Social Icons

Pages

Tuesday, July 23, 2013

Sungguhkah kami pencinta sunnah?




Di luar sana, sebahagian golongan manusia khayal dalam gelombang kerosakan dan  kemaksiatan. Hidup meraban tidak keruan. Golongan kedua pula tidak seteruk begitu, namun fokus hanya kepada pada matlamat yang dekat. Diburu habuan dunia yang tidak seberapa demi kesenangan yang sementara. Beruntunglah pula bagi golongan ketiga yang bermula dengan matlamat mengutamakan akhirat, bahagian di dunia tidak dilupa. 

Sesuatu berlaku. Atas apa jua sebab dan musabab. Pastinya kehendak Allah jua. Sebahagian daripada golongan pertama dan kedua mendapat hidayah untuk kembali ke jalan yang benar. Mereka  menjadual semua kehidupan  atas sisa umur yang ada. Semoga amal baik, menuruti amal buruk, lalu menghapuskan (dosa-dosa)nya.   

Kesedaran memerlukan usaha untuk meneroka jalan kebenaran atau sebenarnya jalan menuju ke arah kebenaran. Ilmu adalah cahaya untuk memahami agama. Alangkah seronoknya apabila menemui ilmu mengenai sunnah nabi. Kesungguhan mendalami ilmu menambah kefahaman. Namun disebalik itu ada sesuatu yang lain turut ditemui. Sesuatu yang selama ini tidak pernah diambil peduli. 

“Ya Allah, ada 72 golongan di antara kami, satu sahaja yang Kau-redhai, yang lain semua dalam rugi. Bagaimana pula dengan kami?”, Itulah antara konflik diri. Dari situ, kumpulan umat Islam kini wujud atas pelbagai alasan dengan pelbagai label, jenama dan identiti. Syiah, Sunnah, Wahabi, Tabligh, Salafi, Sufi dan bermacam lagi.  

Kami temui pula sesuatu yang dipanggil ‘Bidaah’. Benda baru dalam agama. Disebut dalam banyak hadith sahih. Sekian lama tidak diketahui atau tidak diambil hirau perkataan ini.  “Apa maksudnya? Buat ibadahpun boleh sesat kalau tidak mencontohi petunjuk nabi”, tanya diri ini. “Pelik, biasa manusia malas nak buat ibadah, ibadah yang ada dah cukup banyak dan berat. Betul ada ke golongan yang nak buat ibadah lebih lagi, lebih dari apa nabi suruhi?! Kalau begitu buat lebih takkan salah. Pekerja kalau buat kerja lebih dari majikan suruh, majikan pasti ‘happy’?”, keliru dan termangu. 

Siapa sangka, perkataan bidaah ini telah menimbulkan konflik dan sengketa. Dulu, kini atau mungkin selama-lamanya.  Sedang yang menjadi isu bicara telah begitu lama di alam berbeza Buku demi buku terus diterbitkan untuk jawab menjawab antara 2 golongan. Golongan yang lama diganti dengan pewaris yang baru… namun serangan harus diteruskan, pertahanan harus dikuatkan. Segala ruang media , jika ada peluang, tidak dilepaskan. Seperti menagih sokongan. Ustaz lawan ustaz , terkorbanlah orang awam. Cukuplah. Enough is enough. Put a stop to this nonsense.

Sesungguhnya terlalu banyak yang kami tidak ketahui.  ‘Too much more to  learn’.. ‘yet so little time left’. Tidak mengapa. Masa yang dulu adalah kehidupan yang telah berlalu. Sesal yang tidak membawa erti. Kini, kami rela mengorbankan masa yang berbaki untuk mencari kebenaran hakiki. Kebenaran pada sunnah baginda nabi. Muhammad Rasulullah s.a.w.  kekasih-Nya, juga kekasih kami. 

Semoga kami ditemukan dengan sunnah nabi. Sunnah yang tidak dicemari. Sunnahnya yang asli. Sunnah yang … “ORI”

Rintihan Hati
Ya Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
kami telah lama cuai dan ingkar. Masa muda kami terlalu banyak dikorbankan untuk urusan dunia. Saban hari kami terikat dengan kerja, kerap membawa ke malam. Kami kerah fikiran dan tenaga untuk wang. Wang itu pula untuk kami langsaikan bebanan dan tanggungan. Hutang rumah, hutang kereta.  Hutang perlu, hutang tak perlu. Kos hiburan untuk keseronokan. Bukan kesederhanaan jika melebihi keperluan.
Sudahnya, kami tidakpun sekaya mana. Sekadar biasa. Habuan dunia yang digendong sekarang tidak semuai mana. Namun apa yang kami tercicir dan tergelincir.. semuanya di dalam pengetahuanmu jua.  Kami telah ingkar, lalai. Abai dan cuai. Kami gadai akhirat kami…  
Tanggungjawab agama kami lalui umpama adat biasa. Solat asal solat, kualiti tiada. Amalan lain, kelu lidah untuk berkata. Sama sahaja.  Ilmu agama, sekadar yang dipaksakan semasa kecil. Sepanjang kedewasaan, ilmu agama kami pinggirkan. Walhal, ilmu kami bukan ibarat titisan air yang tertinggal pada anak jari yang dicelup pada lautan yang luas, tetapi .. titisan terakhir yang berbaki pada jari sebelum kering disedut panas mentari. Hinanya kami, Ya Allah.
Kami kata kami cinta-Mu, cinta nabi-Mu tapi ia hanya lebih pada pengucapan, sangat sedikit pada  perbuatan.  Kasih kami pada nabi tidak pernah dibuktikan. Kami tak endah sirah kami tak faham sunnah. Kami pencinta palsu. Kami pemalsu cinta.
Ya Allah, Dikau  Maha Pengampun, Dikau Suka Mengampuni, Ampunilah Kami,
Mana mungkin dapat kami tebus masa yang telah berlalu dengan sisa masa yang berbaki.  Ajal itu sedekat urat leher kami, entah tinggal berapa lama lagi.
Terlalu banyak hendak dilakukan sehinggakan kami kebingungan, kebuntuan. Mencari kebenaran dari perselisihan dan sengketa pandangan.   
Ya Allah, Yang nyawa kami dalam genggaman-Mu. Kasihanilah kami.
Dengan hidayah dan kehendak-Mu, kami azam tinggalkan kejahatan masa silam… kami berusaha dan berusaha walau sesukar mana. Kami kemudiannya berusaha memahami agama-Mu. Kami bersungguh mencari sunnah nabi-Mu.
Namun di situ ada isu-isu. Kami keliru. Sesuatu yang dikaitkan dengan sunnah nabi-Mu dan bida’ah pada agamamu. Kami hairan bila ulama-ulama berbeza pandangan, namun kemudian kami faham. Kini ada pula kumpulan ilmuan agama, mereka berselisih dan bersengketa,  mendakwa kebenaran pada pihak mereka.
Masing-masing mendakwa merekalah penegak sunnah nabi-Mu. Hujah berbalas hujah. Itu adil. Tapi bila sindir berbalas sindir, kutuk berbalas kutuk. Akhirnya sesat menyesatkan. Kami yang disebut orang biasa, bukan ilmuan, tercengang menyaksikan pertembungan. Kepada semua, persengketaan dihidangkan…kononnya teknologi internet, dunia tanpa sempadan.  
Jika ia kebenaran, ia ganjaran lumayan. Jika ia tohmah dan fitnah, ia kecelakaan yang sendiri diundang. Mereka ini sesungguh sangat berani.  Sungguh berani mengambil risiko itu.
Ya Allah,
Tunjukkilah kami jalan yang lurus. Lindungi kami dari tersalah dan tergelincir ke jalan yang menyesatkan. Kami yakin bahawa agama ini dibina atas dalil dan hujah. Kami yakin petunjuk melalui nabi-Mu adalah dari hadith-hadithnya. Dahulukan yang sahih, baru fikir yang lain.
Berilah kami kekuatan untuk menggigit sunnah nabi Mu dengan geraham kami. Supaya ia takkan cicir dan lucut lagi dari kami. Tolong kami untuk memisah, mengasing dan melempar jauh segala kepalsuan, bida’ah dan kotoran yang membelengui amalan-amalan… diri kami, keluarga kami, masyarakat dan negara kami.
Ya Allah, izinkan, benarkan kami menikmati semula kejernihan dan ketulenan sunnah nabi kami. Kami tidak mahu melainkan yang sahih, yang asli.      
marilah sama-sama kita hayati Ramadan ini dengan mengutamakan amalan-amalan sunnah yang sahih kerana kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. 

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”. [al-Taubah 9:128]

Seruan Dakwah -
Wahai sekelian pihak berauthoriti di pejabat agama, jawatankuasa masjid, surau, pihak atasan jabatan, institusi atau di mana sahaja. Duhai sekelian pencinta sunnah dari golongan dewasa dan anak muda. 

Marilah kita terokai semua hadith-hadith yang relevan pada amal ibadah kita. Kita kumpul  untuk kita bincang dan faham. Kita panggil ilmuan sunnah untuk menjelaskan atau mensyarahkan bagi tujuan amalan. Kita mulakan dengan ibadah yang utama. Marilah kita buat senarai semak setakat mana amalan sunnah sahih yang kita telah laksanakan, setakat mana kita telah tertinggal dari dilaksanakan. Dahulukan yang tiada perselisihan. Bagaimana dapat disesuaikan dengan keadaan dan masalah sekarang.  

Sebagai contoh, dalam bulan Ramadan ini. Bagaimana kita dapat harmonikan supaya tidak terlepas 2 manfaat sunnah (1) untuk terus kekal bersama Imam yang solat tarawikh dan witir pada awal malam (kerana ada ganjaran besar) (2) untuk kita dapat melaksanakan witir pada hujung malam (witir hujung lebih afdal).

No comments:

Post a Comment