hujah kan main, solat ada feeling mcm ni di 1/3 malam? |
[Sila baca hingga
habis sebelum buat ijtihad diri untuk memilih mana yang disukai atau yang
kekuatan pandangannya lebih diyakini. ]
Sifat solat witir
yang disebut oleh nabi Muhammad s.a.w adalah penutup kepada segala solat sunat
pada sesuatu malam, persoalan:-
(1) sama
ada boleh untuk mendirikan solat sunat yang lain selepas solat witir?
(2) dan
adakah boleh ditunaikan witir sekali lagi selepas itu?
Jawapan (1) = Majoriti ulama
berpendapat hal tersebut DIBENARKAN berdasarkan hadis sohih yang diriwayatkan
oleh Imam Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah yang menyebut nabi mendirikan
solat sunat dua rakaat selepas solat witir dan dibaca dalam solat itu surah
Al-Zalzalah dan Al-Kafirun.
Isu Jawapan 1 : Ulama berbeza
ijtihad dalam menanggapi hukum mereka yang telah berniat dari awal untuk solat
sunat lain selepas witir seperti berikut :-
(1) Sesiapa yang solat witir tetapi berniat untuk solat sunat lagi
selepas itu, sebahagian ulama Maliki berijtihad ia sebagai makruh. Berdalilkan
kepada hadis nabi : Ertinya : Hendaklah kamu jadikan witir sebagai solat
terakhir kamu di setiap malam. (Hadith sohih Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
(2) Seseorang
mendirikan solat witir tetapi tiada sebarang niat untuk solat sunat lain
selepasnya. Namun atas apa jua sebab, dia mendirikan solat sunat selepas
itu. Itu HARUS TANPA SEBARANG MAKRUH. Ulama menyatakan keharusannya namun
mereka berbeza pandangan sama ada : (1) Hanya solat dengan rakaat genap tanpa
witir sekali lagi (2) dimulakan dengan satu rakaat bagi menggenapkan witir yang
telah dilakukan, diikuti solat sunat dua rakaat biasa dan disudahi dengan solat
sunat dengan witir (rakaat ganjil) sebagai penutup.
Witir Di Awal Dan
Dihujung Malam
(1) Pandangan
Pertama : Tidak boleh digenapkan witir awal & tiada lagi witir
selepas itu.
Ini merupakan
ijtihad majoriti Sahabat Nabi, Tabi'en dan ulama mujtahid termasuk mazhab
Syafie. Berdasarkan ijtihad ini, tidak boleh witir digenapkan (orang Melayu
namakan sebagai ‘buka' witir). Hanya perlu solat sunat dengan rakaat genap
sehingga habis malam TANPA BOLEH MELAKUKAN WITIR SEKALI LAGI. Nabi menyebut Ertinya
: Tiada dua solat witir dalam satu malam. ( Riwayat Al-Tirmidzi & Ahmad)
Berdasarkan hadis
tersebut, Al-Hafidz Al-Iraqi menyatakan majoriti ulama menolak pandangan
yang mengatakan boleh DIGENAPKAN witir atau dibatalkan bagi membuka ruang solat
sunat lain dilaksanakan.
Menurut nukilan Ibn
Abi Syaibah, antara sahabat nabi yang berpandangan demikian adalah Abu Bakar
Al-Siddiq, Ammar B Yasir, Aisyah, Abu Hurairah dan ramai lagi. Manakala dari
kalangan ulama besar tabien adalah Sa'id Ibn Musayyab, As-Sya'bi, Ibrahim
al-Nakhi'e, Sa'id Ibn Jubair Pandangan itu juga dipegang oleh Sufyan Al-Thawry,
Imam Malik, Imam Ahmad, Abu Thawr, Imam Shafi'e dan Qadhi Iyadh dan ramai lagi.[1]
Menurut kumpulan
ulama ini, pandangan yang membolehkan menggenapkan witir (buka) dan didirikan
sekali lagi di akhir malam adalah lemah, selain alasan kekuatan dalil yang
disandarkan, mereka juga mengutarakan pertikaian jika witir dilakukan di awal
malam, kemudian tidur dan apabila bangun di hujung malam lalu dilaksanakan
sambungannya, itu sudah dikira dua witir yang berasingan disebabkan wudhu
yang telah batal dan pemisahan antara keduanya untuk tempoh yang panjang.
Hasilnya, untuk
menganggap witir di awal malam dan yang dilaksanakan di hujung malam sebagai
SATU WITIR adalah lemah, malah Imam As-Syawkani mengatakan jika dilakukan satu
rakaat terlebih dahulu dengan niat untuk menggenapkan rakaat witir yang ganjil
sebelum ini, maka ia sudah dikira witir kedua, dan jika ditutup pula solat
sunat pada malam itu dengan witir yang lain, tatkala itu witir itu dianggap
witir ketiga. Ia jelas melanggar tegahan nabi.
Selain itu dinaqal
dari Abu Bakar As-Siddiq, Ammar bin Yasir dan Aisyah yang mengatakan sesiapa
yang membatalkan witir ( dengan solat satu rakaat bagi menggenapkannya) adalah
orang yang bermain-main dengan solatnya.
(2) Pandangan Kedua
: Boleh digenapkan witir awal dan solat semula di akhirnya.
Pandangan dan
ijtihad berbeza ini menyebut keharusan untuk neutralize witir awal dengan
menggenapkan jumlah rakaat witir yang telah dilakukan iaitu dengan cara
menunaikan satu solat dengan rakaat ganjil. Dengan cara itu, seolah witir yang
sebelum ini berubah menjadi solat genap, tidak lagi witir.
Mereka berdalilkan
athar dari Ibn Umar r.a yang diriwayatkan berkata :-Ertinya : Adapun aku,
kiranya aku telah solat witir sebelum aku tidur, kemudian apabila (aku bangun)
dan ingin menunaikan solat di malam hari, akan aku mulakan dengan satu rakaat
barang yang telah selesai dari witirku sebelum ini ( menambah satu agar
digenapkan) kemudian, aku akan solat sunat dua raka'at, dua raka'at, setelah
selesai semuanya, akan aku akhirinya dengan solat witir satu rak'at, itu
adalah kerana Rasulullah mengarahkan kami agar menjadikan solat sunat terakhir
dalam satu malam, adalah solat witir. ( Riwayat Ahmad)
Mereka juga
berpegang kepada dalil athar Uthman Affan r.a :- Ertinya : sesungguhnya aku
apabila aku ingin tidur di awal malam, aku dirikan solat witir, dan apabila aku
bangkit ( di tengah malam) akan ku gabungkan dengannya (witir sebelum ini)
dengan satu rakaat, tidaklah ia kecuali seperti seekor unta ganjil yang
bergabung dengan kumpulannya. ( Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmidzi)
Diriwayatkan
daripada Ali K.W berkata : Ertinya : Witir itu tiga cara, barangsiapa yang
ingin witir di awal malam, maka perbuatlah, sekiranya dia bangun di malamnya ,
mulakan dengan satu rakaat dan diikuti dua rakaat, dua rakaat sehingga subuh
diakhiri witir , maka lakukanlah. ( Kedua) Sesiapa yang ingin solat dua rakaat
sehingga subuh (tanpa diawali dengan satu rakaat dan diakhiri dengan witir
lagi) , maka lakukanlah. (Ketiga), atau barangsiapa yang ingin terus melewatkan
solat witirnya di akhir malam sahaja (tidak solat witir) di awal malam.
(Riwayat Imam Syafie dalam musnadnya)
KESIMPULAN
(1) Jelas
hal ini adalah isu khilaf yang diterima, justeru semua pihak diharap tidak
memperlekeh mana-mana pandangan yang berbeza. Saya pernah mendapati ada
individu yang memperlekehkan tindakan ‘membuka witir' dengan menggenapkannya
sebagai lucu. Kini telah disertakan beberapa dalil yang wujud dalam hal
tersebut. Walau ia pandangan yang marjuh (kurang kuat), ia tidak wajar
sama sekali untuk dilucukan.
(2) Di
bulan Ramadhan yang mana witir biasanya didirikan sebagai penamat kepada solat
terawih. Jika kita bangkit bersahur dan punyai masa untuk terus menunaikan
solat sunat lain, ia DIHARUSKAN tanpa perlu dimulai dengan satu rakaat witir.
Tidak perlu pula ditutupi dengan witir lain selepas itu. Wajar dituruti
pandangan majoriti ulama yang MELARANG ditunaikan solat witir sekali lagi di
akhir malam. Cukup sekali witir yang telah didirikan di akhir terawih bersama
imam berteatan dengan saranan Nabi Muhammad s.a.w. (diringkas dengan sedikit
pindaan dari sumber- www.zaharuddin.net (UZAR) Dr. Zaharuddin
Abd Rahman).
Pilihan saya : Saya
memilih pandangan bahawa witir hanya
dilakukan sekali dan jika dibuat di awal malam maka tidak perlu membuatnya lagi
(dengan apa kaedahpun) diakhir malam (sebelum subuh), sekalipun, sejak dari
awal saya juga telah merancang untuk membuat solat sunat- solat sunat yang lain
diakhir malam.
Selain
bersandar hujah bagi pendapat pertama (yang lebih kuat) di atas, Pilihan saya
ini adalah turut mengambilkira saranan Dr Abdul Basit, (berdasarkan terdapatnya
satu hadith sahih) bahawa pada malam ramadan, mereka yang bersama dengan imam
sehingga selesai (iaitu solat isyak, tarawih dan solat witir) akan mendapat
kelebihan seumpama beribadah sepanjang malam hingga ke subuh. (Saya tidak
sempat lagi mengesan hadithnya itu dan mengesahkan ketepatan matannya, bantuan
diperlukan....).
Memandangkan
kebanyakan masjid dan surau termasuk di qariah saya, solat witir 3 rakaat didirikan
terus sebaik selesai solat tarawih, maka perlulah saya setia bersama imam
hingga selesai solat witir walaupun saya bercadang untuk menunaikan beberapa
solat sunat disekitar akhir malam sebelum bersahur.
Walaupun
Dr Abdul Basit mencadangkan agar jemaah berbincang supaya Iman dan makmum menangguhkan
solat witir dan kembali ke masjid atau surau pada lewat malam untuk menunaikan
solat witir seperti yang telah berjaya dilakukan di masjid/surau tertentu, tapi
ia masih belum dapat lagi direalisasikan di qariah saya.
Walaubagaimana
sekiranya ada pandangan balas dengan hujah-hujah lain, sila kemukakan kerana kita
bersikap terbuka demi mencari pilihan dan cara terbaik dalam mengamalkan sunnah
dan menyesuaikannya dengan realiti hari ini yang dibelenggu kekelamkabutan yang
menyesakkan nafas.
Wallahu
taala alam.
hisham-ahmad.blogspot.com