Social Icons

Pages

Tuesday, March 4, 2014

Syurga Berlari



Pada satu hari, ketika itu aku sedang menulis untuk buku terbaru. Sebenarnya ia sebuah novel. Sementara tunggu anak-anakku selesai kelas tahfiz mereka, aku melepak di restoran mamak di dalam supermarket. Kalau aku lapar, aku makan roti canai dengan teh halia. Kalau tidak, memadai dengan teh halia. Tak tergamak untuk aku menumpang di meja pelanggan tanpa memberi sedikit ‘bisnes’ kepada mamak restauran ini. Seperti biasa setelah pesanan dibuat, aku membentangkan laptop dan mulai menaip.

Tidak jauh dari meja ku, terdapat seorang bapa dalam lingkungan umur aku bersama seorang anak lelakinya. Bapa itu lebih kurus daripada ku dan tampak lebih tangkas pada pergerakan. Anaknya pula berumur sekitar 5-6 tahun, rasa aku. Dari raut wajah si anak, aku percaya dia menghidap down syndrome.

Sifatnya agresif, sukar duduk diam. Sekali-sekali mengeluarkan suara agak kuat seperti menjerit. Mungkin tidak suka kekangan yang dilakukan bapanya. Pelanggan –pelanggan lain yang kebanyakan melayu dan cina memerhatikan dengan persepsi masing–masing. 

Aku terhayal seketika membayangkan aku mempunyai ‘power’ untuk masuk ke dalam fikiran mereka dan membaca fikiran mereka yang memerhatikan itu. Tentulah pelbagai perkara menarik yang akan diketahui.

Pada mata kasar, aku bersyukur, rat-rata, semua melihat dengan simpati, tiada yang menjuih mulut walaupun hati didalam, tiada siapa yang tahu. Kesedaran awam dalam hal ini mengurang fenomena ketidak selesaaan pada  diri mereka sendiri.

Kesedaran awam berkaitan dengan anak autisme adalah lebih perlu dan penting.  Ini kerana dalam hal anak autisme yang pada wajah dan fizikal mereka tidak dapat dibezakan daripada kanak-kanak normal, menyebabkan lebih mudah menarik persepsi negatif pada fikiran orang awam kepada ibubapa dan anak itu apabila anak itu bersikap keterlaluan daripada anak yang biasa, atau yang kelihatan pada mereka tidak patut dilakukan oleh kanak-kanak biasa yang dapat dikawal ibubapanya.

Kembali pada kisah anak tadi. Pantang lepa, anak itu akan berlari dari bapanya. Dikejar dan ditangkap segera oleh bapanya. Ketika hendak membayar makanan dikaunter juruwang, si bapa mendokong mantap, memegang kuat anaknya dengan sebelah tangan, manakala tangan yang satu lagi untuk melakukan urusan pembayaran.

Anak itu…

Dialah ‘syurga yang berlari….

Dialah anak yang berlari ke ‘syurga’…

Siapa yang menjaga dengan baik, tentulah dia layak untuk terus bersama dengan anak ini di mana sahaja. Apabila anak ini memasuki Syurga, adakah si penjaga dibiarkan diluarnya?

Siapa yang memandang dengan ihsan… tentulah dia memandang dengan pandangan ahli syurga, adakah nanti dia tidak boleh meneruskan pandangan demikian di dalam syurga?

Siapa yang membantu dengan ikhlas… adakah si anak tadi akan melupakan mereka, mungkin bertanyalah dia di dalam Syurga “dimanakah orang-orang baik yang membantu saya, carilah mereka , bawalah mereka, saya ingin bertemu semuanya?”

hisham-ahmad.blogspot.com

No comments:

Post a Comment