Social Icons

Pages

Friday, August 8, 2014

Soalan Kepada Majlis Syura Pas.

Susulan 2 penulisan saya iaitu (1) Keputusan Majlis Syura PAS. Kemusykilan yang janggal (2) Isu Khalid Ibrahim.  Panduan Untuk Rakyat Selangor, PAS dan PKR. 

Maka, jika saya diberi peluang, saya mohon menanyakan soalan kepada Majlis Syura PAS, ahli-ahli dan penyokong yang mempertahankan Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor bahawa:

Adakah Laporan tentang isu integriti Khalid Ibrahim (surat dan penjelasan keputusan (PKR) menggantikan MB Selangor setebal 91 mukasurat) telah dibaca, diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya? (seperti didedahkan oleh Rafizi)

Kalau belum, mungkin wajar dibaca dahulu dengan teliti dan kemudian fikirkan dan putuskan sama penjelasan itu ada merit (adil & patut) yang mewajarkan keputusan PKR untuk menggantikan Khalid Ibrahim (sekalipun jika kita tak bersetuju diganti dengan Wan Azizah) demi kepentingan politik Pakatan Rakyat. 

Oleh kerana laporan itu telah terdedah kepada akses rakyat, maka wajarlah sangat untuk Khalid Ibrahim memberikan jawapan bertulis demi menjawabnya.  

Sekiranya, Majlis Syura PAS telah membaca dan memberi penilaian atas laporan itu, dan memutuskan untuk terus mengekalkan Khalid Ibrahim sebagai MB, maka timbul 2 persoalan serius:-

(1)  Jika terdapat khilaf pada kaedah meletakkan tahap pembuktian pada hukum politik yang membawa kepada keputusan yang dibuat, maka integriti PAS menjadi isu… (fikirkan kesan persoalan ini…)

(2)  Jika Majlis Syura tekad dengan keputusannya adalah benar dan tepat, maka integriti PKR (kepimpinan atasnya) adalah menjadi isu serius…. (fikirkan kesan persoalan ini…)

(3)  Atau, adakah dalam situasi ini PAS boleh dikatakan terpaksa memilih antara 2 mudarat, atau antara 2 maslahah, mengorbankan Khalid atau Pakatan? Fikirkan …… 

Namun jika laporan itu belum dibaca, semoga keputusan itu ditarik dan ditimbang semula. Semoga apa-apa pun percanggahan dalaman PAS, buatlah keputusan terbijak dan terbaik dalam keluasan fiqh berpolitik yang dibenarkan syarak.  

Saya harap semua pihak fokus kepada isu utama dan hujah merit atau fakta pada persoalan integriti … tidak terganggu dengan isu remeh seperti kekecohan pada sidang akhbar, tidak terbuai dan terpesona dengan rayuan dan hujah retorik dan tektik –tektik sampingan yang cuba meraihkan sokongan berdasarkan emosi dan bersabar dengan elemen-elemen sampingan yang memikat hati seperti gambar solat bersama, majlis baca yasin dan sebagainya.   

Isu utama ialah pendedahan dalam laporan PKR itu…. yang jika dibaca dengan teliti, mungkin mereka-mereka yang marah-marah sangat dengan PKR, Rafizi, Khalid Samad,Hanipa dll mungkin akan lebih bertenang dan mahu melihat jawapan pembelaan bertulis terbaik daripada Khalid Ibrahim pula. 

Marilah kita berfikir, menilai secara ulul albab … seperti disaran banyak kali dalam Quran. 

Akhir kata, saya teringin untuk melihat MB dari pemimpin PAS di Selangor. Calon terbaik yang PAS mampu tawarkan kepada PR dan rakyat Selangor samada dari ulama, professional, ulama yang juga seorang professional atau seorang professional yang bersifat atau berstatus ulama.

Wallahu taala alam.
hisham-ahmad.blogspot.com

Thursday, August 7, 2014

Keputusan Majlis Syura PAS. Kemusykilan Janggal!


“Majlis Syura Ulamak PAS telah pun membuat keputusan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah.” (sila lihat transkrip penuh)

Terdapat beberapa Kemusykilan Yang Menimbulkan Sedikit Kejanggalan:

(1)  Adakah sebelum keputusan dibuat, Majlis Syura PAS telah meneliti laporan daripada PKR tentang isu integriti Khalid Ibrahim? Jika mereka tidak berpuashati, adakah mereka memberi peluang agar PKR membuktikan lagi dakwaan tentang isu integriti Khalid? Kemudian memanggil Khalid memberikan pembelaannya? (Proses ini memerlukan penelitian dokumen dan hujah dan perlu dibantu ahli dalam bidang undang-undang).

(2)  Jika (1) di atas telah dilakukan; syukur, tetapi jika Majlis Syura PAS tidak lakukan lagi, ia mungkin dikatakan keputusan tidak tepat, dilihat tidak begitu adil kepada PKR dan kepada diri PAS sendiri, serta  timbul isu daripada sudut keadilan prosedur syarak?   

(3)  Kenapa perlu para (1) dilakukan. PKR adalah parti Khalid Ibrahim dan Khalid Ibrahim tertakluk kepada kepimpinan atasan partinya. Ia sebahagian musabab kepada dia mendapat jawatan MB. (2) Jika PKR tidak mahu Khalid atas isu integriti , maka jika munasabah dakwaan isu integriti, maka PAS wajar menerima hasrat PKR menurunkan seorang ahlinya daripada jawatan MB. Kalau tidak, apa logiknya Majlis Syura PAS memutuskan PAS akan terus bersama PR atau PKR kerana PAS telah mempertikaikan integriti PKR pula.

(4)  Jika PAS menolak dakwaan PKR tentang isu integriti Khalid Ibrahim pada laporannya bermakna secara logik PAS dianggap tidak percaya kepada PKR dan kepimpinan atasannya dan ini membabitkan isu integriti (termasuk jujur dan amanah)? Kemungkinan timbul anggapan di minda masyarakat daripada keputusan PAS ini bahawa PAS percaya PKR cuba menganiaya Khalid? Apa guna bekerjasama lagi dengan parti yang tidak dipercayai lagi daripada aspek ini? Mana kita boleh bersekongkol dengan pihak zalim yang menganiaya manusia baik dan amanah?    

(5)  Saya juga tertanya apakah maksud kawalan syarak yang dimaksudkan? Saya yakin Majlis Syura PAS sangat arif dalam hal undang-undang syarak …Cuma saya sedikit risau dari sudut penilaian fakta-fakta kes yang perlu dibicarakan ….. yang dengannya diaplikasikan undang-undang syarak lalu dijatuhkan keputusan dan hukuman. Adakah penilaian fakta-fakta kes iaitu isu didalam kes ini telah dilakukan secara adil dan nampak adil mengikut syarak?

(6)  Dalam prinsip undang-undang, maka seseorang tidak didapati bersalah sehingga dibuktikan. Tetapi adakah pad syarak, dalam ukuran politik perlu begitu juga..  saya takut tahap yang ditetapkan oleh Majlis Syura iaitu berlaku sabitan mahkamah (kes jenayah) adalah terlalu tinggi dan ia tidak sesuai dalam urusan politik khususnya bagi penggantian seorang MB (bukan untuk memenjarakannya).

(7)  Jika standard bukti begitu dikenakan, maka ditakuti sukar untuk kita menurunkan ahli politik/pemimpin yang dipercayai kuat kotor tetapi sukar didakwa kerana masalah teknikel dan dilindungi sistem yang korup. Saya teringat tentang perdana menteri Ireland yang meletak jawatan atau disingkirkan kerana isu wang yang tidak begitu besar yang tidak dapat dijelaskan sumber dalam satu prosiding semakan (bukan sabitan mahkamah) (Ustaz Hasrizal lebih arif dalam kes Ireland ini). Dalam politik, imej bersih adalah penting. Tidakkah begitu juga ia dalam syarak?  

(8)  Kini, ia seperti sama ada isu integriti Khalid Ibrahim atau isu integriti (kepimpinan) PKR? Jika terima Khalid …tentu tolak PKR, Jika terima PKR tentulah tolak Khalid. Jika  Majlis Syura menerima Khalid … ini bermakna mereka menolak ‘kebijaksanaan’ dan “kebolehpercayaan’ kepimpinan atasan PKR … lalu bagaimana PAS berkata mereka akan terus setia dalam Pakatan Rakyat?

(9)  Kita sebenarnya harus fokus kepada merit aduan -  2 atau lebih isu substantif dalam dakwaan integriti Khalid … iaitu (1) isu penyelesaian luar mahkamah (BIMB) itu dan (2) isu Kidex atau apa jua isu lain yang penting. Saya tiada fakta untuk bicarakan isu ini. Tetapi isu-isu ini tentang persoalan-persoalan yang dibangkitkan berkaitan dengannya adalah penting dalam membuktikan seorang ahli politik dan pemimpin itu masih dapat dipercayai oleh parti dan ahli-ahli partinya bahawa dia bukan dalam ‘gengaman musuh’.

(10)                Tentulah penganalisaan adil perlu diberikan supaya kita tidak mahu ‘seorang yang dikawal musuh’ dibenarkan jadi pentadbir kuasa tertinggi  tetapi kita tidak mahu seorang yang ‘bagus dan bersih’ merajuk, meninggalkan kita atau ditolak kerana sikap tamak atau dengki pemimpin atasan yang lain. Ukuran kepada Khalid perlu adil tetapi standard penilaian pengadilan tidaklah setinggi pendakwaan jenayah.

(11)                PAS harus adil, bijak dan tepat dalam isu ini kerana (1) PKR bersungguh untuk menurunkan Khalid Ibrahim hingga sanggup menggadaikan nasib partinya yang sedang bermasalah (dan PAS) bagi satu pembubaran DUN yang meletakkan risiko kalah kepadanya juga kepada PR dan (2) Khalid Ibrahim bersungguh menunjukkan dirinya bersih dengan memfailkan kes sendiri di SPRM. (3) setakat mana pula UMNO telah melakukan ‘sesuatu’ dalam situasi ini.
(12)                Saya melihat dalam segala macam komen-komen daripada rakyat yang saya tidak tahu adakah daripada ahli atau penyokong PAS atau penyokong BN, bantahan dan kutukan melimpahi kepimpinan atasan PKR. Golongan ‘profesional PAS’ atau sekutunya yang diketahui turut dibelasah sama. (Golongan PAS yg  dilihat sebagai mati-mati tidak mahu bersama UMNO). Kasihan juga kepada Hanipa Maidin ...kerana apa yang dikatakan tentang  Presiden adalah benar dan tidak salah! Tetapi hanya isu ‘adab’ kepada pemimpin? Jadi, adili dia dalam isu ‘adab’ sahaja… sama  ada dia benar-benar bersalah pada ‘isu adab’ atau ‘akhlak berjemaah’ …dan imbangi pula ‘kepentingan kata-katanya dan keadaannya ketika itu’ dan selidiki pula hak dan had kuasa seorang Presiden dan jawatankuasa PAS Pusat’ dalam isu ini. Adakah berlaku kesalahan pada mana-mana pihak? Sebelum kita mengunapakai dalil ketaatan .. perlu juga kita imbangi tafsiran dan definisi pemimpin dan ketua  pada masa sekarang .. yang terikat dengan undang-undang atau peraturan organisasi. Tiada ketua dan pemimpin sekarang yang benar-benar ketua dalam maksud yang penuh dan luas. Ada PM dengan bidangkuasanya, ada MB dengan bidangkuasanya, ada Sultan dan Agong dengan bidangkuasanya… begitulah.

(13)                Manakala golongan ulama dan penyokong-penyokongnya seperti mendapat sokongan padu dari kebanyakan ahli PAS dan golongan marhain walaupun kita tidak tahu berapa ramai di antara  mereka adalah dari parti yang dimusuhi. Saya juga suka berada di kem pihak ulama tetapi saya tidak mahu kita duduk dibelakang mereka kerana hanya yakin pada istikharah mereka sedang hukum akal dan ilmu kita merasa ‘something is wrong’ dengan keputusan mereka? Iaitu pada penilaian fakta yang mendasari keputusan mereka. Ia patut seiringan.

(14)                Saya berharap dalam kita tidak mahu menganiaya seorang individu, jangan pula kerana ketidak bijaksanaan kita berpolitik, matlamat utama yang besar yang sekian lama kita usahakan menjadi terkubur lebur. Lalu kita kata kita tidak mahu melanggar syarak ? Adalah kita telah mengambil sepenuhnya ruang keluasan syarak dalam soal politik ini?

(15)                Saya percaya sebahagian ahli PAS termasuk dari golongan ulama mungkin merasa sukar untuk terus bersama PR. Justeru, jika PR dan PKR tidak lagi sesuai untuk PAS, maka bukalah ruang untuk perbincangan semula dengan UMNO…. Jika itu lebih baik untuk agama Islam.. dan penyebarannya di bumi Malaysia khususnya dikalangan bukan Islam dan peningkatan penghayatan dikalangan muslim baka. Tetapi beri dulu kumpulan ‘erdogan’ memberikan hujah-hujah bantahannya.

(16)                Saya doakan PAS melepasi cabaran ini dengan cara terbaik… dan Islam terus mekar harum di bumi bertuah ini. (Sila lihat penulisan saya sebelum ini … Isu Khalid Ibrahim, Panduan untuk Rakyat Selangor, PAS dan PKR)


Wallahu taala alam.
hisham-ahmad.blogspot.com

Wednesday, August 6, 2014

Isu Khalid Ibrahim. Panduan Untuk Rakyat Selangor, PKR dan PAS



“Khalid dapat MB kerana dia ahli PKR, tentulah dia patut patuh arahan kepimpinan PKR!”  “Tapi dia takkan ada di situ kalau PAS tak restu!”  “Dia MB untuk rakyat Selangor, Rakyat Selangor yang patut tentukan!” Memang tidak habislah kalau berhujah begini.. macam kes ‘ayam telur… telur ayam’.
    
Saya lihat facebook ustaz kawan saya berapi-rapi marahkan PKR, marahkan usaha ‘menurunkan’ Khalid Ibrahim dari jawatan MB Selangor. Saya juga dapati setiap artikel, posting yang menunjukkan sokongan untuk menurunkan MB itu di mana–mana laman web, pasti ada komen-komen daripada mereka yang membantah usaha itu. Tidak tahu sama ada sekian ramai pengkomen itu adalah penyokong PR atau dari penyokong-penyokong BN. Itulah realiti alam internet, yang nampak banyak itu belum tentu betul, yang betul itu belum tentu banyak dinampak.

Apapun ustaz rakan saya itu adalah penyokong PAS dan begitu juga sebahagian ramai mereka dari ahli dan penyokong PAS yang membantah usaha menurunkan MB itu. Mereka marah betul dengan PKR khususnya.. Anwar Ibrahim dan gengnya. Marah yang tidak lagi ‘marah sayang’ tapi ‘marah bengang dan geram.’ 

Mereka ini sama ada berpendapat Khalid Ibrahim adalah masih layak kekal di kerusi MB atau kerana menyokong pendapat Presiden PAS atau kedua-duanya sekali, atau atas sebab lain. Lalu sebahagian mereka menghentam PKR, Anwar Ibrahim dan golongan dikenali dalam PAS seperti Khalid Samad, Hanipa Maidin dll. Dalil-dalil ketaatan kepada kepimpinan seperti pernah menjadi hujah golongan ulama  muda UMNO turut diketengahkan yang tidak dibahaskan di sini.

Persoalan wajar atau tidak Khalid diturunkan, digantikan, siapa penggantinya; telah banyak pendapat mengenainya tetapi saya tertanya sama ada RAKYAT  telah membuat penilaian secara mudah tetapi adil dan PKR dan PAS telah membantu ke arah itu. Maka marilah kita buat sedikit analisa ringan dan mudah iaitu:-

(1)    Adakah Khalid Ibrahim lebih baik daripada kesemua MB Selangor sebelumnya? Tentulah pada realitinya susah dibuktikan tanpa ‘sufficient facts and figures’ untuk perbandingan tetapi majoriti rakyat mungkin percaya begitu pada realiti berdasarkan beberapa bukti yang dibenarkan dilihat oleh rakyat. (Antaranya Khir Toyo yang didapati bersalah & pengakuan Muhammad Taib yang memuji Khalid Ibrahim sebagai lebih baik daripada kesemua MB, jika saya tidak silap). Namun pada persepsi rakyat, Yes; Khalid Ibrahim dipercayai sebagai lebih baik daripada kesemua MB yang lalu.  

(2)    Apa baiknya yang telah dilakukan oleh Khalid Ibrahim selama dia mentadbir? Ini adalah soalan penting yang boleh dan mesti diberi jawapan secara fakta. Maka berikanlah.

(a) Jangan kita kata-dia bagus, bagus tapi bila ditanya apa bagusnya, terkial-kial nak dijawab. Saya ada beberapa kali bertanya kepada beberapa orang yang tinggal di Selangor bahawa selain daripada air percuma pada had tertentu apa lagi yang bagus, … mereka tidak terjawab. Ada yang kata biasa sahaja. Apa yang jelas isu air makin serabut semasa era Khalid Ibrahim walaupun kita tidak wajar salahkah dia jika terbukti ianya akibat sabotaj atau kezaliman suatu perjanjian oleh pihak pentadbir lalu? Saya juga teringat tentang gaji exco dinaikkan tinggi tapi tidak tahu jika pendapatan rakyat turut naik?

(b) Adakah perkara-perkara bagusnya (jika telah disenaraikan) itu kerana kelebihan dirinya atau sokongan daripada pihak-pihak lain seperti ahli partinya, exco-exconya?

(c) kalau bagusnya kerana tiada kes-kes pecah amanah, rasuah dll … ya benar, itu satu elemen penting namun ia tidak menghalang untuk orang amanah lain mengambil alih jawatannya. (Perlu juga difaham, lebih baik bukan beerti dah cukup baik. Kalau orang-orang yang dibandingkan sebelum ini teruk, maka orang yang kemudian yang sederhana ok, tentulah dilihat lebih baik daripada dulu).

(d) oleh itu, rakyat mesti dikemukakan senarai item (kerja, idea, projek, pembaharuan dll) hasil kebagusan Khalid Ibrahim  sepanjang tempoh pentadbirannya khususnya yang memberi manfaat kepada rakyat … dan bolehlah penganalisa bijakpandai menilai adalah senarai item kebagusan itu benar-benar bagus dari hasil pengalaman seorang genius businessman yang amanah atau sekadar biasa-biasa sahaja, atau tak jauh beza dengan pemerintahan dulukala dan adakah kerana ia dari polisi Pakatan Rakyat sendiri. Saya akui bahawa apabila saya singgah di masjid dan surau di Selangor, (walaupun cara JAIS tidak saya gemari seperti kes tangkapan DR Asri) saya masih kagum dan teruja dengan kebebasan ceramah dan kuliah …  tapi pujian ini mungkin lebih diberikan kepada PAS.  Justeru, bolehlah rakyat menilai semula adakah sayang mereka kepada Khalid kerana ‘kelebihan kasih sayang Khalid kepada mereka’ bukan kerana kesan  ‘keserikan, trauma atau phobia’ semasa dibawah pemerintah-pemerintah dahulu?

(3)    Adakah Khalid Ibrahim sudah cukup baik hingga tiada orang selayak atau lebih layak daripadanya?  Khalid adalah satu wakil Pakatan Rakyat dari PKR yang pertama dan dalam tempoh singkat dia telah di yakini pada persepsi dan dipercayai pada realiti sebagai lebih baik daripada kesemua MB yang terdahulu daripada parti apa tu?  Ini rekod yang baik! Tapi kalau sekadar kerana tiada rasuah, tak pecah amanah sedangkan pembaharuan dan kebaikan yang di bawa di Selangor tidak sehebat mana, maka tidaklah wajar untuk kita kata tiada orang yang layak menggantikannya.

Khalid Ibrahim adalah baru satu wakil daripada PR. Tiada sebab tidak boleh ditukar  yang lain. Ikhlas; kalau kita fokus pada PKR sahaja,  saya juga tidak begitu yakin siapa yang layak ambil alih jawatan MB… saya yakin Anwar layak tapi banyak pula ‘sangkak’ yang menghalang; tapi kalau sekadar nak bijak dan amanah, ramai dari bijak pandai PAS yang dilihat setanding Khalid Ibrahim seperti Dr. Zulkifli, Khalid Samad dll (Ini kalau tak nak ulama atau  tok guru  beserban lah). Jadi mengapa harus difokuskan kepada PKR!   

(4)    Bagaimana jika PKR ada sebab munasabah dalam soal integriti Khalid? Ini isu besar. (a) Tak kisah lah kalau banyak pandangan berunsur ragu dan sinis.. seperti kenapa tak dulu kenapa baru sekarang. Ya mungkin ada kesangsian pada motif. Tapi rakyat perlu berlaku adil kepada substantif atau merit aduan dan pertikaian tentang integriti Khalid Ibrahim

(b) maka wajib atas PKR membuktikan ketahap munasabah dengan pendetailan bagi meyakinkan rakyat bahawa terdapat keraguan yang adil pada integrity Khalid mewajarkan ia diganti. Ia bukan standard hukum kes jenayah!. Senarai  secara point demi point dan  berikan hujah dan bukti yang munasabah kemudian Khalid diberikan hak menjawab.

(c) Rakyat diberi akses menilai  (d) penganalisa adil seperti Dr Mazlee, DR Azri boleh membantu rakyat memberikan jawapan. (dengar cerita - laporan telah dihantar kepada PAS dan DAP)

(e) kalau PKR tidak memberi hujah atau gagal memberikan hujah dalam meyakinkan… maka PAS boleh menolak. Jika ada sebab kuat, PAS wajar menerima tetapi boleh mendesak kepada calon yang mereka yakini seperti daripada orang PAS sendiri- tak kisahlah kalaupun dari grup Erdogan.. .

(f) jika berlaku natijah yang lain kerana kelemahan PKR dan kecelaruan PAS, seperti berlaku pembubaran tanpa sebab yang adil pada pandangan rakyat, maka wajarlah PR dihukum! Tiada dosa diberi peluang kepada UMNO dengan kepercayaan bahawa mereka telah bertaubat dan insaf setelah pelbagai peristiwa sedih melanda negara.

Itupun Kalau rakyat ada brani!  … ada brani?

Wallahu taala alam.
hisham-ahmad.blogspot.com

Thursday, July 17, 2014

Sudah Tiba Masa nya.................


[Tulisan ini adalah saya tujukan untuk orang kampung saya  melalui Buletin Ramadan Edisi 2 di mana saya adalah editornya juga selaku S/U Surau. Siapa sudi ..silalah baca. ]

Seorang yang dihormati dikampung ini ada menyuarakan rasa kerisauan tentang masa depan generasi akan datang di Kg Bukit Kechil ini?

Jika saya tidak silap dalam memahami, bahawa keprihatinan beliau merujuk kepada taraf pekerjaan, ekonomi dan sosial kehidupan anak-anak kita pada masa-masa yang akan datang.Ya, saya berkongsi rasa yang sama. Lalu saya ingin meluahkan sedikit rasa hati, buah fikir tapi dengan harapan semua berhati terbuka membacanya kerana ia tulus dari hati saya.Lama dahulu selepas SPM dan dalam cuti-cuti pengajian, saya pernah bekerja sementara di KFC, Parkson, Kilang  Plastik dan Kilang buat zink & proses besi dan lain-lain. Ketika itu, di Sungei Way, Selangor. Tak sabar mahu merasa mempunyai wang sendiri. Walaupun wang gajinya terlalu kecil berbanding tokey kilang, tapi kali pertama dapat gaji, rasa kayanya seperti tokey kilang.

Saya menggunakan sijil SPM semasa mohon kerja di kilang plastik. Saya diterima, kemudian dilatih untuk jadi penyelia bagi memantau 3 bahagian, pembuatan plastik daripada biji-biji kecil, pengukuran dan penghasilan plastik yang pelbagai dan bahagian printing. Ketika itu saya dapati kebanyakan pekerja bangsa saya membuat kerja khusus yang sama sepanjang hari dan diakhir bulan mendapat gaji. Kerja mereka tidak memerlukan kemahiran yg tinggi atau kemahiran mereka terlalu khusus bagi kerja itu menjadikan, pengalaman kerja seperti itu sukar digunakan ditempat lain. Tentulah keadaan ini menyukarkan mereka mendapat gaji lebih tinggi atau peluang kerja lebih baik ditempat lain berasas kemahiran yg sama, yg ada. Ketika itu saya tidak dapat membayangkan untuk kerja sebegitu bagi tempoh lama dengan  gaji yang dinaikkan sedikit demi sedikit setiap tahun.

