Social Icons

Pages

Saturday, June 8, 2013

TAWAF SEORANG GOLFER - kisah pengajaran dosa besar judi

 Antara beberapa jam sebelum waktu zohor sehingga ke waktu asar adalah waktu mencabar untuk bertawaf dikeliling Kaabah. Cuaca yang panas kekadang menyukarkan pandangan mata apalagi kilauan cahaya yang dibalikkan dari kecerahan lantai  di kawasan tawaf.

Sangat menakjubkan! Lantai simen tawaf ini tidak panas bahkan sejuk untuk dipijak. Abu Dubeis teringat kata seorang jemaah senior dari Mersing, Johor. Dia pernah bekerja dalam/ikut kapal. Semasa dia bekerja dalam kapal dan berlabuh di pelabuhan berdekatan mana ye, saya tak ingat, Riyad… entahlah. Lalu kesempatan diambil pergi ke Mekah dan Madinah untuk menunaikan haji. Semasa muda lagi. Tawaf ketika itu begitu lengang tak ramai orang.  Ciumlah Hajar Aswad, setiap pusingan, tiada gangguan, tiada perebutan.

Kalau waktu cuaca panas, tengahari, batu-batu atau pasir menjadi panas. Bertawaflah jemaah sambil berlari, mengencot-ngencot. Terloncat-loncat. Tak tahulah, betulkah ceritanya. Takkanlah dia berbohong pula. Agaknya semasa itu, tahun  50 an, 60 an.

Mereka yang tidak biasa atau tidak tahan panas. Mereka tentu memilih untuk tidak bertawaf semasa cuaca panas. Suasana di kawasan tawaf juga tidak begitu sesak dan padat. Peluang untuk mencium Hajar Aswad mungkin lebih baik. 

Abu Dubeis tidak tergamak membezakan waktu. Bila sahaja berpeluang sampai ke kawasan tawaf dia akan bertawaf sunat sementara waktu solat ditunggu. Jika bukan dalam ihram umrah, serban yang ada dililit pada keseluruhan kepala dengan mendedahkan sedikit pada bahagian mata. Setiap kali dia terasa lemah ingin menarik diri, dia teringatkan waktu main golf ketika begitu terik pancaran mentari. Kesabaran dan kesanggupan begitu tinggi kerana keseronokan yang tidak terperi.

“Ah! masa main golf sampai hitam tengkuk, hitam muka dek pancaran matahari, kau langsung tak peduli. 4 jam ‘non-stop’, kau pukul bola golf dengan pelbagai jenis batang besi. Ini ibadah kepada Allah, Maha Suci, Maha Tinggi”, Itulah bisikan azimat, bisikan motivasi.       

 Golf, Judi dan Pak-Pak Haji

“Golf adalah sukan terbaik yang dicipta manusia. Golf ialah game yang ‘fair’, ‘fun’ dan ‘trill’. Golf menekankan kemahiran (skill), konsistensi, kesabaran dan strategi.”

Pernyataan indah di atas begitu masyhur dari kalangan … sudah tentulah pemain-pemain golf itu sendiri.

Sukan Golf kini disertai ramai orang Islam dalam pelbagai golongan masyarakat. Tiada lagi eksklusif kepada golongan berada atau berjawatan tinggi dan kaya. Pemain-pemain golf kini terdiri daripada ahli perniagaan, kontraktor, kakitangan bank, pekerja professional, kakitangan biasa kerajaan, kakitangan biasa swasta, guru-guru dan sebagainya. Di antara mereka ada golongan yang tak disangka atau disangka, yang diharapkan atau tidak diharapkan (untuk turut bermain golf).
Segolongan pengurus cawangan bank, koperasi, institusi kewangan termasuk dari perbankan Islam memang diketahui sebagai pemain-pemain golf handalan dengan ‘handicapped’ yang rendah. Kekadang kita tertanya, berapa lama agaknya bakat perlu diasah dipadang golf untuk handal begitu di samping berusaha mengembangkan kegiatan dan pemasaran produk-produk perbankan Islam. Ramai dari kalangan pemain-pemain golf ini adalah berstatus haji atau telah menunaikan haji. Ramai juga yang bakal menunaikan haji.

Hanya pemain-pemain golf ini sahaja yang mengetahui betapa seronok dan ‘syok’nya game ini. Walaupun orang di luar tidak mengerti, menggeleng kepala menepuk dahi, melihat sekumpulan bangsa 1Malaysia mengusung beg mengandungi besi, memukul bola kecil berkali-kali, mengekor kemana bola tu pergi, sehingga masuk ke dalam lubang yang kecil. Begitulah, ia diulang-ulang berkali-kali.

Panas terik tidak terasa, hal kerja dan rumahtangga memang ‘off’ sementara. Konsentrasi atau ‘khusyuk’nya begitu tinggi pada setiap pukulan dan aksi seperti ada sesuatu nilaian pada setiap pukulan.  

Ketahuilah! disebalik semua keseronokan sementara itu, golf mendorong kepada kecenderungan yang boleh merugikan umat Islam:-
(1)   Masa yang diambil untuk menyempurnakan satu ‘game’ boleh membawa kepada 4-5 jam (tidak termasuk waktu lepak dan makan).

(2)   Melibatkan wang yang banyak atau agak banyak sama ada dari segi keahlian, atau bayaran satu-satu kali permainan. Begitu juga kos alatan dan kelengkapan. Lebih berjenama, lebih mahal harganya walaupun, bagi sebahagian pemain, tahap ‘skill’nya masih ditakuk yang sama.

(3)   Berlaku pengabaian solat secara total (terkorban satu atau dua waktu) atau pengabaian solat pada awal waktu membawa ke akhir waktu atau pengabaian solat jemaah, khususnya di rumah Allah. Solat-solat yang dilakukan disurau-surau daif  dikelab-kelab golf yang canggih, selalunya kelihatan seperti tergesa-gesa, ditakuti kualitinya tiada.

(4)   Godaan syaitan dan kekawan untuk turut menyertai permainan sampingan berkaitan wang. Tanpanya, permainan golf dianggap tidak ‘trill’. Tidak serius. Membosankan. Tiada cabaran dan persaingan. Masalahnya permainan atau ‘game’ sampingan ini adalah kerana ia berunsur judi, bahkan boleh merupakan suatu judi. Sedangkan judi itu padanya, suatu dosa yang besar.  

(5)   Haji-haji golfer, ramai yang terlibat dengan alasan suka-suka dan mereka menganggap ia bukan judi. Tidak ketahui samada ia alasan yang dibuat-buat atau mereka benar-benar percaya kepada alasan yang dibuat-buat. Tidak mengapa dulu apa yang mereka fikirkan. Itu anggapan mereka. Mari kita lihat pula apa anggapan agama. Anggapan hukum di sisi agama.

Isu Judi Dalam Golf

Isu judi timbul bila sebahagian ramai pemain golf bermain golf dengan formula-formula yang disebut antaranya;-  (i) Baccarat (Bakarat) (ii) Las Vegas (iii) Pool, insurance dan sebagainya.
Isu ini mesti diselesaikan ‘once for all’, dengan status hukumnya ditentukan oleh pihak yang arif dan layak dalam hal hukum syarak.  Semoga dengan itu tertutup pintu ‘ijtihad’ (membuat keputusan setelah melalui proses analisis dan kajian) individu dan orang persendirian. Tidaklah lagi pak-pak haji ‘golfer’ ini memutuskan kehalalan dan keharaman golf berformula tadi dengan ijtihad sendiri (yang tidak sah).
Untuk itu, atas keseriusan isu ini termasuk kerana penglibatan ramainya umat Islam dan sukan Golf, pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor (Jabatan Mufti Negeri Johor) telah mengeluarkan keputusan Fatwa yang saya ringkaskan seperti berikut:-

Kaedah Pool.
Berhubung dengan permainan POOL yang ada melibatkan persetujuan sesama pemain untuk menyumbang wang pada kadar tertentu bagi tujuan membayar harga makanan dan minuman di (club house) atas dasar redha meredhai, tiada tekanan dan tiada perasaan tidak berpuas hati diatas jumlah yang ditentukan sesama mereka, maka ia adalah harus. Dgn Syarat  sekiranya duit yang disumbangkan oleh setiap pemain tersebut diberikan kepada pemain yang mendapat markah (score) tertinggi, maka ia adalah di larang kerana terdapat unsur perjudian walaupun jumlah sedikit.

Kaedah Bakarat, Las Vegas atau lain-lainnya.
Manakala permainan Golf secara kaedah Bakarat, Las Vegas atau seumpamanya yang melibatkan pertaruhan wang yang dinilaikan ke atas bola sama ada jumlah wang itu kecil atau besar, untuk suka-suka, untuk belajar cara mengira atau memahami permulaan permainan itu, masing-masing redha-meredhai, sekadar sampingan untuk menjadikan lebih menarik dan mencabar atau atas apa alasan jua, maka ia adalah haram kerana terdapat unsur pertaruhan dan perjudian, perbuatan ini adalah merupakan salah satu daripada dosa besar, segala hasil daripada perjudian tersebut adalah haram.

Sesiapa yang terlibat hendaklah berhenti meninggalkan permainan golf menggunakan kaedah ini serta perlulah bertaubat dengan taubat nasuha dengan segera.

