Social Icons

Pages

Friday, July 19, 2013

Reform 4 -Nasihat (2) Untuk Peguam

Pendedahan Yang Terpaksa Dilakukan....  Di Malaysia, antara tugas yang memberi pulangan yang baik dan lumayan ialah memberikan perkhidmatan kepada pihak bank atau institusi kewangan. Ini kerana Bank dan institusi ini menawarkan produk-produk pinjaman yang pelbagai jenis bernilai hingga berjutaan ringgit.



 Tugas 1. Berkaitan pinjaman-pinjaman konvensional.  Tugasan yang menjadi isu ini ialah melibatkan pinjaman-pinjaman konvensional iaitu hanya terdapat di perbankan konvensional iaitu bukan perbankan Islam/syariah. Institusi seperti Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat,  RHB Islamic Bank, Al Rajhi Banking & Investment Corpn (M) Berhad, EONCAP Islamic Bank,  CIMB Islamic Bank, Affin Islamic Bank, AmIslamic Bank Berhad  adalah antara 100% bank-bank Islam, bermakna tiada produk Riba ditawarkan.
   
Sebagaimana lawan kepada bank-bank Islam ini ialah apa yang disebut bank-bank konvensional iaitu lazimnya tiada penggunaan perkataan Islam, Syariah, Muamalat atau perkataan seperti ke’arab’an. Di Malaysia, perbankan konvensional ada juga menyediakan produk syariah (bukan Riba).

Oleh itu, penentuannya bukanlah bank mana atau bank apa, tetapi produk apa yang anda langgan? Jika ia pinjaman konvensional ia adalah Riba.  Produk konvensional ini lazimnya merujuk kepada pelbagai jenis pinjaman di bank-bank dan insitutusi kewangan konvensional.
Tak kisahlah apa nama pinjaman yang berikan dan untuk apa tujuan ia diberikan, lazimnya terdapat peruntukan faedah dan kesannya seseorang akan membayar lebih daripada apa yang dipinjamnya.

Tugas peguam adalah termasuklah :   

1. Sebagai saksi formal dan penting dalam suatu dokumentasi perjanjian pinjaman Riba.
Peguam menjadi saksi kepada peminjam dan saksi kepada wakil kuasa pihak bank
Menandatangani  perjanjian pinjaman sebagai saksi peguam dan saksi kepada penyempurnaan perjanjian.

2. Peguam juga adalah orang yang merangka atau menyediakan perjanjian pinjaman dan jika ia perjanjian standard, peguam tetap mempunyai tangggungjawab memastikan kesahan terma-terma perjanjian tersebut di sisi undang-undang. 

3. Merangka, mendraf sehingga menghasilkan perjanjian pinjaman adalah lazimnya dalam kes-kes pinjaman besar atau bagi kes-kes pinjaman yang tidak dipakai dokumen standard dan sebagainya. Disinilah kemahiran guaman seseorang peguam lebih diperlukan untuk menjadikan perjanjian dihasilkan kuat dan  selamat bagi lazimnya kepentingan pemberi pinjam. 

4. Peguam juga akan memberikan penerangan dan penjelasan maksud terma-terma pada perjanjian pinjaman itu khususnya kepada peminjam. 

5. Peguam juga memastikan segala dokumen dan syarat bagi pinjaman disempurnakan dan dalam keadaan teratur (tiada kesalahan). Urusan-urusan sampingan telah dibuat seperti mengstemkan, menghantar untuk penilaian dan sehinggalah didaftarkan pindahmilik dan lain-lain prosedur dipenuhi seperti semak status kebankrapan, semakan tanah, semakan syarikat, surat menyurat dan jika ada cagaran, maka pastikan gadaian sempurna didaftarkan dan lain-lain.

6. Tugas peguam daripada menerima arahan sehingga memberi nasihat kepada bank agar wang pinjaman dapat dikeluarkan oleh bank kepada peminjamNasihat atau sebenarnya pemberitahuan ini ialah melalui surat bertulis memaklumkan kepada pihak pemberi pinjam (bank) bahawa segala dokumen berkaitan kes pinjaman tersebut adalah teratur dan adalah selamat untuk pihak bank mengeluarkan wang pinjaman untuk diberikan kepada peminjam atau bagi manfaat peminjam Nasihat peguam ini sebenarnya diberi dengan harga tinggi iaitu akujanji untuk menggantirugi bank/pemberi pinjam jika berlaku kecuaian atau kesalahan pada pihak peguam yang menyebabkan kerugian kepada pihak bank

7. Tidak dinafikan inilah fungsi penting peguam iaitu untuk pastikan dokumen perjanjian pinjaman Riba, jaminan pinjaman Riba dan kepentingan bank Riba terpelihara, terjamin dan selamat. Kekalkan akujanji dan nasihat undang-undang (berjaminan insuran berjuta ringgit). Atas nasihat itu bank Riba melepaskan wang pinjaman Riba kepada peminjam Riba.

