Bagaimanapun, akhirnya kita sedar ia sekadar istilah, semua orang
ingin bersolat mengikut nabi, seboleh-bolehnya setiap aspek kecil dan besar menepati
'style' solat nabi. Untuk itu, ia perlukan mujahadah ilmu dan amalan. Sekiranya
ada perbezaan dalam pandangan dan masih bersandarkan hadis sahih, kita masih
dalam amal perbuatan solat yang sahih. Justeru,
atas apa jua istilah dan terminologi yang kita cuba labelkan, yang penting
ialah isi substantif pada lafaz, perlakuan dan penghayatan, bukan sekadar
ikut-ikutan tanpa kefahaman.
Namun tentulah tidak menepati sunnah, kiranya sifat solat didakwa
seperti nabi, sedangkan solat jemaah selalu dicuaikan, kononnya lebih kusyuk
solat bersendirian.
Solat jemaah adalah antara sunnah yang paling utama. Di surau dan
masjid tempat perlaksanaannya. Namun di sini saya ingin mengemukakan sedikit
hasil penilaian saya untuk dinilai oleh pembaca semua.
[Penting- Hasil penilaian ini saya drafkan dalam bentuk surat untuk
saya hantar ke masjid-masjid berkaitan untuk dipertimbangkan, tetapi
mengharapkan pembaca dapat memberi komen
pandangan untuk pembaikan sebelum surat ini dikirimkan…. ]
REALITI-REALITI MENGGUSARKAN PADA AMALAN SOLAT (FARDU) JEMAAH DI
MASJID-MASJID DAN SURAU-SURAU
Kepada:-
Imam (dirahsiakan)
Masjid (dirahsia)
Mukim (dirahiskan), Melaka. Tarikh: _/ 7/2013
Tuan Imam Yang Di Hormati,
Surat
ini bukanlah saya tujukan khusus kepada tuan tetapi anggapkanlah sebagai
satu salinan kepada tuan sekadar untuk tuan sudi membaca pandangan saya ini
mengenai hal perkara tersebut di atas, sekiranya ada sedikit sebanyak berlaku
di masjid/surau pihak tuan.
Tiadalah niat lain dalam menghantar surat
ini melainkan atas rasa perlu dan ingin melakukannya, atas nama
dakwah tanpa langsung terlintas hasad untuk memperkecil dan menghina sesiapapun
apalagi sekelian Imam yang tugasnya tidaklah ada yang lain melainkan melakukan
kebaikan di rumah-rumah Allah.
Pun begitu, terlebih dahulu saya memohon
maaf atas segala kesilapan dan kelemahan yang ada dalam surat ini dan atas
kesan buruk yang tidak dihajati, jika timbul daripadanya. Terserahlah
sepenuhnya kepada para Imam untuk menerima atau menolak, sebahagian atau
semuanya. Saya hanya mengorbankan sedikit masa dari limpahan nikmat yang telah
diberikan Allah Azza WaJalla, untuk menyampaikan apa yang saya yakini benar
dari pemerhatian saya di beberapa masjid dan surau.
Benar, ikhlasnya sebahagian pemerhatian
ini dibuat ketika mana saya bersolat di masjid atau surau tersebut, maka ia
mungkin termasuk masjid atau surau pihak tuan.
Tuan Imam,
Sejak beberapa masa terdahulu, saya
berusaha menyahut seruan untuk mengerjakan solat jemaah bilamana azan dilaung
sama ada di masjid-masjid dan surau-surau termasuklah di masjid tuan. Namun ada
suatu perasaan terkilan yang saya alami di mana saya merasakan seperti sukar
untuk mendapatkan satu jemaah solat fardu yang sempurna sama ada di masjid atau
surau, atau mungkin saya sendiri yang
belum ketemu lagi. Dalam hati saya resah, mengapa tidak dilakukan sesuatu
mengenainya sedangkan ia mungkin tidak sesukar mana.
Perubahan yang tidak sukar ini perlu
dilakukan dan di sisi Allah, saya percaya besar ganjarannya.
Justeru, berikut inilah antara
permasalahan-permasalahan yang diketengahkan beserta cadangan-cadangan untuk
penyelesaian yang seadanya.
Permasalahan 1: -
Imam Yang Pantas Bacaan dan
Pergerakannya Dalam Solat. Dalam solat zohor dan asar, terdapat Imam
yang agak cepat bergerak dari berdiri tegak selepas takbir ke rukuk. Saya
kekadang terfikir mungkin Imam membaca doa iftitah yang pendek, fatihah, dan
surah pendek. Begitu juga dalam rakaat ke-2 dan ke-3, yang turut dirasa
kesegeraannya. Saya perlu membaca fatihah dengan agak cepat supaya tidak
ketinggalan walaupun lazimnya masih tertinggal. Saya yakin saya tidak silap kerana
apabila imam rukuk, beberapa makmum tidak lagi rukuk. Kesannya pergerakkan
jemaah menjadi tidak seragam, tidak sama. Begitu juga dalam solat secara jahar
(baca kuat), kita dapati kelajuan bacaan fatihah dan surah adalah munasabah
namun masalah timbul apabila tiba rakaat ketiga dan/atau keempat. Kenapa
berlaku demikian, adakah bila baca secara senyap kita membaca fatihah secara
bersambung (wasal) dan dengan cepat, jika begini takut timbul tanggapan bahawa
kita semasa baca kuat orang dengar maka terlintas dihati kita terasa perlu
menjaga kualiti bacaan, bila baca secara senyap, bacalah cepat dan sambung.
Tiada siap dengar. Saya pernah bertanya
dengan seorang imam muda tahfiz selesai selesai solat asar, sebab saya tengok
kadar masa qiyam pada rakaat pertama dan kedua sama lama dan agak cepat. Ramai
makmum kelamkabut dibelakang. Dia mengatakan dia membaca doa iftitah yang lazim
(mazhab syafie) tapi disingkat bermula dari wajjahtu…., fatihah yang diwasal (4
kali berhenti termasuk basmalah), dan surah pendek – iza ja (surah annasr). Begitu
juga dalam hal rukuk dan sujud. Kadar tempoh masa yang di ambil bagi rukuk dan
sujud, agak segera dan cepat. Sehingga saya dapati banyak kes makmum masbuk
sebenarnya tidak sempat mendapat rukuk bersama imam walaupun patutnya boleh
dapat (baca dengan sangka baik kerana perlukan perincian dan perbezaan
pandangan).
Cadangan 1: Saya maklumi kefasihan hafazan imam.
Namun saya pohon agar Imam dapat memberi masa sikit, agar mana bila sahaja Imam
Rukuk, kesemua makmum telah bersedia untuk rukuk secara bersama dan seragam.
Jika ada yang masih lambat, mungkin seorang dua yang mempunyai masalah
(dalaman) tersendiri (special case). Fatihah diharap tidak diwasal. Bacalah
satu persatu ayat.
Begitulah juga dalam perihal rukuk dan
sujud, jika Imam memberikan sedikit masa, akan menyebabkan semua makmum
bergerak serentak dan sama. Alangkah indahnya!. Bahkan banyak situasi makmum
masbuq berkejar untuk mendapatkan rukuk bersama imam, tetapi baru sahaja hendak
diletakkan tangan atas lutut, imam sudah bangun untuk iktidal. Makmum ini pula
menganggap dirinya telah mendapat rakaat. Bukahkah kedudukannya bermasalah
mengikut mazhab kita.
Permasalahan 2:-
Saya di sini bukan membicarakan mengenai
kesahan, tetapi kesempurnaan solat berjemaah. Kekadang saya merasakan bahawa
solat fardu jemaah kita diselesaikan dalam masa yang agak cepat sehinggakan ada
yang sekadar sekitar tidak sampai 5 minit (bagi solat 4 rakaat) sedangkan
kemudiannya saya menyaksikan masa yang kelihatan lebih lama diberikan untuk berzikir
bersama-sama dan berdoa.
Cadangan saya :- Saya hanya merasakan bahawa
sewajarnya penunaian solat jemaah itu dilaksanakan semaksimum sunnah yang
boleh, sesempurnanya kerana ia fardu, wajib dan lebih aula dan utama berbanding
majlis zikir dan doa bersama yang bukan fardu dan wajib dan boleh dilakukan
dalam banyak masa yang lain mahupun secara berasingan dan bersendirian. Untuk
itu berikan sedikit masa untuk rukuk iktidal dan sujud. Bacalah fatihah secara
tartil dan jangan disambung antara satu ayat dengan satu ayat. 1 rakaat pertama
mengandungi satu doa iftitah sama ada jenis biasa atau pendek, satu fatihah
dibaca secara kemas dan dan surah sederhana.
Permasalahan 3:-
Terdapat segolongan makmum yang tidak
mematuhi peraturan menjadi makmum. Mereka merasakan ianya remeh lalu
mencuaikannya. Antaranya (1)saf tidak betul-betul rapat (2) tumit belakang kaki
tidak sebaris (3) tidak penuhkan sah pertama (4) tidak mengikut pergerakan imam
secara betul dan tepat. (5) dan paling teruk ialah ‘berkejar-kejar’ dengan imam
dalam pergerakan rukun sehingga boleh menyebabkan mendahului imam. Masalah ini
mungkin telah lama wujud dan berterusan berlaku tanpa usaha mencukupi dilakukan
mana-mana pihak termasuk pihak Imam, pihak masjid atau surau.
Cadangan saya :- Imam, Jangan malu! Ingatkan makmum dengan
kata-kata yang jelas agar berdiri secara lurus yang betul dan merapatkan saf.
Sekali sekala? Bukan…, selalulah lihat dan periksa barisan makmum sehingga imam
puashati. Jangan terus dimulakan solat. Jangan terus di mulakan takbir. Periksa
dulu makmum hingga imam puashati. Periksa tumit-belakang kaki sama baris.
Gunalah keluasan kebijaksanaan budibicara
imam dalam memberi nasihat yang menyejuk hati bukan menyakiti, dalam
mempelbagaikan kata nasihat supaya tidak membosankan.
Bagi sesetengah masjid/surau, saya dapati
faktor karpet tambahan berupa sejadah telah menimbulkan masalah apabila ia
mewujudkan keadaan tidak rata dan tebal sehinggakan makmum-makmun berdiri
mengikut keselesaanya bukan mengikut belakang kaki bilal. Ada yang merasa
karpet itu tidak cukup panjang maka dia berdiri dibelakang karpet itu, ada yang
berdiri atas separuh karpet dan ada yang berdiri sepenuhnya atas karpet
sedangkan ketinggian mereka lebih kurang sama sahaja. Mungkin mereka terlupa
asas kesamaan baris itu bukan diukur pada warna karpet atau kedudukan karpet
tapi pada perapatan bahu atau ukuran belakang tumit kaki bilal.
Ada setengah tempat itu, makmum-makmum
memberatkan sebelah kanan sehingga pengkar dan pincang barisan saf makmum.
Berat sebelah. Tak seimbang. Seorang datang lagi dan pergi sebelah kanan lagi
sedangkan makmum semakin senget sebelah kanan. Imam tidak pula menegur dan
memesan sebelum angkat takbir. Katakanlah kepada mereka, Imam, bahawa ini tidak
betul. Walaupun kita mengutamakan kanan, tetapi bila kanan yang pertama telah
dipenuhi orang, kita imbangkan yang kiri, biar orang lain ambil kanan kedua,
maka yang datang berikutnya, berdirilah sebelah kiri. Ini sepatutnya, bukankah
begitu imam?
Masalah
tawaruq. Sebahagian ahli jemaah kita
pula telah melonggarkan saf, mungkin dengan niat agar dapat tahiyat akhir
secara duduk tawaruq. Sewajarnya saf yang rapat, jika tak dapat kaki merasa
kerapatan kaki orang sebelah, bahu seharusnya merasa bahu orang sebelah.
Sebahagian melonggarkan barisan sebab nak duduk tawaruq kerana merasa badan
kurang langsing manakala yang lain sekadar mencuaikannya.
Katakanlah kepada mereka, bahawa
pengorbanan mereka lakukan untuk merapatkan saf dengan cara yang betul lebih
disukai Allah, biarpun mungkin mereka terpaksa duduk secara secara iftirasy.
Bukankah begitu, duhai Imam? Duduk iftirasy adalah duduk yang diterima pada
mazhab Ahlul sunnah kita.
Masalah berkejar-kejar dengan imam. Tahukah pihak tuan bahawa di masjid di
sebuah universiti di Bangi, ada berlaku atau mungkin telah dijadikan praktis
(wallahu alam) di mana Imam hanya menyebut takbir intiqalat hanya apabila telah
atau hampir menyempurnakan pergerakan rukunnya sebagai contoh imam apabila
bergerak dari iktidal ke sujud, beliau akan bergerak dulu sampai sujud atau
hampir sujud barulah membaca takbir –Allahu Akbar. Saya yang berada di saf
pertama bahagian belakang merasa agak pelik namun saya terfikir kenapa Imam
membuat demikian di mana sebab yang utama mereka merasakan bahawa timbul alasan
memaksa kerana kedapatan ramai makmum yang mengejar imam atau lebih teruk lagi
mendahului imam dalam pergerakan solat.
Permasalahan 4:-
Duhai Makmum! Jangan Menyamai Atau Mendahului Pergerakan Imam.
Manusia kadangkala menghairankan. Saya
menyaksi dan mendengar sendiri pesanan jelas seorang Imam (solat idulfitri) di
surau agar makmum tunggu dan biarkan imam sempurnakan pergerakkannya barulah,
bergerak. Namun masih kedapatan ahli jemaah yang agak kerap ke surau, masih
berkejar dengan imam, sujudnya sama dengan imam, jika tidak sedikit mendahului.
Umurnya seumpama bapa, tampak garang,
namun tiada siapa menegurnya walaupun pasti ramai menyedarinya. Saya masih
ingat pesanan seorang ustaz pensyarah muda, penulis sebuah kitab tebal solat
jemaah mengikut mazhab Shafie bahawa katanya,
“imam perlu sesekali sekala mengingatkan makmum sebelum solat bahawa menyamai
imam itu makruh, mendahului imam-hukumnya haram, 2 kali berturut-turut –batal, tidak menyamai –sunat, membiarkan
imam menyempurnakan pergerakkan rukunnya, baru bergerak –itulah pahala sunat
yang penuh. (secara teori).
Cadangan Penyelesaian. Terdapat huraian panjang
dan berjela dengan penekanan yang sangat serius oleh Imam Ibnu Hanbal. kita
ringkaskan di sini panduan penting:-
Bila Imam bertakbiratul ihram (takbir
pertama), makmum pastikan imam habis sempurna dulu dengan kata-kata “bar” dan telah meletakkan tangan ke
badan/dadanya. Barulah makmum pun
bertakbir. Jangan imam baru habis separuh atau tiga suku, hatta 99% pun, makmum
dah mula bertakbir.
Perkara
kesempurnaan ini sangat sukar ditemui pada mana-mana jemaah solat. Kalau anda
ada menemuinya, tolong bagitahu saya. Bila imam bergerak dari satu rukun ke
satu rukun dan melafazkan takbir (intiqalat- perpindahan rukun), pastikan imam
selesaikan pergerakan itu dengan sempurna, barulah makmum bergerak mengikut imam.
Kalau makmum yang tidak dapat melihat imam seperti pada saf belakang dan tepi, maka makmum
bergantung kepada selesainya ucapan takbir imam iaitu pada ayat “bar” –
“Allahuakbar”
Oleh itu, penting untuk imam memanjangkan dan
menyamakan panjang ucapan selari atau selaras dengan pergerakannya sebagai contoh imam bergerak daripada iktidal ke
sujud atau dari sujud ke berdiri, maka lafaz Allahuakbar dipanjangkan sampai
imam selesaikan pergerakkannya hingga sempurna. Sebagai contoh perkataan “..bar” itu dilafaz sama masa dengan kepala imam
diletakkan atas lantai untuk sujud atau imam telah dapat berdiri lurus dan
meletakkan kedua tangan dengan sempurna atas dada/badannya, setelah bangkit
dari sujud.
Jika imam tidak mampu memanjangkan
ucapan kerana masalah pernafasan atau sebagainya, mungkin boleh bergerak
sedikit dahulu sebelum melafazkan takbir bagi menyamakan pengakhirannya. Atau
terlebih baik, berpesan kepada kesemua makmum khususnya di belakang akan
masalahnya dan meminta makmum dibelakang bergerak bersama-sama dengan makmum di
depan bergerak. Fikirkan.
Ala kuli hal, Perkara peraturan dalam pergerakkan
solat ini mesti dijelaskan sejelas-jelasnya ….selalu. Jika tidak, ia akan terus
berlaku, ditakuti makin berleluasa. Seorang tua yang disayangi pernah
menyatakan bahawa salah satu sebab makmum mengejar Imam ialah kerana Imam juga
‘berlari’. Cepat pada rukuk dan cepat pada sujud.
[Saya
lampirkan beberapa dalil yang relevan walaupun imam –imam lebih arif.] -not attached here
Saya bagaimana pun tidaklah bermaksud
membawa kepada keadaan solat fardu jemaah yang panjang sehingga menyebabkan
kesukaran untuk orang ramai yang bekerja, tetapi janganlah terlalu pantas
sehingga kelihatan ketidaksepaduan antara imam dan makmum. Imam wajar sekali
sekala apabila tidak menjadi imam memerhatikan pergerakan keseluruhan makmum
lalu meneliti apakah masalah yang berlaku, mengganggarkan tempoh lama masa
setiap pergerakan yang munasabah dan sebagainya. Biarpun imam membaca doa
iftitah yang pendek, surah yang pendek tetapi tetap perlu menimbangi suasana
dan keadaan makmum. Tidak seperti mana makmum yang ramai dari pelbagai
latarbelakang ilmu, imam adalah imam berilmu yang berkuasa menentukan
perjalanan terbaik bagi jemaah solatnya.
Setakat ini dahulu sebahagian daripada
apa yang dibimbangkan. Semoga diterima dengan hati terbuka dan pemikiran yang
tenang. Surat ini khusus kepada
Imam-imam sahaja. Tiada yang lain. Terserah kepada tuan-tuan yang lebih
bijaksana. Sekian Terima kasih.
Yang benar,
Abu Danial Dubeis
[ Saya juga suka mencadangkan kepada
pihak Mufti menubuhkan satu task force (pakar ilmuan dalam hal solat, pakar
analisis, pakar kamera, computer dan sebagainya) untuk melakukan kajian
melibatkan seluruh masjid (dan kebanyakan surau) di Melaka bagi memerhatikan
bagaimana solat jemaah dilakukan bagi melihat kelebihan dan kelemahan dan
kemudian mendatang rumusan penyelesaian terbaik, melaksanakan hasil kajian dan
kemudiannya memantau secara terang dan diam-diam (spot check).
Sila ziarahi:- http://hisham-ahmad.blogspot.com
atau emel hishambp@yahoo.com.my bagi memberi komen atau
pandangan untuk tujuan pembaikan atau melengkapkan draf surat di atas.
Assalamualaikum. Bukan semua imam mempunyai ilmu mengimami sembahyang, kebanyakannya mmg tidak betul, jika dibandingkan dgn etika dan prosedur yg tercatat dalam kitab Sabilal-muhtadin, dari cara melafaz takbir intiqalat hingga hal hal meletakkan keutamaan antara yg sunat dgn rukun, spt yg tuan contohkan itu. Ini belum lagi diambil kira sama ada org2 ni tahu ke tidak maqasid sembahyang, seperti yg disebut dlm ayat 45 surah al Ankabut itu. Atas sebab2 inilah saya sedang menyiapkan sebuah buku kecil bertajuk Salahlaku Dalam Sembahyang, yg daya susun berasaskan kitab tersebut tadi. Saya yakin antara kandungannya terjawab dlm buku saya.
ReplyDeleteada 3 cara ucapan takbir ketika solat
ReplyDeletei. Mengangkat tangan bersama ucapan takbir
“Adakalanya Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam mengangkat kedua tangannya bersamaan dengan ucapan takbir”.(Hadis Riwayat Bukhari dan an-Nasaii)
ii. Mengangkat kedua tangan sesudah ucapan takbir
“Kadangkala mengangkat kedua tangannya sesudah ucapan takbir”. (Hadis Riwayat Bukhari dan an-Nasaii)
iii. Mengangkat kedua tangan sebelum ucapan takbir
“Adakala nya mengangkat kedua tangannya sebelum ucapan takbir”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud)