Social Icons

Pages

Wednesday, May 29, 2013

Autisme, Pancaran Kedewasaan....

7/5/2013, malam hari Isnin. Tiba-tiba, saya dikejutkan dengan pertanyaan dari anak lelaki saya; “Abah, air mani itu apa?”  

Apa relevannya pertanyaan ini?  Relevannya kerana ia datang dari anak lelaki saya berumur 13 tahun yang mempunyai autisme. 

Isu air itu timbul hasil perbualan dia dengan F, adiknya yang berumur 12 tahun. Semasa soalan itu ditanya, kami baru nak keluar ke surau bagi solat isyak. Jadi saya tidak dapat bertanya lanjut perbincangan 2 beradik itu sehingga timbul topik ‘pancaran kedewasaan’ itu.

Semasa menulis tentang ini, saya masih tidak sempat lagi untuk menyiasat atau mengorek apa isi perbualan mereka kerana terlupa dan masih belum berpeluang. Buat masa ini, anak saya F telah kesekolah untuk kelas persediaan UPSR.

Adakah perlu untuk saya siasat? Apa pendapat tuan-puan? Mungkin perbualan mereka sekadar atas isu agama yang ustaz ajar disekolah tetapi mungkinkah juga mereka berbincang pasal ‘girlfriend-boyfriend’, cinta-cintun hingga ke isu seks. Tak mungkinlah, anak-anak saya ini. Seorang ‘innocent’ sifatnya, seorang lagi pengawas sekolah, yang bila diusek dengan awek, menunjukkan rasa tidak suka. Ah! itu didepan bapanya, bersama-sama kawan-kawan, kita tidak tahu. Berbaik sangkalah.

Berbaik sangka? Alamak, nanti dulu. Kalau kita mendengar kisah-kisah budak sekolah rendah dari guru-guru sekolah dalam hal berkaitan isu sebegini (unsur seksual), percayalah,  banyak elemen ‘surprise’ bagi yang bersangka baik.

Saya teringat. Komen pertama saya dalam facebook autisme  (www.facebook.com/groups/autisme.malaysia/) sebagai respon kepada sambutan mesra yang saya terima daripada sekian saudara muslimin dan muslimah. Sambutan baik dan sifat kemesraan keluarga facebook ini memang hebat dan mengharukan sehingga saya risau bahawa buku autisme (aku bersyukur anakku autisme) yang seadanya itu tidak memenuhi ‘expectation’ ibubapa bertuah.

Lalu apa komen saya? Komen saya ialah ‘kekadang menulis jauh lebih mudah daripada melakukan apa yang ditulis’ (lebih kurang begitulah ayatnya).

Begitulah berlaku dalam kes saya sendiri. Bila si anak mengeluarkan pertanyaan begitu. Serasa ketukan tepat didahi saya. Mengapa saya tercuai daripada bertanya dahulu soalan itu. Saya pernah ‘syak; atas pertukaran suaranya yang menjadi lebih garau dan besar. Semasa itu, saya mungkin merasa, takkanlah dia cepat didatangi berahi yang mendorong kepada mimpi indah hingga berlaku pancaran kedewasaan. Kerana apa? Kerana dia anak ‘innocent’ dan rasa sensual sebegitu mungkin masih terlalu awal bagi dirinya. Saya tersilap. Mungkinkah perubahan kematangan fizikal boleh mendorong kepada kedewasaan itu. Harap ada saudara/saudari yang ahli/pakar dalam bidang ini  yang dapat membantu menjelaskan hal ini.

Bila tiba perkara sebegini, baru diri sendiri rasa teruji atas kefahaman ilmu ini sedangkan ada bahagian atau bab dalam buku autisme itu yang berkaitan isu dewasa, baligh dan sebagainya.  Saya tulis tentangnya tetapi belum tentu saya sendiri dapat menghayati atau merealisasikan ilmunya dengan berkesan.    

Saya sedar ada ayat al-Quran yang memberi peringatan atau teguran terhadap mereka yang tidak melakukan apa yang dikatakan. Kita memohon perlindungan-Nya dari termasuk golongan yang ‘cakap tak serupa bikin’.

Namun saya mengambil pendekatan bahawa penulisan itu sendiri merupakan satu motivasi atau dorongan untuk kita berusaha melakukan atau ke arah melakukan dan merealisasikan apa yang dikata, ditulis.

