Social Icons

Pages

Wednesday, June 19, 2013

Minta izin untuk berzina (pesanan peguam)

Pernahkah anak lelaki remaja atau anak perempuan remaja anda meminta izin untuk melakukan dosa? 

Ya, saya setuju, ini soalan gila. Apahal pulalah saya tiba-tiba utarakan persoalan sebegini. Kalau ditanya langsung depan seorang bapa, peluangnya agak cerah untuk saya… ‘makan’ penampar, jawabnya. 

Bagi soalan yang lebih lembut, kurang bersifat ‘personal attack’, bagaimana kalau kita sebagai guru, ustaz, penghulu atau ADUN, tiba-tiba didatangi seorang anak muda meminta izin untuk melakukan zina? Jawabnya, yang bertanya itu pula yang berpeluang ‘makan’ penampar.

Tentu kita tidak terbayang soalan sebegini akan keluar dari mulut generasi muda Islam kita.  Tetapi bagaimana 10, 20 30 tahun akan datang sekiranya generasi muda masih dialpa kan dengan segala macam bentuk godaan berunsur seksual. Di suatu zaman akan datang ktika mana generasi muda cetek ilmu dalam gelodak nafsu. Di suatu zaman futuristik  di mana gejala keruntuhan akhlak golongan muda berada pada tahap paling kritikal.

Baiklah saya tidak memanjang perkara yang kita rasa amat tidak logick tidak rasional dan tidak masuk akal, so to speak.

Namun ketahuilah, percayalah, terdapat suatu kisah di zaman nabi mengenai seorang pemuda yang meminta izin untuk melakukan dosa. Dosa bukan sebarangan dosa. Dosa zina. Dosa yang sangat hina. Serasa saya, kisah ini mungkin berlaku di peringkat awal perkembangan Islam.

Mungkinkah pemuda ini telah terbiasa dan seronok melakukan zina semasa jahiliyah sebelum memeluk Islam? Mungkinkah, apabila turun ayat al-Quran memerintahkan zina diharamkan, pemuda ini menjadi resah dan gelisah, lalu mencuba nasib berjumpa nabi meminta kebenaran. Manalah tahu, kalau-kalau dapat kelonggaran dan pengecualian. 

Kisah ini bukan nukilan dalam kitab hikayat tetapi bersumberkan hadis di Musnad Imam Ahmad [No Hadith 21185] 

Maksudnya:  “…dari Abu Umamah berkata: Sesungguhnya seorang pemuda menemui Nabi s.a.w. lalu berkata: Wahai Rasulullah s.a.w.! Izinkan aku untuk berzina. Orang ramai menghampiri lalu melarangnya, mereka berkata: “Jangan, jangan.” Rasulullah s.a.w. bersabda: "Marilah." Dia mendekati Baginda s.a.w. lalu duduk, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukai orang berzina dengan ibumu?" pemuda itu menjawab: Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah S.A.W., semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w.  bersabda lagi: Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan ibu-ibu mereka." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukai orang berzina dengan anak perempuanmu?" Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w. bersabda: “Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan anak-anak perempuan mereka." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukai untuk orang berzina dengan emak-emak saudara dari sebelah ayahmu?" Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w. bersabda: Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan emak-emak saudara mereka." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukainya orang berzina dengan emak-emak saudaramu dari sebelah ibumu?" Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w bersabda: Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan emak-emak saudara mereka." Kemudian Rasulullah s.a.w. meletakkan tangan Baginda s.a.w pada pemuda itu dan berdoa: "Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkan hatinya, jagalah kemaluannya." Setelah itu pemuda itu tidak pernah mengerling mana-mana wanita pun.”

Sejak itu juga, zina adalah dosa yang paling dibencinya.

Wahai anak-anak muda lelaki dan perempuan sekelian,
Wahai bapa-bapa, ibu-ibu, kakak-kakak, abang-abang… kepada anak-anak muda ini. Ketahuilah!

Nasihat nabi s.a.w. kepada pemuda ini, meresap jauh ke dalam hati. Pada zaman ini disebut pendekatan psikologi. Sebahagian manusia moden menganggap ia idea dan kaedah baru. Padahal, nabi sudah laksanakan lebih 1400 tahun yang lalu. 

Oleh itu, setiap ibu, kakak, adik perempuan atau setiap wanita bagi setiap keluarga, berilah pesanan dan peringatan kepada setiap lelaki di dalam rumahmu, dari kalangan ahli keluargamu, katakanlah;

“wahai anak lelakiku!”
“Wahai abangku!”
“Wahai adik lelakiku”

“Janganlah dikau lakukan zina dengan mana-mana wanita. 
Sekalipun kau suka, dia pun suka!”

“Jangan kau tergamak merosakkan kesucian,
mana-mana perempuan,
sekalipun dirimu diberi keizinan,
secara rela atau dalam keterpaksaan.”

“Sanggupkah engkau,  jikalau...
ibumu ini dirosakkan orang,
kakak mu dipermainkan,
adik perempuan mu dilarikan.”

“Sanggupkah dirimu, kiranya....
orang tersayang dari keluargamu diperdayakan,
direnggut kesucian,
dihancurkan kegembiraan,
masa depan kabur dan kelam,

dibayangi hukum dan pembalasan dosa,
di dunia dan di akhirat sana”

“Demi keredaan illahi
demi kasih kami selama ini
jauhilah dosa zina, jangan ia didekati

“wahai anak lelakiku!”
“Wahai abangku!”
“Wahai adik lelakiku”

Justeru…
tundukkan pandangan,
Jangan dilihat, disentuh dan diimaginasikan
yang tidak halal dan larangan

Nafsu, syahwatmu  dan keinginan ...
jangan sampai luar kawalan,
hadith sahih ini jadikan ingatan;

“…dari Abu Hurairah dari Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: "… Zina kedua mata adalah melihat, zina kedua telinga adalah mendengar, zina lidah adalah berbicara, zina kedua tangan adalah menyentuh, zina kedua kaki adalah melangkah dan zina hati adalah berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan semua itu akan ditindak lanjuti (berkesudahan) atau ditolak (tidak berkesudahan) oleh kemaluan." [Muslim, Sahih Muslim. Kitab Takdir. No Hadith 4802]

“wahai anak lelakiku!”
“Wahai abangku!”
“Wahai adik lelakiku”

apa ke jadah kau harapkan
pada perempuan kebanyakan
daging yang terdedah...  sini, sana 
berapa lagi tinggal harganya!

sabar, sabar,  bersabarlah...
ia bukan sebarang sifat ... melainkan bagi lelaki yang kuat
 walau terlalu susah ... jangan kau mengalah
moga kau bertemu jodoh ... pewaris akhlak Khadijah dan Aisyah

Sabar itu kejayaan
Jika duniamu tiada keseronokan
diakhirat  pasti kau diberi ganjaran
kelak di syurga, kau dilayan,
bidadari jelita tiada tandingan, bandingan
nikmat tanpa sempadan.. 
perlukah untuk ku huraikan?

Wahai lelaki kesayangan kami,
Lafazkan sumpahmu dan janji!"

Untuk artikel lengkap, ziarahilah :- http://hisham-ahmad.blogspot.com/




Monday, June 17, 2013

bloging is also a mean of doing dakwah if do it the right way....

Salam semua.

Sekadar makluman bg sesiapa yang ada ilmu untuk di kongsi dan ada keinginan untuk menyampaikan dakwah kepada manusia, tetapi susah bercakap, malu berdepan dengan orang ramai (atau sedikit)  atau tiada peluang lagi untuk jadi penceramah atau beri kuliah, maka ber-blogging-lah ,dan anda boleh kongsikan dengan laman web yang diziarahi ramai orang seperti :- http://www.tranungkite.net/v12/


Kalau kuliah kat surau, mungkin baru sekitar 20-50 orang hadirin, masjid, ratus pun dah dikira ramai.   (pengecualian kuliah UAI)  tetapi di laman maya - sasaran pendengar/pembaca ialah - unlimited... unpredictable

 Contoh tulisan saya dibawah setakat 1-2 hari sudah dibuka/mungkin dibaca lebih 2000 orang.

Analisis | Isu Kepincangan Solat Jemaah Di Masjid dan Surau?

Oleh hishamahmad

"Sifat Solat Nabi adalah suatu aspek keilmuan yang  begitu disukai. Pada satu ketika, kempen seruan kearah sifat solat nabi begitu mendapat sambutan. Kursus sifat solat nabi begitu laris dipasaran. Sehingga seolah-olah timbul pertentangan antara istilah ‘sifat solat nabi’ vs. ‘ solat versi mazhab syafie’."

Klik di sini untuk artikel penuh Printer Friendly Send to a Friend 8 Beri Komen
Telah dibuka sebanyak 2012 kali

Dilulus terbit oleh PenjagaKubur

ISU KEPINCANGAN SOLAT JEMAAH DI MASJID DAN SURAU?

Sifat Solat Nabi adalah suatu aspek keilmuan yang  begitu disukai. Pada satu ketika, kempen seruan kearah sifat solat nabi begitu mendapat sambutan. Kursus sifat solat nabi begitu laris dipasaran. Sehinggakan seolah -olah timbul pertentangan antara istilah ‘sifat solat nabi’ vs. ‘solat versi mazhab syafie’.

Bagaimanapun, akhirnya kita sedar ia sekadar istilah, semua orang ingin bersolat mengikut nabi, seboleh-bolehnya setiap aspek kecil dan besar menepati 'style' solat nabi. Untuk itu, ia perlukan mujahadah ilmu dan amalan. Sekiranya ada perbezaan dalam pandangan dan masih bersandarkan hadis sahih, kita masih dalam amal perbuatan solat yang sahih.  Justeru, atas apa jua istilah dan terminologi yang kita cuba labelkan, yang penting ialah isi substantif pada lafaz, perlakuan dan penghayatan, bukan sekadar ikut-ikutan tanpa kefahaman. 

Namun tentulah tidak menepati sunnah, kiranya sifat solat didakwa seperti nabi, sedangkan solat jemaah selalu dicuaikan, kononnya lebih kusyuk solat bersendirian.

Solat jemaah adalah antara sunnah yang paling utama. Di surau dan masjid tempat perlaksanaannya. Namun di sini saya ingin mengemukakan sedikit hasil penilaian saya untuk dinilai oleh pembaca semua.

[Penting- Hasil penilaian ini saya drafkan dalam bentuk surat untuk saya hantar ke masjid-masjid berkaitan untuk dipertimbangkan, tetapi mengharapkan pembaca dapat memberi komen  pandangan untuk pembaikan sebelum surat ini dikirimkan….  ]

REALITI-REALITI MENGGUSARKAN PADA AMALAN SOLAT (FARDU) JEMAAH DI MASJID-MASJID DAN SURAU-SURAU

Kepada:-

Imam (dirahsiakan)

Masjid (dirahsia)

Mukim (dirahiskan), Melaka.                                                              Tarikh:  _/ 7/2013

                                   

Tuan Imam Yang Di Hormati,



Surat  ini bukanlah saya tujukan khusus kepada tuan tetapi anggapkanlah sebagai satu salinan kepada tuan sekadar untuk tuan sudi membaca pandangan saya ini mengenai hal perkara tersebut di atas, sekiranya ada sedikit sebanyak berlaku di masjid/surau pihak tuan.



Tiadalah niat lain dalam menghantar surat ini melainkan atas rasa perlu dan ingin melakukannya, atas nama dakwah tanpa langsung terlintas hasad untuk memperkecil dan menghina sesiapapun apalagi sekelian Imam yang tugasnya tidaklah ada yang lain melainkan melakukan kebaikan di rumah-rumah Allah.  


Pun begitu, terlebih dahulu saya memohon maaf atas segala kesilapan dan kelemahan yang ada dalam surat ini dan atas kesan buruk yang tidak dihajati, jika timbul daripadanya. Terserahlah sepenuhnya kepada para Imam untuk menerima atau menolak, sebahagian atau semuanya. Saya hanya mengorbankan sedikit masa dari limpahan nikmat yang telah diberikan Allah Azza WaJalla, untuk menyampaikan apa yang saya yakini benar dari pemerhatian saya di beberapa masjid dan surau.


Benar, ikhlasnya sebahagian pemerhatian ini dibuat ketika mana saya bersolat di masjid atau surau tersebut, maka ia mungkin termasuk masjid atau surau pihak tuan.   


