Abu Dubeis masih teringat cerita maklangnya, isteri bapa saudara sebelah ibu. Kisah mengenai ibu dan bapa maklang, selepas mereka balik Haji. Ibunya keturunan melayu manakala bapanya keturunan India-mamak. Cuma terlupa, terlupa sebelah mana. Malbari, agaknya. Entahlah.
Ibu dan bapa Maklang ni, pernah ditemui satu atau dua kali. Bapanya walaupun dari ketegori mamak, tapi kulitnya tidak hitam, tetapi lebih menghampiri putih. Perkahwinan dan cinta mereka terbukti hingga ke akhir hayat.
Oh, Ya. Kisahnya ialah ibu Maklang bermazhab Syafie manakala bapanya bermazhab bukan Syafie. Seingatnya, mazhab Hanafi. Pada suatu hari di suatu ketika yang telah lama, Maklang bercerita dengan mengajuk semula, dengan gaya ala-ala mamak bagaimana bapanya bercakap perihal kisah mereka suami isteri semasa haji dalam isu wuduk dan sentuhan antara suami dan isteri, ”sini tak boleh pegang, sana boleh pegang. Ini macam. (Ditunjuk sambil memaut lengan)”
[Bagi siisteri sentuhan antara suami dan isteri membatalkan wuduk berdasarkan mazhab Shafie, manakala bagi suami pula, tidak batal kerana mazhab berbeza].
Gelihati mendengarnya. Seperti si suami merasa pandangan mazhabnya dalam hal ini lebih lebih sesuai diikuti. Tentulah bagi kita generasi muda merasa agak pelik apabila bersentuhan di Malaysia, wuduk menjadi terbatal tetapi di Mekah tidak pula batal.
Di Mekah, si isteri menjadi kebal.
Lebih pelik, jika di tanah air, kesan sentuhan suami isteri itu hanya membatalkan wuduk si isteri. Tidak si suami. Kemudian si isteri berimamkan si suami. Kagum juga dengan sikap toleransi mereka. Bukti berlainan mazhab boleh berkompromi. Senanglah, suami dan isteri. Kalau berselisih, boleh ‘settle’ sendiri.
Terlupa pula ditanya, bagaimana pula dengan maklang saya. Mazhab mana pula yang diwarisinya?
Satu polemik menarik, juga.
Sebenarnya sebelum pergi haji, Abu Dubeis mendengar pelbagai pegangan dan aplikasi prinsip dalam hal wuduk jemaah Malaysia bagi tahun sebelum itu. Kalau didengar dari orang-orang yang telah pergi haji, macam-macam maklumat diberi. Bermakna masih ada ketidakjelasan dan keraguan. Ada kata taklid mazhab hanafi, hambali dan sebagainya. Ada yang kata, bila sudah bertaklid mazhab Hambali, makan daging unta, batal wuduk.
Kemudian apabila tahun Abu Dubeis pergi pula, pendekatannya berbeza. Kaedah lain digunapakai untuk menangani isu wuduk, batal wuduk dan sentuhan.
Tidakkah isu ini telah wujud zaman berzaman? Masih tak diselesaikan?
Ketika tahun haji Abu Dubeis, pegangan dan pandangan hukum dipakai mungkin paling sesuai. Semua jemaah kebal di seluruh tanah haram, apabila melangkah keluar sahaja dari hotel penginapan. Kuasa kebal ini ini hanya sementara. Bila masuk hotel hilanglah kuasa.
Diluar, tersentuh siapa sahaja, kulit ke kulit, tidak mengapa, asal sahaja syahwat jangan terasa. Terasa apa? Kita dah dewasa. Awak tahu, saya pun tahu. Saya tahu awak tahu, awak pun tahu saya tahu. Jadi tak perlu beritahu, kita buat-buatlah tak tahu.
Apabila difikirkan semula… adakah kita benar-benar faham apakah yang dikatakan ‘…dengan syahwat’. Apakah definisi dan keluasan tafsiran. Adakah ia pada rasa atau keinginan pada emosi dan perasaan atau pada tindakan balas kimia dalam badan. Adakah sekadar ada ‘rasa’ atau ‘gerakan’ atau sampai merasa kelazatan. Kekadang rasa dan gerakan itu itu sekadar tindakbalas semulajadi (auto reaction) dan serta merta yang bukan bukan dikawal akal yang sedar tetapi minda bawah sedar (subconscious mind).
Kebal. Had kebal.
Cuma saya dah lupa, tafsiran kebal iaitu tidak terbatal. Adakah apabila disentuh dan menyentuh? Atau sekadar disentuh, tidak menyentuh? Sedangkan menyentuh termasuk juga (1) menyentuh secara tidak sengaja atau (2) menyentuh secara sengaja? Bagaimana pula secara sengaja tetapi perlu atau terpaksa?
