Terdapat berpuluh ribu peguam di Malaysia ini. Sebilangan ramai daripada peguam-peguam ini ialah peguam-peguam muslim/Islam.
Terdapat juga sekarang ini begitu ramai penuntut jurusan undang-undang di universiti-universiti tempatan dan luar negeri sama ada di institut pengajian tinggi awam atau swasta. Cubalah tanya bilangan pelajar undang-undang beragama Islam bagi satu-satu tahun atau sesi di Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti
Teknologi Mara (UiTM) dan sebagainya.
Sebahagian besar daripada mereka ini apabila diijazahkan kelak, akan beramal sebagai peguambela dan peguamcara dan menyertai firma-firma guaman manakala selainnya akan menyertai syarikat-syarikat swasta, institusi kerajaan, bahagian pendidikan dan sebagainya. Peguam adalah satu bidang profesional yang mulia dan dihormati (honourable and respectable profession).
Tiada keraguan bahawa ia adalah bidang kerjaya yang sangat penting dan menarik yang menyesuaikan diri dalam banyak bidang lain (di alam pekerjaan) pada tugas atau jawatan yang penting. Begitu ramai ibubapa, guru-guru dan kebanyakan ahli masyarakat moden lazimnya memberi rangsangan dan galakan bagi anak-anak untuk menjadi peguam. Malah sejak dahulu juga kerjaya peguam diterima sebagai kerjaya yang ada kelas.
Jika tidak, tidak lah ibu mertua Kassim Selamat bertanyakan sama ada kerjaya lelaki yang dicintai anak gadisnya itu sama ada peguam, majistret..... Apalagi dalam suasana masa kini, masyarakat didedahkan dengan pelbagai berita dan kisah berkaitan perundangan. Budaya saman-menyaman mula berkembang. Masing-masing dah pandai bercakap ’...talk to my lawyer’. Salah cakap mengundang saman fitnah. Sama ada dengan reputasi baik atau sebaliknya, kerjaya peguam menjadi tambah ’glamour’ penting dan lumayan.
Sedarilah bahawa anak-anak kita yang bercita-cita menjadi peguam dan anak-anak yang kini dalam proses untuk menjadi peguam, berisiko untuk terlibat dalam bahana dosa Riba, Dosa Besar. Mereka ini pula mempunyai ibubapa, saudara mara, kenalan dan kelak akan berumahtangga dan mempunyai anak-anak. Apabila jika terlibat kelak, percikan bahana Riba ini akan turut melukai orang-orang disekeliling mereka, yakni orang-orang yang mereka sayangi. Namun bagaimana semua ini boleh berlaku?
Kerjaya Peguam Muslim Yang Melibatkan Riba Berhati-hatilah.
Fahami penjelasan di bawah supaya persediaan awal dapat dilakukan. Untuk anak-anak muda-mudi Islam yang menanam impian untuk menjadi peguam, jangan jadi lemah atau putus harapan. Teruskan cita-cita untuk menjadi peguam tetapi mestilah dengan janji dan tekad untuk menjadi peguam yang baik pada syarak dan diredhai Allah subhanahu wa taa’la. Sudah tentu salah satu syaratnya ialah mesti bebas dari Riba. Sebelum itu peringatkan diri dengan fakta-fakta yang telah jelas dan tidak dipertikai.
Kewujudan Riba. Fakta- Fakta Tidak Dipertikaikan :-
(1) Dalil pengharaman Riba Jelas dan Terang. (2) Pengharaman Riba adalah qatie (muktamad) dan telah sepakat jumhur ulama. (3) Riba adalah Dosa Besar dan membawa ke neraka. (4) Produk-Produk Konvensional adalah berunsur Riba. Pinjaman Konvesional adalah Riba.
Bagaimana seseorang itu boleh dikatakan terlibat dengan Riba? Sesiapa yang memberi kerjasama dan mengambil bahagian terhadap satu perlakuan dosa, sudah tentu dia turut berdosa. Besar atau kecil dosanya bergantung kepada kepentingan dan sumbangannya kepada perlakuan dosa itu. Ini bolehlah dikatakan sebagai hukum am (general rule).
