Social Icons

Pages

Wednesday, July 24, 2013

Reform 6 : Cinta Allah. kelas apa cinta kita?

Cinta Allah adalah cinta yang melebihi segala cinta yang lain. Cinta yang melebihi segala kecintaan kepada makhluk. Cinta kepada Allah melebihi cinta kepada manusia yang paling dicintai, sama ada ibubapa sendiri ataupun kekasih hati, biarpun bersamanya, telah dilafaz ikrar dan janji untuk sehidup semati.



Persoalannya, bagaimana yang dikatakan cinta kepada Allah? Mudah dikata tetapi bagaimana untuk benar-benar dirasa. Cinta kepada Allah mesti mengandungi elemen paling utama (the most essential element) iaitu ketaatan dan kepatuhan kepada Allah secara tidak berbelah bagi. Tanpanya, kecintaan itu adalah satu tipudaya.



Lalu bagaimana kalau ketaatan dan kepatuhan itu dilakukan bukan kerana cinta, kerana terpaksa atau kerana ada ganjaran yang diingininya. Ketaatan yang terpaksa kerana takutkan neraka-Nya atau kerana menghajatkan Syurga sebagai ganjarannya. Adakah ini dapat dianggap sebagai ‘cinta’ atau cinta yang bermotif dan tidak suci.



Tidakkah ketaatan kepada Allah itu patut dilaksanakan hanya kerana kasih, suka dan cinta semata-mata? Tidak bermotif dan tidak disandarkan kepada perkara lain. Sebagaimana diucapkan oleh seorang ahli ibadah yang hebat, Rabiatul Adawiyah; ““Ya, Allah kalaulah cinta ku ini kerana inginkan syurga-Mu, maka kau jauhkan aku darinya. Kiranya cintaku ini kerana takutkan neraka-Mu kau campakkanlah aku ke dalamnya.”



Benarkah ada manusia biasa yang mempunyai tahap cinta begitu luarbiasa dan sanggup berkata begini atau ia sekadar di ada-adakan melalui catatan seseorang lain yang dikaitkan dengannya, yang juga dilakukan atas nama cinta?



Sewajarnya kita mencintai Allah kerana kita mencintai Allah. Itu sahaja. Kita mencintai Allah kerana Allah yang mencipta kita. Benar! tapi ia alasan paling minima. Bukan sekadar ini sebab kita perlu mencintai-Nya. Bermakna, sekalipun kita tidak diciptakan-Nya, Allah sentiasa kekal, layak dan mesti dicintai. Kita mencintai Allah kerana Allah memang layak untuk dicintai. Kita mencintai Allah kerana kita memerlukan rasa cinta itu. Kita mencintai Allah kerana kita memerlukan dan berhajat kepada Allah bukan kerana Allah memerlukan cinta kita. Allah tidak berhajat kepada kita, kita yang berhajat kepada-Nya. 



Ketahuilah!, kita mencintai Allah kerana kita memerlukan untuk mencintai-Nya.



Membingungkan? Begini. Kita mencintai Allah kerana Allah menjadikan kita.  Allah telah berfirman di dalam al-Quran yang mulia pada surah al-Zariyat, 51: 56:- Bermaksud “dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku”.



Perkara asas ialah bahawa kita diciptakan Allah adalah untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya. Tentulah  penyembahan dan ibadah itu dilakukan bukan kerana benci tetapi kerana cinta. Tanpa cinta, tentulah ia didasarkan kepada kepura-puraan, nifaq atau munafiq menjadikan ibadah itu tertolak dan tiada nilai di sisi-Nya.



Perkara kedua ialah kita juga perlu mencintai Allah kerana Allah memberikan pelbagai nikmat kepada kita dalam pelbagai bentuk yang kita tidak akan mampu menghitung apa lagi untuk membalasnya. Allah telah berfirman di dalam al-Quran yang mulia pada surah Ibrahim, 14: 34:- Bermaksud; “dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya..”.



Mengatasi perkara pertama dan kedua itu, kita mencintai Allah kerana memerlukan untuk mencintai-Nya. Kita perlu mempunyai rasa cinta itu. Kita memerlukan perlakuan dan perasaan mencintai Allah itu bagi kebaikan, manafaat dan kepentingan diri kita sendiri. Macam pelik, bukan?



Allah s.w.t. telah  berfirman di dalam al-Quran yang mulia, melalui surah al-Fathir, 35:15:-

Bermaksud; “Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat (memerlukan) kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah, Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.



Maksud ayat ini memberikan kita satu sebab atau salah satu sebab mengapa kita perlu mencintai-Nya, iaitu ia bukan bagi kebaikan, kepentingan-Nya tetapi bagi kebaikan dan kepentingan diri kita sendiri sebagai manusia atau hambanya. Manusia yang berhajat kepada Allah. Manusia memerlukan Allah, tidak sebaliknya.



Sebagai contoh, apabila kita meluahkan rasa cinta kita, memuji dan dan mengagungkan-Nya, dengan lafaz seperti; “Ya Allah aku mencintai-Mu sepenuh jiwa ragaku, Segala puji bagi-Mu, Kaulah Tuhan yang maha Agung Maha”, ketahuilah bahawa luahan cinta dan lafaz pujian dan pengagungan kita itu tidak menjadikan Allah lebih berkuasa atau lebih agung, kerana ucapan dan lafaz kita itu. Mengapa?



Sesungguh Allah telah sedia dan senantiasa maha agung, maha besar tidak kira sama ada kita mengucapkan kata-kata yang membesarkan dan memuji Allah. Allah s.w.t tetap kekal sebagai tuhan yang maha agung maha besar dan dengan kehebatan nama-nama dan sifat-sifat Nya.



Sebenarnya, Allah memerintahkan kita untuk beribadah kepada-Nya, memuji-Nya sekaligus bermaksud mencintai-Nya ialah bagi kebaikan diri kita sendiri. Allah maha mengetahui tentang diri manusia sebagai makhluk ciptaan-Nya termasuklah perihal psikologi manusia. Perbuatan dan tindakan kita beribadah, memuji dan mencintai-Nya adalah memenuhi tuntutan fitrah dan sifat lumrah kejadian manusia. Kita memerlukan Allah sebagai tempat mengadu, tempat bergantung harap, tempat kita memohon dengan seribu macam jenis permohonan, tempat untuk kembali dengan kepasrahan[1]. Tanpa rasa bertuhan kepada Allah, maksud hidup ini tidak beerti, kehidupan dunia tidak akan difahami.



Memadailah satu contoh di sini. Kezaliman terhadap begitu ramai manusia yang tidak berdosa termasuk kekejaman terhadap batang tubuh dan emosi kanak-kanak kecil seperti yang berlaku di Syria. Di mana keadilannya? 



Mereka yang mengalaminya, menderita atas kezaliman itu memerlukan untuk menyembah dan mencintai Allah untuk menyakini keadilannya, bahawa jika mereka bertahan atas ujian ini, bagi mereka ganjaran yang besar di alam akhirat. Bagi kita yang menyaksikan tahap tertinggi kekejaman dan kebencian manusia kepada kanak-kanak ‘innocent’ ini tanpa kita mampu berbuat apa-apa, maka kita juga memerlukan untuk kembali kepada Allah untuk mengadu kepada-Nya, untuk meluahkan kekecewaan, kesedihan dan pengharapan kita atau apa sahaja yang dirasa dan ditanggung di dalam jiwa.



Kita memerlukan untuk beribadah, mencintai dan berdoa kepada-Nya betapa kita menyakini keadilan-Nya atas apa yang berlaku itu. Betapa kekadang atau kerapkali kita keliru dan bingung atas apa yang berlaku pada diri kita, orang-orang yang kita sayang atau di mana-mana bahagian di serata dunia. “Mengapa begini? Mengapa harus jadi begini? Mengapa manusia yang zalim masih bermaharajalela? Mengapa kanak-kanak kecil ini dizalimi begitu sekali? Di mana pertolongan-Mu, Ya Allah? Dikau kata pertolongan-Mu begitu hampir, tetapi kenapa ianya masih belum tiba?”  “ Ya, Allah, apa yang aku fikirkan, seperti aku tidak meyakini keadilan dan pertolongan-Mu, Hanyasanya akulah yang keliru, yang tidak faham. Ya Allah, ampunkanlah aku atas apa yang aku fikirkan, lindungilah aku dari keburukan fikiranku..”



Ini keperluan fitrah kita sebagai manusia. Keperluan untuk mencintai Allah. Jika tidak, orang-orang yang baik akan kecewa dan menjadi sakit jiwa atau boleh menjadi gila. Sesungguh dari-Nya kita datang, kepada-Nya, kita kembali.



Sekalipun cinta Allah adalah fitrah, cinta Allah adalah keperluan, sebahagian manusia memilih untuk meningkari fitrah dan menidakkan keperluan itu. Mereka memilih untuk tidak mentaati dan mencintai-Nya. Jika manusia mendakwa dia mencintai allah tetapi tidak beribadah kepada–Nya , bahkan tidak mentaati dan mengingkari perintah-Nya, ia adalah cinta yang pelik atau sebenarnya cinta munafiq.


Sungguhlah manusia bersifat mudah lupa, tidak berterimakasih, tidak mengenang budi dan tidak bersyukur. Allah s.w.t. telah  berfirman di dalam al-Quran yang mulia, melalui surah al-Adiyat, 100:6:  Bermaksud; “ Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya”.



Manusia perlu sedar bahawa keengganan, kemalasan dan kedegilan untuk mencintai Allah dan mentaati-Nya secara penuh dan menyeluruh tidak sedikitpun menjejaskan atau mengurangkan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. sebaliknya sekadar merugikan diri manusia sendiri.



Mengapa manusia sering begitu bersungguh dalam mendengar kata dan nasihat manusia lain apabila percaya ia memberi manfaat dan kebaikan kepada mereka tetapi terlalu daif dan lemah pemikiran untuk membandingkan dengan kata dan nasihat daripada pemberi manfaat, kebaikan dan nikmat yang tidak terkira besar dan luasnya.   



Perhatikan manusia yang menghadapi sakit kritikal atau serius, mereka begitu bersungguh mendengar nasihat para doktor pakar dan berusaha mematuhi arahan doktor. Sekiranya ia mematuhi arahan doktor bagi rawatan dirinya, ia memberikan kebaikan kepada dirinya sendiri. Seandainya pesakit itu tidak mematuhi arahan doktor, ia mungkin membuatkan doktor marah tetapi ia tidak menjejaskan doktor itu, sekadar mungkin memberi kesan buruk kepada si pesakit tadi. Dia sendiri yang rugi. 



Satu kisah benar dalam majalah Reader Digest[2], catatan peribadi Dr. Micheal J. Collins, seorang Doktor Pakar Bedah (Orthopaedic).  Ketika bertugas di Mayo Clinic di Minessota  antara tahun 1979 – 1983 seorang pesakit, Jason Withers (36 tahun) bekerja sebagai tukang kayu telah terpotong kesemua 4 jari pada tangan kanannya dengan gergaji circular. “Awak mesti tolong saya, Dr.” pesakit untuk merayu kepda doktor itu di bilik ER.  “Saya perlu untuk mampu bekerja” Pesakit itu mempunyai isteri dan beberapa orang anak. Dia perlukan jarinya untuk bekerja “Bolehkah Dr. cantumkan semula jari saya,” katanya dengan mata bergenang air mata.  Kes ini didapati berpotensi untuk pembedahan.   Bagaimana Jason didapati seorang perokok pada kadar  lebih satu kotak satu hari.  Doktor mengatakan dia mesti berhenti merokok serta merta.  Bukan sahaja merokok itu memburukkan kesihatan tetapi ia menyebabkan sekatan pada aliran salur darah.



“Diandaikan pembedahan berjaya, kesemua jari dapat dicantum dan darah dapat mengalir kepadanya , semua akan menjadi sia-sia jika awak merokok walau sebatang.  Salur darah akan tersekat  dan jari- jari itu akan mati,” kata Dr. Micheal kepada Jason. Jason mengeluar kotak rokok daripada poketnya dan mencampakkan ke lantai dan berkata. “Dr. jika awak semua dapat cantumkan semua semua jari saya, saya tidak akn merokok lagi!” 



Pembedahan kemudian dilakukan. Hari keempat , tanda kejayaan mulai kelihatan. Jari-jari yang asalnya gelap dan seperti ‘mengarat’ kini berwarna sedikit merah jambu dan lebih sihat. Pada hari ke 10, Jason dibenarkan peluang. Hari esok lepas Jason pulang, Dr. Micheal menerima panggilan cemas daripada isteri Jason yang berkata “Jari-jarinya kelihatan teruk. Kena periksa segera, Doktor”



Setelah memeriksa kesemua jari itu, Dr. Micheal menarik lafaz dan berkata perlahan, “Maafkan saya, Jason atas apa yang berlaku” Jason hanya diam menunduk bisu hanya merenung lantai menyebab  terlintas difikiran Dr. Micheal bahawa Jason telah melakukan suatu yang bodoh, lalu dengan perlahan Doktor bertanya; “Jason, awak tidak merokok, kan?” Jason mendiamkan diri, tapi jawapan adalah jelas. Dia telah merokok. Doktor merasa kecewa dan marah, mengapalah bodoh sangat Jason, merosakkan dirinya sendiri. Segala yang buat untuk Jason hanya membuang masa.  “Oh, Jason, apalah yang telah kau lakukan pada diri kau sendiri.”  Pembedahan semula terpaksa dilakukan beberapa kali dalam beberapa hari hanya sekadar untuk membersihkan dari kesan kerosakan yang berlaku. Kesemua 4 jari itu tidak dapat diselamatkan. Jason meminta maaf kepada Dr. Micheal.  “Saya menyesal dr. saya tahu kini saya cacat, tapi saya janji saya tidak akan merokok lagi walau sebatang.” Pesakit itu menyesal, tetapi  sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Kegagalan pesakit (Jason) itu mentaati arahan doktor pakar itu telah menyebabkan kesan kerugian dan kesan buruk kepada dirinya sendiri tetapi tidak menjejaskan doktori itu. Diri pesakit itu sendiri yang menderita. Doktor tidak rugi apa-apa. Doktor itu terjejaspun, reputasinya kekal ternama.  



Kecintaan dan ketaatan penuh kepada Allah s.w.t. adalah tidak lain bagi kebaikan manusia sendiri bahkan kebaikan itu mengatasi semua kebaikan yang lain kerana ia merupakan kebaikan bagi dunia dan akhirat manusia.



Sesungguhnya rahmat Allah melampaui keluasannya di atas pembuktian cinta kita kepada-Nya yang tidak seberapa. Sekalipun kekadang kita terculas dalam melaksanakan ketaatan atau terlanjur dalam melakukan keingkaran, seperti melakukan maksiat dan dosa, kita sentiasa diberikan peluang untuk bertaubat dan Allah s.w.t. sentiasa sahaja boleh mengampunkan kesalahan dan dosa kita. Allah s.w.t. telah  berfirman di dalam al-Quran yang mulia:- Bermaksud; “khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (Wahai Muhammad), Bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka Yang bertaubat dan beramal soleh)”. (Surah al-Hijir 15: 49)



Bermaksud; “Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang Yang melakukan kejahatan Dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, Sesungguhnya Tuhanmu sesudah (Mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Nahl  16: 119)



Bermaksud; “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Azzumur 39: 53)

  

Bermaksud; “dan Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih”. (Surah Al-Burj 85: 14)



Namun ingat, jangan sekali-sekali menduakan Allah dalam cinta dan ketaatan. Perbuatan menduakan Allah dalam cinta dan ketaatan memusnahkan cinta itu sendiri secara penuh dan total. Perbuatan menduakan, menyekutukan dan mensyirikkan Allah adalah kezaliman kepada diri yang sangat besar dan tidak diampunkan Allah. Allah s.w.t. telah  berfirman di dalam al-Quran yang mulia, melalui surah an -Nisa, 4: 48:



Bermaksud; “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa Yang lain dari itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa Yang besar”.





Bukan Cinta Kelas Rabiatul Adawiyah



Cinta kepada Allah bukan cinta yang memerlukan kita meminta dicampakkan ke neraka-Nya sekiranya cinta kita dibayangi dengan keindahan syurga-Nya, digeruni dengan kedahsyatan api neraka-Nya.



Biarkan Rabiah dengan kecintaannya. Biarkanlah segolongan manusia hari ini yang berusaha mencapai darjat cinta setinggi itu. Kita tahu kita tidak mampu menggapai bulan yang tinggi dengan kekuatan lompatan kita. 



Cinta kita cinta manusia biasa. Manusia yang sentiasa berhajat kepada Tuhan yang memberikan segala hajat.  Kita mencintai Allah kerana itu kita tunduk patuh, beribadah, menyembah dan memuji-Nya. Kita juga berusaha mematuhi segala arahan dan menjauhi segala larangan-Nya. Semuanya itu dilakukan atas nama cinta. Kerana cinta kita melakukan semua itu.



Kita akui cinta kita cinta manusia yang kecil dan daif di sisi Tuhannya. Cinta kita cinta yang selalu dibayangi di pengaruhi dengan keinginan meluap kepada syurga-Nya dan ketakutan kepada kedahsyatan neraka-Nya. Salahkah? 



Kita tidak mampu berdusta, sedang Tuhan mengetahui apa yang dsembunyikan dihati kita. Kita tidak terdaya untuk tidak memikirkan kenikmatan syurga dan kengerian neraka. Kekadang kita terasa adakah cinta kita kepada-Nya kerana ingin memasuki Syurga-Nya dan kerana takutkan Neraka-Nya?  Lekehnya cinta kita ini. Masih mahukan lebih setelah dilimpahi dengan nikmat tidak terhitung. Namun salah cinta sebegini? 



Tidak, tidak mungkin salah. Allah menjanjikan balasan syurga bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Janji ini disebut berulang-kali di pelbagai tempat di dalam al quran. Begitulah sebaliknya bagi orang yang ingkar, baginya balasan api neraka. Jelas, cinta sebegini masih diterima Allah.



Bermaksud “dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Sesungguhnya mereka beroleh syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah Yang telah diberikan kepada Kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu Yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka Dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri Yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya” (2:25)

Bermaksud; “dan orang-orang Yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya”  (2:82)

Bermaksud; “dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.” (4:57)

Bermaksud; “dan orang-orang Yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah Yang benar. dan siapakah Yang lebih benar perkataannya daripada Allah?”. (4:122)


Ujian Cinta

Namun kita sedar cinta kita sentiasa diuji. Allah juga yang menguji cinta kita. Setakat mana ketulinan dan kesucian cinta kita. Sekuat mana kita dapat mempertahankan cinta kita. Adakah sekuat cinta lelaki tampan bernama Yusuf dalam menangkis godaan gelora cinta bernafsu wanita jelita (Zulaikha)? Adakah cinta kita dapat diselamatkan seperti cinta pemuda yang hampir menzinai sepupunya tetapi terselamat atas rasa takut berdosa kepada Allah seperti diriwayat di dalam surah al-kahf?   Adakah cinta kita seteguh cinta ibu yang merelakan diri terjun bersama anak  kecilnya ke dalam api seperti  hadith mengenai kisah Ashabul ukhdud, dari wahyu surah Burj?  