Begitulah polemik yang kita alami. Kesan jenis Fiqah yang kita pilih sendiri.
Semasa tawaf sunat kita boleh pakai jubah labuh, boleh pakai stoking, boleh tutup kepala untuk mengurangi risiko sentuhan. Namun bila berpakaian ihram untuk umrah atau haji, sebahagian tubuh kita begitu terdedah. Kaki, bahu, tangan, kepala. Siapa yang tidak pernah alami tumit kakinya ditendang atau dalam bahasa lembut, disentuh oleh jejari kaki kaum hawa khususnya dari daerah sekitar ‘bollywood’ sana.
Saya ingat lagi kata-kata seorang ustaz yang saya sukai, juga pembimbing umrah atau haji, Beliau meninggalkan sunnah ittiba’ dalam tawaf kerana tidak tertahan disentuh bahunya oleh gadis-gadis bukan mahram. Ini pengakuan kejujuran. ‘Don’t get me wrong’. Maksud saya bukan tidak tertahan syahwatnya, tetapi tidak tertahan terganggu khusyuk dan tawaduknya. Ustaz yang sentiasa setia jiwa dan hati dengan mazhab syafie, hal sentuh-sentuh begini, memang sangat ‘allergic’.
Syukur, kini saya dengar dia dah dapat nikmat berganda melalui poligami. Saya harap dapat bergurau dengannya bila bertemu nanti. “Ustaz dah boleh ittiba kerana dah kurang geli’.
Begitulah apabila sebahagian daripada kita yang begitu setia untuk berpegang kuat pada pandangan yang ketat, ditakuti kita sendiri yang tidak larat. Bukankah agama itu mudah dan bersifat memudahkan. Tidak dibebankan seseorang lebih dari kadar yang dia mampu. Mungkin niat dihati nak mematuhi amalan agama sedaya upaya, sesungguh jiwa-raga.
Baguslah kalau sunnah amalan itu begitu, bagaimana kalau sunnah itu sendiri membuka ruang dan pilihan yang memudahkan. Supaya amalan lebih khusyuk dan tenang.
Ilmu dan Kefahaman
Marilah kita saksikan di sini antara maklumat terbaik yang saya temui hasil penulisan seorang tokoh sunnah di Malaysia dalam isu sentuhan ini supaya ilmu dan kefahaman kita ditahap terbaik dalam memahami sunnah dan melaksanakan sunnah. Insya Allah:-
Haram Menyentuh Perempuan Bukan Mahram
Bersalam atau menyentuh perempuan ajnabi (bukan mahram; keluarga terdekat yang haram dinikahi) dengan sengaja adalah satu perbuatan yang haram. Demikian juga seorang perempuan menyentuh lelaki ajnabi, ini berdasarkan sabda Nabi saw:
Maksudnya: “Kalau dicucuk dengan jarum dikepala salah seorang dari kamu adalah lebih baik daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya”. (Rujuk HR Tabarani 20/212, Sahih Al-Jami’ No. 4921)
Kedudukan Wuduk Atas Sentuhan Tidak Sengaja
Masalah yang akan dibincangkan ialah apabila tersentuh perempuan ajnabi secara tidak sengaja atau menyentuh isteri sendiri, adakah batal wuduk atau tidak?
Terdapat beberapa pandangan para ulama’ tentang permasalahan ini. Ibnu Al-Munzir menyebut di dalam kitabnya (Al-Ausat) lima pendapat, tetapi yang masyhurnya adalah tiga:
Pendapat pertama:
Pertemuan/sentuhan diantara kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi (sah dinikahi) atau isteri akan membatalkan wuduk, sama ada dengan syahwat atau tidak, sengaja atau tidak. Tetapi tidak batal jika berlapik walaupun dengan sesuatu yang nipis. Ini adalah pandangan Ibnu Masud, Ibnu Umar م . mazhab Syafei, mazhab Az-Zuhri, ‘Ata’ bin As-Sa’ib, Al-Auza’ie dan lain-lain . Dalil dan hujah mereka; firman Allah:
Ertinya: “… atau jika kamu menyentuh perempuan”. [An-Nisa’: 43]. Mereka berhujah bahawa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah: “Al-Lams” iaitu sentuhan.
Hakikatnya sentuhan dari segi bahasa ialah menyentuh dengan tangan. Juga telah disabitkan bahawa Ibnu Umar menafsirkan ayat ini sedemikian. Kata Ibnu Umar: Maksudnya: “Kucupan seorang lelaki terhadap isterinya, menyentuhnya dengan tangan adalah dikira “mulamasah”, oleh itu sesiapa yang mengucup atau menyentuh isterinya dengan tangan maka hendaklah dia mengambil wuduk.”
Maka Imam Syafei menyatakan jika sesiapa yang menyentuh dengan tangannya perempuan yang sah dinikahinya, maka terbatal wuduk dengan sebab itu.
Manakala tentang hadith-hadith yang digunakan oleh pendapat kedua dan ketiga (disebut di bawah ini), mazhab Syafie menafsirkan samada sentuhan itu berlaku dengan berlapik ataupun khusus untuk Rasulullah s.a.w sahaja.
Pendapat kedua:
Tidak terbatal wuduk dengan menyentuh perempuan, sama ada dengan syahwat atau tidak. Ini adalah pendapat Ibnu Abbas dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Al-Lams” itu ertinya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh seperti pendapat kumpulan pertama tadi. Ini juga pendapat yang diriwayatkan daripada Thawus, Al-Hasan, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Sufyan Ath-Thauri.
Mazhab Hanafi serta satu riwayat dari Imam Ahmad juga berpendapat walaupun menyentuh dengan syahwat tidak terbatal wuduk kecuali dengan berjimak.
Dalilnya:
1) Ummul Mukminin Aisyah ra. berkata: Maksudnya: “Pada suatu ketika saya tidur di hadapan Rasulullah s.a.w yang sedang bersolat dan dua kaki saya di arah kiblatnya. Apabila Baginda bersujud (tangannya) mengenai (kaki) saya, lalu saya menarik kaki saya, (sedangkan Nabi meneruskan solatnya). Apabila Baginda bangun saya pun menghulurkan semula kaki saya. Kata Sayyidatina Aishah ra. lagi: “Dan rumah-rumah pada masa itu tidak berlampu”.
2) Begitu juga sebaliknya, jika seorang perempuan menyentuh kulit lelaki, tidak batal wuduknya, sebagaimana riwayat daripada Aisyah r.a. Maksudnya: “Pada suatu malam, Rasulullah saw berenggang daripada saya, maka saya pun mencari beliau dengan tangan saya, tiba-tiba tangan saya tersentuh dua telapak kaki Baginda ketika Baginda sedang sujud”.
3) Aisyah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw sedang bersolat manakala aku tidur di arah kiblatnya seperti jenazah. Apabila Baginda ingin bersolat witir, disentuhnya aku dengan kakinya.”
4) Aishah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah s.a.w mengucup salah seorang isteri Baginda, kemudian keluar menunaikan solat, sedangkan Baginda tidak pula mengambil wuduk”
Sebahagian ulama’ (Al-Albani) mengatakan hadith ini sahih, tetapi ramai juga yang mengatakan hadith ini dhaif].
Para ulama di kala menghuraikan hadith ini mengatakan: “Ini juga merupakan satu dalil bahawa menyentuh perempuan itu tidaklah membatalkan wuduk kerana sesungguhnya perbuatan mengucup itu adalah termasuk menyentuh, sedangkan Nabi saw tidak pula memperbaharui wuduknya sebagai akibat perbuatannya itu. Ini adalah fahaman yang dipegang oleh Ibnu Abbas ra..”.
Kekuatan dalil mereka ini adalah kerana pada asasnya bersentuh adalah tidak batal wuduk, dan tidak terdapat pula dalil-dalil yang sahih dan jelas bagi mereka yang mendakwa terdapat perbezaan di antara sentuhan dengan syahwat dan sentuhan tanpa syahwat.
Pendapat ketiga:
Bersyarat, iaitu terbatal wuduk jika menyentuh dengan syahwat, tetapi jika tanpa syahwat, tidak akan terbatal wuduk. Ini adalah pendapat mazhab Hambali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk Madinah.
Pendapat ini juga berdasarkan hadith-hadith Ummul Mukminin Aisyah ra. di atas tadi. Nyata bagi mereka setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah membatalkan wuduk.
Perkataan “Ghamazni” dan “Massani birijli” itu adalah dimaklumi bahawa persentuhan sedemikian adalah tanpa keinginan syahwat. Kerana itulah sumber ini digunakan sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wuduk. Pengarang kitab “Al-Mughni” (1/256) mengatakan: “Sesungguhnya dengan hanya menyentuh semata-mata belumlah menghadaskan seseorang, kerana yang menjadikan seseorang itu berhadas ialah dengan keluarnya air mazi atau air mani, iaitu apabila berlakunya keinginan syahwat”.
Kesimpulan:
Perbandingan antara mazhab ini menunjukkan bahawa hanya mazhab Syafei sahaja yang agak berat dalam masalah ini, di mana hanya bersentuhan sahaja (samada sengaja atau tidak) telah membatalkan wuduk. Sedangkan Imam-imam mazhab lain lebih ringan dan terbuka.
Mazhab Hanafi berpendapat maksud bersentuh itu dengan bersetubuh. Manakala Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal pula mengatakan sentuhan yang membatalkan wuduk ialah yang menimbulkan keinginan syahwat.
Maka pendapat yang rajih (kuat) ialah Pendapat Jumhur
Iaitu tidak batal wuduk dengan sebab menyentuh perempuan sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Abdullah Ibnu Abbas ra (Turjuman al-Quran dan Habrul Ummah) dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Au Laamastum”, “Al-Lams” itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir].
Adapun dakwaan bahawa sentuhan di antara Rasulullah s.a.w dan Aisyah adalah dengan berlapik atau hanya khusus untuk Rasulullah sahaja, ramai ulama’ mengatakan bahawa dakwaan tersebut tidak mempunyai dalil yang jelas atau bukti yang menunjukkan sentuhan itu adalah berlapik. Kata ulama’: Satu hukum yang amat perlu diketahui oleh umat pasti dijelaskan oleh Rasulullah saw walaupun secara umum kemudian dinukil oleh generasi umat ini…
Dengan ini diketahui bahawa tidak wajib mengambil wuduk kerana bersentuh dengan perempuan… kerana seseorang itu sentiasa tersentuh isterinya dengan syahwat atau tidak, kemudian tidak ada pula riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah saw mengarahkan agar mengambil wuduk kerananya. Al-Quran pula tidak menunjukkan maksud sedemikian, bahkan apa yang dikehendaki dengan mulamasah ialah jima’”. [At-Tarjih 73-74]
Namun bagi mereka yang menyentuh dengan syahwat, adalah lebih baik baginya untuk memperbaharui semula wuduknya, sebagaimana yang disarankan oleh sebahagian ulama’.
Pilihan Anda, Pilihan Saya
Mana Satu
Pilihan Anda, Pilihan Saya. Mana Satu
Pilihan anda bagaimana? Terserahlah kepada anda. Namun bagaimana dengan saya. Pilihan saya. Beginilah.
Hasil ilmu dan kefahaman saya, semua pandangan mazhab adalah baik dengan hujah yang baik. Namun saya percaya semua mengetahui pandangan Hanafi lebih memudahkan khususnya semasa ibadah haji.
Pandangan mazhab Syafie pula, tidak mudah untuk diamalkan semasa ibadah haji.
Pandangan mazhab Maliki sekiranya yang saya fahami ialah ‘batal sekiranya ada syahwat’, mungkin inilah yang paling adil dan sesuai dalam mengimbangi antara kedua pandangan tadi. Ia masih praktikal dan sesuai tetapi meletakkan had batasan yang baik untuk pemakaian umat Islam supaya ada kesungguhan untuk berhati-hati dari mempermudahkan risiko sentuhan.
Dalam pada itu, bagi yang memfokuskan kepada dalil dan hujah yang mendasari pandangan. Melihatkan kepada beberapa hadith yang dirujuk oleh Mazhab Hanafi, zahir hadith secara jelas membuktikan bahawa sentuhan itu tidak membatalkan wuduk dan tanpa syarat.
Apabila ada 2 pendapat, dan pendapat mazhab lain disokong oleh dalil yg sahih dan dari sudut hujah paling kuat, manakala pendapat mazhab kita kurang disokong oleh dalil yang kuat, maka tidakkah sewajarnya kita perlu tunduk kepada pandangan yang berbuktikan dalil yang sahih dan hujah paling kuat sebagai menepati kehendak sunnah? Kehendak Allah dan Rasul-Nya?
Apalagi kalau hujah yang paling kuat berdasarkan dalil hadith sahih itu paling mudah, praktikal dan sesuai untuk diamalkan?
Saya juga gembira dengan fatwa atau pandangan Dr. Wahbah az-Zuhaili, seorang ulama kontemporari, dipercayai bermazhab Syafie. Tokoh Maal Hijrah di Malaysia, yang terkenal dikalangan ilmuan agama seluruh dunia.
“Dr. Wahbah az-Zuhaili , tokoh terkenal zaman ini pula menyebut: “Kata majoriti ulama, tidak wajib bertaklid kepada imam tertentu dalam semua masalah atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan mazhab tertentu, seperti Mazhab Abu Hanifah atau asy-Syafie atau selainnya, maka tidak wajib ia berterusan. Bahkan boleh untuk dia berpindah-pindah mazhab. Hal ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan olwh Allah dan Rasul-Nya. Allah dan Rasul-Nya tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu.Hanya yang Allah wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa dihadkan kepada sesiapa.
Maksudnya:Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmuan jika kamu tidak mengetahui (Surah al-Nahl 16-43)
Hal ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabat dan tabiin tidak terikat dengan mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanyakan sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja. Maka ini adalah ijmak (kesepakatan) daripada mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seseorang imam, atau mengikut mazhab tertentu dalam semua masalah.
Kemudian, pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan mazhab tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat.
Inilah pendapat yang paling kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh. Maka jelas berdasarkan pendapat ini, bahawa yang paling sahih dan kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh adalah tidak wajib beriltizam dengan mazhab tertentu. Harus menyanggahi imam mazhab yang dipegang dan mengambil pendapat imam yang lain. Hal ini kerana beriltizam dengan mazhab bukan suatu kewajipan (seperti yang dijelaskan). Berdasarkan kenyataan ini, maka pada asasnya tidak menjadi halangan sama sekali pada zaman ini untuk memilih hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh mazhab-mazhab yang berbeza tanpa terikat dengan keseluruhan mazhab atau pendetailannya”.
Lalu apa pegangan saya? Mana satu pandangan yang menjadi pilihan.
Akhirnya, seperti prinsip yang telah diketahui sebelum ini, saya tentu memilih yang menepati sunnah atau yang paling menghampiri sunnah. Saya hanya menerima mazhab bagi tujuan ittiba’ Rasulullah s.a.w.
Saya sangat sukakan maksud ayat di bawah ini. Ia sangat relevan dengan tujuan yang saya maksudkan.
Perdengarkan.
“Maka gembirakanlah hamba-hambaKu, yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan mengikut apa yang terbaik ( Untuk diamalkan dalam urusan agama), mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang yang berakal sempurna”. ( al-Zumar (39) : 17-18)
Perspektif Alternatif.
Kesemuanya pandangan mazhab ahlul sunnah khususnya yang empat secara lazimnya adalah baik walaupun berbeza. Namun dalam perbezaan itu, mungkin ada yang lebih baik di antara yang baik. Setiap kes dan keadaan perlu dinilai dan dihukum satu persatu. Sekiranya dinilai kes permasalahan secara satu persatu, mungkin sentiasa sahaja ada pandangan mazhab yang lebih kuat pada satu keadaan kes tetapi kurang kuat pada kes yang lain.
Kita mungkin percaya mazhab kita mungkin yang terbaik pada banyak keadaan permasalahan kes khususnya dalam bidang ibadah solat. Tetapi tentulah tidak perlu sampai perlu dibuat kajian kes perbandingan. Tidak perlulah juga sampai timbul isu bertukar mazhab. Memadailah apa jua mazhab yang telah kita anuti selama ini. Hanya pendekatan dalam penghayatan bermazhab yang perlu. Tidak mudah keluar tetapi tidak terlalu terikat. Selalu mencari yang terbaik, kerana tujuan khas adalah untuk ‘ittiba’ nabi.
Bukankah di dalam mazhab tertentu itu sendiri, ada pandangan-pandangan ulama yang berbeza. Ada yang kita ketahui sebagai lebih baik dari yang lain. Mungkinkah ada pandangan-pandangan yang masyhur pada amalan masyarakat tetapi bukan yang terbaik pada sunnah. Mungkin.
Oleh itu, kita bukan sekadar melihat kepada pandangan mazhab tetapi sebenarnya kepada dalil dan alasan kepada pandangan. Manakah yang paling mendekati sunnah. Sekiranya terdapat 2 atau lebih pandangan yang seimbang kekuatannya, tentulah pilihan yang lebih memudahkan menjadi pilihan untuk amalan. Wallahu taala alam.
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”. (Surah al-Israa’ (17) ayat 36 )
Ini adalah sebahagian daripada perbahasan ilmu dan permasalahan yang terdapat di dalam salah satu bab, buku haji (2013) bertajuk Baitullah Aku Datang, Terbitan Karangkraf - karya seorang peguam sivil, syariah. Terdapat kupasan kritis dan argumentatif beberapa isu yang beliau hadapi dan perhatikan semasa ibadah haji. Antara isu menarik, sensisitif dan kontroversi ialah isu kebal tanpa syahwat, solat diudara, wanita solat didepan lelaki dibelakang, kerana cinta (kisah ttg hajaral aswad), mahu susah atau muassasah dan lain-lain. (Ingin membeli sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)
http://hisham-ahmad.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment