Social Icons

Pages

Wednesday, July 31, 2013

Antara Cinta Kita Dan Cinta Rabiatul Adawiyah

cinta hati
Cinta Kepada Allah adalah cinta yang melebihi segala cinta yang lain. Persoalannya, bagaimana yang dikatakan cinta kepada Allah? Mudah dikata tetapi bagaimana untuk benar-benar dirasa. Cinta kepada Allah mesti mengandungi ketaatan dan kepatuhan kepada Allah secara tidak berbelah bagi.

Lalu bagaimana kalau ketaatan dan kepatuhan itu dilakukan kerana takutkan neraka-Nya atau kerana menghajatkan Syurga. Adakah ini dapat dianggap sebagai ‘cinta’ atau cinta yang diterima di sisi Nya?

Tidakkah ketaatan kepada Allah itu patut dilaksanakan hanya kerana kasih, suka dan cinta semata-mata? Tidak bermotif dan tidak disandarkan kepada perkara lain. Sebagaimana dikatakan diucapkan oleh Rabiatul Adawiyah, seorang wali Allah;

“Ya, Allah kalaulah cinta ku ini kerana inginkan syurga-Mu, maka kau jauhkan aku darinya. Kiranya cintaku ini kerana takutkan neraka-Mu kau campakkanlah aku ke dalamnya.”

Benarkah ada manusia biasa yang mempunyai tahap cinta begitu luarbiasa dan sanggup berkata begini atau ia sekadar catatan (yang tidak dapat dipastikan atau dakwaan yang tidak dapat dibuktikan) oleh seseorang lain yang dikaitkan dengan seorang wanita mulia, yang juga dilakukan atas nama cinta?

Sewajarnya kita mencintai Allah kerana kita mencintai Allah. Itu sahaja. Kita mencintai Allah kerana Allah yang mencipta kita. Benar! tapi ia alasan paling minima. Bukan sekadar ini sebab kita perlu mencintai-Nya. Bermakna, sekalipun kita tidak diciptakan-Nya, Allah sentiasa kekal, layak dan mesti dicintai. Kita mencintai Allah kerana Allah memang layak untuk dicintai. Kita mencintai Allah kerana kita memerlukan rasa cinta itu. Kita mencintai Allah kerana kita memerlukan dan berhajat kepada Allah bukan kerana Allah memerlukan cinta kita. Allah tidak berhajat kepada kita, kita yang berhajat kepada-Nya. 

Ketahuilah!, kita mencintai Allah kerana kita memerlukan untuk mencintai-Nya.
Membingungkan? 

Begini. Kita mencintai Allah kerana Allah menjadikan kita.  Allah telah berfirman di dalam al-Quran yang mulia pada surah al-Zariyat, 51: 56:- Bermaksud “dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku”.

Perkara asas ialah bahawa kita diciptakan Allah adalah untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya. Tentulah  penyembahan dan ibadah itu dilakukan bukan kerana benci tetapi kerana cinta. Tanpa cinta, tentulah ia didasarkan kepada kepura-puraan, nifaq atau munafiq menjadikan ibadah itu tertolak dan tiada nilai di sisi-Nya.

Perkara kedua ialah kita juga perlu mencintai Allah kerana Allah memberikan pelbagai nikmat kepada kita dalam pelbagai bentuk yang kita tidak akan mampu menghitung apa lagi untuk membalasnya. Allah telah berfirman di dalam al-Quran yang mulia pada surah Ibrahim, 14: 34:- Bermaksud; “dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya..”.

Mengatasi perkara pertama dan kedua itu, kita mencintai Allah kerana memerlukan untuk mencintai-Nya. Kita perlu mempunyai rasa cinta itu. Kita memerlukan perlakuan dan perasaan mencintai Allah itu bagi kebaikan, manafaat dan kepentingan diri kita sendiri. Macam pelik, bukan?

Allah s.w.t. telah  berfirman di dalam al-Quran yang mulia, melalui surah al-Fathir, 35:15:-
Bermaksud; “Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat (memerlukan) kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah, Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.

Maksud ayat ini memberikan kita satu sebab atau salah satu sebab mengapa kita perlu mencintai-Nya, iaitu ia bukan bagi kebaikan, kepentingan-Nya tetapi bagi kebaikan dan kepentingan diri kita sendiri sebagai manusia atau hambanya. Manusia yang berhajat kepada Allah. Manusia memerlukan Allah, tidak sebaliknya.

Sebagai contoh, apabila kita meluahkan rasa cinta kita, memuji dan dan mengagungkan-Nya, dengan lafaz seperti; “Ya Allah aku mencintai-Mu sepenuh jiwa ragaku, Segala puji bagi-Mu, Kaulah Tuhan yang maha Agung Maha”, ketahuilah bahawa luahan cinta dan lafaz pujian dan pengagungan kita itu tidak menjadikan Allah lebih berkuasa atau lebih agung, kerana ucapan dan lafaz kita itu. Mengapa?

Sesungguh Allah telah sedia dan senantiasa maha agung, maha besar tidak kira sama ada kita mengucapkan kata-kata yang membesarkan dan memuji Allah. Allah s.w.t tetap kekal sebagai tuhan yang maha agung maha besar dan dengan kehebatan nama-nama dan sifat-sifat Nya.

Sebenarnya, Allah memerintahkan kita untuk beribadah kepada-Nya, memuji-Nya sekaligus bermaksud mencintai-Nya ialah bagi kebaikan diri kita sendiri. Allah maha mengetahui tentang diri manusia sebagai makhluk ciptaan-Nya termasuklah perihal psikologi manusia. Perbuatan dan tindakan kita beribadah, memuji dan mencintai-Nya adalah memenuhi tuntutan fitrah dan sifat lumrah kejadian manusia. Kita memerlukan Allah sebagai tempat mengadu, tempat bergantung harap, tempat kita memohon dengan seribu macam jenis permohonan, tempat untuk kembali dengan kepasrahan. Tanpa rasa bertuhan kepada Allah, maksud hidup ini tidak beerti, kehidupan dunia tidak akan difahami.

Memadailah satu contoh di sini. Kezaliman yang berlaku kepada rakyat negara Syria iaitu dari golongan ahlul sunnah. Pembunuhan besar-besaran yang mengorban beratus ribu jiwa yang tidak berdosa. Kezaliman seorang diktator bernama Basyar Asad melalui keganasan tenteranya. Mangsa kekejaman itu termasuklah golongan wanita dan kanak-kanak. Untuk menyelami erti kekejaman itu, saksikan rakaman-rakaman video di facebook, youtube dan sebagainya mengenai imej-imej pembunuhan dan mangsanya[1]. Kerana apa? Kerana apa yang dihayati melalui pendengaran tidak sama dengan apa yang dihayati melalui penyaksian mata sendiri.

Saksikan bagaimana tubuh-tubuh mayat kanak-kanak berada dalam pelbagai keadaan yang menyayat hati. Kepala tanpa otak, perut terburai, tubuh tanpa kepala atau lain-lain anggota. Manakala yang cedera atau cedera parah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesakitan yang tidak terbayang dalam ketiadaan mencukupi ubat bius, kekurangan ubat-ubatan dan doktor, kemudahan tempat rawatan yang daif dan tidak dapat menangani kebanjiran pesakit. Sebahagian video memapar rakaman imej kanak-kanak itu dalam situasi sakaratul maut[2]. Manakala wanita, selain dibunuh kejam, mereka juga menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi dan pemerkosaan yang berulangan sampai disengajakan agar mengandung benih keturunan penzalim. Bayangkanlah, pada satu keadaan satu noktah diseludup keluar dari tahanan pemenjaraan, di mana sebahagian wanita-wanita ini meminta fatwa dari ulama mereka sama ada bolehkah mereka[3] mencabut nyawa sendiri kerana bukan sahaja tidak tertahan menangung penderaan fizikal berulang tetapi derita emosi mengandungkan anak-anak haram dari kejahatan golongan berjiwa syaitan. Bayangkah tahap penderitaan ini?   

Lalu, apa erti semuanya ini? Mengapa berlaku sebegitu sekali? Di mana keadilan dunia? 
Mereka yang mengalaminya, menderita atas kezaliman itu memerlukan untuk menyembah dan mencintai Allah untuk menyakini keadilannya, bahawa jika mereka bertahan atas ujian ini, bagi mereka ganjaran yang besar di alam akhirat. Bagi kita yang menyaksikan tahap tertinggi kekejaman dan kebencian manusia kepada kanak-kanak ‘innocent’ ini tanpa kita mampu berbuat apa-apa, maka kita juga memerlukan untuk kembali kepada Allah untuk mengadu kepada-Nya, untuk meluahkan kekecewaan, kesedihan dan pengharapan kita atau apa sahaja yang dirasa dan ditanggung di dalam jiwa.

 Kita memerlukan untuk beribadah, mencintai dan berdoa kepada-Nya betapa kita menyakini keadilan-Nya atas apa yang berlaku itu. Betapa kekadang atau kerapkali kita keliru dan bingung atas apa yang berlaku pada diri kita, orang-orang yang kita sayang atau di mana-mana bahagian di serata dunia. 

“Mengapa begini? Mengapa harus jadi begini?
Mengapa manusia yang zalim masih bermaharajalela? Mengapa kanak-kanak kecil ini dizalimi begitu sekali? Di mana pertolongan-Mu, Ya Allah? Dikau kata pertolongan-Mu begitu hampir, tetapi kenapa ianya masih belum tiba?”  “ Ya, Allah, apa yang aku fikirkan, seperti aku tidak meyakini keadilan dan pertolongan-Mu, Hanyasanya akulah yang keliru, yang tidak faham. Ya Allah, ampunkanlah aku atas apa yang aku fikirkan, lindungilah aku dari keburukan fikiranku..”

 Ini keperluan fitrah kita sebagai manusia. Keperluan untuk mencintai Allah. Jika tidak, orang-orang yang baik akan kecewa dan menjadi sakit jiwa atau boleh menjadi gila. Sesungguh dari-Nya kita datang, kepada-Nya, kita kembali.

Cinta kepada Allah bukan cinta yang memerlukan kita meminta dicampakkan ke neraka-Nya sekiranya cinta kita dibayangi dengan keindahan syurga-Nya, digeruni dengan kedahsyatan api neraka-Nya.

Biarkan Rabiatul dengan kecintaannya. Biarkanlah segolongan manusia hari ini yang berusaha mencapai darjat cinta setinggi itu. Kita tahu kita tidak mampu menggapai bulan yang tinggi dengan kekuatan lompatan kita. 

Cinta kita cinta manusia biasa. Manusia yang sentiasa berhajat kepada Tuhan yang memberikan segala hajat.  Kita mencintai Allah kerana itu kita tunduk patuh, beribadah, menyembah dan memuji-Nya. Kita juga berusaha mematuhi segala arahan dan menjauhi segala larangan-Nya. Semuanya itu dilakukan atas nama cinta. Kerana cinta kita melakukan semua itu.

Kita akui cinta kita cinta manusia yang kecil dan daif di sisi Tuhannya. Cinta kita cinta yang selalu dibayangi di pengaruhi dengan keinginan meluap kepada syurga-Nya dan ketakutan kepada kedahsyatan neraka-Nya. Salahkah? 

 Kita tidak mampu berdusta, sedang Tuhan mengetahui apa yang dsembunyikan dihati kita. Kita tidak terdaya untuk tidak memikirkan kenikmatan syurga dan kengerian neraka. Kekadang kita terasa adakah cinta kita kepada-Nya kerana ingin memasuki Syurga-Nya dan kerana takutkan Neraka-Nya?  Lekehnya cinta kita ini. Masih mahukan lebih setelah dilimpahi dengan nikmat tidak terhitung. Namun salah cinta sebegini? 

 Tidak, tidak mungkin salah. Allah menjanjikan balasan syurga bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Janji ini disebut berulang-kali di pelbagai tempat di dalam al quran. Begitulah sebaliknya bagi orang yang ingkar, baginya balasan api neraka. Jelas, cinta sebegini masih diiktiraf.

 Bermaksud “dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Sesungguhnya mereka beroleh syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah Yang telah diberikan kepada Kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu Yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka Dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri Yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya” (2:25)

Bermaksud; “dan orang-orang Yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya”  (2:82)

Bermaksud; “dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan 
mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.” (4:57)

Bermaksud; “dan orang-orang Yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah Yang benar. dan siapakah Yang lebih benar perkataannya daripada Allah?”. (4:122)

Perjuangkan cinta kita kepada-Nya, Buktikan. Tingkat martabat cinta kita kepada-Nya. Mungkin diantara kita, ada yang akhirnya benar-benar terdaya mencapai tahap tertinggi dalam kecintaannya setinggi cinta Rabiatul Adawiyah kepada Tuhan-Nya.

http://hisham-ahmad.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment