Adakah benar cinta itu buta? Ya, cinta itu buta. Inilah alasan sekian ramai
teruna dan dara akhirnya berakhir dengan pilihan yang tidak berkualiti. Pilihan
yang berdasarkan kriteria yang berobjektifkan nafsu bukan iman.
Dakwaan atau pernyataan
bahawa “cinta itu buta” sebenarnya dakwaan yang tidak dapat diterima atau dalam bahasa mudah, ‘mengarut!’.
Cinta itu sebenarnya tidak
buta. Mungkin manusia yang membutakan dirinya dalam mencari cinta. Lalu apabila
sudah terlanjur dalam percintaan, dituduhnya cinta itu buta. Seolah-olah cinta
itu telah dipaksakan ke dalam hatinya. Kononnya tiada kuasa memilih pada
dirinya.
Seandainya cinta itu
benar-benar buta, bagaimana boleh dikatakan, “… Dari mata datangnya cinta,
dari mata turun ke hati”.
Justeru, siapakah yang kita
pilih untuk kita lihat dengan mata kita? Adakah yang menutup aurat dengan
sempurna atau yang terdedah sedikit di sini, sedikit di sana? Adakah kita
menepuk dada, bertanyakan selera atau menepuk dada, iman ditanya?
Oleh itu, berperancanganlah
dalam bercinta, untuk kita jatuh cinta. Inilah beberapa perkara sebagai panduan
dan strateginya:-
(1) Berhati-hati
sebelum jatuh hati
Pesanlah kepada sesiapa
sahaja yang belum jatuh cinta agar berhati-hati sebelum jatuh hati. Ia boleh
berlaku bila-bila masa sahaja, bermula awal remaja hingga yang sudah lanjut
usia. Sengaja atau sebaliknya. Tanamkan difikiran, punyai prinsip diri dan
sentiasa berpesan dihati bahawa;
“aku tidak akan biarkan diri
ini untuk jatuh hati melainkan kepada insan yang ‘worthied’ (berbaloi) untuk
dicintai.
(2) Memilih
si dia untuk dicintai
Sekiranya ada seseorang yang
terasa disukai, tenangkan diri. Biarkan rasa itu diproses secara beransur-ansur
dan perlahan-lahan di dalam hati. Mengapa? Seandainya berlaku kesilapan pada
pilihan atau sesuatu yang tidak baik dikesan, dapat dengan segera, diri
diundurkan. Sekiranya ini diambil perhatian, insya Allah, tiadalah istilah
keterlanjuran atau kerosakan yang sukar atau mungkin tidak dapat
dipulihkan.
(3) Meletakkan
syarat pada cinta
Jadilah bijak dalam bercinta.
Carilah cinta yang membawa ke syurga. Letakkan syarat atau beberapa syarat
untuk kita jatuh cinta. Syarat yang diredai Allah dan Rasul-Nya. Selagi syarat
tidak dipenuhi, cinta tidak dibenar menguasai diri. Tetapkan kategori syarat
seumpama begini kepada lelaki yang dicari:-
(i)
A-Mandatori. Mesti
dimiliki. Dalam istilah fiqah disebut fardu ain atau wajib.
(ii)
B-Penting, kalau boleh
biarlah ada, seperti perkara sunnat.
(iii)
C-Tak kisah, ada atau
tiada, tiada masalah padanya, seperti harus.
(iv)
D- Katakan tidak!
Seperti hukum haram. Tiada kompromi. Kalau ada sifat atau perkara ini pada
silelaki, segera angkat kaki (tinggalkan, blah).
Macam bergurau,kan.
Percayalah ada keseriusan dan kepentingan pada syarat yang disarankan.
Katakan, salah satu syarat
pada kategori D. Kita tidak mahu perokok sebagai suami. Syarat yang baik, bagus
sekali. Mungkin ramai berpandangan syarat sebegini keterlaluan. Sukar untuk
dicari lelaki sebegini. Tidak mudah ditemui pada realiti. Percayalah, masih ada
ramai lagi teruna, yang jika d-xray, tiada kesan asap rokok di dada.
Pada awal perkenalan, mungkin
si lelaki cuba menyembunyikan. Percayalah, lama kelamaan, dirasakan si gadis
dah mula berkenan, mulalah ditunjuk kejantanan. Rokok dinyalakan, asap
dihembuskan. Oleh itu berhati-hatilah, buatlah semakan, lontarkan pertanyaan.
Pasti akan tahu kebenaran. Masa itu, hati belum merasa cinta, sekadar suka,
tiada kesan negatif untuk tinggalkan dia.
Kalau dia berkata, “saya
janji akan tinggalkan. Takkan merokok lagi, sumpah”.
