersebut pula menggantikan tempat mereka. Adalah menjadi hak kepada sesiapa saja yang sampai awal untuk duduk disaf yang hadapan.

Syiekh Ibn Utsaimin rh. [4] mengatakan bahawa pandangan mengalihkan kanak-kanak yang telah duduk di saf awal perlu dikaji semula. Beliau berpandangan bahawa kanak-kanak pergi awal ke masjid dan duduk di saf yang awal perlulah dihargai perbuatan mereka. Mereka mempunyai hak untuk duduk dimana-mana ruang yang dibenarkan didalam masjid.

Kedua-dua Syiekh ini menyatakan beberapa implikasi kepada perbuatan mengalihkan kanak-kanak ini, berkemungkinan akan mengakibatkan perkara dibawah ini :-

i. Kanak-kanak akan patah semangat untuk pergi ke masjid.
ii. Kanak-kanak akan membenci orang yang memindahkan mereka. Ibn Utsaimin mengatakan bahawa kanak-kanak ini akan ingat peristiwa yang berlaku keatas mereka.
iii. Perbuatan ini juga akan menjejaskan semangat berlumba-lumba untuk pergi ke masjid.
iv. Ibn Utsaimin menyatakan bahawa jika kanak-kanak yang di tempatkan di bahagian belakang, ada kemungkinan juga mereka akan bermain-main dan membuat bising kerana tiada orang dewasa disebelahnya.

Ada dikalangan ulama' mencadangkan didalam saf yang panjang, yang betul-betul berada dibelakang Imam adalah mereka yang alim dan matang, dan disamping itu, jemaah yang lain termasuklah kanak-kanak boleh berada pada barisan hadapan.

Bapa juga berperanan mendisplinkan anak-anaknya agar mereka tidak bertindak nakal didalam masjid. Kanak-kanak perlu digalakkan bersolat di masjid oleh ibu-bapa mereka. Ia menjadi kewajipan ibu-bapa mengajar anak mereka bersolat, sebagaimana semua diantara kita sudah maklum dengan hadith berikut :-
مروا أولادكم بالصلاة لسبع واضربوهم عليها لعشر وفرقوا بينهم في المضاجع
"Suruhlah anak-anak kamu bersolat apabila umur mereka 7 tahun, dan pukullah mereka apabila mereka berumur 10 tahun, dan pisahkan mereka dari tempat tidur [kamu]" [Riwayat Abu Daud].

Syiekh Saleh al-Fawzan mengatakan bahawa kanak-kanak yang telah masuk umur 7 tahun boleh dibawa ke masjid bagi tujuan latihan, proses pembesaran mereka dan menjelaskan amalan-amalan sunat kepada mereka. Bagi mereka yang bawah 7 tahun, tidak perlu bawa ke masjid melainkan mereka ini jenis yang tidak mengganggu orang sedang bersolat di masjid.

Kesimpulannya, tidak ada larangan bagi kanak-kanak untuk duduk di saf awal. Kanak-kanak yang telah duduk di saf awal, tidak boleh dipindahkan ke saf yang belakang. Bapa hendaklah memastikan anak-anak mereka berdisplin semasa membawa mereka ke masjid. Diharap pihak-pihak surau dan masjid dapat mengambil kira pandangan-pandangan yang membenarkan kanak-kanak dibawah umur ini bersolat di saf-saf yang awal.


RUJUKAN : 1. Sahih Bukhariy 2. Sahih Muslim 3. Sunan at-Tirmiziy 4. Sunan Abu Dawud 5. Sunan Ibn Majah 6. Sunan an-Nasaie 7. Kitab al-Majmu’ oleh Imam an-Nawawiy 8. Kitab Mughni Muhtaj, oleh Khatib asy-Syarbiniy 9. Kitab Rawdah at-Tolibin, oleh Imam an-Nawawiy 10. Majmu’ Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi’ah li Samaahat al-Sheikh Abdul Aziz ibn Baaz, 12/399. 11. Fath al-Bari Jilid 4. Kaheah : Dar al-Hadith, 1998. ms. 244 12. Fatwa Ibn Utsaimin. الصف الأول بين الصبية وكبار السنالعنوان. URL : http://www.islamonline.net/servlet


2 comments:

  1. tuan, rasanya ada perkataan yg tertinggal dalam baris pertama profil tuan

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye, baru saya perasan ... sarjana ye. blog ini upah org buat. nak kena minta org betulkan. terima kasih.

      Delete