Social Icons

Pages

Tuesday, July 16, 2013

Superman @ Superhuman!!!

Ini juga kisah benar, berlaku di bulan Ramadan. Suatu ketika pada tahun yang telah berlalu. Seorang anak muda musafir dari suatu kumpulan jemaah, sesudah selesai solat terawikh dan witir, bergegas bangun membaca sesuatu daripada suatu kitab yang begitu popular antara kisahnnya ialah:- 

Adanya ahli ibadah (abid) yang bersolat malam sepanjang malam hingga solat subuhnya menggunakan wuduk solat isyak untuk sekitar 30 @ 50 tahun. Adakah maksudnya  ahli abid ini telah tidak tidur malam selama tempoh itu. 
-Ini bukan superman itu-
Ini kisah yang hebat. Kisah manusia hebat. Kemampuan beribadah begitu memang sangat hebat. Perlukan kemahuan tinggi , semangat kental, kekuatan dan ketahanan mental dan fizikal. Sehari-dua hari , seminggu , sebulan mungkin ? setahun,  30 tahun! Ini manusia luarbiasa,. Superman atau superhuman. 

Mari kita Buat Sedikit Analisa logik dan Rasional 

Persoalan:- Apa yang cuba ditonjolkan daripada kisah ini? Dan apa yang akhirnya tertonjol dari kisah ini?

Ia mungkin bertujuan baik untuk memotivasikan kita agar kuat  beribadah…  tapi adakah ia dapat mencapai tujuan itu? Atau kesan halusnya … memati-vasikan (demotivation).
Persoalan: Munasabahkah kisah ini atau keterlaluan? Sekiranya beginilah cara beribadah, apa sisa kudrat yang tinggal untuk keesokan siang, selama 3o tahun. Jika berjaga sepanjang malam selama 30 tahun malamnya sudah begitu, adakah bermakna selama 30 tahun, tidur di siang hari. Bagaimana urusan-urusan penting lain dengan pekerjaan dan nafkah keluarga dan diri sendiri?  

Bagaimana jika kisah ini tidak sahih? Tidak diketahui benar? atau sememangnya tidak benar? Ia ditakuti menjejaskan kesucian Islam. Kisah agama mesti dipastikan sahih dan benar, jika tidak ia akan menjadi ejekan seloka agama (divine jokes).

Kisah kehebatan ibadah ini berlaku sesudah kewafatan nabi dan bukan dicerita oleh sahabat. Ia bukan kisah berdasarkan hadith. Tidak salah untuk  sesuatu kepelikan dipertikaikan. Bagaimana kalau kisah seperti ini kelihatan bercanggah nasihat dan perintah Rasul s.a.w. seperti pada hadith di bawah.  

Terdapat satu hadith  sahih mengenai 3 sahabat yang ingin mengetahui tentang keadaan ibadah nabi saw.

Telah datang tiga orang ke rumah-rumah isteri-isteri nabi s.a.w. lalu mereka bertanya tentang ibadat nabi s.a.w. Apabila dimaklumkan (tentang ibadat nabi), mereka merasakan seolah-olah ianya sedikit. Lalu mereka berkata: “di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan kedudukan nabi s.a.w. yang telah diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang?”

Berkata salah seorang daripada mereka: “Adapun aku, maka aku akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang terakhir: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.”

Maka Rasulullah s.a.w. datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? (Diakui mereka) Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut di antara kalian kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat (malam) dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia tidak termasuk dari aku.” 
(Sahih Bukhari : Hadith no: 5063 (Rujuk Kitab al-Nikah, Bab anjuran untuk menikah).

Hadith ini membuktikan beberapa perkara antaranya:-  ibadah malam yang diberi contoh dan petunjuk oleh Nabi (untuk diamalkan oleh umatnya) sebagai cara sunnah yang benar adalah mempunyai  ketetapan dan batasan. Tidak boleh berlebihan seperti beribadah sepanjang malam apalagi berterusan selama berpuluh tahun. Ia bukan sahaja tidak mengikut sunnah bahkan satu kesalahan besar dan dikecam  dengan serius.

Oleh itu, boleh tak saya katakan begini …. sekiranya sekalipun kisah mengenai ibadah abid itu benar-benar berlaku, ia bukan suatu kisah tauladan untuk ikutan, sebaliknya kisah tauladan untuk jadi pengajaran dan sempadan.

Namun atas prinsip keterbukaan kepada hujah dan pandangan berbeza dan mengakui saya mungkin tersilap dalam memahami, pohon sesiapa memberi pandangan balas.   Wallahu taala alam.

Pengajaran – 
utamakan kisah dari hadith-hadith sahih
utamakan amalan-amalan (sunnah) yang sahih


hisham-ahmad.blogspot.com

Reform 4 - Nasihat 1 Untuk Peguam Muslim

Ini Pendedahan Yang Terpaksa Dilakukan. ....................

Terdapat berpuluh ribu peguam di Malaysia ini. Sebilangan ramai daripada peguam-peguam ini ialah peguam-peguam muslim/Islam.