Dengar betul-betul. Dia sebut
sumpah atau sampah. Kalau sumpah, kalau nak percaya, terserahlah. Walaupun
begitu, Sekiranya ada ayah atau abang seorang perokok, tanyakanlah mereka dulu “abang,
kalau perokok kata dia nak tinggalkan merokok, boleh percaya tak?”
Malang, kalau yang kita suka
itu perokok tegar atau ‘-perokok berantai. Maksudnya perokok yang kuat merokok.
Bukankah golongan perokok ini dahulunya, berasal dan bermula dari perokok sipu-sipu
(hisap sikit-sikit).
Kalaulah sekiranya anda ingin
mengubah syarat ‘tidak merokok’ pada kategori C, harus. Ketahuilah merokok juga
sebenarnya telah difatwakan haram di Malaysia. Sukar dipercayai, rujuklah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995. Rujuk Portal e-Fatwa JAKIM.
Contoh syarat C, harus ialah
seperti pada fizikal lelaki. Gemuk atau kurus. Hitam ke putih. Muka penuh
jerawat atau licin berkilat. Pilihan luas dan terbuka asalkan kita masih boleh
berselera bila bersama dengannya. Bukankah ‘beauty is in the eye of the
beholder’.
Walaupun begitu,
syarat-syarat seperti solat lima waktu, berilmu agama dan berakhlak mulia sepatutnya
berada di dalam ketegori A. Pastikan
anda jelas maksud kepada istilah syarat dan kadar minima piawaian yang anda
inginkan. Sebagai contoh, jika si lelaki cuba menghulur tangan untuk melakukan
sentuhan. Ketahuilah, akhlaknya bermasalah. Jika dia ajak tengok wayang, duduk
kerusi hujung sekali, walau banyak kosong didepan, Nampak sangat bukan nak
tengok wayang tapi nak buat wayang. Dia merancang untuk ‘ringan-ringan.’
(awalan zina-haram) Cepat berlakon sakit
perut, kata nak pergi tandas, tapi terus cabut.
Ada suara sumbang mengatakan
projek ‘ringan-ringan’ perkara biasa dalam hubungan percintaan.
Ingatlah!, ini kata-kata jahanam yang menjahanamkan. Sekiranya ada yang cuba
mengambil kesempatan, hentikan serta merta dan tinggalkan. Justeru, elakkan
dari terperangkap sehingga terpaksa berdua-duan. Sebab itu, tidak perlu tengok
wayang, apalagi dengan lelaki.
Kata orang lelaki sendiri,
kebanyakan lelaki (tidak termasuk saya dan pembaca) bila dapat bersendirian
dengan perempuan, ‘they have only one common thing in their mind.
Guess what?’
Jangan buka ruang dan jangan
beri peluang kepada awalan dan mukadimah zina. Jangan sampai diambil kesempatan
dan jangan biarkan diri terdedah kepada risiko perlakuan dosa besar zina.
Jangan hampiri zina.
Justeru, kesudian membonceng
motor bersama lelaki bukan muhrim seperti teman lelaki atau berada berdua-duaan
di dalam kereta dengannya adalah tindakan salah kerana ia adalah langkah
pertama kepada awalan dan mukadimah zina dan mendedah risiko kepada kesudahan
yang terkutuk, iaitu perlakuan dosa besar zina.
Allah s.w.t berfirman
(maksud.terjemahan): “Dan
janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan
yang keji dan suatu jalan yang jahat (membawa kerosakan)" surah Al-Isra ayat 32
Di dalam suatu hadith sahih
menyatakan:- (maksud-terjemahan) “… dari Ibnu Abbas dari Nabi s.a.w.,
baginda bersabda: "Janganlah sekali-kali seorang laki-laki berduaan dengan
perempuan kecuali dengan ditemani muhrimnya." Lalu seorang lelaki bangun
seraya berkata, "Wahai Rasulullah, isteriku berangkat hendak menunaikan
haji sementara aku diwajibkan untuk mengikuti perang ini dan ini." Baginda
bersabda: "Kalau begitu, kembali dan tunaikanlah haji bersama
isterimu." (Bukhari,
Sahih Bukhari. Kitab Nikah. No. Hadith 4832).
Sekiranya anda telah tersilap
langkah pertama atau sudah berada di peringkat pertama seperti kes di atas, maka
janganlah panik, jangan pula sekadar berserah takdir, seolah-olah pasrah, ‘apa
nak jadi-jadilah’. Apa yang perlu dilakukan adalah memerah fikiran dan
melaksanakan tindakan dengan bijaksana untuk berhenti sebelum keterlanjuran pada
langkah dan peringkat kedua, ketiga atau seterusnya. Semoga kita dilindungi-Nya
dari kekesalan atas kerosakan yang terlalu sukar untuk dipulihkan.
No comments:
Post a Comment