Social Icons

Pages

Tuesday, July 23, 2013

Kemarahan Kreatif & Kprihatinan Yg Halus

Kisah Suami dan Isteri Mithali. Seorang suami yang marah atau tidak bersetuju tentang sesuatu perkara mengenai isterinya atau terhadap apa yang dilakukan oleh isterinya  akan menunjukkan rasa marah atau tidak puashati sama ada dengan perkataan atau perbuatan. 

Tidak pelik jika ketidaksetujuan atau kemarahan itu diluahkan secara jelas walaupun kesannya mungkin menyakitkan hati atau menyinggung hati isteri. Ada suami bertindak dengan perbuatan seperti membuat muka masam atau menghempas sesuatu barang sebagai tanda marah dan tidak puashati (asal jangan ‘naik tangan’ sudah lah).

Apapun kaedah komunikasi menyatakan tidak puashati atau tidak setuju atau marah sekalipun, biarlah berpatutan pada kaedah yang digunakan untuk menyampaikan ketidakpuashatian itu sesuai dengan kadar ringan atau berat isu itu tetapi yang baik ialah menggunakan pendekatan penyampaian ketidakpushatian atau kemarahan yang minima tetapi memadai untuk maksud ketidakpuashatian atau kemarahan itu difahami oleh isteri. 

Susah nak buat kan, saya faham. Cuba, cuba dan cuba berkali-kali. Kata mahu sentiasa berusaha menjadi  manusia yang lebih baik.  Ia perlukan usaha bersungguh dan perjuangan. (Jihad- to struggle, to strive)

Mari kita perhatikan salah satu pendekatan komunikasi antara Rasulullah s.a.w. dengan ibu sekelian orang beriman, saiyyidatina Aisyah r.a.  Betapa kreatifnya suami dan betapa prihatin dan sensitifnya isteri.

Sahih Bukhari, Hadith  No. 4827, maksud:-

Telah menceritakan kepada kami Ubaid bin Isma'il Telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Hisyam dari bapaknya dari Aisyah radliallahu 'anha, dia berkata; Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam perna bersabda kepadaku:

“Sesungguhnya aku benar-benar tahu saat kamu redha padaku dan saat kamu tidak redha  denganku." Aisyah berkata. Rasul bertanya, "Bagaimana Anda mengetahui hal itu?" maka Aisyah pun menjawab: "Jika kamu redha terhadapku maka engkau berkata, 'Demi Rabb Muhammad.' Namun bila kamu sedang marah denganku, maka kamu berkata, 'Tidak. Demi Rabb Ibrahim.'" Aku pun berkata, "Demi Allah wahai Rasulullah, aku tidak meninggalkan namamu."

Sungguhkah kami pencinta sunnah?




Di luar sana, sebahagian golongan manusia khayal dalam gelombang kerosakan dan  kemaksiatan. Hidup meraban tidak keruan. Golongan kedua pula tidak seteruk begitu, namun fokus hanya kepada pada matlamat yang dekat. Diburu habuan dunia yang tidak seberapa demi kesenangan yang sementara. Beruntunglah pula bagi golongan ketiga yang bermula dengan matlamat mengutamakan akhirat, bahagian di dunia tidak dilupa. 

Sesuatu berlaku. Atas apa jua sebab dan musabab. Pastinya kehendak Allah jua. Sebahagian daripada golongan pertama dan kedua mendapat hidayah untuk kembali ke jalan yang benar. Mereka  menjadual semua kehidupan  atas sisa umur yang ada. Semoga amal baik, menuruti amal buruk, lalu menghapuskan (dosa-dosa)nya.   

Kesedaran memerlukan usaha untuk meneroka jalan kebenaran atau sebenarnya jalan menuju ke arah kebenaran. Ilmu adalah cahaya untuk memahami agama. Alangkah seronoknya apabila menemui ilmu mengenai sunnah nabi. Kesungguhan mendalami ilmu menambah kefahaman. Namun disebalik itu ada sesuatu yang lain turut ditemui. Sesuatu yang selama ini tidak pernah diambil peduli. 

“Ya Allah, ada 72 golongan di antara kami, satu sahaja yang Kau-redhai, yang lain semua dalam rugi. Bagaimana pula dengan kami?”, Itulah antara konflik diri. Dari situ, kumpulan umat Islam kini wujud atas pelbagai alasan dengan pelbagai label, jenama dan identiti. Syiah, Sunnah, Wahabi, Tabligh, Salafi, Sufi dan bermacam lagi.  

Kami temui pula sesuatu yang dipanggil ‘Bidaah’. Benda baru dalam agama. Disebut dalam banyak hadith sahih. Sekian lama tidak diketahui atau tidak diambil hirau perkataan ini.  “Apa maksudnya? Buat ibadahpun boleh sesat kalau tidak mencontohi petunjuk nabi”, tanya diri ini. “Pelik, biasa manusia malas nak buat ibadah, ibadah yang ada dah cukup banyak dan berat. Betul ada ke golongan yang nak buat ibadah lebih lagi, lebih dari apa nabi suruhi?! Kalau begitu buat lebih takkan salah. Pekerja kalau buat kerja lebih dari majikan suruh, majikan pasti ‘happy’?”, keliru dan termangu. 

Siapa sangka, perkataan bidaah ini telah menimbulkan konflik dan sengketa. Dulu, kini atau mungkin selama-lamanya.  Sedang yang menjadi isu bicara telah begitu lama di alam berbeza Buku demi buku terus diterbitkan untuk jawab menjawab antara 2 golongan. Golongan yang lama diganti dengan pewaris yang baru… namun serangan harus diteruskan, pertahanan harus dikuatkan. Segala ruang media , jika ada peluang, tidak dilepaskan. Seperti menagih sokongan. Ustaz lawan ustaz , terkorbanlah orang awam. Cukuplah. Enough is enough. Put a stop to this nonsense.

Sesungguhnya terlalu banyak yang kami tidak ketahui.  ‘Too much more to  learn’.. ‘yet so little time left’. Tidak mengapa. Masa yang dulu adalah kehidupan yang telah berlalu. Sesal yang tidak membawa erti. Kini, kami rela mengorbankan masa yang berbaki untuk mencari kebenaran hakiki. Kebenaran pada sunnah baginda nabi. Muhammad Rasulullah s.a.w.  kekasih-Nya, juga kekasih kami. 

Semoga kami ditemukan dengan sunnah nabi. Sunnah yang tidak dicemari. Sunnahnya yang asli. Sunnah yang … “ORI”

Rintihan Hati
Ya Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
kami telah lama cuai dan ingkar. Masa muda kami terlalu banyak dikorbankan untuk urusan dunia. Saban hari kami terikat dengan kerja, kerap membawa ke malam. Kami kerah fikiran dan tenaga untuk wang. Wang itu pula untuk kami langsaikan bebanan dan tanggungan. Hutang rumah, hutang kereta.  Hutang perlu, hutang tak perlu. Kos hiburan untuk keseronokan. Bukan kesederhanaan jika melebihi keperluan.
Sudahnya, kami tidakpun sekaya mana. Sekadar biasa. Habuan dunia yang digendong sekarang tidak semuai mana. Namun apa yang kami tercicir dan tergelincir.. semuanya di dalam pengetahuanmu jua.  Kami telah ingkar, lalai. Abai dan cuai. Kami gadai akhirat kami…  
Tanggungjawab agama kami lalui umpama adat biasa. Solat asal solat, kualiti tiada. Amalan lain, kelu lidah untuk berkata. Sama sahaja.  Ilmu agama, sekadar yang dipaksakan semasa kecil. Sepanjang kedewasaan, ilmu agama kami pinggirkan. Walhal, ilmu kami bukan ibarat titisan air yang tertinggal pada anak jari yang dicelup pada lautan yang luas, tetapi .. titisan terakhir yang berbaki pada jari sebelum kering disedut panas mentari. Hinanya kami, Ya Allah.
Kami kata kami cinta-Mu, cinta nabi-Mu tapi ia hanya lebih pada pengucapan, sangat sedikit pada  perbuatan.  Kasih kami pada nabi tidak pernah dibuktikan. Kami tak endah sirah kami tak faham sunnah. Kami pencinta palsu. Kami pemalsu cinta.
Ya Allah, Dikau  Maha Pengampun, Dikau Suka Mengampuni, Ampunilah Kami,
Mana mungkin dapat kami tebus masa yang telah berlalu dengan sisa masa yang berbaki.  Ajal itu sedekat urat leher kami, entah tinggal berapa lama lagi.
Terlalu banyak hendak dilakukan sehinggakan kami kebingungan, kebuntuan. Mencari kebenaran dari perselisihan dan sengketa pandangan.   
Ya Allah, Yang nyawa kami dalam genggaman-Mu. Kasihanilah kami.
Dengan hidayah dan kehendak-Mu, kami azam tinggalkan kejahatan masa silam… kami berusaha dan berusaha walau sesukar mana. Kami kemudiannya berusaha memahami agama-Mu. Kami bersungguh mencari sunnah nabi-Mu.
Namun di situ ada isu-isu. Kami keliru. Sesuatu yang dikaitkan dengan sunnah nabi-Mu dan bida’ah pada agamamu. Kami hairan bila ulama-ulama berbeza pandangan, namun kemudian kami faham. Kini ada pula kumpulan ilmuan agama, mereka berselisih dan bersengketa,  mendakwa kebenaran pada pihak mereka.
Masing-masing mendakwa merekalah penegak sunnah nabi-Mu. Hujah berbalas hujah. Itu adil. Tapi bila sindir berbalas sindir, kutuk berbalas kutuk. Akhirnya sesat menyesatkan. Kami yang disebut orang biasa, bukan ilmuan, tercengang menyaksikan pertembungan. Kepada semua, persengketaan dihidangkan…kononnya teknologi internet, dunia tanpa sempadan.  
Jika ia kebenaran, ia ganjaran lumayan. Jika ia tohmah dan fitnah, ia kecelakaan yang sendiri diundang. Mereka ini sesungguh sangat berani.  Sungguh berani mengambil risiko itu.
Ya Allah,
Tunjukkilah kami jalan yang lurus. Lindungi kami dari tersalah dan tergelincir ke jalan yang menyesatkan. Kami yakin bahawa agama ini dibina atas dalil dan hujah. Kami yakin petunjuk melalui nabi-Mu adalah dari hadith-hadithnya. Dahulukan yang sahih, baru fikir yang lain.
Berilah kami kekuatan untuk menggigit sunnah nabi Mu dengan geraham kami. Supaya ia takkan cicir dan lucut lagi dari kami. Tolong kami untuk memisah, mengasing dan melempar jauh segala kepalsuan, bida’ah dan kotoran yang membelengui amalan-amalan… diri kami, keluarga kami, masyarakat dan negara kami.
Ya Allah, izinkan, benarkan kami menikmati semula kejernihan dan ketulenan sunnah nabi kami. Kami tidak mahu melainkan yang sahih, yang asli.      
marilah sama-sama kita hayati Ramadan ini dengan mengutamakan amalan-amalan sunnah yang sahih kerana kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. 

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”. [al-Taubah 9:128]

Seruan Dakwah -
Wahai sekelian pihak berauthoriti di pejabat agama, jawatankuasa masjid, surau, pihak atasan jabatan, institusi atau di mana sahaja. Duhai sekelian pencinta sunnah dari golongan dewasa dan anak muda. 

Marilah kita terokai semua hadith-hadith yang relevan pada amal ibadah kita. Kita kumpul  untuk kita bincang dan faham. Kita panggil ilmuan sunnah untuk menjelaskan atau mensyarahkan bagi tujuan amalan. Kita mulakan dengan ibadah yang utama. Marilah kita buat senarai semak setakat mana amalan sunnah sahih yang kita telah laksanakan, setakat mana kita telah tertinggal dari dilaksanakan. Dahulukan yang tiada perselisihan. Bagaimana dapat disesuaikan dengan keadaan dan masalah sekarang.  

Sebagai contoh, dalam bulan Ramadan ini. Bagaimana kita dapat harmonikan supaya tidak terlepas 2 manfaat sunnah (1) untuk terus kekal bersama Imam yang solat tarawikh dan witir pada awal malam (kerana ada ganjaran besar) (2) untuk kita dapat melaksanakan witir pada hujung malam (witir hujung lebih afdal).

Saturday, July 20, 2013

Reform 5 - Subahat seorang Tuan Di tepi Jalan




Sejak awal Ramadan, aku dah perasan kehadirannya. Seorang lelaki tua bersama anak perempuannya (juga tidak muda). Beliau menjual makanan ditepi jalan besar di dalam kawasan taman Sri  Telok Mas, Melaka. Baguslah, umur tidak menghalang untuk berusaha mencari rezeki halal dan baik. 

bukan si tua tu
Harap jualannya habis seawal mungkin sebelum maghrib menjelma. Kasihan kalau terpaksa bertahan sampai hampir waktu berbuka atau lebih malang jika terpaksa balik selepas maghrib. Sepatutnya dia bersama keluarga dirumah berbuka dan kemudian menunaikan solat jemaah di surau atau masjid. 

Apa boleh buat, mungkin itulah peluang terbaik untuknya setakat ini, mengambil peluang meniaga berpayung dan bermeja ditepi-tepi jalan bersama-sama sekian ramai peniaga melayu yang lain sedangkan hampir kesemua perniagaan di bangunan lot-lot kedai di taman dikuasai kaum lain.   Itulah kehidupan  muslim melayu di Malaysia dan itulah juga sebagai antara tanda ‘kejayaan’ ekonomi bangsa kita, setakat ini.  

Oh hampir saya terlupa kepada objektif asal kisah ini. Pakcik atau Atuk tadi telah meniaga seawal pukul 2.00 petang (atau mungkin lebih awal). Masalahnya … siapa pelanggan-pelanggan  yang diharapkan untuk membeli pada masa itu? Makcik yang uzur atau untuk kanak-kanak kecil. Itu tidak apa. 

Bagaimana kalau yang datang membeli lelaki-lelaki muda muslim yang sihat , segar- bugar. Takkan nak membeli makanan untuk berbuka seawal itu atau bekalan untuk musafir. Nak kata macam membeli untuk ibu yang sakit, atau isteri yang uzur atau anak kecil yang kelaparan, entahlah. Macam susah nak anggap begitu. Patut kita bersangka baik atau sebaliknya? Patut tak atuk atau pakcik itu bertanya dan menyelidiki?

Ini penyaksian benar. Ketika beberapa tahun dahulu  saya di Taman Bukit Perdana Batu Pahat,  ada gerai tepi jalan menjual makanan dan nasi berlauk se awal waktu yang sama. Seorang lelaki muda atau lebih membeli nasi berlauk dalam bekas polystrene, berlaku sekitar antara pukul 2.30 petang. 

Baiklah mungkin kita masih boleh sangka baik itu untuk tujuan berbuka….Tapi bagaimana kalau nasi dan lauk dicampur sekali, mungkin siap dengan sayur. Ini, untuk di makan segera atau disimpan untuk buka?!   

Justeru, saya menyeru sekian anak-anak muda beriman dari kalangan pembaca untuk melakukan kajian, tinjuan dan dakwah kepada semua gerai orang Islam ditepi-tepi jalan yang dibuka sekitar waktu tengahari atau sebelum pukul 3… dan kaji selidik setakat mana berlaku kegiatan syakwasangka ini. 

Saya juga menyeru mereka berjumpa peniaga-peniaga ini dan memberi nasihat, pesanan dan maklumat supaya berawas dalam berjual agar tidak bersubahat dengan manusia ingkar puasa tanpa alasan syarak.  Antaranya jangan jual air atau nasi dahulu yang ‘ready’ untuk dinikmati sebagai tanda kita berjaga-jaga. Sipemuda datang berseorangan, mesti ditanya.

Untuk bersangka baik, kita perlu mengambil langkah tidak memudahkan siingkar puasa ini mengambil kesempatan. Jangan kerana RM5-RM10 nasi bungkus, kelak kita pun turut dibungkuskan untuk dicampak ke neraka.  

Hisham-ahmad.blogspot.com

Friday, July 19, 2013

Reform 4 -Nasihat (2) Untuk Peguam

Pendedahan Yang Terpaksa Dilakukan....  Di Malaysia, antara tugas yang memberi pulangan yang baik dan lumayan ialah memberikan perkhidmatan kepada pihak bank atau institusi kewangan. Ini kerana Bank dan institusi ini menawarkan produk-produk pinjaman yang pelbagai jenis bernilai hingga berjutaan ringgit.



 Tugas 1. Berkaitan pinjaman-pinjaman konvensional.  Tugasan yang menjadi isu ini ialah melibatkan pinjaman-pinjaman konvensional iaitu hanya terdapat di perbankan konvensional iaitu bukan perbankan Islam/syariah. Institusi seperti Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat,  RHB Islamic Bank, Al Rajhi Banking & Investment Corpn (M) Berhad, EONCAP Islamic Bank,  CIMB Islamic Bank, Affin Islamic Bank, AmIslamic Bank Berhad  adalah antara 100% bank-bank Islam, bermakna tiada produk Riba ditawarkan.
   
Sebagaimana lawan kepada bank-bank Islam ini ialah apa yang disebut bank-bank konvensional iaitu lazimnya tiada penggunaan perkataan Islam, Syariah, Muamalat atau perkataan seperti ke’arab’an. Di Malaysia, perbankan konvensional ada juga menyediakan produk syariah (bukan Riba).

Oleh itu, penentuannya bukanlah bank mana atau bank apa, tetapi produk apa yang anda langgan? Jika ia pinjaman konvensional ia adalah Riba.  Produk konvensional ini lazimnya merujuk kepada pelbagai jenis pinjaman di bank-bank dan insitutusi kewangan konvensional.
Tak kisahlah apa nama pinjaman yang berikan dan untuk apa tujuan ia diberikan, lazimnya terdapat peruntukan faedah dan kesannya seseorang akan membayar lebih daripada apa yang dipinjamnya.

Tugas peguam adalah termasuklah :   

1. Sebagai saksi formal dan penting dalam suatu dokumentasi perjanjian pinjaman Riba.
Peguam menjadi saksi kepada peminjam dan saksi kepada wakil kuasa pihak bank
Menandatangani  perjanjian pinjaman sebagai saksi peguam dan saksi kepada penyempurnaan perjanjian.

2. Peguam juga adalah orang yang merangka atau menyediakan perjanjian pinjaman dan jika ia perjanjian standard, peguam tetap mempunyai tangggungjawab memastikan kesahan terma-terma perjanjian tersebut di sisi undang-undang. 

3. Merangka, mendraf sehingga menghasilkan perjanjian pinjaman adalah lazimnya dalam kes-kes pinjaman besar atau bagi kes-kes pinjaman yang tidak dipakai dokumen standard dan sebagainya. Disinilah kemahiran guaman seseorang peguam lebih diperlukan untuk menjadikan perjanjian dihasilkan kuat dan  selamat bagi lazimnya kepentingan pemberi pinjam. 

4. Peguam juga akan memberikan penerangan dan penjelasan maksud terma-terma pada perjanjian pinjaman itu khususnya kepada peminjam. 

5. Peguam juga memastikan segala dokumen dan syarat bagi pinjaman disempurnakan dan dalam keadaan teratur (tiada kesalahan). Urusan-urusan sampingan telah dibuat seperti mengstemkan, menghantar untuk penilaian dan sehinggalah didaftarkan pindahmilik dan lain-lain prosedur dipenuhi seperti semak status kebankrapan, semakan tanah, semakan syarikat, surat menyurat dan jika ada cagaran, maka pastikan gadaian sempurna didaftarkan dan lain-lain.

