Social Icons

Pages

Tuesday, June 25, 2013

Virus Riba di Mahkamah Syariah?

2013. Setelah bertahun-tahun usaha keras sama ada kerana ikhlas atau kerana kehendak pasaran, kini produk kewangan Islam telah berlambak di pasaran. Pilihlah antara yang berkualiti dan menguntungkan pelanggan dari yang kelihatan halal tapi mahal.

Namun ingatlah, wahai yang bersifat pesimis, bahawa pilihan produk syariah/islam (sekalipun dipertikai kualiti islamiknya) telah difatwakan sah dan halal oleh panel pakar syariah sedangkan yang satu lagi iaitu yang konventional (bukan islamik/syariah)  adalah pasti atau hampir pasti kepada kedudukan paling ngeri, ”PRODUK DOSA RIBA”.

Untuk org awam pilihan ditangan sendiri, antara Islamik yang ada isu pada kualiti islamiknya  versus dengan produk Dosa Besar Riba Yang Pasti.  Mudah sahaja rasionalnya.

Justeru, bolehkah kalau saya katakan tiada alasan lagi untuk ’melacuri’ produk Riba.

Bagi sesiapa yang masih terpalit, terjebak dan terbelenggu dengan pinjaman Riba pada rumah, kereta, tanah, pelajaran atau pada produk lain seperti insuran dan lagi, lagi dan lagi,  yang sebahagiannya masih ’membelit tengkuk’ dan akan terus membelit untuk bertahun-tahun lamanya lagi, maka:-dapatkan ilmu, berfikir, merangka, dan berusaha keras untuk menyelesaikan isu ini.

Upps. Saya sudah terlari topik.  Apa yang hendak dikatakan di sini bahawa walaupun perkembangan kewangan Islam begitu baik tetapi kesan virus Riba telah menjangkiti tempat-tempat yang tidak disangka  dan tidak dijangka. Antaranya mahkamah syariah. Percaya atau tidak, terserah. Ini pengetahuan peribadi seorang peguam. Adapun virus Riba di mahkamah syariah wujud dalam bentuk yang tidak besar dan mudah di atasi (jika dikehendaki). Pihak mahkamah  mungkin ter ’over looked’. Namun wajarlah  virus itu terus dihapuskan.Riba dalam mahkamah syariah boleh wujud secara tak langsung atau tak diperasankan hakim bicara semasa membuat keputusan mengenai sesuatu perintah pembayaran wang oleh satu pihak kepada satu pihak atau melibatkan kepentingan satu pihak yang lain. 

Antaranya melibatkan nafkah anak, nafkah tunggakan, bayaran muta’ah, potongan atau tahan pendapatan, bayaran nilai harta sepencarian dan sebagainya. Pihak yang perlu dibayar (katakan Plaintif) diarahkan memberikan butiran akaun bank. Tanpa pengetahuan atau kesedaran, Plaintif dan atas kelemahan, atau ketidakhirauan peguam syarienya, butiran akaun bank konvensional bank tertentu telah diberikan bagi tujuan pembayaran dibuat secara bulanan dan sebagainya.

Akaun bank konvensional ini adalah Riba atau berunsur Riba. Apabila hakim membenarkan butiran akaun ini direkodkan dalam perintahnya atau melalui perintahnya, pembayaran oleh pihak satu lagi hendaklah dimasukkan ke dalam akaun itu, maka tidak dapat dikatakan tidak, hakim berkenaan telah turut serta dan mengedoskan satu kerjasama perlakuan yang berunsurkan Riba.

Perlu diingatkan bagi setiap pembayaran yang kemudiannya masuk ke dalam akaun Riba itu, faedah  akan terbentuk dari masa ke semasa sesuai dengan pertambahan dan pengurangan wang dalam akaun itu. Saham dosa terus mengalir. Bagaimana kalau pembayaran itu melibatkan wang yang besar ke dalam akaun simpanan (berunsur Riba) dalam perbankan konvensional.

Kita tentu maklum ayat al-Quran yang antaranya bermaksud ’jangan tolong menolong dalam perkara maksiat dan dosa’ – apalagi dosa Riba.  Sudah tentu, ia tidak wajar untuk dibenarkan menjejaskan kesucian mahkamah syariah.Jika tiada wang atau terlalu sedikit wang yang masuk pada akaun itu dan terlalu rendah faedah yang terbentuk, selekeh-lekeh pandangan pun harus mengatakan bahawa kerjasama itu telah memberi satu sokongan moral kepada institusi Riba untuk terus berkuasa di persada kewangan di Malaysia. Semoga dijauhi Allah Subhanahu wa Taa’la  hendaknya.

Dakwah di Mahkamah (Jangan di tinggalkan)

Kes-kes syariah khususnya dalam isu tuntutan harta sepencarian dan nafkah sudah tentu melibatkan tuntutan wang dan harta.Tuntutan wang dan harta itu sebahagiannya melibatkan akaun-akaun bank dan perjanjian pinjaman yang berunsur Riba. Wang-wang dan harta yang terlibat boleh membawa  kepada ribuan dan ratusan ribu ringgit atau lebih.

Hakim yang bijaksana akan membuat keputusan mengenai wang dan harta pihak-pihak yang bertikai termasuklah memutuskan siapa yang berhak, lebih berhak atau tidak berhak kepada wang dan harta itu dan dalam memutuskan pembahagian dan kadar pembahagian harta dan wang itu kepada pihak-pihak yang berhak. Oleh yang demikian itu, wajarlah hakim yang bijaksana menasihati pihak-pihak yang bertikai tersebut mengenai kedudukan harta dan wang mereka yang terlibat dengan Riba dan berusaha untuk melepaskan diri dalam Riba tersebut.

Antara langkah proaktif yang boleh dilaksanakan oleh hakim yang bijaksana ialah (1) dengan memerintahkan semua pembayaran wang dilakukan ke dalam akaun-akaun Islamik (2) menasihati mengenai kedudukan diri dan harta-harta yang terikat dengan pinjaman Riba  (sama ada kerja, harta kediaman, perniagaan, kenderaan, saham dan lain-lain asset) dan memberi panduan dan kaedah untuk membebaskan diri dari Riba.

Kisah Benar Kes Mahkamah (Jadi Tauladan) (Sila baca di blog, bagi yang berminat)

Dalam sekian banyak kisah benar di mahkamah, ditakdirkan pada 16/4/2009 disatu mahkamah syariah, suatu perbicaraan dijalankan. Suami memohon perintah taat terhadap Isterinya. Dalam keterangan si suami, beliau menjelaskan bagaimana isterinya berterusan ingkar mentaatinya walaupun pujukan demi pujukan telah suami lakukan. Isteri tetap enggan. Untuk membuktikan kesungguhannya ingin memulihkan masalah rumahtangga dan meyakinkan isteri, suami merujuk kepada suatu dokumen perjanjian jualbeli sebuah rumah (telah siap) berharga RM120,000-00. Isteri dituntut agar kembali mentaati suami dan berpindah ke rumah yang dibeli oleh suami untuk mereka tinggal bersama.  Suami mengatakan bahawa selain jumlah 10% yang di bayar kepada penjual, baki 90% harga jualbeli adalah dibiayai melalui pinjaman bank. Suami dengan bantuan peguamnya telah mempersembahkan permulaan kes mereka dengan baik. Cuba tuan-tuan teka di mana masalahnya? Peguam isteri meneliti dokumen pinjaman bank yang dikemukakan. Allah! Ia dokumen asas bagi pinjaman Riba. Ia adalah surat tawaran bank (konvensional). Oleh kerana dalam keterangan suami mengatakan bahawa suami telah tinggal di situ dan dia telah mengajak isterinya berpindah dari rumah ibubapa isterinya ke rumah itu maka ia adalah suatu presumpsi (anggapan) fakta  : (a)    Suami telah memasuki satu transaksi atau urusniaga Riba dan/atau telah melaksanakan serta menandatangani suatu dokumentasi perjanjian Riba. (b)   Suami telah mendapat manfaat wang urusniaga Riba itu, di mana wang pinjaman itu telah dibayar kepada penjual. (c)    Suami kini perlu membayar balik wang pinjaman itu mengikut cara yang ditetapkan bank berdasarkan pengenaan faedah yang ditetapkan bagi tempoh masa tertentu yang lama. Keseluruhan yang disyaratkan oleh bank untuk di bayar balik oleh peminjam adalah pasti lebih daripada jumlah yang dipinjam. Ia adalah Riba yang nyata lagi pasti.

Peguam isteri kemudiannya meninjau kepada nama peguam yang melaksanakan transaksi jualbeli dan pinjaman. Sah, 100% firma bumiputra melayu-Islam. Apakah hakim dalam kes syariah ini terperasan? Adakah peguam syarie yang mewakili suami terperasan?  Bagaimana dengan si suami itu. Tahukah dia, dia telah membeli rumah dengan cara Riba? Bagaimana dengan peguam Islam yang menguruskan kes legal pinjaman Riba itu... tahu atau tak kisah? Jika tidak silap peguam Islam yang ada di situ adalah lulusan Universiti Islam Antarabangsa. Manakala bank tersebut, diketahui kebanyakan kakitangan dan pegawainya adalah melayu-Islam termasuklah pengurus cawangannya. Begitulah betapa terlibatnya banyak pihak (orang-orang Islam) atas satu sahaja transaksi Riba.

Berbalik kita kepada prosiding kes syariah tersebut. Timbul satu isu:- wajarkah Isteri diperintah taat untuk kembali ke rumah yang diibaratkan kubu perang terhadap Allah dan Rasul-Nya?

Seperkara lagi, ironinya kita mungkin sebelum ini menganggap bahawa  mahkamah-mahkamah sivil sahaja terlibat membicarakan kes-kes berkaitan pinjaman Riba. Realitinya tidak begitu

Saya peringatkan sekali lagi ayat ini, terjemahan. “ Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki Riba, jika benar kamu orang- orang yang beriman. (al-Baqarah: 278) oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.(al-Baqarah : 279)

Berminat. Bagi sesiapa yang merasa perlu untuk mendapatkan maklumat lebih khusus, anda boleh membaca buku tulisan seorang peguam sivil dan syarie bertajuk ‘Syurga Lebih Hampir Tanpa Riba’ terbitan Galeri Ilmu Buku ini berbeza daripada buku riba yang lain kerana terdapat bicara khusus melibatkan aspek realiti seperi isu riba di mahkamah, kes mahkamah berkaitan riba, Fatwa Pakar Luar negara, Fatwa (Mufti) Johor, Bicara khusus kerjaya-kerjaya  seperti peguam, perbankan  dan sebagainya, Isu Darurat dan ketidakberdosaan riba? dan banyak lagi. Bagi buku motivasi meninggal riba, anda boleh baca buku “Dosa Perang Dengan Allah” terbitan Kemilau Publika oleh penulis yang sama. (Berminat sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)

No comments:

Post a Comment