Terdapat juga sekarang ini begitu ramai penuntut jurusan undang-undang di universiti-universiti tempatan dan luar negeri sama ada di institut pengajian tinggi awam atau swasta. Cubalah tanya bilangan pelajar undang-undang beragama Islam bagi satu-satu tahun atau sesi di Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti
Teknologi Mara (UiTM) dan sebagainya.

Sebahagian besar daripada mereka ini apabila diijazahkan kelak, akan beramal sebagai peguambela dan peguamcara dan menyertai firma-firma guaman manakala selainnya akan menyertai syarikat-syarikat swasta, institusi kerajaan, bahagian pendidikan dan sebagainya. Peguam adalah satu bidang profesional yang mulia dan dihormati (honourable and respectable profession).

Tiada keraguan bahawa ia adalah bidang kerjaya yang sangat penting dan menarik yang menyesuaikan diri dalam banyak bidang lain (di alam pekerjaan) pada tugas atau jawatan yang penting.  Begitu ramai ibubapa, guru-guru dan kebanyakan ahli masyarakat moden lazimnya memberi rangsangan dan galakan bagi anak-anak untuk menjadi peguam. Malah sejak dahulu juga kerjaya peguam diterima sebagai kerjaya yang ada kelas.

Jika tidak, tidak lah ibu mertua Kassim Selamat  bertanyakan sama ada kerjaya lelaki yang dicintai anak gadisnya itu sama ada peguam, majistret.....  Apalagi dalam suasana masa kini, masyarakat didedahkan dengan pelbagai berita dan kisah berkaitan perundangan. Budaya saman-menyaman mula berkembang. Masing-masing dah pandai bercakap ’...talk to my lawyer’.  Salah cakap mengundang saman fitnah. Sama ada dengan reputasi baik atau sebaliknya, kerjaya peguam menjadi tambah ’glamour’  penting dan lumayan.    

Sedarilah bahawa anak-anak kita yang bercita-cita menjadi peguam dan anak-anak yang kini dalam proses untuk menjadi peguam, berisiko untuk terlibat dalam bahana dosa Riba, Dosa Besar. Mereka ini pula mempunyai ibubapa, saudara mara, kenalan dan kelak akan berumahtangga dan mempunyai anak-anak.  Apabila jika terlibat kelak, percikan bahana Riba ini akan turut melukai orang-orang disekeliling mereka, yakni orang-orang yang mereka sayangi.  Namun bagaimana semua ini boleh berlaku?   

Kerjaya Peguam Muslim Yang Melibatkan Riba Berhati-hatilah.

Fahami penjelasan di bawah supaya persediaan awal dapat dilakukan. Untuk anak-anak muda-mudi Islam yang menanam impian untuk menjadi peguam, jangan jadi lemah atau putus harapan. Teruskan cita-cita untuk menjadi peguam tetapi mestilah dengan janji dan tekad untuk menjadi peguam yang baik pada syarak  dan diredhai  Allah subhanahu wa taa’la. Sudah tentu salah satu syaratnya ialah mesti bebas dari Riba.     Sebelum itu peringatkan diri dengan fakta-fakta yang telah jelas dan tidak dipertikai.

 Kewujudan Riba. Fakta- Fakta Tidak Dipertikaikan :-
(1)  Dalil pengharaman Riba Jelas dan Terang. (2)  Pengharaman Riba adalah qatie (muktamad) dan telah sepakat jumhur   ulama. (3)  Riba adalah Dosa Besar dan membawa ke neraka.    (4)  Produk-Produk Konvensional adalah berunsur Riba. Pinjaman  Konvesional adalah Riba.

Bagaimana seseorang itu boleh dikatakan terlibat dengan Riba?  Sesiapa yang memberi kerjasama dan mengambil bahagian terhadap satu perlakuan dosa, sudah tentu dia turut berdosa. Besar atau kecil dosanya bergantung kepada kepentingan dan sumbangannya kepada perlakuan dosa itu.  Ini bolehlah dikatakan sebagai hukum am (general rule).   

Mengenai isu Riba, hanya difokuskan tugasan peguam pada bahagian yang melibatkan perbankan dan syarikat kewangan atau yang melibatkan urusan dokumentasi perjanjian. Hubungan antara peguam dan institusi perbankan dan kewangan dalam hal ini, atau bidang khidmat guaman dalam hal perkara ini adalah mewakili peratusan besar dan penting dari keseluruhan perkhidmatan guaman atau bisnes guaman. Perkhidmatan guaman kepada perbankan dan institusi kewangan adalah antara bidang perkhidmatan yang memberikan pendapatan lumayan dan menguntungkan. Pembahagian Mudah.

Mereka yang terlibat dalam transaksi Riba ini adalah seperti berikut:-    

Pemakan Riba : Pada istilah moden disebut Penerima Riba, iaitu mereka yang mendapat hasil atau keuntungan (wang) dalam transaksi Riba. Sebagai contoh, seseorang memberikan pinjaman kepada seseorang yang lain dan mengenakan faedah iaitu lebihan bayaran.

Pemberi Riba: Orang yang menerima atau membuat pinjaman tadi. Peminjam termasuklah seseorang yang menggunakan khidmat yang berunsur Riba. Dalam keadaan sekarang, perbankan banyak menawarkan produk-produk berunsur Riba sama ada dalam pelbagai bentuk pinjaman, penggunaan kad kredit dan lain-lain dan sekiranya produk-produk ini dilanggan oleh seseorang atau mana-mana pelanggan, maka pelanggan itu adalah Pemberi Riba. Pelangganlah yang memberi lebih wang atau hasil Riba kepada pemberi pinjam atau bank. 

Saksi dan Penulis Riba : Diantara Pemberi Riba, terdapat  orang atau lain-lain pihak yang terlibat dalam membantu atau menjayakan transaksi Riba itu. Sama ada sumbangannya kecil atau besar, penting atau tidak, langsung atau tidak langsung, ianya dan kesemuanya adalah suatu kerjasama kepada suatu perlakuan Dosa Besar, iaitu Riba. Mereka yang menyaksikan transaksi Riba ini merangkumi pelbagai bidang yang bertalian atau berantaian mengikut kerelevenan peranan dan fungsi masing-masing termasuklah peguam, pegawai-pegawai bank, penjamin-penjamin, penggadai, (mungkin pihak tertentu di pejabat tanah, pejabat stem dan sebagainya).    Dari satu aspek sumbangan yang besar, langsung dan penting dalam menjayakan transaksi Riba tersebut sudah tentulah besar kedudukan dosa seseorang itu, namun Allah Taala melalui lisan rasul-Nya, telah menyamakan mereka semua. Oleh itu yang dikatakan ’penyaksi’ itu disifatkan sebagai berada dalam kedudukan yang sama dengan si Pemberi Riba dan Penerima Riba.

Disinilah ’NGERI nya kedudukan peguam kerana dia bukan sekadar memberi pertolongan, dia memberikan khidmat profesional dan mendapat bayaran daripada tugasannya dalam membantu menjayakan transaksi Riba itu.  

BAHKAN, bagi satu kes atau bagi satu urusan transaksi Riba antara Pemakan Riba dan Pemberi Riba, ia adalah satu  kes atau satu transaksi bagi Pemakan Riba dan Pemberi Riba itu. Sedangkan bagi peguam yang sama, dia akan memberi khidmatnya yang sama bagi kes dan urusan transaksi Riba yang lain melibatkan Pemakan Riba dan Penerima Riba yang lain. Senarai tugasan (khidmat Riba) itu akan berterusan bagi kes-kes lain yang mendatang. Itulah sebahagian sumber penting pendapatan dan tugas lazim kerjayanya.  Lalu apakah kesudahannya? 

Bersambung .... 

(tulisan ini mengambil sedikit masa untuk dilengkap - sila layarilah blog ini dari masa kesemasa atau lebih baik dibeli sahaja  buku tulisan seorang peguam sivil dan syarie bertajuk ‘Syurga Lebih Hampir Tanpa Riba’ terbitan Galeri Ilmu Buku ini berbeza daripada buku riba yang lain kerana terdapat bicara khusus melibatkan aspek realiti seperi isu riba di mahkamah, kes mahkamah berkaitan riba, Fatwa Pakar Luar negara, Fatwa (Mufti) Johor, Bicara khusus kerjaya-kerjaya  seperti peguam, perbankan  dan sebagainya, Isu Darurat dan ketidakberdosaan riba? dan banyak lagi. Bagi buku motivasi meninggal riba, anda boleh baca buku “Dosa Perang Dengan Allah” terbitan Kemilau Publika oleh penulis yang sama. (Berminat sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)
http://hisham-ahmad.blogspot.com/

Wednesday, July 10, 2013

Kisah Ajaib Dalam Ibadah (Ramadan)

Malam tadi majlis bertadarus berjalan lancar di surau kampungku. Kg Bukit Kecil, Mukim Pernu, Melaka. Buat pertama kali, kami membaca al-Quran beserta terjemahan. Habis 1 juzuk. Syukur, Alhamdulillah. Aku berharap dan berdoa kami akan bertahan sehingga habis 30 juzuk. Biarlah buat pertama kali dalam hidup ini kami mengkhatam alQuran  30 juzuk beserta seluruh terjemahan dalam bahasa melayu.

10.7.2013. Siang hari ini  pula, pada saat aku tulis ini, ialah hari pertama berpuasa Ramadan tahun 2013, Kul 4.00 petang. Pada saat ini,  aku telah menghabisi juzuk 2 bagi  bacaan sendirian. Aku harap kurang-kurang dapat 1 kali  katam bersendirian dan 1 kali katam berkumpulan. Alangkah ‘cekai’ nya level aku berbanding , mereka yang khatam berkali-kali dalam bulan yang mulia ini.  

Tiba-tiba aku teringat aku teringat bulan puasa yang lalu, semasa itu ada sekumpulan jemaah tabligh yang singgah bermalam beberapa hari di surau kami. Pada malamnya, sesudah selesai solat terawikh dan witir, seorang jemaah tabligh bergegas bangun menuju ke hadapan saf pertama untuk membaca sesuatu daripada kitab Fadail Amal.  Antaranya dibacakan kepada kami bahawa :-

1. Imam Syafie mengkhatamkan al-Quran 60 kali dalam 30 hari pada bulan Ramadan.
2. Seterusnya ada ahli abid yang bersolat malam sepanjang malam hingga solat subuhnya menggunakan wuduk solat isyak untuk sekitar 30 @ 50 tahun. (Mungkin memaksudkan ahli abid ini telah tidak tidur malam selama tempoh itu).

Inilah antara 2 kisah ajaib dari kisah-kisah lain yang menyebabkan aku merasa musykil setakat mana kesahihan kisah ini.

Please.. jangan salah faham. Aku tidak mempertikaikan kesahihan ketokohan sesiapa apalagi Imam Syafie yang disanjungi tapi aku hanya minta penjelasan dari segi unsur realiti dan logik akal bagaimana ia boleh berlaku.

Beginilah, kalau kita anggap kisah itu berlaku secara karamah atau sebagainya maka habislah cerita. Takyah lagi ungkit dari segi logik. Tertutup diskusi ilmiah.  Memang benar, kalau ia kurniaan Allah kepada insan terpilih, ia boleh berlaku dalam apa keadaan pun yang Allah kehendaki. 

Sebenarnya, kisah khatam 60 kali dalam 1 bulan Ramadan oleh Imam Syafie ini telah sebelum itu aku dengar dalam khutbah jumaat di sebuah masjid di Melaka (Rasanya teks khutbah pada jumaat itu pasti sama di masjid-masjid yang lain di Melaka). 

Aku tertonton siri rancangan kuliyyah tv3 sekitar beberapa tahun lalu. Pada akhir siaran program itu sekitar pukul 6 petang, Ustaz Dr Zahazan (jika tidak silap) juga menyebut mengenai seseorang yang khatam quran dalam satu rakaat solat dan hal kisah imam Syafie tadi.  Aku juga dapati Dr. Abdul Basit, ilmuan sunnah terkemuka juga ada menyebutnya.

Aku bertambah yakin kesahihan riwayatnya kisah ini (khatam 60 kali dalam 1 bulan, 2 kali sehari) sebab kedua mereka begitu teliti dalam hukum hadith dan mementingkan kesahihan kisah agama. Namun sekadar kerehatan dari kesibukan harian, marilah kita lakukan sedikit kajian ilmiah mudah bersifat logik dan rasional :-
Khatam al Quran 30 Juzuk Sebanyak  60 kali 1 bulan (2 kali dalam 1 hari)

Seorang Insan biasa  mampu menghabiskan :  1 juzuk 1 jam – 1 ½ jam. Seorang Qari yang hebat mungkin mampu menghabiskan: 1 juzuk - ½ jam. Bermakna 30 Juzuk memerlukan 15 jam. Iaitu bagi = 1 kali khatam. [1 kali khatam = 30 juzuk = 15 jam. 2 kali : 30 jam]  Ini telah melebihi 6 jam. [ 1 hari = 24 jam. Jadi 30 jam - 24 jam : 6 jam]. 

Ini bermakna Qari yang hebat perlu menghabiskan 1 juzuk kurang daripada ½ jam. Oleh itu jika anggaran 1 bulan = 30 hari. Maka  proses mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali berjalan terus menerus, non-stop. Siang dan malam. Tiada waktu tidur.

Tetapi selain membaca dan mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 1 hari (24 jam). Sudah tentu seorang insan sepenting Imam Syafie rahimahullah mempunyai banyak tugas lain mungkin seperti mengimami solat jemaah, mengajar kelas pengajian, menulis kitab, diziarahi tetamu dan lain-lain. Ramadhan juga memerlukan aktiviti-aktiviti yang tidak boleh ‘miss’ seperti solat terawikh, witir, program tadarus dan sebagainya. Sebagai insan biasa, terdapat juga keperluan-keperluan keinsanan yang perlu dilakukan seperti bersahur, berbuka, tidur sekejap, diziarahi dan menziarahi dan sebagainya. Mengambil kira lain-lain tugasan dan aktiviti itu, berapa jam sehari yang tinggal untuk amalan mengkhatam Quran. 

Bagaimana mungkin akal yang berfikiran munasabah dan logik dapat menyesuaikan kisah ini. Sebagai seorang alim yang salih dan tawaduk, pasti Imam Syafie takkan menyatakan kepada sesiapa akan berapakali beliau khatam, melainkan mungkin ia hasil pemerhatian, kepercayaan dan penilaian seseorang yang lain- adakah mungkin orang ini tersilap secara tidak sengaja?

Ya benar, kasih dan kekaguman kita kepada imam besar itu menjadikan kita rasa tidak selesa untuk mempertikaikan kisah itu. Ingat kita bukan pertikaikan kemampuan dan kehebatan Imam itu.. tapi ingin tahu kesahihan periwayatan dan sumber perolehan kisah itu apabila ada keraguan pada isi dakwaan itu yang memerlukan penjelasan.

Mungkin juga penting kita sebagai orang awam mendapat panduan daripada ilmuan agama dalam menilai kisah-kisah ajaib sebegini? bagaimana kita sebagai orang awam perlu melayani kisah-kisah ajaib ini ? Percaya sahaja sepenuhnya sebab ustaz yang sebut bukan calang-calang atau bagaimana? Sebab sekarang ramai ilmuan sunnah menyatakan bahawa kisah-kisah agama yang pelik apalagi tidak sahih perlu ditolak kerana kita tidak mahu agama kita dikotori oleh khayalan.  

Sekiranya sekalipun sahih kisah khatam ini, ia tetap perlukan penjelasan mengambilkira seperti ada unsur percanggahan dengan sunnah nabi seperti di nyatakan di bawah ini.

Marilah kita rujuk dan bandingkan dengan dalil-dalil  ini:-
1.         Dalil keperluan membaca  al-Quran dengan tartil. Diketahui semua.
2.         Dalil Hadith sahih. Tidak pernah diketahui bahawa baginda s.a.w. membaca seluruh Al-Quran dalam satu malam [walaupun hanya sekali]. Bahkan, baginda tidak meredhai Abdullah bin Amr r.a. melakukan hal itu. Baginda bersabda kepadanya: “Khatamkanlah Al-Quran sekali dalam sebulan.” Dia berkata, “Saya berkata, ‘Saya merasa lebih kuat daripada itu,” Baginda s.a.w. bersabda, “Khatamkanlah dalam dua puluh malam.” Dia berkata, “Saya merasa lebih kuat daripada itu.” Baginda s.a.w. bersabda, “ Khatamkanlah dalam tujuh malam, dan jangan kurang dari tujuh malam.
Kemudian baginda memberi keringanan baginya untuk membaca (mengkhatamkan) Al-Quran dalam lima hari. Hadis ini juga diriwayatkan dengan lafaz tambahan pada matannya, yang merupakan hadis berikut ini: Lalu baginda memberi keringanan baginya untuk membaca (mengkhatamkan) Al-Quran dalam tiga hari.

Baginda melarang seseorang mengkhatamkan Al-Quran kurang dari batasan itu. Alasan akan hal itu, baginda kemukakan dalam sabdanya kepada Ibnu Amr:  “Sesiapa mengkhatamkan Al-Quran kurang dari tiga hari, nescaya ia tidak akan memahaminya.”

Pada lafaz lainnya, “ Tidak akan dapat memahami (Al-Quran), orang yang mengkhatamkan Al-Quran kurang dari tiga hari.”[Ensaiklopedia Sifat solat Nabi Syeikh Muhammad Nasiruddin Albani].

Kalaulah, ada sesiapa diluar sana dapat beri pencerahan dalam perkara ini,… jika tiada pun, takpelah anggaplah  isu ini sekadar luahan isu untuk meng’cas’ kan fikiran kita dalam menentukan kesimbangan antara kisah ghaib dalam agama, kesahihan sumber riwayat dan akal fikiran logik kita. 

‘Superman’@ ‘Superhuman’ Manusia Yang Tidak Tidur Malam

Manakala kisah Abid yang bersolat dengan wuduk yang sama selama 30-50 tahun antara isyak hingga subuh. Ia seperti menunjukkan bahawa manusia itu tidak tidur malam. Apa yang cuba ditonjolkan daripada kisah ini? Ia mungkin bertujuan baik untuk memotivasikan kita agar kuat  beribadah.

Bagaimana jika kisah ini tidak sahih? Tidak diketahui benar? atau sememangnya tidak benar? Ia akan merosakkan kesucian Islam. Kisah agama mesti dipastikan sahih dan benar, jika tidak ia akan menjadi ejekan seloka agama (divine jokes).

Kisah ini juga seperti bercanggah dengan sunnah nabi. Sekiranya beginilah cara beribadah, apa sisa kudrat yang tinggal untuk keesokan siang, selama 3o tahun. Jika berjaga sepanjang malam selama 30 tahun malamnya sudah begitu, adakah selama 30 tahun itu dia tidur di siang hari. Bagaimana dengan nafkah keluarga dan diri sendiri? Tidak perlu dicari? Alangkah tidak produktif!

Kisah-kisah kehebatan ibadah ini berlaku sesudah kewafatan nabi dan bukan dicerita oleh sahabat.Ia  ia bukan kisah berdasarkan hadith. Tidak salah untuk  sesuatu kepelikan dipertikaikan. Oleh itu, adalah terlebih baik untuk kita fokus kepada hadith-hadith sahih itu sendiri yang menceritakan bagaimana nabi beribadah khususnya semasa bulan Ramadan.

Terdapat satu hadith  sahih mengenai 3 sahabat yang ingin mengetahui tentang keadaan ibadah nabi saw.
Telah datang tiga orang ke rumah-rumah isteri-isteri nabi s.a.w. lalu mereka bertanya tentang ibadat nabi s.a.w. Apabila dimaklumkan (tentang ibadat nabi), mereka merasakan seolah-olah ianya sedikit. Lalu mereka berkata: “di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan kedudukan nabi s.a.w. yang telah diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang?”
Berkata salah seorang daripada mereka: “Adapun aku, maka aku akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang terakhir: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.”

Maka Rasulullah s.a.w. datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? (Diakui mereka) Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut di antara kalian kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat (malam) dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia tidak termasuk dari aku.” (Sahih Bukhari : Hadith no: 5063 (Rujuk Kitab al-Nikah, Bab anjuran untuk menikah).

Ia membuktikan bahawa ibadah malam yang diberi contoh dan petunjuk oleh Nabi sebagai cara sunnah yang benar adalah mempunyai  ketetapan dan batasan. Tidak boleh berlebihan seperti beribadah sepanjang malam apalagi berterusan selama berpuluh tahun. Ia bukan sahaja tidak mengikut sunnah bahkan satu kesalahan besar dan dikecam.

Oleh itu, sekiranya sekalipun kisah mengenai ibadah  abid itu benar-benar berlaku, ia bukan suatu kisah tauladan untuk ikutan, sebaliknya kisah tauladan untuk jadi pengajaran dan sempadan. Wallahu taala alam.

-Hisham-ahmad.blogspot.com

Tuesday, July 9, 2013

Reform3: Konon Sokong Dr. Mursi & Ikhwanul Muslimin Tapi...



Prof Dr. Tariq Ramadan , seorang tokoh islamis dan reformis dan pemikir hebat di peringkat antarabangsa era kontemporari  ini tidak bersedia untuk menggelarkan apa yang berlaku di Tunisia adan Mesir ini sebagai “The Arab Spring”  kerana masih terlalu awal. Perkataan Revolusi Arab juga tidak sesuai.  Beliau lebih memilih The Arab Awakening. Apa  yang berlaku sekarang di Mesir, kelihatan membenarkan  telahan atau  jangkaan Tariq Ramadan.

Kita bersangka baik dan bersifat optimis dengan harapan kepada kejayaan kebangkitan umat Islam terhadap rejim zalim tetapi kita juga perlu berhati-hati (bahawa terlalu banyak onak duri yang merintangi jalan yang memerlukan ketelitian pada strategi dan usaha yang tidak putus-putus).

Apapun bagi kita di bumi Malaysia, jangan sekadar simpati sahaja kerana ia terlalu kecil nilai ertinya sekiranya kita tidak melakukan perkara lain yang lebih penting yang kita sebenarnya terdaya melakukannya. Adalah tanggungjawab fardu ke atas kita untuk terus membantu setakat yang kita mampu antaranya :-

1.      memberi sumbangan setinggi yang kita mampu kepada pertubuhan yang dipercayai yang menyalurkan bantuan kepada umat Islam yang tertindas di sana.
2.      menyebarluas maklumat dan kefahaman yang tepat kepada semua manusia (islam dan bukan islam) dengan tujuan mendapatkan sokongan dalam pelbagai bentuk.
3.      berdoa sebanyak-banyaknya  (dengan skrip yang baik) bagi kebaikan umat yang ditindas dan umat Islam yang ingin memperjuangkan Islam di Syria, Mesir, Palestin, Iraq , Burma dan  lain-lain.

Namun hari ini sempena Ramadan, ada satu idea reformasi (3) untuk saya kongsikan berkaitan tujuan para 3 di atas iaitu tentang “Doa Dalam Bahasa Arab” di masjid dan surau-surau khususnya di malam-malan terawikh sama ada dilakukan oleh Imam-iman yang faham,fasih bahasa arab atau tidak :-

Doa Bahasa Arab:-

Poin 1 : Sebahagian imam kita sangat fasih berdoa di dalam bahasa arab. Malangnya tidak tahu bercakap berbahasa arab. Kita hafaz doa itu. Kalau hafazan kita baik, kuranglah risiko tersilap pada lafaz doa, tertukar perkataan atau tersalah baris - sehingga merisiko berubah makna yang baik kepada yang tidak. (Seperti pernah seorang lelaki berusia, kerana tua nya, diminta jadi imam apabila imam lazim surau tiada maka semasa berdoa dia membaca termasuklah  ‘Allahumahtimlana……. wa la tahtim alaina bihusni hotimah’).

Poin 2 : Kita fasih melafaz doa dalam bahasa arab setakat yang kita hafal. Kita tidak mampu menambah secara spontan kerana kita tidak pandai bahasa arab. Kalau nak menambah, kita perlu dapatkan skrip tambahan itu dan perlu berusaha untuk hafal. Maka beberapa masa diperlukan sebelum kita berani untuk melafazkan di depan umum, penambahan lafaz doa itu. Kerana itu apabila berlaku situasi menyayat hati di Syria, diikuti Mesir, imam kita tidak mampu mencipta skrip doa spontan untuk saudara-saudari kita yang ditindas di negara mereka. Sudahlah sumbangan wang tiada atau tidak seberapa, berdoa pun tidak dapat dilakukan juga.

Alangkah malang dan teruknya, bukan mereka tetapi kita, di sisi Tuhan maha esa.

Poin 3 : Mungkin kita memahami makna doa yang dibaca, maka syok dan syahdulah kita, kita sendiri sahaja sebab apa? Sebab majority makmum tidak memahaminya. Bila tidak faham, tiada penghayatan. Tiada penghayatan, takut terganggu keikhlasan dan kekusyukan. Bila yang demikian, takut kurang menjadi musabab untuk kemakbulan. Wallahu   taala alam.

Ah! kenapa umat melayu kita ni masih tak  faham-faham. Buat sesuatu mestilah dengan kefahaman! 

Resolusi:- Sudah sampai masanya untuk reformasi dibuat. Berdoalah di dalam bahasa melayu. Kita hafal terjemahan doa itu atau lebih baik juga kita karang skrip yang bagus dan menyeluruh. Ada bunga bahasa, ada unsur metafora, ada pujian-pujian kepada nama dan sifat Allah yang maha sempurna dan agung, dengan diselangseli pada bait-bait lirik doa. Buat 2-3 skrip berbeza supaya , sentiasa segar pada malam-malam terawikh. Berlatih berdoa supaya, sebutan lancar, tonasi baik, pitching tak lari. Biar semua dengar, ‘tangkap sayu,’ meleleh airmata membasahi janggut sambil mengamin.

Dengan berdoa dalam bahasa yang kita mahir dan makmum mahir, tentulah juga tiada masalah jika ada keperluan tiba-tiba untuk kita meminda atau menambah lafaz doa seperti bagi mendoakan saudara kita yang dizalimi di Palestin, Syria, Mesir dan sebagainya.

Pada ketika itu, satu aspek penting dalam ibadah kita, iaitu ibadah doa yang diumpamakan sebagai senjata orang mukmin telah dilaksanakan dengan kefahaman.

Faham…  kalau faham please duhai pembaca semua. Tolong bagi tahu semua imam kampung dan bandar di mana-mana masjid dan surau, walau imm muda hafiz sekali. Kalau nak lebih baik ,tolong bagi mereka skrip doa sekali. Jangan bagi mereka mencari alasan untuk berdalih…

Akhir sekali ada satu rahsia untuk saya bisikkan kepada semua.

Masih ingat tak artikel saya sebelum ini … iaitu membaca dengan  kefahaman (alQuran) tentang Reform 2- di mana saya mencadangkan agar tadarus dilakukan dengan di baca juga terjemahan bahasa melayu.

Semalam selepas solat maghrib, saya telah minta hadirin tunggu sekejap untuk saya membentang usul ini dan hujah kenapa ia perlu dilakukan. Nampak  imam dan beberapa peserta telah bersetuju.

Anda bagaimana? Dah buat cadangan dan jawatankuasa masjid/surau anda setuju tak? Bagilah hujah.  insya Allah…

Bermakna malam Ramadan ni, kami akan buat pertama kali nya melakukan reformasi  tadarus …. 
Membaca alQuran dengan kefahaman…..

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim , 
Segala Puji Tertinggi Dan Teragung Hanya Untuk Mu,

Monday, July 8, 2013

Reform 2 - Dilakukan Dengan Kefahaman -Motivasi Ramadan



2.7.2013, rekod terburuk saya.  Artikel saya bertajuk ‘Merangkak Kepada Berlari  (Reform 1)’ hanya dibuka (dengan harapan dibaca) tidak lebih 500 kali. Biasnya yang lain melebihi 1,000 kali dan ada yang melebihi 3,000 kali. 

Setakat selepas PRU, saya hanya menghantar artikel non-politik sebagai alternatif kepada sekian banyak artikel/ paparan politik di sini.  

Mungkin kerana ia mengenai nasihat agar memahirkan diri dalam pembacaan al-Quran, maka ia agak biasa dan tidak meransang naluri untuk dibaca. Semua orang dah tahu.  Tetapi saya risau mereka tidak sedari bahawa ada suatu isi penting yang saya utarakan iaitu di mana seorang itu wajar untuk  mempertikaikan diri sendiri tentang kesempurnaan bacaan ayat-ayat suci al-Qurannya jika dia tidak menguasai  bacaan-bacaaan unik di dalam al-Quran antaranya (1) bacaaan naqal (Rujuk surah al-Hujurat ayat 11)  (2) Bacaan Iltiqa’ sakinain (2 huruf bertanda mati (sukun) yang bertemu nun kasrah/wiqayah (nun baris di bawah – nun yang dihilang tetapi bunyinya tetap ada) bila tanwin bertemu alif lam tanda mati) itulah iltiqa sakinain dengan menggantikan bunyi nun di bawah (3) Cara ibtida’ hamzal wasal dan lain-lain. Seterusnya bacaan saktah, bacaan imalah, isymam, tashil dan lain-lain.

Bukanlah maksud saya untuk membebel dari sudut hukum tajuwid, tetapi sekiranya kita tidak prihatin terhadap bacaan-bacaan unik ini, lantas tidak menguasainya (iaitu membaca dengan betul) tentulah kita akan berterusan melakukan kesilapan. Kita kata kita dapat khatam al-Quran beberapa kali setahun atau sebulan Ramadan, tetapi bagaimana kedudukan setiap khatam itu, sempurnakah?   Maka usahakanlah kemahiran ini segera.

Bagi Ramadan 2013, ini saya telah menyuarakan cadangan agar tadarus dilaksanakan dengan pembacaan terjemahan.  Saya tahu, tidak mudah idea saya ini dapat diterima untuk dilaksanakan di surau kampung saya tapi saya akan cuba yakinkan kepentingannya. Saya tahu akan berlaku pertambahan masa untuk menghabiskan 1 juzuk yang kesannya ditakuti melemahkan semangat bakal-bakal peserta. Inilah kerisauan awal disuarakan iman (lazim bukan rasmi) yang sering memimpin kumpulan tadarus kami. Lalu saya memberikan beberapa hujah awal iaitu :-  

(1)   Peserta tadarus lazimnya telah diketahui setiap tahun dan mereka ini adalah orang yang sama dan komited
(2)   Pertambahan masa boleh dikawal dan diminimumkan dengan kebijaksanaan pemimpin/ketua membahagikan kadar banyak bacaan peserta mengambilkira kefasihan.
(3)   Terjemahan dibaca secara 1 mukasurat- 1 mukasurat dan saya telah membeli dua buah kitab al Quran terjemahan (Hidayah Publication) , bahasa melayu, yang besar dan jelas, satu untuk ketua dan satu untuk saya (helah supaya cadangan jangan ditolak).  
(4)   Saya juga minta dicuba selama seminggu (helah supaya diteruskan jelah).  


(5)   Semua di atas adalah sekadar hujah yang tidak penting tetapi apa yang penting ialah saya katakan (di depan beberapa jemaah) bahawa sejak selama kita hidup hingga umur sekarang (40 tahun-  50 tahun- 60 tahun), siapa diantara kita yang pernah habis membaca terjemahan secara sempurna bagi 30 juzuk al-Quran? Saya tanya, sekali sahaja, ada tak?  Saya agak yakin, tiada. Saya tanya kepada pembaca-pembaca Tranugkite kat luar sana, ada tak yang telah pernah menghabis membaca terjemahan (bukan tafsiran). 

(6)   Saya katakan bahawa kita selalu katakana; ini kitab panduan kita, kita rujukan kita, kitab suci kita tetapi kita tidak pernah memahami isikandungnya secara sempurna, walau sekali. Bukankah ia satu yang pelik! Tiada payahlah saya memanjang-lebarkan hujah emosi ini,  harap semua boleh melakukan sendiri bagi mendatangkan rasa bersalah dalam diri.

(7)   Saya katakan lagi, bahawa inilah peluang kita buat kali yang ini, Ramadan yang ini (takut takda peluang lagi), untuk kita sama-sama menghabiskan membaca makna/terjemahan dalam bahasa yang kita faham. Alangkah indahnya kalau kita berjaya melakukan hanya dalam satu bulan. (Sebab nak lakukan sendiri, memanglah payah)

(8)   Benar, ia mungkin memenatkan tapi saya yakin ia satu kejayaan besar dan penting bagi kita pencinta al Quran walaupun ia sepatutnya dikira peringkat asas (basic).  Justeru, tentulah ia perlukan usaha bersungguh-sungguh dan bersusah payah iaitu satu mujahadah, satu  bentuk jihad,  to struggle and strive’

(9)   Apa kata kalau pihak pembaca sekelian juga cuba cadangkan dan laksanakan di surau, masjid masing-masing. Jika tidak dapat semua, 1-2 kumpulan yang komited dan sanggup. Tentulah

Kalau boleh saya ingin lagi menjelaskan bahawa  kepentingan membaca al-Quran dengan kefahaman ini telah dihuraikan dengan begitu hebat oleh Dr Zakir Naik (saya akan cuba melengkap dengan baik dalam blog saya nanti, kunjung-kunjungilah bila ada kesempatan).
Ketahuilah saya suka memberi sekadar 2 bukti besar dan hidup (benar-benar hidup) kepentingan membaca dengan kefahaman:-
(1)    Joshua Evan – seorang pemuda mat salleh bekas menteri dalam agama Kristian yang membaca terjemahan al-Quran dan menghabiskannya dalam masa 3 hari (kalau tidak silap) dan kemudiannya melafazkan 2 kalimah syahadah.

(2)   Dr. Maurice Bucaille-  seorang pakar perubatan (bedah) dan saintis yang mengkaji tentang mumia Firauan. Beliau bukan sahaja membaca terjemahan, kemudian belajar bahasa arab secara serius pada umur 50 tahun untuk lebih memahami maksud sebenar ayat –ayat al-Quran itu.

Tapi kita, 40 tahun Islam tidak sekali habis membaca terjemahan al-quran dalam bahasa kita sendiri, Melayu.

Ah!, kalau lah saya ada kesempatan ini untuk menghuraikan lagi di sini. Kita jumpa lagi.
Ziarahi:- http://hisham-ahmad.blogspot.com  (FB: hisham.ahmad.1240)