Tuan Imam,


Sejak beberapa masa terdahulu, saya berusaha menyahut seruan untuk mengerjakan solat jemaah bilamana azan dilaung sama ada di masjid-masjid dan surau-surau termasuklah di masjid tuan. Namun ada suatu perasaan terkilan yang saya alami di mana saya merasakan seperti sukar untuk mendapatkan satu jemaah solat fardu yang sempurna sama ada di masjid atau surau, atau  mungkin saya sendiri yang belum ketemu lagi. Dalam hati saya resah, mengapa tidak dilakukan sesuatu mengenainya sedangkan ia mungkin tidak sesukar mana.


Perubahan yang tidak sukar ini perlu dilakukan dan di sisi Allah, saya percaya besar ganjarannya.


Justeru, berikut inilah antara permasalahan-permasalahan yang diketengahkan beserta cadangan-cadangan untuk penyelesaian yang seadanya. 


Permasalahan 1: -


Imam Yang Pantas Bacaan dan Pergerakannya  Dalam Solat. Dalam solat zohor dan asar, terdapat Imam yang agak cepat bergerak dari berdiri tegak selepas takbir ke rukuk. Saya kekadang terfikir mungkin Imam membaca doa iftitah yang pendek, fatihah, dan surah pendek. Begitu juga dalam rakaat ke-2 dan ke-3, yang turut dirasa kesegeraannya. Saya perlu membaca fatihah dengan agak cepat supaya tidak ketinggalan walaupun lazimnya masih tertinggal. Saya yakin saya tidak silap kerana apabila imam rukuk, beberapa makmum tidak lagi rukuk. Kesannya pergerakkan jemaah menjadi tidak seragam, tidak sama. Begitu juga dalam solat secara jahar (baca kuat), kita dapati kelajuan bacaan fatihah dan surah adalah munasabah namun masalah timbul apabila tiba rakaat ketiga dan/atau keempat. Kenapa berlaku demikian, adakah bila baca secara senyap kita membaca fatihah secara bersambung (wasal) dan dengan cepat, jika begini takut timbul tanggapan bahawa kita semasa baca kuat orang dengar maka terlintas dihati kita terasa perlu menjaga kualiti bacaan, bila baca secara senyap, bacalah cepat dan sambung. Tiada siap dengar.  Saya pernah bertanya dengan seorang imam muda tahfiz selesai selesai solat asar, sebab saya tengok kadar masa qiyam pada rakaat pertama dan kedua sama lama dan agak cepat. Ramai makmum kelamkabut dibelakang. Dia mengatakan dia membaca doa iftitah yang lazim (mazhab syafie) tapi disingkat bermula dari wajjahtu…., fatihah yang diwasal (4 kali berhenti termasuk basmalah), dan surah pendek – iza ja (surah annasr). Begitu juga dalam hal rukuk dan sujud. Kadar tempoh masa yang di ambil bagi rukuk dan sujud, agak segera dan cepat. Sehingga saya dapati banyak kes makmum masbuk sebenarnya tidak sempat mendapat rukuk bersama imam walaupun patutnya boleh dapat (baca dengan sangka baik kerana perlukan perincian dan perbezaan pandangan).


Cadangan 1: Saya maklumi kefasihan hafazan imam. Namun saya pohon agar Imam dapat memberi masa sikit, agar mana bila sahaja Imam Rukuk, kesemua makmum telah bersedia untuk rukuk secara bersama dan seragam. Jika ada yang masih lambat, mungkin seorang dua yang mempunyai masalah (dalaman) tersendiri (special case). Fatihah diharap tidak diwasal. Bacalah satu persatu ayat.


Begitulah juga dalam perihal rukuk dan sujud, jika Imam memberikan sedikit masa, akan menyebabkan semua makmum bergerak serentak dan sama. Alangkah indahnya!. Bahkan banyak situasi makmum masbuq berkejar untuk mendapatkan rukuk bersama imam, tetapi baru sahaja hendak diletakkan tangan atas lutut, imam sudah bangun untuk iktidal. Makmum ini pula menganggap dirinya telah mendapat rakaat. Bukahkah kedudukannya bermasalah mengikut mazhab kita. 


Permasalahan 2:-


Saya di sini bukan membicarakan mengenai kesahan, tetapi kesempurnaan solat berjemaah. Kekadang saya merasakan bahawa solat fardu jemaah kita diselesaikan dalam masa yang agak cepat sehinggakan ada yang sekadar sekitar tidak sampai 5 minit (bagi solat 4 rakaat) sedangkan kemudiannya saya menyaksikan masa yang kelihatan lebih lama diberikan untuk berzikir bersama-sama dan berdoa.