Tanpa nasihat peguam ini, pastilah wang pinjaman Riba tidak akan dilepaskan. Alangkah hebatnya profesion peguam! Daripadanya, peminjam akan membayar wang upahan dipanggil ’legal fees’ atas perkhidmatan profesionalnya. Itulah antara kepentingan tugas peguam. Itulah peraturan yang ditetapkan. Itulah amalan biasa perbankan dan sistem undang-undang kita 

Tugas 2:-

Tugasan Tuntutan Undang-Undang. Satu lagi bentuk kerja peguam membabitkan unsur Riba tapi bukan melibatkan penyediaan dokumen pinjaman ialah tuntutan undang-undang. Tugasan tuntutan sivil yang banyak dilakukan ialah mewakili institusi perbankan dan kewangan, syarikat-syarikat, pertubuhan-pertubuhan dan sebagainya.   Tuntutan oleh pihak bank kepada peminjam atau pelanggan adalah melibatkan keingkaran pada pelbagai jenis pinjaman atau kemudahan sama ada bergadaian (bercagar) atau tidak.

Apabila berlaku keingkaran peminjam dalam pembayaran balik  berlakulah kemungkiran pada perjanjian pinjaman Riba. Maka pihak peguam akan diberi arahan tugasan untuk mengambil tindakan undang-undang bermula dengan notis, saman di mahkamah atau lelongan hartanah yang digadai.  Isu Riba dalam tugasan ini adalah berbeza.

Tuntutan dibuat kerana sama ada berlaku tunggakan ansuran hutang atau tuntutan keseluruhan jumlah yang terhutang. Jumlah tuntutan adalah termasuk jumlah prinsipal dan jumlah faedah yang dipersetujui. Pengenaan faedah ini kadangkala dalam bentuk formula seperti 2.5% setahun, 2.5% atas Kadar Asas Berian Pinjaman (Base Lending Rate-BLR). Sebagai contohnya penghakiman diberikan mahkamah iaitu pada jumlah RM20,000-00 setakat 10/7/2008  dengan faedah pada kadar 10% dari tarikh 11/7/2008 sehingga tarikh penghakiman dan faedah 8% dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh.

Dalam bahasa mudah, wang yang dituntut oleh pihak bank adalah lebih daripada apa yang dipinjamkan dan kadangkala lebihan yang dituntut masih tidak dapat lagi ditentukan jumlahnya secara pasti selagi tarikh penyelesaian penuh masih tidak dapat ditetapkan.

Atas arahan bank, peguam menandatangani notis tuntutan atau saman sebagai peguam bagi firma dan mewakili bank di mana tuntutan adalah atas jumlah terhutang meliputi jumlah prinsipal (pokok) dan faedah. Atas arahan bank juga, di mahkamah, peguam terpaksa menuntut penghakiman atas jumlah prinsipal dan faedah. Atas persetujuan peminjam dalam perjanjian, maka mahkamah membenarkan tuntutan faedah walaupun kadarnya mungkin lebih tinggi daripada faedah 8% faedah yang mahkamah berkuasa memberikan.  Namun semua faedah ini adalah dibenarkan dan ditetapkan di bawah undang-undang. Begitulah dalam prosiding kuatkuasa penghakiman. Adalah untuk menuntut keseluruhan jumlah terhutang (wang prinsipal dan faedah terakru padanya) yang berakhir sama ada peminjam dapat membayar balik wang terhutang tersebut atau sebahagian daripadanya dan atau dihukum dengan bankrupsi atau sebagainya.

Begitulah kedudukan peguam muslim dalam dunia kepeguaman yang mencabar. Mereka dibentuk jika tidak sepenuhnya sudah tentu sebahagian besarnya, melalui didikan sivil yang berteraskan “English Common Law”.

Mereka kemudiannya beramal guaman dalam dunia perundangan sivil di mahkamah yang mentadbir perundangan sivil. Mereka juga bergerak secara bersama dengan begitu ramai peguam bukan muslim. Jika dunia perbankan (kewangan) telah menerima dengan baik pengaruh syariah dalam sistemnya, perundangan kita masih kekal teguh  dengan ‘roh’ sivilnya.  
  
Kesimpulan Pahit:-  Justeru, terlalu sukar untuk dinafikan atau sebenarnya suatu kebenaran yang terpaksa diakui bahawa terdapat unsur Riba yang jelas, langsung dan menguntungkan pada bidang tugas dan kerja peguam muslim di atas.

Seandainya benarlah begitu atau sememang inilah hakikat sebenar, maka melihatkan kepada nas-nas dan authoriti sahih mengenai dosa besar Riba dan kedahsyatan balasan dan kesudahannya, semestinya peguam-peguam muslim memberi pertimbangan dan semakan semula sedalam-dalamnya, demi untuk kebaikan khususnya kepada diri mereka sendiri.  

Lalu apakah kesudahannya? 

Bersambung ....

(tulisan ini mengambil sedikit masa kerana perlu dipinda, edit untuk disesuaikan bagi paparan Tranungkite, siapa ingin membaca tulisan lengkap boleh rujuk blog dari masa ke semasa atau lebih baik dibeli sahaja  buku tulisan seorang peguam sivil dan syarie bertajuk ‘Syurga Lebih Hampir Tanpa Riba’ terbitan Galeri Ilmu Buku ini berbeza daripada buku riba yang lain kerana terdapat bicara khusus melibatkan aspek realiti seperi isu riba di mahkamah, kes mahkamah berkaitan riba, Fatwa Pakar Luar negara, Fatwa (Mufti) Johor, Bicara khusus kerjaya-kerjaya  seperti peguam, perbankan  dan sebagainya, Isu Darurat dan ketidakberdosaan riba? dan banyak lagi. Bagi buku motivasi meninggal riba, anda boleh baca buku “Dosa Perang Dengan Allah” terbitan Kemilau Publika oleh penulis yang sama. (Berminat sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)

http://hisham-ahmad.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment