Social Icons

Pages

Thursday, August 7, 2014

Keputusan Majlis Syura PAS. Kemusykilan Janggal!


“Majlis Syura Ulamak PAS telah pun membuat keputusan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah.” (sila lihat transkrip penuh)

Terdapat beberapa Kemusykilan Yang Menimbulkan Sedikit Kejanggalan:

(1)  Adakah sebelum keputusan dibuat, Majlis Syura PAS telah meneliti laporan daripada PKR tentang isu integriti Khalid Ibrahim? Jika mereka tidak berpuashati, adakah mereka memberi peluang agar PKR membuktikan lagi dakwaan tentang isu integriti Khalid? Kemudian memanggil Khalid memberikan pembelaannya? (Proses ini memerlukan penelitian dokumen dan hujah dan perlu dibantu ahli dalam bidang undang-undang).

(2)  Jika (1) di atas telah dilakukan; syukur, tetapi jika Majlis Syura PAS tidak lakukan lagi, ia mungkin dikatakan keputusan tidak tepat, dilihat tidak begitu adil kepada PKR dan kepada diri PAS sendiri, serta  timbul isu daripada sudut keadilan prosedur syarak?   

(3)  Kenapa perlu para (1) dilakukan. PKR adalah parti Khalid Ibrahim dan Khalid Ibrahim tertakluk kepada kepimpinan atasan partinya. Ia sebahagian musabab kepada dia mendapat jawatan MB. (2) Jika PKR tidak mahu Khalid atas isu integriti , maka jika munasabah dakwaan isu integriti, maka PAS wajar menerima hasrat PKR menurunkan seorang ahlinya daripada jawatan MB. Kalau tidak, apa logiknya Majlis Syura PAS memutuskan PAS akan terus bersama PR atau PKR kerana PAS telah mempertikaikan integriti PKR pula.

(4)  Jika PAS menolak dakwaan PKR tentang isu integriti Khalid Ibrahim pada laporannya bermakna secara logik PAS dianggap tidak percaya kepada PKR dan kepimpinan atasannya dan ini membabitkan isu integriti (termasuk jujur dan amanah)? Kemungkinan timbul anggapan di minda masyarakat daripada keputusan PAS ini bahawa PAS percaya PKR cuba menganiaya Khalid? Apa guna bekerjasama lagi dengan parti yang tidak dipercayai lagi daripada aspek ini? Mana kita boleh bersekongkol dengan pihak zalim yang menganiaya manusia baik dan amanah?    

(5)  Saya juga tertanya apakah maksud kawalan syarak yang dimaksudkan? Saya yakin Majlis Syura PAS sangat arif dalam hal undang-undang syarak …Cuma saya sedikit risau dari sudut penilaian fakta-fakta kes yang perlu dibicarakan ….. yang dengannya diaplikasikan undang-undang syarak lalu dijatuhkan keputusan dan hukuman. Adakah penilaian fakta-fakta kes iaitu isu didalam kes ini telah dilakukan secara adil dan nampak adil mengikut syarak?

(6)  Dalam prinsip undang-undang, maka seseorang tidak didapati bersalah sehingga dibuktikan. Tetapi adakah pad syarak, dalam ukuran politik perlu begitu juga..  saya takut tahap yang ditetapkan oleh Majlis Syura iaitu berlaku sabitan mahkamah (kes jenayah) adalah terlalu tinggi dan ia tidak sesuai dalam urusan politik khususnya bagi penggantian seorang MB (bukan untuk memenjarakannya).

(7)  Jika standard bukti begitu dikenakan, maka ditakuti sukar untuk kita menurunkan ahli politik/pemimpin yang dipercayai kuat kotor tetapi sukar didakwa kerana masalah teknikel dan dilindungi sistem yang korup. Saya teringat tentang perdana menteri Ireland yang meletak jawatan atau disingkirkan kerana isu wang yang tidak begitu besar yang tidak dapat dijelaskan sumber dalam satu prosiding semakan (bukan sabitan mahkamah) (Ustaz Hasrizal lebih arif dalam kes Ireland ini). Dalam politik, imej bersih adalah penting. Tidakkah begitu juga ia dalam syarak?  

(8)  Kini, ia seperti sama ada isu integriti Khalid Ibrahim atau isu integriti (kepimpinan) PKR? Jika terima Khalid …tentu tolak PKR, Jika terima PKR tentulah tolak Khalid. Jika  Majlis Syura menerima Khalid … ini bermakna mereka menolak ‘kebijaksanaan’ dan “kebolehpercayaan’ kepimpinan atasan PKR … lalu bagaimana PAS berkata mereka akan terus setia dalam Pakatan Rakyat?

(9)  Kita sebenarnya harus fokus kepada merit aduan -  2 atau lebih isu substantif dalam dakwaan integriti Khalid … iaitu (1) isu penyelesaian luar mahkamah (BIMB) itu dan (2) isu Kidex atau apa jua isu lain yang penting. Saya tiada fakta untuk bicarakan isu ini. Tetapi isu-isu ini tentang persoalan-persoalan yang dibangkitkan berkaitan dengannya adalah penting dalam membuktikan seorang ahli politik dan pemimpin itu masih dapat dipercayai oleh parti dan ahli-ahli partinya bahawa dia bukan dalam ‘gengaman musuh’.

(10)                Tentulah penganalisaan adil perlu diberikan supaya kita tidak mahu ‘seorang yang dikawal musuh’ dibenarkan jadi pentadbir kuasa tertinggi  tetapi kita tidak mahu seorang yang ‘bagus dan bersih’ merajuk, meninggalkan kita atau ditolak kerana sikap tamak atau dengki pemimpin atasan yang lain. Ukuran kepada Khalid perlu adil tetapi standard penilaian pengadilan tidaklah setinggi pendakwaan jenayah.

(11)                PAS harus adil, bijak dan tepat dalam isu ini kerana (1) PKR bersungguh untuk menurunkan Khalid Ibrahim hingga sanggup menggadaikan nasib partinya yang sedang bermasalah (dan PAS) bagi satu pembubaran DUN yang meletakkan risiko kalah kepadanya juga kepada PR dan (2) Khalid Ibrahim bersungguh menunjukkan dirinya bersih dengan memfailkan kes sendiri di SPRM. (3) setakat mana pula UMNO telah melakukan ‘sesuatu’ dalam situasi ini.
(12)                Saya melihat dalam segala macam komen-komen daripada rakyat yang saya tidak tahu adakah daripada ahli atau penyokong PAS atau penyokong BN, bantahan dan kutukan melimpahi kepimpinan atasan PKR. Golongan ‘profesional PAS’ atau sekutunya yang diketahui turut dibelasah sama. (Golongan PAS yg  dilihat sebagai mati-mati tidak mahu bersama UMNO). Kasihan juga kepada Hanipa Maidin ...kerana apa yang dikatakan tentang  Presiden adalah benar dan tidak salah! Tetapi hanya isu ‘adab’ kepada pemimpin? Jadi, adili dia dalam isu ‘adab’ sahaja… sama  ada dia benar-benar bersalah pada ‘isu adab’ atau ‘akhlak berjemaah’ …dan imbangi pula ‘kepentingan kata-katanya dan keadaannya ketika itu’ dan selidiki pula hak dan had kuasa seorang Presiden dan jawatankuasa PAS Pusat’ dalam isu ini. Adakah berlaku kesalahan pada mana-mana pihak? Sebelum kita mengunapakai dalil ketaatan .. perlu juga kita imbangi tafsiran dan definisi pemimpin dan ketua  pada masa sekarang .. yang terikat dengan undang-undang atau peraturan organisasi. Tiada ketua dan pemimpin sekarang yang benar-benar ketua dalam maksud yang penuh dan luas. Ada PM dengan bidangkuasanya, ada MB dengan bidangkuasanya, ada Sultan dan Agong dengan bidangkuasanya… begitulah.

(13)                Manakala golongan ulama dan penyokong-penyokongnya seperti mendapat sokongan padu dari kebanyakan ahli PAS dan golongan marhain walaupun kita tidak tahu berapa ramai di antara  mereka adalah dari parti yang dimusuhi. Saya juga suka berada di kem pihak ulama tetapi saya tidak mahu kita duduk dibelakang mereka kerana hanya yakin pada istikharah mereka sedang hukum akal dan ilmu kita merasa ‘something is wrong’ dengan keputusan mereka? Iaitu pada penilaian fakta yang mendasari keputusan mereka. Ia patut seiringan.

(14)                Saya berharap dalam kita tidak mahu menganiaya seorang individu, jangan pula kerana ketidak bijaksanaan kita berpolitik, matlamat utama yang besar yang sekian lama kita usahakan menjadi terkubur lebur. Lalu kita kata kita tidak mahu melanggar syarak ? Adalah kita telah mengambil sepenuhnya ruang keluasan syarak dalam soal politik ini?

(15)                Saya percaya sebahagian ahli PAS termasuk dari golongan ulama mungkin merasa sukar untuk terus bersama PR. Justeru, jika PR dan PKR tidak lagi sesuai untuk PAS, maka bukalah ruang untuk perbincangan semula dengan UMNO…. Jika itu lebih baik untuk agama Islam.. dan penyebarannya di bumi Malaysia khususnya dikalangan bukan Islam dan peningkatan penghayatan dikalangan muslim baka. Tetapi beri dulu kumpulan ‘erdogan’ memberikan hujah-hujah bantahannya.

(16)                Saya doakan PAS melepasi cabaran ini dengan cara terbaik… dan Islam terus mekar harum di bumi bertuah ini. (Sila lihat penulisan saya sebelum ini … Isu Khalid Ibrahim, Panduan untuk Rakyat Selangor, PAS dan PKR)


Wallahu taala alam.
hisham-ahmad.blogspot.com

No comments:

Post a Comment