Cadangan saya :- Saya hanya merasakan bahawa sewajarnya penunaian solat jemaah itu dilaksanakan semaksimum sunnah yang boleh, sesempurnanya kerana ia fardu, wajib dan lebih aula dan utama berbanding majlis zikir dan doa bersama yang bukan fardu dan wajib dan boleh dilakukan dalam banyak masa yang lain mahupun secara berasingan dan bersendirian. Untuk itu berikan sedikit masa untuk rukuk iktidal dan sujud. Bacalah fatihah secara tartil dan jangan disambung antara satu ayat dengan satu ayat. 1 rakaat pertama mengandungi satu doa iftitah sama ada jenis biasa atau pendek, satu fatihah dibaca secara kemas dan dan surah sederhana.


Permasalahan 3:-

Terdapat segolongan makmum yang tidak mematuhi peraturan menjadi makmum. Mereka merasakan ianya remeh lalu mencuaikannya. Antaranya (1)saf tidak betul-betul rapat (2) tumit belakang kaki tidak sebaris (3) tidak penuhkan sah pertama (4) tidak mengikut pergerakan imam secara betul dan tepat. (5) dan paling teruk ialah ‘berkejar-kejar’ dengan imam dalam pergerakan rukun sehingga boleh menyebabkan mendahului imam. Masalah ini mungkin telah lama wujud dan berterusan berlaku tanpa usaha mencukupi dilakukan mana-mana pihak termasuk pihak Imam, pihak masjid atau surau.    


Cadangan saya :- Imam, Jangan malu! Ingatkan makmum dengan kata-kata yang jelas agar berdiri secara lurus yang betul dan merapatkan saf. Sekali sekala? Bukan…, selalulah lihat dan periksa barisan makmum sehingga imam puashati. Jangan terus dimulakan solat. Jangan terus di mulakan takbir. Periksa dulu makmum hingga imam puashati. Periksa tumit-belakang kaki sama baris.


Gunalah keluasan kebijaksanaan budibicara imam dalam memberi nasihat yang menyejuk hati bukan menyakiti, dalam mempelbagaikan kata nasihat supaya tidak membosankan.


Bagi sesetengah masjid/surau, saya dapati faktor karpet tambahan berupa sejadah telah menimbulkan masalah apabila ia mewujudkan keadaan tidak rata dan tebal sehinggakan makmum-makmun berdiri mengikut keselesaanya bukan mengikut belakang kaki bilal. Ada yang merasa karpet itu tidak cukup panjang maka dia berdiri dibelakang karpet itu, ada yang berdiri atas separuh karpet dan ada yang berdiri sepenuhnya atas karpet sedangkan ketinggian mereka lebih kurang sama sahaja. Mungkin mereka terlupa asas kesamaan baris itu bukan diukur pada warna karpet atau kedudukan karpet tapi pada perapatan bahu atau ukuran belakang tumit kaki bilal. 


Ada setengah tempat itu, makmum-makmum memberatkan sebelah kanan sehingga pengkar dan pincang barisan saf makmum. Berat sebelah. Tak seimbang. Seorang datang lagi dan pergi sebelah kanan lagi sedangkan makmum semakin senget sebelah kanan. Imam tidak pula menegur dan memesan sebelum angkat takbir. Katakanlah kepada mereka, Imam, bahawa ini tidak betul. Walaupun kita mengutamakan kanan, tetapi bila kanan yang pertama telah dipenuhi orang, kita imbangkan yang kiri, biar orang lain ambil kanan kedua, maka yang datang berikutnya, berdirilah sebelah kiri. Ini sepatutnya, bukankah begitu imam?  


Masalah tawaruq.  Sebahagian ahli jemaah kita pula telah melonggarkan saf, mungkin dengan niat agar dapat tahiyat akhir secara duduk tawaruq. Sewajarnya saf yang rapat, jika tak dapat kaki merasa kerapatan kaki orang sebelah, bahu seharusnya merasa bahu orang sebelah. Sebahagian melonggarkan barisan sebab nak duduk tawaruq kerana merasa badan kurang langsing manakala yang lain sekadar mencuaikannya.


Katakanlah kepada mereka, bahawa pengorbanan mereka lakukan untuk merapatkan saf dengan cara yang betul lebih disukai Allah, biarpun mungkin mereka terpaksa duduk secara secara iftirasy. Bukankah begitu, duhai Imam? Duduk iftirasy adalah duduk yang diterima pada mazhab Ahlul sunnah kita.



Masalah berkejar-kejar dengan imam. Tahukah pihak tuan bahawa di masjid di sebuah universiti di Bangi, ada berlaku atau mungkin telah dijadikan praktis (wallahu alam) di mana Imam hanya menyebut takbir intiqalat hanya apabila telah atau hampir menyempurnakan pergerakan rukunnya sebagai contoh imam apabila bergerak dari iktidal ke sujud, beliau akan bergerak dulu sampai sujud atau hampir sujud barulah membaca takbir –Allahu Akbar. Saya yang berada di saf pertama bahagian belakang merasa agak pelik namun saya terfikir kenapa Imam membuat demikian di mana sebab yang utama mereka merasakan bahawa timbul alasan memaksa kerana kedapatan ramai makmum yang mengejar imam atau lebih teruk lagi mendahului imam dalam pergerakan solat.


Permasalahan 4:-


Duhai Makmum! Jangan Menyamai Atau Mendahului Pergerakan Imam.

Manusia kadangkala menghairankan. Saya menyaksi dan mendengar sendiri pesanan jelas seorang Imam (solat idulfitri) di surau agar makmum tunggu dan biarkan imam sempurnakan pergerakkannya barulah, bergerak. Namun masih kedapatan ahli jemaah yang agak kerap ke surau, masih berkejar dengan imam, sujudnya sama dengan imam, jika tidak sedikit mendahului.

Umurnya seumpama bapa, tampak garang, namun tiada siapa menegurnya walaupun pasti ramai menyedarinya. Saya masih ingat pesanan seorang ustaz pensyarah muda, penulis sebuah kitab tebal solat jemaah mengikut mazhab Shafie  bahawa katanya, “imam perlu sesekali sekala mengingatkan makmum sebelum solat bahawa menyamai imam itu makruh, mendahului imam-hukumnya haram, 2 kali berturut-turut  –batal, tidak menyamai –sunat, membiarkan imam menyempurnakan pergerakkan rukunnya, baru bergerak –itulah pahala sunat yang penuh. (secara teori).


Cadangan Penyelesaian. Terdapat huraian panjang dan berjela dengan penekanan yang sangat serius oleh Imam Ibnu Hanbal. kita ringkaskan di sini panduan penting:-


Bila Imam bertakbiratul ihram (takbir pertama), makmum pastikan imam habis sempurna dulu dengan kata-kata “bar” dan telah meletakkan tangan ke badan/dadanya. Barulah  makmum pun bertakbir. Jangan imam baru habis separuh atau tiga suku, hatta 99% pun, makmum dah mula bertakbir.  


Perkara kesempurnaan ini sangat sukar ditemui pada mana-mana jemaah solat. Kalau anda ada menemuinya, tolong bagitahu saya. Bila imam bergerak dari satu rukun ke satu rukun dan melafazkan takbir (intiqalat- perpindahan rukun), pastikan imam selesaikan pergerakan itu dengan sempurna, barulah makmum bergerak mengikut imam. Kalau makmum yang tidak dapat melihat imam seperti  pada saf belakang dan tepi, maka makmum bergantung kepada selesainya ucapan takbir imam iaitu pada ayat “bar” – “Allahuakbar 


Oleh itu, penting untuk imam memanjangkan dan menyamakan panjang ucapan selari atau selaras dengan pergerakannya sebagai  contoh imam bergerak daripada iktidal ke sujud atau dari sujud ke berdiri, maka lafaz Allahuakbar dipanjangkan sampai imam selesaikan pergerakkannya hingga sempurna. Sebagai contoh perkataan “..bar”  itu dilafaz sama masa dengan kepala imam diletakkan atas lantai untuk sujud atau imam telah dapat berdiri lurus dan meletakkan kedua tangan dengan sempurna atas dada/badannya, setelah bangkit dari sujud.


Jika imam tidak mampu memanjangkan ucapan kerana masalah pernafasan atau sebagainya, mungkin boleh bergerak sedikit dahulu sebelum melafazkan takbir bagi menyamakan pengakhirannya. Atau terlebih baik, berpesan kepada kesemua makmum khususnya di belakang akan masalahnya dan meminta makmum dibelakang bergerak bersama-sama dengan makmum di depan bergerak. Fikirkan.


Ala kuli hal, Perkara peraturan dalam pergerakkan solat ini mesti dijelaskan sejelas-jelasnya ….selalu. Jika tidak, ia akan terus berlaku, ditakuti makin berleluasa. Seorang tua yang disayangi pernah menyatakan bahawa salah satu sebab makmum mengejar Imam ialah kerana Imam juga ‘berlari’. Cepat pada rukuk dan cepat pada sujud.


[Saya  lampirkan beberapa dalil yang relevan walaupun imam –imam lebih arif.] -not attached here


Saya bagaimana pun tidaklah bermaksud membawa kepada keadaan solat fardu jemaah yang panjang sehingga menyebabkan kesukaran untuk orang ramai yang bekerja, tetapi janganlah terlalu pantas sehingga kelihatan ketidaksepaduan antara imam dan makmum. Imam wajar sekali sekala apabila tidak menjadi imam memerhatikan pergerakan keseluruhan makmum lalu meneliti apakah masalah yang berlaku, mengganggarkan tempoh lama masa setiap pergerakan yang munasabah dan sebagainya. Biarpun imam membaca doa iftitah yang pendek, surah yang pendek tetapi tetap perlu menimbangi suasana dan keadaan makmum. Tidak seperti mana makmum yang ramai dari pelbagai latarbelakang ilmu, imam adalah imam berilmu yang berkuasa menentukan perjalanan terbaik bagi jemaah solatnya. 


Setakat ini dahulu sebahagian daripada apa yang dibimbangkan. Semoga diterima dengan hati terbuka dan pemikiran yang tenang.  Surat ini khusus kepada Imam-imam sahaja. Tiada yang lain. Terserah kepada tuan-tuan yang lebih bijaksana. Sekian Terima kasih. 


Yang benar,
Abu Danial Dubeis 

[ Saya juga suka mencadangkan kepada pihak Mufti menubuhkan satu task force (pakar ilmuan dalam hal solat, pakar analisis, pakar kamera, computer dan sebagainya) untuk melakukan kajian melibatkan seluruh masjid (dan kebanyakan surau) di Melaka bagi memerhatikan bagaimana solat jemaah dilakukan bagi melihat kelebihan dan kelemahan dan kemudian mendatang rumusan penyelesaian terbaik, melaksanakan hasil kajian dan kemudiannya memantau secara terang dan diam-diam (spot check).   

Sila ziarahi:- http://hisham-ahmad.blogspot.com  atau emel hishambp@yahoo.com.my bagi memberi komen atau pandangan untuk tujuan pembaikan atau melengkapkan draf surat di atas.

Saturday, June 15, 2013

Isu Bomoh, Syirik & Bukit Pegoh


Sekitar antara bulan akhir tahun 2010 dan awal tahun 2011, kecoh di kawasan sekitar kampung Bukit Pegoh, Melaka, berhampiran kampung tempatku. Terdapat banyak kertas poster tertulis bomoh syirik digantung di kedai, ditampal di pokok dan di macam-macam tempat lagi. Isunya ialah bomoh (gelaran oleh yang mereka tidak menyukainya) atau ustaz (yang berubat dengannya) melakukan pengubatannya dengan mendapatkan bantuan sahabat-sahabatnya “yang tidak kelihatan”. Kategori ‘invisible’. Memang kecoh ketika itu.


Sedihnya operasi perubatan yang semacam itu berada dalam kawasan madrasah (Madrasah Darul Aitam di mana ada pusat penempatan atau pembelajaran anak-anak yatim- Dulunya dikatakan ada pusat tahfiz) yang dipantau, dinasihati atau dibimbingi seorang ustaz hafiz al-Quran. Seorang yang sering memberi kuliah di masjid-masjid. Jasanya pasti besar sebab jarang saya menemui orang dalam bidang agama mendapat pangkat Dato.

Disitu juga ada pusat/kelas tadika (JAIM) bagi kanak-kanak sekitar 5- 6 tahun. Anak saya juga pernah belajar di sana. Bilik operasi perubatan itu betul-betul berhampiran atau dibelakang kelas budak-budak tadika itu. Ada ustaz yang mempunyai ‘telo’ keindonesiaan, di situ mengajar ilmu pengetahuan agama. Seorang yang bernampilan baik dan berilmu. Ustaz ini juga ada mengimamkan solat jumaat di masjid kampung itu. Rasanya, ustaz-ustaz ini tidak sedar bagaimana modus operasi perubatan itu. Kalau tahu, takkan dibiarkan operasi bidaah dolalah itu terus berlaku.

Entah berapa lama operasi perubatan itu telah berjalan. Memang terdengar bantahan-bantahan atas kisah-kisah kepelikan dengan cara rawatan tetapi seperti tidak dihiraukan, menimbulkan satu persoalan , adakah  seperti mendapat ‘pembelaan atau perlindungan?.

Akhirnya, segolongan umat Islam di situ tidak tertahan lagi lalu bangkit dengan menunjukkan kemarahan dan bangkangan. Mereka percaya amalan perubatan itu berunsur sihir atau syirik. Sekian banyak poster ditampal di banyak tempat di persekitaran itu sebagai protes dan bantahan keras. Bagaimana tak keras, poster-poster itu dengan jelas menyatakan “Awas Bomoh Syirik”. Ia tidak ditujukan kepada sesiapa, tetapi siapa makan cili, pedasnya, dialah yang terasa. Aduan juga dipercayai ada dibuat kepada pihak berkuasa agama.

Mulanya saya fikir, betulkah dakwaan dan bagaimana mereka hendak buktikan? Sihir, syirik atau keduanya. Pasti susah, tidak mudah. 

Rupa-rupanya ada asas pada dakwaan. Bahkan dakwaan telah dibuktikan. Pihak Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengeluarkan arahan supaya operasi perubatan alternatif itu ditutup serta merta. Disebut adanya pengakuan perawat  itu sendiri akan kerjasama sahabat-sahabat ‘halus’ dalam operasi perubatannya. [Rujuk Surat Jabatan Mufti Melaka bertarikh 10/2/2011 bernombor rujukan JMM/BFB/351/670/01 (27) oleh Dato Wira Haji Rashid Redza Bin Hj Md Salleh merujuk kepada mesyuarat 29/12/2010]. Bahagian notis fatwa ini ditampal pada papan notis pada sekian banyak masjid-masjid di Melaka.  (Seorang Ustaz dari Bukit Pegoh juga ada mengatakan  fatwa yang sama ada dikeluarkan pihak Jakim , tetapi saya belum sempat untuk memeriksanya).

Maka saya pun merasa lega. Isu ‘bomoh syirik’  dianggap selesai. Golongan yang menegak maaruf dan mencegah mungkar, kepada mereka, kami semua terhutang budi. Inilah sunnah nabi, yang utama lagi terpuji. Semoga mereka dirahmati. Ikhlas doa dari kami. Insan-insan yang sekadar memerhati.

Masa berlalu. Suatu hari saya terserempak seorang pemuda dari kampung itu. Memang seorang yang saya ketahui sebagai pembangkang amalan perbomohan itu. Terperanjat saya di maklum ia di katakan masih wujud. Itulah beberapa lama selepas kejadian itu.

Masa terus berlalu. Saya pun dah lupa. Sehinggalah beberapa hari lepas. Saya bertemu seorang ustaz dari kampung itu. Hasil jawapan kepada pertanyaan, masih terdapat operasi rawatan perubatan di situ cuma dikatakan bahawa orang/perawatnya ialah orang lain tetapi dikatakan kemungkinan modus operandinya sama. 

Justeru, perkara ini mewajarkan siasatan segera dilakukan oleh pihak berkuasa agama Negeri Melaka khususnya dari jalinan kerjasama oleh pihak Jabatan Mufti, Bahagian Siasatan,  Penguatkuatkuasaan dan sebagainya.

Ketahui! segala perlakuan, tindakan dan amalan yang berunsur syirik , jika ada dilakukan di mana-mana, maka tindakan segera menanganinya perlu dilaksanakan segera kerana syirik adalah kezaliman besar.  

http://hisham-ahmad.blogspot.com/