Fitrah kerja dunia, apabila kita mencari kerja tetapi berbekal SPM atau STPM maka lazimnya kadar gaji ditawarkan tentulah lebih rendah berbanding graduan-graduan universiti. Namun ia tidak bermakna tidak boleh berjaya dan tidak boleh kaya. Peluang masih luas, hanya perlu usaha keras & diizinkan-Nya.

Bagaimanapun. Bagaimanapun, bagi masyarakat melayu khususnya seperti di kampung kita, jalan paling baik dan paling mudah membina kejayaan ialah melalui pendidikan, kejayaan pada pendidikan sebaiknya pada awal pendidikan.  Bermula dari UPSR, UPKK, SIA hinggalah PMR dan seterusnya…SPM.  Peringkat UPSR adalah paling penting maka umur anak-anak selewatnya 7 tahun telah sewajarnya mula dirancang untuk ke arah kejayaan. (Umur lain tidaklah terlambat).

Memang akan ada beberapa anak yang direzekikan untuk mampu belajar sendirian, mampu bangkit sendiri hingga  berjaya dalam pelajaran. Namun kebanyakan anak khususnya yang lelaki akan cenderung dan memilih kepada keseronokan dan hiburan seperti bola, games, bermain, dan lain-lain aktiviti yang akhirnya menyebabkan mereka tidak lagi fokus pada pelajaran lalu ketinggalan, markah mulai merosot,  keputusan no kelas menurun.

Mulanya ketinggalan dan kemerosotan sedikit, tapi biasalah, sikit-sikit lama-lama  jadi bukit. Asalnya masa darjah satu, kelas no satu, periksa no 3 tapi pengaruh kawan, hiburan dan kurang kawalan akhirnya peperiksaan akkhir tahun jatuh no. 30, darjah dua pindah kelas ke 2… begitulah dari satu tahun ke satu tahun, hinggalah akhirnya pada darjah 6, anak ini merasakan bahawa itulah yang layak baginya, setakat cukup makan, cikgu pun dah tak letakkan harapan, ibubapanya pula berkata  dalam hati “itulah tahap yang kau mampu ‘pergi’, esok kau kerjalah apajua.. .”

“Janji halal dan berkat.” Betullah tu!

Kerja dimana pun tidak mengapa. Kerja di kilang adalah baik … tapi kalau kita dapat kerja di dalamnya sebagai jurutera kenapa perlu kerja sebagai operator? Kerja di Tesco dan mydin tidak mengapa, tapi kalau boleh jadi manager kenapa perlu jadi cashier? Tempat yang sama, gaji yang  jauh berbeza. Begitu juga, kan lebih bagus jadi guru, ustaz, doktor, pensyarah iaitu kerja-kerja yang perlukan ijazah.

Apapun status kerja kita sekarang sama ada sebagai ibu,bapa,abang dan kakak… kita mahukan anak-anak/adik-adik dan keturunan kita jauh lebih berjaya daripada kita. Kita perlu perlu bekorban demi generasi masa depan. Macam atuk moyang kita tanam pokok durian masa umur tua, mereka tahu mereka takkan dapat merasai buahnya… jadi untuk siapa, melainkan untuk dinikmati anak cucunya. Alangkah mulia hati mereka!

Begitulah ibubapa dan abang kakak. Mereka perlu berkorban wang, masa dan tenaga mereka. Hobi melepak, mengeteh, main dam  antara yang mungkin perlu dikurangkan, jika tidak ditinggalkan. Abah dan abang yang merokok pastikan anak dan adik yang belum merokok… tidak akan merokok  Ketahuilah, Padahal hakikat sebenarnya semua anak itu sihat dan cerdas pemikirannya. (Hanya satu dua yang dianggap kekurangan kerana telah ditakdirkan). Tapi hukum sunnahtullah … siapa yang berusaha dia akan dapat. Anak-anak yang tidak berusaha … tidak akan dapat. (Berjaya).

Namun saya tidak suka jika anak-anak sekadar berjaya dengan pelajaran tinggi lalu menjawat tinggi tetapi ingkar agama, tak cinta agama seperti suka berhibur dan berpoya-poya, rasuah, riba, minum arak, tamak, tak solat, malas solat dll.  Ada pula kategori pandai dan bergaya tapi fikiran dah menyeleweng dari agama. Fikiran terlalu liberal, terlalu sosial, pesimis atau buruk sangka dengan amalan islam, dianggap kuno dan ketinggalan, tidak suka solat, tidak suka hijab, tidak percaya hudud. .

Ada anak melayu belajar sampai keluar negara,, kemudian kahwin dengan mat salleh. Tak salah apa! Dia kahwin sama jantina.. lelaki dengan lelaki. Baik bulan posa, kalau tidak saya tulis namanya di sini. Ada tu, anak gadis melayu yg sgt pandai otaknya, belajar ke luar negara di usia muda remaja, agaknya dah terlebih pandai kepala otak, terus jadi berkeladak, akhirnya .. di internet menawarkan khidmat seks dengan bayaran. Anggap benda laknat itu satu kebebasan kemanusiaan. Lu orang yang tak terima.. memang manusia kelas purba!. Kalau saya sebut namanya … takut ada yg tersendawa. Malu pulak orang ingat kita tak posa. (Kalau takpercaya nak bukti boleh jumpa saya…)

Jika jadi manusia kategori  di atas ini, lebih baik kita biarkan anak-anak kita susah di kampung ini, kais pagi makan pagi, tapi masih taat perintah illahi.

Sebenarnya, kini, anak-anak kita berpeluang luas untuk cemerlang di dalam akademi dengan pengisian ilmu agama didada. Pastikan mereka cemerlang dalam UPSR dan UPKK atau SIA dan halakan mereka ke sekolah menengah agama berkualiti seperti Imtiyaz, Ulul albab, chenderah, sultan mohammad sebagai antara contoh yang ada akademik dan agama, juga ada hafazan. Kita mahu lahirkan anak-anak jurutera, doktor, pensyarah, banker, businessman, arkitek, pakar senjata, pakar perang, pakar computer dan sebagainya yang hafaz al quran, faham sunnah dan faqih agama. Kelak mereka berjiwa agama yang kuat yang dalam kesibukan masih tetapi mendahulukan bersolat. Gaji berpuluh ribu sebulan tetapi setiap bulan, sebahagian besar diinfaqkan. Begitulah… sebahagian.

Itulah yang negara ini perlukan. Itulah yang agama ini perlukan… maka itulah yang perlu ibubapa Kg Bukit Kecil lakukan iaitu menyediakan generasi muda dan generasi pewaris akan datang untuk mendepani cabaran masa depan yang penuh tohmah dan fitnah. Demi Tuhan yang nyawa-nyawa kita di dalam genggaman-Nya… entah apa jenis virus yang akan menyerang umat Islam…  bahang-bahang fitnah dajjal sudah banyak berlaku sebelum keluar Dajjal sebenar. Fitnah murtad, fitnah fikrah sesat, kekeliruan dalam agama, pembunuhan2, budaya gila hiburan, seks rambang entah apa lagi… Saksikan pula realiti bagaimana umat Islam ditindas di semua bahagian diseluruh dunia seperti di Syria, Myanmar, India, Sri Lanka, Afrika, China, Thailand dll. Juga konflik dalaman di Mesir, Iraq, Afghanistan. Apakah kita yakin negara ini akan selamat selama-lamanya? Kita berjiran dengan singapura yang mempunyai hubungan kuat dengan Israel, Thailand yang menindas umat Islam negaranya, Filipina yang mungkin masih ‘ada hati’ dengan Sabah.

Justeru marilah kita fikirkan dan usahakan bersama untuk mencapai matlamat menghasilkan generasi muda yang hafal quran, faham agama dan cemerlang akademik yang kemudiannya bekerja pada sector penting yg dapat menyumbang kepada kemajuan umat dan meninggikan agama. Ia mungkin mengambil masa 5 tahun, 10 tahun atau mungkin lebih. Tapi langkah pertama mesti bermula sekarang.

Benar, hasilnya mungkin diperolehi selepas kita mati. Tapi bayangkankan orang-orang kg. Bukit Kecil ketika itu adalah majoriti yang mempunyai pelbagai kerja yang berpendapatan tinggi, berjawatan penting pada pelbagai sektor namun berjiwa cinta agama, berdada ilmu agama, berminda faqih agama,  berhati cintakan orang miskin, berakhlak ‘memberi’ dan  sentiasa berdakwah menyebar luas agama Allah.

Pelbagai program yang sering dilakukan di dalam kampung seperti ceramah dan kuliah,  bacaaan yasinan ,kenduri tahlil, berzanji, qasidah, jamuan hari raya, perarakan maulud nabi  hinggalah kepada aktiviti-aktiviti jamuan raya, aktiviti berkompang, pertandingan memancing, futsal, bola dan banyak lagi. Ia adalah program baik-baik dan boleh diteruskan tetapi selain kuliah dan ceramah, program-program itu tidak termasuk dalam senarai kerja-kerja utama orang beriman dalam usaha mencapai tujuan dan matlamat yang dinyatakan. Di atas program-program itu, kita terpaksa, mahu tidak mahu terpaksa melakukan program-program pada senarai utama tugasan yang saya akui susah, penat dan payah. Tetapi itulah hakikat kejayaan.

Ketahuilah .. . Kejayaan itu mempunyai peraturan-peraturannya. Maka penuhilah peraturan-peraturan itu. Itulah fitrah kejayanan menurut sunnahtullah dan syariatullah.   Kita boleh jadi orang baik beriman dengan memenuhi syariatullah tetapi kita perlu memenuhi hukum sunnahtullah (bersama syariatullah) untuk menjadi umat islam cemerlang dunia dan akhirat.  (Contoh mudah, kita perlu kuatkan iman tetapi kita juga perlukan perkasakan kekuatan perang. Lihat Syria).

Tetapi sunnah kejayaan atau peraturan kejayaan menuntut kerja keras. Jalan bersungguh-sungguh, tiada jalan singkat. Jalan mujahadah … seperti dikehendaki Allah.  

Marilah kita memberi sokongan kepada kepimpinan Tuan Sidang kita yang mengharapkan sokongan setiap ibubapa di kampung ini. Tidak termampu untuk beliau lakukan seorang diri. 

Marilah kita melaksanakan program pendidikan yang pelbagai, progresif, kreatif dan inovatif bagi diri kita, keluarga dan keturunan kita supaya berilmu, faqih dan taat. Kita senang didunia dan bahagia diakhirat

Sebagai idea dan cadangan pertama, bagaimana kalau balai raya  di depan surau kita jadikan
sebagai pusat sumber ilmu. Markas operasi pendidikan kita. Tidak kisah lah apa nama diberi, atau perlu dirasmi.

Kita cat kita cantikkan luar dan dalam, kita hiasi bagi seronok mata memandang, kemudian kita lengkap dalaman, kita beli kerusi dan meja belajar, kita beli papan skrin putih yang besar, meja dan kerusi untuk guru, alatan tulis, projector, big screen tv, big screen computer atau apa lat canggih  sahaja yg dapat membantu. Kita beli cd belajar bahasa inggeris dan bahasa arab dll. Kita buka kelas petang, malam dan mingguan..atau mungkin 24 jam seperti 7-11. 

Kita cari sumbangan wang, tenaga. Takkan tiada sukarelewan pada agama… Kita ada orang –orang  muda yang sering solat Jemaah tetntu mereka faham besarnya saham akhirat atas kerja amal - Hazrikh, Fuad, Yusuf, Najib, banyak lagi yang saya kenal rupa tapi lupa atau tak tahu nama.

Mungkin pelan pertama ialah kita dapatlah nama anak anak bakal calon UPSR bagi tahun ini  dan kita buat perancangan bagi yang berumur 7 tahun ke atas.  Kita buat kelas tuisyen, motivasi .. dll.

Mungkin sebagai cadangan kelas pertama, kita buka kelas tahfiz untuk anak kecil dan remaja. 3-5 kali seminggu. Pada waktu-waktu ditentukan. Setiap kita wajar  memasukkan sebanyak ayat Quran di dalam dada.. menghafaz sebanyak yang terdaya.

Sebelum kita mampu membiayai ustaz berkelayakan, saya sudi mengambil tugas dan peranan. Saya tiada pengalaman rasmi hanya melatih 4 anak lelaki sendiri yang telah dan sedang menghafal beberapa surah seperti sajadah, mulk, lokman, insan, waqiah, ar-rahman, juz amma, kahfi, al-baqarah, ali-imran dll.
Saya juga bukanlah seorang hafiz (30 juzuk) tetapi masih berusaha ke arah itu walau mengambil masa seumur usia. Selepas itu bolehlah kita fikirkan dari masa ke semasa apakah pengisian berterusan yang perlu  dipelbagaikan dan diberikan.

Seperi saya tekankan selalu kepada para ibu,  anak-anak dan cucu cucu kita perlu hafal Quran, baca  makna bacaan, baca sebahagian tafsiran dan bertadabur iaitu memahami apa yang dimaksudkan. Untuk mendatangkan cinta dan syok kepada alQuran , mereka mesti merasai hebatnya dan ajaibnya al Quran. Justeru mereka mesti diberi merasai mukjizat Quran. (Saya telah tontonkan bgmana hebatnya mukjizat bahasa pada ayat kursi tempohari!)

Saya pernah bertanya bagaimana kitab Quran yang kita baca itu., adalah kitab yang mengandung ayat-ayat Quran dari Allah bukan dari hasil rekaan manusia, bagaimana ia dikatakan kitab panduan umat manusia, kitab yang  ada semua perkara. Kitab hebat kita mukjizat. Kita yakin dilisan.. dan memaksa keyakinan dihati.. tetapi adakah keyakinan kita mampu dibukti. Buktikan! Jawapannya….  tidak tahu, tidak mampu.

Sekadar ini dulu.. maafkan atas apa yang dikatakan. Tiada niat serong melainkan sekadar mahu memberi pandangan untuk kebaikan. Wasalam.Wallahu alam.
Editor Buletin cum S/u Madrasah

Sunday, June 29, 2014

Ramadan. Isu Menarik & Penting Solat Witir


hujah kan main, solat ada feeling mcm ni di 1/3 malam?
[Sila baca hingga habis sebelum buat ijtihad diri untuk memilih mana yang disukai atau yang kekuatan pandangannya lebih diyakini. ]

Sifat solat witir yang disebut oleh nabi Muhammad s.a.w adalah penutup kepada segala solat sunat pada sesuatu malam, persoalan:-

(1)  sama ada boleh untuk mendirikan solat sunat yang lain selepas solat witir?
(2)  dan adakah boleh ditunaikan witir sekali lagi selepas itu?

Jawapan (1) = Majoriti ulama berpendapat hal tersebut DIBENARKAN berdasarkan hadis sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah  yang menyebut nabi mendirikan solat sunat dua rakaat selepas solat witir dan dibaca dalam solat itu surah Al-Zalzalah dan Al-Kafirun.

Isu Jawapan 1 : Ulama berbeza ijtihad dalam menanggapi hukum mereka yang telah berniat dari awal untuk solat sunat lain selepas witir seperti berikut  :-

(1)  Sesiapa yang solat witir tetapi berniat untuk solat sunat lagi selepas itu, sebahagian ulama Maliki berijtihad ia sebagai makruh. Berdalilkan kepada hadis nabi : Ertinya : Hendaklah kamu jadikan witir sebagai solat terakhir kamu di setiap malam. (Hadith sohih Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

(2)  Seseorang mendirikan solat witir tetapi tiada sebarang niat untuk solat sunat lain selepasnya. Namun atas apa jua sebab, dia mendirikan solat sunat selepas itu. Itu HARUS TANPA SEBARANG MAKRUH. Ulama menyatakan keharusannya namun mereka berbeza pandangan sama ada : (1) Hanya solat dengan rakaat genap tanpa witir sekali lagi (2) dimulakan dengan satu rakaat bagi menggenapkan witir yang telah dilakukan, diikuti solat sunat dua rakaat biasa dan disudahi dengan solat sunat dengan witir (rakaat ganjil) sebagai penutup.
 
Witir Di Awal Dan Dihujung Malam

(1) Pandangan Pertama : Tidak boleh digenapkan witir awal & tiada lagi witir selepas itu. 

Ini merupakan ijtihad majoriti Sahabat Nabi, Tabi'en dan ulama mujtahid termasuk mazhab Syafie. Berdasarkan ijtihad ini, tidak boleh witir digenapkan (orang Melayu namakan sebagai ‘buka' witir). Hanya perlu solat sunat dengan rakaat genap sehingga habis malam TANPA BOLEH MELAKUKAN WITIR SEKALI LAGI. Nabi menyebut Ertinya : Tiada dua solat witir dalam satu malam. ( Riwayat Al-Tirmidzi & Ahmad)

Berdasarkan hadis tersebut, Al-Hafidz Al-Iraqi menyatakan majoriti ulama menolak pandangan yang mengatakan boleh DIGENAPKAN witir atau dibatalkan bagi membuka ruang solat sunat lain dilaksanakan.

Menurut nukilan Ibn Abi Syaibah, antara sahabat nabi yang berpandangan demikian adalah Abu Bakar Al-Siddiq, Ammar B Yasir, Aisyah, Abu Hurairah dan ramai lagi. Manakala dari kalangan ulama besar tabien adalah Sa'id Ibn Musayyab, As-Sya'bi, Ibrahim al-Nakhi'e, Sa'id Ibn Jubair Pandangan itu juga dipegang oleh Sufyan Al-Thawry, Imam Malik, Imam Ahmad, Abu Thawr, Imam Shafi'e dan Qadhi Iyadh dan ramai lagi.[1]

Menurut kumpulan ulama ini, pandangan yang membolehkan menggenapkan witir (buka) dan didirikan sekali lagi di akhir malam adalah lemah, selain alasan kekuatan dalil yang disandarkan, mereka juga mengutarakan pertikaian jika witir dilakukan di awal malam, kemudian tidur dan apabila bangun di hujung malam lalu dilaksanakan sambungannya, itu sudah dikira dua witir yang berasingan disebabkan wudhu yang telah batal dan pemisahan antara keduanya untuk tempoh yang panjang.

Hasilnya, untuk menganggap witir di awal malam dan yang dilaksanakan di hujung malam sebagai SATU WITIR adalah lemah, malah Imam As-Syawkani mengatakan jika dilakukan satu rakaat terlebih dahulu dengan niat untuk menggenapkan rakaat witir yang ganjil sebelum ini, maka ia sudah dikira witir kedua, dan jika ditutup pula solat sunat pada malam itu dengan witir yang lain, tatkala itu witir itu dianggap witir ketiga. Ia jelas melanggar tegahan nabi.

Selain itu dinaqal dari Abu Bakar As-Siddiq, Ammar bin Yasir dan Aisyah yang mengatakan sesiapa yang membatalkan witir ( dengan solat satu rakaat bagi menggenapkannya) adalah orang yang bermain-main dengan solatnya.

(2) Pandangan Kedua : Boleh digenapkan witir awal dan solat semula di akhirnya.

Pandangan dan ijtihad berbeza ini menyebut keharusan untuk neutralize witir awal dengan menggenapkan jumlah rakaat witir yang telah dilakukan iaitu dengan cara menunaikan satu solat dengan rakaat ganjil. Dengan cara itu, seolah witir yang sebelum ini berubah menjadi solat genap, tidak lagi witir.
Mereka berdalilkan athar dari Ibn Umar r.a yang diriwayatkan berkata :-Ertinya : Adapun aku, kiranya aku telah solat witir sebelum aku tidur, kemudian apabila (aku bangun) dan ingin menunaikan solat di malam hari, akan aku mulakan dengan satu rakaat barang yang telah selesai dari witirku sebelum ini ( menambah satu agar digenapkan) kemudian, aku akan solat sunat dua raka'at, dua raka'at, setelah selesai semuanya, akan aku  akhirinya dengan solat witir satu rak'at, itu adalah kerana Rasulullah mengarahkan kami agar menjadikan solat sunat terakhir dalam satu malam, adalah solat witir. ( Riwayat Ahmad)

Mereka juga berpegang kepada dalil athar Uthman Affan r.a :- Ertinya : sesungguhnya aku apabila aku ingin tidur di awal malam, aku dirikan solat witir, dan apabila aku bangkit ( di tengah malam) akan ku gabungkan dengannya (witir sebelum ini) dengan satu rakaat, tidaklah ia kecuali seperti seekor unta ganjil yang bergabung dengan kumpulannya. ( Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmidzi)
Diriwayatkan daripada Ali K.W berkata : Ertinya : Witir itu tiga cara, barangsiapa yang ingin witir di awal malam, maka perbuatlah, sekiranya dia bangun di malamnya , mulakan dengan satu rakaat dan diikuti dua rakaat, dua rakaat sehingga subuh diakhiri witir , maka lakukanlah. ( Kedua) Sesiapa yang ingin solat dua rakaat sehingga subuh (tanpa diawali dengan satu rakaat dan diakhiri dengan witir lagi) , maka lakukanlah. (Ketiga), atau barangsiapa yang ingin terus melewatkan solat witirnya di akhir malam sahaja (tidak solat witir) di awal malam. (Riwayat Imam Syafie dalam musnadnya)

KESIMPULAN

(1)  Jelas hal ini adalah isu khilaf yang diterima, justeru semua pihak diharap tidak memperlekeh mana-mana pandangan yang berbeza. Saya pernah mendapati ada individu yang memperlekehkan tindakan ‘membuka witir' dengan menggenapkannya sebagai lucu. Kini telah disertakan beberapa dalil yang wujud dalam hal tersebut. Walau ia pandangan yang marjuh (kurang kuat), ia tidak wajar sama sekali untuk dilucukan.

(2)  Di bulan Ramadhan yang mana witir biasanya didirikan sebagai penamat kepada solat terawih. Jika kita bangkit bersahur dan punyai masa untuk terus menunaikan solat sunat lain, ia DIHARUSKAN tanpa perlu dimulai dengan satu rakaat witir. Tidak perlu pula ditutupi dengan witir lain selepas itu. Wajar dituruti pandangan majoriti ulama yang MELARANG ditunaikan solat witir sekali lagi di akhir malam. Cukup sekali witir yang telah didirikan di akhir terawih bersama imam berteatan dengan saranan Nabi Muhammad s.a.w. (diringkas dengan sedikit pindaan dari sumber- www.zaharuddin.net (UZAR) Dr. Zaharuddin Abd Rahman).

Pilihan saya : Saya memilih pandangan bahawa  witir hanya dilakukan sekali dan jika dibuat di awal malam maka tidak perlu membuatnya lagi (dengan apa kaedahpun) diakhir malam (sebelum subuh), sekalipun, sejak dari awal saya juga telah merancang untuk membuat solat sunat- solat sunat yang lain diakhir malam.  

Selain bersandar hujah bagi pendapat pertama (yang lebih kuat) di atas, Pilihan saya ini adalah turut mengambilkira saranan Dr Abdul Basit, (berdasarkan terdapatnya satu hadith sahih) bahawa pada malam ramadan, mereka yang bersama dengan imam sehingga selesai (iaitu solat isyak, tarawih dan solat witir) akan mendapat kelebihan seumpama beribadah sepanjang malam hingga ke subuh. (Saya tidak sempat lagi mengesan hadithnya itu dan mengesahkan ketepatan matannya, bantuan diperlukan....).

Memandangkan kebanyakan masjid dan surau termasuk di qariah saya, solat witir 3 rakaat didirikan terus sebaik selesai solat tarawih, maka perlulah saya setia bersama imam hingga selesai solat witir walaupun saya bercadang untuk menunaikan beberapa solat sunat disekitar akhir malam sebelum bersahur.    

Walaupun Dr Abdul Basit mencadangkan agar jemaah berbincang supaya Iman dan makmum menangguhkan solat witir dan kembali ke masjid atau surau pada lewat malam untuk menunaikan solat witir seperti yang telah berjaya dilakukan di masjid/surau tertentu, tapi ia masih belum dapat lagi direalisasikan di qariah saya.

Walaubagaimana sekiranya ada pandangan balas dengan hujah-hujah lain, sila kemukakan kerana kita bersikap terbuka demi mencari pilihan dan cara terbaik dalam mengamalkan sunnah dan menyesuaikannya dengan realiti hari ini yang dibelenggu kekelamkabutan yang menyesakkan nafas.

Wallahu taala alam.

hisham-ahmad.blogspot.com