Adakah kita meyakini keteguhan cinta sebelum diuji. Hanya bila diuji, baru kita ketahui. Kita mesti sentiasa berusaha meneguhkan cinta kita sebagai bukti kesungguhan cinta kita. Biarpun seteguh mana kita rasakan cinta kita, hakikatnya ia masih lemah dan rapuh dan sentiasa berisiko untuk tergelincir dan ternoda. Namun jika kita ikhlas dan bersungguh dalam cinta kita, in sya Allah pasti cinta kita diselamatkan saat diuji.  

Ketahuilah keteguhan cinta Yusuf juga tercabar tetapi diteguhkan kembali oleh Allah setelah Yusuf ‘melihat tanda dari Tuhannya’. Cinta pemuda yang hampir menzinai sepupu yang sangat dicintainya dalam keadaan yang hampir sangat untuk terlanjur dan ternoda jika tidak kerana dia tersentak dan menggigil atas kata-kata sepupunya, “takutlah kamu kepada Allah untuk mengambil apa yang bukan hakmu”. Manakala keyakinan cinta si ibu bersedia untuk terjun mati di dalam panas api menjadi goyah apabila menatapi wajah anak kecilnya itu kembali utuh apabila anak kecil itu bersuara; “wahai ibuku, sesungguh kita dipihak yang benar.”

Siapa yang menggerakkan gadis itu untuk mengeluarkan kata sehebat itu di situasi itu? Siapa yang mencampakkan rasa takut yang amat sangat di dalam diri pemuda itu? Siapa yang melakukan keajaiban sehingga bayi kecil dapat berkata-kata dan menenangkan ibunya? 

Ketahuilah, kesemua cinta mereka diselamatkan oleh Allah saat mereka diuji. Cinta mereka jujur dan ikhlas tetapi tetap memerlukan Allah. Allah yang memberikan ujian, Allah juga yang memilih untuk menyelamatkan sesiapa yang diuji-Nya”. 

Kita manusia hanya perlu memenuhi syarat-syaratnya. Cinta kita akan sentiasa diuji melalui kedengkian musuh utama iaitu syaitan yang membisikkan dan nafsu yang memperdayakan. Kita mesti berjihad, berjuang dan berusaha (to struggle and strive) dalam membuktikan cinta kita kepada-Nya. Allah s.w.t. telah  berfirman di dalam al-Quran yang mulia, melalui surah Ankabut  29:69:  Bermaksud; “dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Perjuangkan cinta kita kepada-Nya, Buktikan. Tingkat martabat cinta kita kepada-Nya. Mungkin diantara kita, ada yang akhirnya benar-benar terdaya mencapai tahap tertinggi dalam kecintaannya setinggi cinta Rabiahtul Adawiyah kepada Tuhannya.
Perjuangkan cinta kita kepada-Nya, Buktikan. Tingkat martabat cinta kita kepada-Nya. Mungkin diantara kita, ada yang akhirnya benar-benar terdaya mencapai tahap tertinggi dalam kecintaannya setinggi cinta Rabiahtul Adawiyah kepada Tuhannya.


[1] Sebahagian pemilihan istilah dan perkataan (yang mengaitkan dengan Allah) mungkin tidak sampai kepada maksud sebenarnya atau secara terbaik kerana keterbatasan minda manusia  tetapi kita dikawal pandu dengan iman dan kefahaman bahawa tiada sesuatu apa-apapun yang menyerupai atau bersamaan dengan Allah dan kita beriman dengan keagungan nama-nama Allah dan kesempurnaan sifat-sifat-NYa.
[2] Reader’s digest-November 2005 – ms 116 Crash Course by Dr. Micheal J. Collins

No comments:

Post a Comment