Kembali kepada pertanyaan anak saya itu. Saya pun menjawab “Air mani itu putih macam susu, rasa melekit..”  D… ada keluar air mani ke?” 

“Ada, hari itu…” katanya.  Saya memandang kepada isteri saya , mempamerkan muku terkejut (tetapi tidaklah ketahap "terkejut beruk") sambil tersengih seperti 'kerang yang belumlah lagi busuk' dan dengan perlahan berkata; “alamakkkk...”

Dipendekkan cerita. Setelah sedar dari kejutan, saya menyuruh dia mandi wajib dahulu dan solat isyak di rumah. Isteri saya mengajar niat mudah mandi wajib dan apa yang perlu. Saya bergegas ke surau.

Terlintas difikiran, bagaimana solat-solatnya dalam 1-2 hari ini, jika dia tidak meniatkan mandi wajib (bersuci dari hadas besar). Semoga Allah mengampun kami atas kelemahan dan kejahilan ini. Saya bergantung kepada dalil atau nas bersandarkan  harapan kepada kewujudan satu hadith, yang menyatakan ada situasi nabi s.a.w. atau seorang sahabat terlupa mandi wajib dan mengimami solat jemaah.Semoga ada pelepasan begitu atas ketidaksengajaan itu. (Belum sempat untuk semak kesahihan kewujudan authoriti atau kesahihan kualiti (jika hadith atau athar, apa statusnya- moga ada bantuan dan pencerahan)

Isunya, pada aspek aspek syariah, adakah dia sudah dianggap dewasa? Status mukalaf?  Namun saya yakin penilaian dirinya (dalam hal dosa dan pahala) tentulah berdasarkan kematangan pemikirannya. Nasib baik tidak lama sebelum itu, saya ada membuat satu sesi semakan secara ‘one to one’ dalam hal solat, hafazan, bacaan dan kefahaman. Selama beberapa jam, saya menghabiskan masa dengannya. Pada aspek untuk membaiki kualiti bacaan fatihah sahaja telah menduga kesabaran saya. Sesungguhnya, memanglah perlu untuk semakan dilakukan dari masa ke semasa. Kini, proses mengajar ilmu dan memberi kefahaman adalah lebih perlu disegerakan.

Sekiranya atau apabila dia sudah mula dipertanggungkan dalam soal dosa dan pahala, kita mahu anak ini memulakan langkah kedewasaan sebagai anak muda yang mantap tauhidnya, memahami objektif solat dan melakukan dengan kualiti, mejauhi dosa dan mula aktif mengumpul pahala. Pun begitu saya tahu ia satu cabaran bagi saya. Cabaran yang berterusan ....entah untuk berapa lama lagi?

Sesungguhnya buku (aku bersyukur anakku autisme) itu mungkin mengandungi nas dan dalil (Quran dan Hadith) yang agak banyak untuk dijadikan rujukan, bandingan dan panduan dalam menjelaskan hubungan kita dengan anak autisme daripada pelbagai aspek, namun hakikatnya ilmu dan kemahiran spesifik yang tinggi dalam didikan anak autisme adalah hasil usaha jerit perih yang berterusan dari masa ke semasa oleh si-ibu, ibu, ibu dan bapa.  Penyudahnya, bagi setiap anak ini, si ibu atau sibubapanya yang lebih memahami.

Maksud saya, hasil perkongsian maklumat yang dilakukan dalam facebook itu jika disunting, akan mengumpulkan ilmu-ilmu khusus, terperinci dan penting kerana ia berdasarkan pengalaman realiti. Inilah antara ‘buku’ autisme terbaik yang tidak harus ditinggalkan dari dibaca.

Buku saya (as co- writer) jika sekadar dapat mendatangkan rasa ‘lega’ (comfort), rasa ‘tenang’, rasa ‘ada hikmah disebalik kejadian’ , rasa ‘layak kepada ujian’, rasa  ‘sabar’ atau lebih tinggi lagi, rasa ‘syukur’, maka ia telah mencapai ‘expectation’ saya sendiri, dan saya mohon maaf sekiranya ia jauh dari ‘expectation’ para ibu dan bapa bertuah kepada anak-anak syurga.

Bersambung…  Allah juga yang maha mengetahui.

Untuk maklumat lanjut. http://hisham-ahmad.blogspot.com/
 

No comments:

Post a Comment