Social Icons

Pages

Thursday, July 4, 2013

Sketsa Aku Dengan Pemuda Melayu, Syiah



Asyik-asyik kisah syiah. Apa boleh buat. Ia adalah topik panas yang akan sentiasa memanaskan perasaan orang Islam. Bicara tentang syiah nampaknya akan terus relevan hingga bagi satu tempoh masa yang lama atau tidak mustahil hingga ke akhir kehidupan dunia ini selagi berlaku pergolakkan syiah-sunni.  Tidak nampak lagi bagaimana isu ini akan selesai. Perkembangan muktahir di Syria membuktikan kepada kita prinsip sebenar Syiah terhadap golongan islam sunni. Betapa mereka membenci kita.

Berbalik kepada tajuk di atas. Ia adalah kisah benar. Cuma pada bahagian tertentu terpaksa aku sembunyikan untuk elak mudarat yang tidak dijangka. Suatu hari di waktu petang, di dalam bulan Ogos 20__, aku dikunjungi seseorang yang antara keluarga aku dengan keluarganya saling kenal-mengenal. Walaupun aku tak pernah mengenali anak muda ini secara mendalam, namun aku tahu sedikit sebanyak kisah mengenai dirinya.

Suatu ketika dahulu hidupnya agak tidak teratur. Percampuran dengan geng-geng luar sekolah menjadikan pelajarannya diabaikan dan kegiatan luar rumahnya sukar dikawal. Sukar untuk membendung kebebasannya. Pernah lari dari rumah. Teguran ibu dianggap leteren yang membosankan. Aku masih teringat ayat yang dikeluarkan sendiri oleh ibunya sebagai dikatakan oleh anaknya itu, “radio ERA pun boleh tutup, mulut mak tak boleh tutup”.   

Semasa aku dan ibubapaku menunaikan haji, anak muda ini telah mengalami kemalangan motor, terbabas dan melanggar sesuatu. Mungkin tiang letrik. Agaknya tengah membuat gaya ala superfly atau superman. Dia telah tidak memakai topi keledar. Kecederaannya parah. Selama beberapa lama dia berada dalam koma di wad hospital. Doktor dah tergamak memberi anggaran peratusan antara hidup dan mati… 50-50 agaknya.  Aku telah tengok gambarnya di facebook beliau (hasil usaha seorang makciknya). Memang mengharukan. Sana sini berselirat dengan wayar.

Sejurus kemalangan dan ketika anak muda itu di hospital, Ibunya telah menefon ibuku dan meminta pertolongan ibuku agar mendoakan supaya anaknya sembuh. “Berdoalah di tempat mustajab, berdoalah di depan kaabah”, pinta ibunya kepada ibuku. Ibuku berpesan kepadaku bagi tujuan yang sama. Apabila aku teringat, aku mendoakan. Alhamdulillah, aku dapat mendoakannya ketika di Multazam, semasa badan dan tanganku tertekap didinding kaabah di kawasan Multazam.

Tidak lama kemudian, segala puji bagi Allah, atas musabab yang ditentukan-Nya, anak muda ini sedar dari koma, semakin sembuh. Luaran, dah nampak sihat seperti sebelumnya. Namun kepalanya kadangkala terasa sakit. Akhirnya kuketahui anak muda ini telah dihantar belajar ke luar negeri oleh bapanya. Belajar ilmu agama disamping dapat menjauhkan si anak dari pengaruh rakan-rakan ‘rempit’nya.   

Cuma satu sahaja masalah. Aku dengar anak muda ini dihantar ke Iran. Ya, negara Iran. Di suatu tempat disebut  ‘Qom’. Aku termangu dan bingung sekejap sambil hati berkata… “belajar agama di Iran? Biar betul. Bukankah ia Negara Syiah!”

Semasa itu  pengetahuan aku mengenai Syiah sedikit. Namun naluri aku tahu ada sesuatu yang tidak kena, tidak betul.  ‘Something is wrong somewhere’. ‘Something fishy is going in’. Sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Aku mula menerokai alam ilmu mengenai syiah.  Ia suatu pengalaman yang menarik tetapi ikhlas kukatakan ..ada risiko berbahaya. Aku kemudiannya mula memahami apa itu Syiah. Semakin memahami.

Jelas padaku kini, ibubapa atau keluarganya  telah cenderung kepada syiah. Telah berfahaman syiah. Telah agak lama. Telah tidak diketahui orang-orang yang mengenalinya. Semuanya secara senyap. Tapi kini tidak lagi. Mereka mula berani  menyerlah diri dan pegangan. Gambar foto berbingkai cantik tok guru tempatan beraliran sunnah yang sebelum ini tergantung disuatu ruang rumah kini telah ditukar dengan gambar foto salah seorang tok guru Syiah. Ayatollah….

 Sebenarnya ‘bau-bau’ syiah mereka itu telah bertahun wujud tetapi tidak diambil peduli oleh orang-orang disekeliling. Faktor utama ialah kebanyakan kita jahil mengenai Syiah. Kalau ia sekadar mazhab berbeza tetapi dalam kepompong Islam, tak kisahlah, apa nak dirisaukan. Akibatnya, kini sudah semacam terlambat. Keyakinan mereka kepada pegangan baru ini kuat bahawa ia membawa kepada kesudahan yang selamat di alam akhirat.

Apa benda yang memukau pada Syiah? Entah bagaimana seorang melayu Islam yang sekian lama dengan pegangan ahlul sunnah wal jamaah telah bertukar kepada penganut Syiah. 

Kini pengaruh mazhab atau fahaman syiah ini telah berkembang di Malaysia. Selagi arus kejahilan agama dibiarkan berleluasa di Malaysia, syiah akan dapat ‘memancing’ sebahagian daripada mereka yang sedang ‘lemas’.

Kes serbuan dan tangkapan JAIS  terhadap kumpulan Syiah di Gombak menyedarkan kita bahawa ramai orang melayu telah mengikut Syiah. Kenyataan Menteri Agama satu ketika dahulu bahawa penganut Syiah bebas mengamalkan ajaran Syiah tetapi tidak boleh menyebarkannya adalah agak pelik kerana syiah-syiah Melayu ini dahulunya Ahlul Sunnah. Seseorang telah menyebarkan kepada mereka. Kini mereka pasti akan sebar menyebarkan fahaman itu. Mereka yakin mereka golongan benar yang akan selamat di alam akhirat. Mereka bersyukur adanya orang yang berdakwah Syiah kepada mereka.  Aku berani jamin mereka akan sebarkan Syiah pada setiap ruang yang ada. Percayalah, aku tahu.

Aku sangat kesal apa yang berlaku kepada keluarga yang kukenali ini. Mereka orang baik, suka menolong orang. Bersemangat agama. Namun kini, entah macamana jadi begini. Menurut seorang yang lebih tahu, dia mengatakan bahawa  ada seorang ustaz melayu berfahaman syiah yang menjadi musabab pengaruh ini. 

 Pasangan suami isteri ini mempunyai anak ramai yang kebanyakan telah meningkat remaja dan dewasa. Selain anak kedua yang kini menuntut di Iran, kesemuanya yang lain sedari awal berpelajaran baik. Seorang sedang buat pengajian PHD dalam umur muda, begitulah maklumat diterima. Seorang bersekolah di sekolah menengah antara yang terbaik di negeri, seorang ketua menteri ditewaskan dalam PRU yang lepas. Yang lain, dikatakan mengikut jejak langkah abang dan kakaknya. Anak-anaknya seramai 8 atau 9 orang ini akan menjadi dewasa, bekerjaya dan mendirikan keluarga, dengan izin-Nya. Bagaimana kalau mereka semua Syiah? Rasanya begitulah.

Bayangkan kesannya kepada masyarakat kita, ahlul sunnah wal jamaah?
Kesimpulan Penting:-

1.      Ketahuilah bahawa peristiwa di Syria membuktikan: (1) kezaliman pemerintah kepada rakyatnya. (2) antara tahap tertinggi kekejaman seorang manusia  (3) Kesanggupan perlakuan kezaliman tertinggi ini berfaktor utama kerana perbezaan anutan fahaman (Syiah vs. Sunni)

2.      Fakta : Ini adalah jenayah pembunuhan beramai-ramai. Crime against humanity. Tanpa melihat kepada siapa, agama apa, semua manusia (orang Islam atau bukan Islam) di seluruh dunia (Eropah,Amerika Syarikat, Asia)  mesti membantu rakyat Syria atas nama keadilan dan agama. Ia juga sangat –sangat mencapai maksud keadilan dalam Islam.

3.      Namun biasalah politik dunia,  sentiasa ada sebahagian negara yang tidak menyokong atas sebab kecurigaan masing-masing dan tidak pelik , jika ia adalah negara atau dari pihak bukan Islam. Tetapi bagaimana kalau negara Iran, parti Hizbullah dan golongan islam syiah yang lain yang mendakwa mereka adalah negara atau pihak Islam tetapi bukan sahaja tidak membantu rakyat Syria yang dizalimi, tidak juga berkecuali sebaliknya dikatakan membantu pemerintah Syria yang zalim!  Mengapa mereka tergamak berbuat demikian sedangkan ia amat bersalahan di sisi agama Islam?

4.      Jika benarlah begitu, adakah terserlahlah fakta dan bukti, secerah matahari terik ditengahari bahawa?

 (1) mereka membantu kerana faktor syiah tidak kira sama ada ia penzalim atau di zalimi (2) golongan Islam sunni boleh dihapuskan demi menyelamatkan syiah yang jahat (3) sampai satu tahap, mereka tidak lagi mampu lagi bertahan dalam taqiyah… lalu saksikanlah siapa sebenarnya mereka. 

Pengajaran: Kerisauan dalam melihat perkembangan syiah dikalangan uma melayu-Islam di negara kita adalah bukan sahaja berasas tetapi serius; adakah ketakutan pergolakan golongan syiah-sunni ini sehingga membawa pertumpahan darah, boleh melanda negara kita suatu masa nanti?

Jika jawapannya positif, maka segeralah bertindak dengan urgensi, efisyen dan komprehensif dalam menangani isu syiah di Malaysia, wahai umat Islam sunni di Malaysia. Jangan berhenti sesaat dari berfikir, berbincang, merangka strategi dan melaksanakan tindakan. Gunalah pendekatan hikmah sebelum ketegasan atau jika perlu, ketegasan berhikmah. Buatlah atas nama cinta bukan benci. Mereka juga dulu adalah sebahagian daripada kita.


Luahan Rasa Atas Isu Kontroversi Menyentuh Hati

Selama aku di lahirkan dalam keturunan ahlul sunnah wal jamaah, aku tidak pernah benar-benar memahami apakah maksudnya. Aku lihat kiri kanan, samada yang mencuai agama hinggalah kebanyakan orang awam yang masih berusaha menjaga agama,  kefahaman antara kami tidak banyak berbeza. 

Kebanyakan kita tidak pernah didedahkan dengan kisah-kisah kontroversi sejarah Islam secara ilmiah. Apabila puak syiah melayu menyuntik jarum dakyah, mereka yang jahil ilmu namun cinta agama adalah mangsa yang pasrah. Menanti ‘dinoda’. 

Aku memberanikan diri menghampiri daerah kefahaman mereka. Semasa bersekolah agama dulu aku pernah didedahkan dengan fakta peperangan Siffin antara kumpulan Ali r.a. dan kumpulan Muawiyah r.a. dan peperangan Jamal antara kumpulan Ali r.a. dan kumpulan Aishah r.a. Ia melibatkan segolongan sahabat dan sebahagian antara mereka telah terkorban termasuk beberapa sahabat besar.

Kesimpulan yang aku ingat ialah dua-dua puak tidak salah. Kerana ia isu ijtihad.  Tak banyak hujah jelas, yang dapat.  Cuma aku terfikir, bagaimana peperangan yang mengorbankan puluhan ribu orang Islam ini, berlaku pembunuhan yang besar, tetapi dua-dua pihak tidak bersalah. Ia sesuatu yang ‘against logic and common sense’. 

Maka suntikan syiah dalam hal ini memberi kesan dos yang kuat. Kata mereka, “mana mungkin dua-dua tidak salah, salah satu mesti salah”. Akal tidak akan menerima hujah bahawa dua-dua tidak bersalah. Akal dan agama dalam hal ini selari. Lalu kata mereka kumpulan Ali yang benar, penentang mereka adalah salah. Ali adalah ahlul bait dan paling rapat dengan Nabi. Anda nak sokong siapa? Ali atau selainnya? Tentulah, hati yang mencintai nabi  merasa perlu memilih Ali.

Begitu juga, sekian lama hidup ini, aku tidak begitu mengetahui kisah Karbala. Kisah kezaliman dan pembunuhan cucu nabi, Hussain. Cerita ini seperti ditutup rapi. Apabila mengetahui kisahnya, hati jadi sayu, jiwa merintih.  10 muharam menjadi hari yang begitu menyayat hati. Membuakkan kebencian kepada orang yang didakwa bertanggungjawab, Yazid anak kepada sahabat nabi.

Mana mungkin Yazid, khalifah, kepala negara tidak dihukum bertanggungjawab atas kezaliman jenderalnya, ‘so to speak’. Tiada pembalasan atas kekejaman itu. Ini satu lagi dos untuk disalahguna oleh syiah bagi menyuntik dakyah, yang hanya berbisa kepada yang jahil sirah dan sunnah.

Kisah seperti Karbala hanya ‘evergreen’ di syiah tidak di sunnah. Mengapa? Sentimen kasih ahlul bait mempengaruhi emosi melebihi penghujahan dan kemunasabahan. Seperti kasih mereka kepada nabi dan ahlul baitnya sangat tinggi berbanding dengan puak sunnah kita. Syiah benar-benar memikat hati… ketika itu.

Tapi kini tidak lagi begitu. Kemusykilan pada setiap isu dilerai satu persatu. Pukauan syiah telah berlalu. Kita katakan kepada mereka. Tidak bolehkah Ali dicintai Aisyah dikasihi. Tidak bolehkah Ali disanjungi, Muawiyah tidak dikeji. Tidak bolehkah kesyahidan Hussain kita tangisi, di Mahkamah Allah pembunuhnya dihakimi.

Siapa antara kita yang ada menyaksi dengan mata sendiri ketika sejarah dilakari. Kisah sejarah hitam pelbagai  versi, tanda keaslian sejarah telah dinodai. Kepada siapa, kebenaran itu dimiliki? Sudahlah! Jangan menjadi sang algojo ingin menghukum dengan gelojoh. Dari Usman, Umar hingga ke Abu Bakar. Golongan sahabat utama berjasa besar. Aisyah Ummul Mukminun dikasihi, cinta hati nabi. Hanya yang jahil dan bodoh tergamak mengeji? Menempah bencana diri sendiri?

Duhai syiah melayu…  apa bala yang menimpa dirimu, kau fikir kau benar, kau sebenarnya tertipu. Kau lihat hebatnya sebahagian negara syiah… kau telah tersalah. Kau kagumi kekuatan kesenjataan, kau kagumi kezuhudan kepimpinan. Alangkah benarnya syiah… itu yang kau anggapkan. Berbeza dengan negaramu sendiri, sebilangan pemimpin mengaut kekayaan negara untuk diri sendiri. Umat Islam lemah, banyaknya kes jenayah, zina dan rasuah. Kini video seks lucah, strategi licik, menjatuh musuh politik. Inilah Negara ahlul sunnah tapi nampak seperti punah. Ahh! Kekecewaanmu kami fahami. Terasa ingin dikongsi.

Namun ingatlah! Itu bukan ukuran menentukan kebenaran. Kebenaran itu ialah pada isi Quran yang tidak dapat diubah. Ayat tertulis mengenai golongan awal islam yang diredai Allah. Mereka reda dengan Allah, Allah reda dengan mereka. Ayat ini kekal selamanya. Siapa golongan awal (sabiqun) itu? Tidakkah Abu Bakar Umar dan Usman antara yang paling awal dari sahabat-sahabat yang terawal. Mereka telah diiktraf oleh Allah. Fakta yang takkan berubah. Inilah hujah atas segala hujah. Duhai Syiah melayu, mengalah dan kembalilah!

Sedarlah! apabila perkara utama telah tersasar. Kerja syaitan tidak lagi sukar. Perkara lain pada agama dijaga, tapi dapatkah ia menampung keberdosaan utama. Jika tidak dapat, syaitan mungkin tak kisah sangat. Biarlah masyarakat kelihatannya hebat, di sisi Allah tiada kedudukan  dan darjat.

Begitulah, disisi lain kelihatan indah, tetapi apalah erti, dosa besar tidak dihindari. Menghina sahabat besar, besar dosanya tidak tergambar.

Fitnah peperangan melibatkan 2 golongan sahabat, suatu tragedi sangatlah dasyat. Tidak usahlah kita menghakimi. Sesuatu yang kita tidak begitu mengerti. Berbaik sangka, sebijak-bijak pilihan. Kepada Allah kita serahkan. Sesunggguhnya; “Bagi mereka, (tertanggung) atas apa yang mereka lakukan dan bagi kita, apa yang kita lakukan”. Itulah keadilan. 

Segala puji bagi Allah. Kami bersyukur dipertemukan dengan puak sunnah,  sirah sunnah dan dalil sunnah.  Segalanya jelaslah sudah. Faham syiah sangat bermasalah. Penghinaan terhadap sahabat (nabi) suatu bidaah yang paling dolalah.

Ikhlas  dpd ku
atas apa yang aku
 yakini benar
jika ada kesilapan, tolong buktikan
kerana aku berperinsip
 terbuka dan berlapang dada
abu dubeis

No comments:

Post a Comment