Mengenai isu Riba, hanya difokuskan tugasan peguam pada bahagian yang melibatkan perbankan dan syarikat kewangan atau yang melibatkan urusan dokumentasi perjanjian. Hubungan antara peguam dan institusi perbankan dan kewangan dalam hal ini, atau bidang khidmat guaman dalam hal perkara ini adalah mewakili peratusan besar dan penting dari keseluruhan perkhidmatan guaman atau bisnes guaman. Perkhidmatan guaman kepada perbankan dan institusi kewangan adalah antara bidang perkhidmatan yang memberikan pendapatan lumayan dan menguntungkan. Pembahagian Mudah.
Mereka yang terlibat dalam transaksi Riba ini adalah seperti berikut:-
Pemakan Riba : Pada istilah moden disebut Penerima Riba, iaitu mereka yang mendapat hasil atau keuntungan (wang) dalam transaksi Riba. Sebagai contoh, seseorang memberikan pinjaman kepada seseorang yang lain dan mengenakan faedah iaitu lebihan bayaran.
Pemberi Riba: Orang yang menerima atau membuat pinjaman tadi. Peminjam termasuklah seseorang yang menggunakan khidmat yang berunsur Riba. Dalam keadaan sekarang, perbankan banyak menawarkan produk-produk berunsur Riba sama ada dalam pelbagai bentuk pinjaman, penggunaan kad kredit dan lain-lain dan sekiranya produk-produk ini dilanggan oleh seseorang atau mana-mana pelanggan, maka pelanggan itu adalah Pemberi Riba. Pelangganlah yang memberi lebih wang atau hasil Riba kepada pemberi pinjam atau bank.
Saksi dan Penulis Riba : Diantara Pemberi Riba, terdapat orang atau lain-lain pihak yang terlibat dalam membantu atau menjayakan transaksi Riba itu. Sama ada sumbangannya kecil atau besar, penting atau tidak, langsung atau tidak langsung, ianya dan kesemuanya adalah suatu kerjasama kepada suatu perlakuan Dosa Besar, iaitu Riba. Mereka yang menyaksikan transaksi Riba ini merangkumi pelbagai bidang yang bertalian atau berantaian mengikut kerelevenan peranan dan fungsi masing-masing termasuklah peguam, pegawai-pegawai bank, penjamin-penjamin, penggadai, (mungkin pihak tertentu di pejabat tanah, pejabat stem dan sebagainya). Dari satu aspek sumbangan yang besar, langsung dan penting dalam menjayakan transaksi Riba tersebut sudah tentulah besar kedudukan dosa seseorang itu, namun Allah Taala melalui lisan rasul-Nya, telah menyamakan mereka semua. Oleh itu yang dikatakan ’penyaksi’ itu disifatkan sebagai berada dalam kedudukan yang sama dengan si Pemberi Riba dan Penerima Riba.
Disinilah ’NGERI’ nya kedudukan peguam kerana dia bukan sekadar memberi pertolongan, dia memberikan khidmat profesional dan mendapat bayaran daripada tugasannya dalam membantu menjayakan transaksi Riba itu.
BAHKAN, bagi satu kes atau bagi satu urusan transaksi Riba antara Pemakan Riba dan Pemberi Riba, ia adalah satu kes atau satu transaksi bagi Pemakan Riba dan Pemberi Riba itu. Sedangkan bagi peguam yang sama, dia akan memberi khidmatnya yang sama bagi kes dan urusan transaksi Riba yang lain melibatkan Pemakan Riba dan Penerima Riba yang lain. Senarai tugasan (khidmat Riba) itu akan berterusan bagi kes-kes lain yang mendatang. Itulah sebahagian sumber penting pendapatan dan tugas lazim kerjayanya. Lalu apakah kesudahannya?
Bersambung ....
(tulisan ini mengambil sedikit masa untuk dilengkap - sila layarilah blog ini dari masa kesemasa atau lebih baik dibeli sahaja buku tulisan seorang peguam sivil dan syarie bertajuk ‘Syurga Lebih Hampir Tanpa Riba’ terbitan Galeri Ilmu Buku ini berbeza daripada buku riba yang lain kerana terdapat bicara khusus melibatkan aspek realiti seperi isu riba di mahkamah, kes mahkamah berkaitan riba, Fatwa Pakar Luar negara, Fatwa (Mufti) Johor, Bicara khusus kerjaya-kerjaya seperti peguam, perbankan dan sebagainya, Isu Darurat dan ketidakberdosaan riba? dan banyak lagi. Bagi buku motivasi meninggal riba, anda boleh baca buku “Dosa Perang Dengan Allah” terbitan Kemilau Publika oleh penulis yang sama. (Berminat sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)
http://hisham-ahmad.blogspot.com/



