Social Icons

Pages

Monday, July 1, 2013

Reform1: Merangkak Kpd Berlari (Motivasi Ramadan 2013)






Seorang yang ingin menunaikan haji mesti berusaha untuk menjadi ‘intim al-Quran’. 1 tahun atau 2 tahun atau seawal yang dapat sebelum tahun jangkaan pergi haji, kita telah berusaha memperbaiki kelemahan bacaan al-Quran kita, sehingga ke saat ketika mana kita berangkat ke tanah suci, kita telah mempunyai kefasihan membaca al-Quran dengan tidak mudah membuat silap, jika ada pun, mampu memperbetulkan sendiri. Bermakna, dari merangkak kita, telah berlari.


Ini amat mustahak.   Mengapa saya pertekankan perkara ini? Ini kerana ada satu rahsia. Rahsia Ini akan terbongkar menjelang seawall malam pertama Ramadan dan akan makin terserlah pada malan-malan berikutntya. Apakah dia?

Rahsia Yang Terbongkar

Setiap Ramadan. Tahun ke tahun. Surau-surau dan masjid-masjid. Saban tahun diadakan program bertadarus al-Quran. Saya pernah menyertainya selama di Batu Pahat dan Melaka.  Masih ingat lagi, beberapa tahun lalu, di surau suatu taman perumahan di Batu Pahat, kami bersama-sama melakukan tadarus al-Quran. Setiap malam, sekitar  10 hingga 15 orang menyertai majlis tadarus, kadangkala kurang kadangkala lebih. Jumlah ini masih tersangat sedikit dibandingkan bilangan  jemaah yang sebelumnya bersama-sama bertarawikh. Kebanyakannya mungkin memilih rumah masing-masing sebagai tempat bertadarus, manakala sebahagian pula memilih untuk ‘bertidur –terus’. 

Semasa program tadarus inilah terdedah dan terbongkar rahsia. Kebenaran yang pahit untuk ditelan. Kelemahan dalam membaca al-Quran. Kelemahan-kelemahan yang pelbagai bentuk dan keadaan. Kelemahan kecil atau ringan, sederhana atau pertengahan, kelemahan serius lagi merisaukan.

Dengar sini! Ini bukan sketsa “tom-tom bak,”  atau  sitcom “geng bas sekolah”. Ini kehidupan  orang-orang dewasa. Kisah drama hari ini. Kategori kisah benar. Mereka ini ada yang telah bergelar haji, ada yang akan pergi haji tak lama lagi, ada yang telah mendaftar untuk pergi, ada pula yang dah patut pergi, tapi sayang tak daftar lagi. 

Inilah hakikat sebuah drama kisah benar majlis tadarus al Quran disebuah surau di taman perumahan. Tak tahulah secara pasti keadaan di surau dan masjid lain. Namun di sebuah kampung, terdapat peserta-peserta pensioner dengan jenis masalah yang pelbagai tetapi lebih kurang sama. Dikala umur-umur mereka disekitar 55 tahun ke atas, nasihat saya tiada yang lain melainkan agar bersegeralah mereka mendapatkan kelas al-Quran intensif.  Harapannya, biarlah masalah ini telah diatasi, sebelum pergi menuju Illahi (haji)  atau lebih ngeri, sebelum dijemput pergi yang tidak kembali. 

Lalu kita juga terfikir, dalam bilangan kecil yang bertadarus, banyak rahsia yang terbongkar. Bagaimanalah pula agaknya keadaan sekian ramai mereka yang lain, diluar sana. Status bacaan mereka? Wallahu taala alam.

Status Kelemahan

(kecil atau ringan? sederhana atau pertengahan?, kelemahan serius lagi merisaukan?

Terlalu banyak perlanggaran dan kesalahan. Sama ada dari segi tajuwid dan etika dalam membaca al-Quran. Masih ramai membaca dengan cara tak betul, 1 harkat jadi 2 harkat, huruf lain,  sebutnya lain.

Kesalahan cara mulakan semula bacaan setelah tersilap, ketepatan meletakkan harakat, sifat huruf dan lain-lain.

Ada yang kelihatan membaca agak laju (macam fasih) namun tajwidnya lintang pukang. Segala yang ‘ikhfa’,  diizharkan. Cara Ibtida dan waqaf  ikut kreativiti sendiri. Banyaklah perkataan dan istilah dipotong, dibelah dua. Geramnya, bila ditegur, dibuat selamba.

Bacaan Unik Dalam Quran
Bagaimana pula tentang bacaan-bacaaan unik di dalam al-Quran. Kebanyakan kita hanya ketemui bacaan-bacaan ini setahun sekali pada malam tadarus, itupun bagi yang bertadarus. Maka ada sahaja bentuk bacaan dan bunyian yang dibaca dan dibunyikan ikut rasa dan tekaan sendiri.  Mari kita khususkan rujukan ini untuk mengetahui setakat mana ia dikenali:-

(1) bacaaan naqal (Rujuk surah al-Hujurat ayat 11) ,

(2) Bacaan Iltiqa’ sakinain (2 huruf bertanda mati (sukun) yang bertemu nun kasrah/wiqayah (nun baris di bawah – nun yang dihilang tetapi bunyinya tetap ada) bila tanwin bertemu alif lam tanda mati) itulah iltiqa sakinain dengan menggantikan bunyi nun di bawah,

(3) Cara ibtida’ hamzal wasal dan lain-lain. Seterusnya bacaan saktah, bacaan imalah, isymam, tashil dan lain-lain. 

Bukanlah maksud saya untuk membebel dari sudut hukum tajuwid, tetapi sekiranya kita tidak prihatin terhadap bacaan-bacaan unik ini, lantas tidak menguasainya (iaitu membaca dengan betul) tentulah kita akan berterusan melakukan kesilapan. Kita kata kita dapat khatam al-Quran berkali-kali di Mekah, tetapi bagaimana kedudukan setiap khatam itu, sempurnakah?  

Membaca Tidak Betul, Tidak Bagus
Kenapa wujud keadaan “membaca tidak betul, tidak bagus?” Ia tidak lain kerana tidak belajar membaca dan kurang membaca. Kalau membaca ayat Al Quran pun tidak. Bila pula kita nak membaca terjemahannya. Memahami tafsirannya. Melaksanakan tuntutan dan perintah dalamnya. 

Ingatlah! Janganlah sampai kita kepada keadaan bahawa kita membaca al Quran tetapi al Quran mencela dan mengutuk kita.  

Sebagai motivasi menyambut ramadhan, Justeru berubahlah, tidak nanti, tidak kemudian. Sekarang.  Siapa jua kita tidak kira berpangkat atuk, nenek, ibu, bapa, kakak, abang  yang masih tidak membaca dengan baik, bertindak segera.

Kita sendiri yang tahu kelemahan diri sendiri, di mana dan setakat mana?  Segeralah belajar dengan guru Quran yang baik. Sertailah kelas intensif, bukan seminggu sekali, tetapi seminggu banyak kali. Biar kita dapat khatam secara sempurna dalam beberapa bulan. Kemudian kita memburu  kemahiran membaca dengan lancar tanpa silap.  

Jangan tunggu lagi. Disamping itu terlalu banyak kaedah moden yang boleh membantu kita seperti (1) bahan percuma dan berkualiti yang boleh didownload di internet-youtube, tentang perihal mengaji, pelajaran tajuwid dan sebagainya (2) atau jika ada kemampuan, belilah sebatang pen yang berharga agak mahal sekitar RM200-300. Pen ini bukan sebarang pen. Pen ini boleh membaca al-Quran sefasih Imam-imam Mekah.

Semoga yang ‘merangkak-rangkak dalam bacaan, akan segera dapat berlari…. ‘

Motivasi Agar Mahir Mengaji 

Hadith Sahih. Ertinya: Orang yang mahir membaca al-Quran akan bersama para Rasul yang ta'at, manakala orang yang membaca Al-Quran walau dalam keadaan tersekat dan tergagap, dan padanya kesukaran, baginya dua pahala”. [1]

Definisi : Orang Yang Mahir
Terdapat  ulama silam dan kontemporari yang berpandangan bahawa  orang yang membaca al-Quran secara melihat mushaf  adalah termasuk dalam definisi ‘Orang Yang Mahir’ itu. Pandangan sebegini yang kita sukai.  Ia satu musabab untuk bersama Rasulullah s.a.w.

Definisi : Baginya Dua Pahala
Golongan yang kesukaran membaca tetapi masih bersungguh dan berusaha, mendapat 2 pahala. ‘Best’lah tu, tapi manakan sama ganjaran yang dinikmati golongan yang pertama, dengan Rasulullah mereka dapat bersama. Di mana agaknya, kalau tidak diakhirat kelak. , Di mana di akhirat kelak, kalau tidak di dalam syurga.
Perkara Sunat Dalam Membaca Alquran
Imam Nawawi dalam at-Tibyan fii hamalatil Qur'an menyenaraikan 20 perkara sunnat sebelum membaca alQur'an:
1. bersugi/berus gigi
2. bersuci/wudhu'
3. di tempat yg suci
4. menghadap kiblat
5. melihat musyhaf 
6. membaca ta'awudz 
7. membaca dengan tartil 
8. membaca dengan qira'at yang tujuh
9. membaca dengan tertib (ikut susunan rasm uthmani) 
10. membaguskan suara
11. tadabbur (penghayatan) 
12. mengulang-ngulang bacaan 
13. menangis
14. menghindari sikap yg kurang baik 
15 apabila menemui ayat rahmat (memohon) atau ayat azab (mohon perlindungan) 
16. ketika ada hajat (bersin dan menguap) hendaklah berhenti dgn tertib dan waqaf
17. sujud pada ayat sajdah 
18. waktu yg tidak baik utk membaca al-Qur'an (dalam toilet) 
19. adab khatam alQur'an
20. etika menyentuh mushaf (sebaiknya berwuduk) .
Sebagai motivasi menyambut ramadhan, Justeru berubahlah, tidak nanti, tidak kemudian. Sekarang.  Siapa jua kita tidak kira berpangkat atuk, nenek, ibu, bapa, kakak, abang  yang masih tidak membaca dengan baik, bertindak segera.

Berminat: artikel ini telah disunting tetapi ia juga adalah sebahagian daripada isi kandung buku haji 2013 bertajuk Baitullah Aku Datang, Terbitan Karangkraf - karya seorang peguam sivil, syariah, berijazah  undang-undang sivil, diploma syariah dan ijazah sarjana muda pengajian Islam, Quran dan Sunnah. Terdapat kupasan kritis dan argumentatif beberapa isu yang beliau hadapi dan perhatikan semasa ibadah haji. Antara isu menarik, sensisitif dan kontroversi ialah isu kebal tanpa syahwat, solat diudara, wanita solat didepan lelaki dibelakang, kerana cinta (kisah ttg hajaral aswad), mahu susah atau muassasah dan lain-lain.  (Berminat sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my) 

FB : hisham.ahmad.1420


[1] ( HR Muslim, no 1329, 1/550)

No comments:

Post a Comment