6. Tugas peguam daripada menerima arahan sehingga memberi nasihat kepada bank agar wang pinjaman dapat dikeluarkan oleh bank kepada peminjamNasihat atau sebenarnya pemberitahuan ini ialah melalui surat bertulis memaklumkan kepada pihak pemberi pinjam (bank) bahawa segala dokumen berkaitan kes pinjaman tersebut adalah teratur dan adalah selamat untuk pihak bank mengeluarkan wang pinjaman untuk diberikan kepada peminjam atau bagi manfaat peminjam Nasihat peguam ini sebenarnya diberi dengan harga tinggi iaitu akujanji untuk menggantirugi bank/pemberi pinjam jika berlaku kecuaian atau kesalahan pada pihak peguam yang menyebabkan kerugian kepada pihak bank

7. Tidak dinafikan inilah fungsi penting peguam iaitu untuk pastikan dokumen perjanjian pinjaman Riba, jaminan pinjaman Riba dan kepentingan bank Riba terpelihara, terjamin dan selamat. Kekalkan akujanji dan nasihat undang-undang (berjaminan insuran berjuta ringgit). Atas nasihat itu bank Riba melepaskan wang pinjaman Riba kepada peminjam Riba.

Tanpa nasihat peguam ini, pastilah wang pinjaman Riba tidak akan dilepaskan. Alangkah hebatnya profesion peguam! Daripadanya, peminjam akan membayar wang upahan dipanggil ’legal fees’ atas perkhidmatan profesionalnya. Itulah antara kepentingan tugas peguam. Itulah peraturan yang ditetapkan. Itulah amalan biasa perbankan dan sistem undang-undang kita 

Tugas 2:-

Tugasan Tuntutan Undang-Undang. Satu lagi bentuk kerja peguam membabitkan unsur Riba tapi bukan melibatkan penyediaan dokumen pinjaman ialah tuntutan undang-undang. Tugasan tuntutan sivil yang banyak dilakukan ialah mewakili institusi perbankan dan kewangan, syarikat-syarikat, pertubuhan-pertubuhan dan sebagainya.   Tuntutan oleh pihak bank kepada peminjam atau pelanggan adalah melibatkan keingkaran pada pelbagai jenis pinjaman atau kemudahan sama ada bergadaian (bercagar) atau tidak.

Apabila berlaku keingkaran peminjam dalam pembayaran balik  berlakulah kemungkiran pada perjanjian pinjaman Riba. Maka pihak peguam akan diberi arahan tugasan untuk mengambil tindakan undang-undang bermula dengan notis, saman di mahkamah atau lelongan hartanah yang digadai.  Isu Riba dalam tugasan ini adalah berbeza.

Tuntutan dibuat kerana sama ada berlaku tunggakan ansuran hutang atau tuntutan keseluruhan jumlah yang terhutang. Jumlah tuntutan adalah termasuk jumlah prinsipal dan jumlah faedah yang dipersetujui. Pengenaan faedah ini kadangkala dalam bentuk formula seperti 2.5% setahun, 2.5% atas Kadar Asas Berian Pinjaman (Base Lending Rate-BLR). Sebagai contohnya penghakiman diberikan mahkamah iaitu pada jumlah RM20,000-00 setakat 10/7/2008  dengan faedah pada kadar 10% dari tarikh 11/7/2008 sehingga tarikh penghakiman dan faedah 8% dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh.

Dalam bahasa mudah, wang yang dituntut oleh pihak bank adalah lebih daripada apa yang dipinjamkan dan kadangkala lebihan yang dituntut masih tidak dapat lagi ditentukan jumlahnya secara pasti selagi tarikh penyelesaian penuh masih tidak dapat ditetapkan.

Atas arahan bank, peguam menandatangani notis tuntutan atau saman sebagai peguam bagi firma dan mewakili bank di mana tuntutan adalah atas jumlah terhutang meliputi jumlah prinsipal (pokok) dan faedah. Atas arahan bank juga, di mahkamah, peguam terpaksa menuntut penghakiman atas jumlah prinsipal dan faedah. Atas persetujuan peminjam dalam perjanjian, maka mahkamah membenarkan tuntutan faedah walaupun kadarnya mungkin lebih tinggi daripada faedah 8% faedah yang mahkamah berkuasa memberikan.  Namun semua faedah ini adalah dibenarkan dan ditetapkan di bawah undang-undang. Begitulah dalam prosiding kuatkuasa penghakiman. Adalah untuk menuntut keseluruhan jumlah terhutang (wang prinsipal dan faedah terakru padanya) yang berakhir sama ada peminjam dapat membayar balik wang terhutang tersebut atau sebahagian daripadanya dan atau dihukum dengan bankrupsi atau sebagainya.

Begitulah kedudukan peguam muslim dalam dunia kepeguaman yang mencabar. Mereka dibentuk jika tidak sepenuhnya sudah tentu sebahagian besarnya, melalui didikan sivil yang berteraskan “English Common Law”.

Mereka kemudiannya beramal guaman dalam dunia perundangan sivil di mahkamah yang mentadbir perundangan sivil. Mereka juga bergerak secara bersama dengan begitu ramai peguam bukan muslim. Jika dunia perbankan (kewangan) telah menerima dengan baik pengaruh syariah dalam sistemnya, perundangan kita masih kekal teguh  dengan ‘roh’ sivilnya.  
  
Kesimpulan Pahit:-  Justeru, terlalu sukar untuk dinafikan atau sebenarnya suatu kebenaran yang terpaksa diakui bahawa terdapat unsur Riba yang jelas, langsung dan menguntungkan pada bidang tugas dan kerja peguam muslim di atas.

Seandainya benarlah begitu atau sememang inilah hakikat sebenar, maka melihatkan kepada nas-nas dan authoriti sahih mengenai dosa besar Riba dan kedahsyatan balasan dan kesudahannya, semestinya peguam-peguam muslim memberi pertimbangan dan semakan semula sedalam-dalamnya, demi untuk kebaikan khususnya kepada diri mereka sendiri.  

Lalu apakah kesudahannya? 

Bersambung ....

(tulisan ini mengambil sedikit masa kerana perlu dipinda, edit untuk disesuaikan bagi paparan Tranungkite, siapa ingin membaca tulisan lengkap boleh rujuk blog dari masa ke semasa atau lebih baik dibeli sahaja  buku tulisan seorang peguam sivil dan syarie bertajuk ‘Syurga Lebih Hampir Tanpa Riba’ terbitan Galeri Ilmu Buku ini berbeza daripada buku riba yang lain kerana terdapat bicara khusus melibatkan aspek realiti seperi isu riba di mahkamah, kes mahkamah berkaitan riba, Fatwa Pakar Luar negara, Fatwa (Mufti) Johor, Bicara khusus kerjaya-kerjaya  seperti peguam, perbankan  dan sebagainya, Isu Darurat dan ketidakberdosaan riba? dan banyak lagi. Bagi buku motivasi meninggal riba, anda boleh baca buku “Dosa Perang Dengan Allah” terbitan Kemilau Publika oleh penulis yang sama. (Berminat sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)

http://hisham-ahmad.blogspot.com/

Tuesday, July 16, 2013

Superman @ Superhuman!!!

Ini juga kisah benar, berlaku di bulan Ramadan. Suatu ketika pada tahun yang telah berlalu. Seorang anak muda musafir dari suatu kumpulan jemaah, sesudah selesai solat terawikh dan witir, bergegas bangun membaca sesuatu daripada suatu kitab yang begitu popular antara kisahnnya ialah:- 

Adanya ahli ibadah (abid) yang bersolat malam sepanjang malam hingga solat subuhnya menggunakan wuduk solat isyak untuk sekitar 30 @ 50 tahun. Adakah maksudnya  ahli abid ini telah tidak tidur malam selama tempoh itu. 
-Ini bukan superman itu-
Ini kisah yang hebat. Kisah manusia hebat. Kemampuan beribadah begitu memang sangat hebat. Perlukan kemahuan tinggi , semangat kental, kekuatan dan ketahanan mental dan fizikal. Sehari-dua hari , seminggu , sebulan mungkin ? setahun,  30 tahun! Ini manusia luarbiasa,. Superman atau superhuman. 

Mari kita Buat Sedikit Analisa logik dan Rasional 

Persoalan:- Apa yang cuba ditonjolkan daripada kisah ini? Dan apa yang akhirnya tertonjol dari kisah ini?

Ia mungkin bertujuan baik untuk memotivasikan kita agar kuat  beribadah…  tapi adakah ia dapat mencapai tujuan itu? Atau kesan halusnya … memati-vasikan (demotivation).
Persoalan: Munasabahkah kisah ini atau keterlaluan? Sekiranya beginilah cara beribadah, apa sisa kudrat yang tinggal untuk keesokan siang, selama 3o tahun. Jika berjaga sepanjang malam selama 30 tahun malamnya sudah begitu, adakah bermakna selama 30 tahun, tidur di siang hari. Bagaimana urusan-urusan penting lain dengan pekerjaan dan nafkah keluarga dan diri sendiri?  

Bagaimana jika kisah ini tidak sahih? Tidak diketahui benar? atau sememangnya tidak benar? Ia ditakuti menjejaskan kesucian Islam. Kisah agama mesti dipastikan sahih dan benar, jika tidak ia akan menjadi ejekan seloka agama (divine jokes).

Kisah kehebatan ibadah ini berlaku sesudah kewafatan nabi dan bukan dicerita oleh sahabat. Ia bukan kisah berdasarkan hadith. Tidak salah untuk  sesuatu kepelikan dipertikaikan. Bagaimana kalau kisah seperti ini kelihatan bercanggah nasihat dan perintah Rasul s.a.w. seperti pada hadith di bawah.  

Terdapat satu hadith  sahih mengenai 3 sahabat yang ingin mengetahui tentang keadaan ibadah nabi saw.

Telah datang tiga orang ke rumah-rumah isteri-isteri nabi s.a.w. lalu mereka bertanya tentang ibadat nabi s.a.w. Apabila dimaklumkan (tentang ibadat nabi), mereka merasakan seolah-olah ianya sedikit. Lalu mereka berkata: “di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan kedudukan nabi s.a.w. yang telah diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang?”

Berkata salah seorang daripada mereka: “Adapun aku, maka aku akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang terakhir: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.”

Maka Rasulullah s.a.w. datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? (Diakui mereka) Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut di antara kalian kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat (malam) dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia tidak termasuk dari aku.” 
(Sahih Bukhari : Hadith no: 5063 (Rujuk Kitab al-Nikah, Bab anjuran untuk menikah).

Hadith ini membuktikan beberapa perkara antaranya:-  ibadah malam yang diberi contoh dan petunjuk oleh Nabi (untuk diamalkan oleh umatnya) sebagai cara sunnah yang benar adalah mempunyai  ketetapan dan batasan. Tidak boleh berlebihan seperti beribadah sepanjang malam apalagi berterusan selama berpuluh tahun. Ia bukan sahaja tidak mengikut sunnah bahkan satu kesalahan besar dan dikecam  dengan serius.

Oleh itu, boleh tak saya katakan begini …. sekiranya sekalipun kisah mengenai ibadah abid itu benar-benar berlaku, ia bukan suatu kisah tauladan untuk ikutan, sebaliknya kisah tauladan untuk jadi pengajaran dan sempadan.

Namun atas prinsip keterbukaan kepada hujah dan pandangan berbeza dan mengakui saya mungkin tersilap dalam memahami, pohon sesiapa memberi pandangan balas.   Wallahu taala alam.

Pengajaran – 
utamakan kisah dari hadith-hadith sahih
utamakan amalan-amalan (sunnah) yang sahih


hisham-ahmad.blogspot.com