Oleh itu bagi mengekalkan keharusan permainan Golf ini, maka semua yang terlibat wajib mematuhi syarat-syarat berikut:

(1) Tidak ada unsur perjudian. Jika ada perkara yang dikategorikan sebagai judi maka ia akan menjadi haram bahkan ia merupakan salah satu daripada dosa besar. Perkara yang dimaksudkan sebagai judi adalah seperti berikut:
a) Sama ada ia suatu permainan yang menggunakan wang taruhan daripada peserta, atau
b) Setiap permainan yang disyaratkan padanya seseorang yang menang akan memperolehi sesuatu daripada yang kalah, atau sesuatu bentuk permainan yang mengandungi sebarang unsur pertaruhan daripada pemain dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapat taruhan tersebut, atau apabila adanya pertaruhan yang dikeluarkan oleh semua peserta. Pertaruhan daripada peserta inilah yang akan dijadikan ganjaran bagi sesiapa yang menangi sesuatu pertandingan, atau setiap yang menyertai pertandingan tidak akan terlepas daripada dua kebarangkalian (risiko) iaitu sama ada mendapat keuntungan ataupun kerugian. Seseorang itu akan mendapat keuntungan apabila ia memenangi sesuatu pertandingan kerana ia akan mengaut semua pertaruhan peserta-peserta lain. Manakala jika kalah, ia akan menanggung kerugian kerana kehilangan wang pertaruhan yang dikeluarkan.

Perhatian :
Zaman sekarang pertaruhan di kutip melalui cara yang kadang-kadang tidak disedari oleh para peserta pertandingan. Antaranya ialah dengan menggunakan istilah-istilah lain seperti “wang pertaruhan”, “yuran pertandingan” dan sebagainya kecuali wang penyertaan itu digunakan untuk pengurusan bukan hadiah. Atau kadangkala ianya dikutip secara tidak langsung, seperti melalui bayaran panggilan telefon yang dikenakan bagi peserta yang berminat untuk menyertai suatu pertandingan. Di dalam semua keadaan di atas, jika pada hakikatnya hadiah yang disediakan adalah dari sumber yang dikeluarkan oleh peserta, maka ianya adalah dikira sebagai suatu perjudian.

 (2) Permainan Golf itu tidak menghalang daripada mengingati Allah dan menunaikan solat.

(3) Tiada unsur yang dilarang dan di benci oleh Syarak, seperti di sebabkan permainan Golf akan menyebabkan seseorang itu berpaling daripada tanggungjawabnya.
(4) Tidak membuang masa dengan permainan Golf sehingga menyebabkan tertinggal dan terabainya segala hak dan kewajipan yang wajib ditunaikan.

(5) Tidak membiasakan diri dengannya sehingga lah sampai ketahap ketagih.

(6) Tidak ada unsur pembaziran.

Permainan Golf Melibatkan Hadiah.

Semua jenis permainan dan pertandingan, walaupun melibatkan hadiah, adalah harus dan dibenarkan apabila ianya memenuhi syarat-syarat berikut:

(1) Permainan dan pertandingan tidak menyalahi mana-mana prinsip syarak.

(2) Permainan dan pertandingan itu boleh membawa kepada manafaat dan faedah tertentu yang digalakkan oleh syarak, misalnya untuk merapatkan hubungan persaudaraan di dalam masyarakat, keluarga dan sebagainya.

(3) Permainan dan pertandingan itu tidak membawa kepada kelekaan. Maksudnya ianya tidak menjadi penyebab kepada cuainya seseorang di dalam menjalankan tanggungjawab asasi sebagai hamba Allah, pekerja, ketua keluarga dan lain-lain.

(4) Permainan dan pertandingan itu tidak bertentangan dengan kepentingan dan keperluan seseorang, misalnya orang miskin yang sibuk bermain Golf.

(5) Hadiah kepada peserta yang menang disediakan oleh pihak ketiga (penaja).

Nas Al Quran dan Hadith

Islam telah mengharamkan semua unsur perjudian sama ada melalui permainan, hiburan dan sebagainya. Di dalam Al-Qur‘an al-maisir (judi) disebutkan sebanyak tiga kali, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman, ertinya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi”.

Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. Dan mereka bertanya pula kepadamu: “Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?” Katakanlah: “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir”. (Surah Al-Baqarah ayat 219). FirmanNya lagi, maksudnya; “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (Surah Al-Ma’idah ayat  90)

‘Organization of the Islamic Conference’, ‘Islamic Fiqh Academy’ atau Kesatuan Fiqh Sedunia dalam sidangnya ke 14 pada 8 - 13 ZulQaedah 1423 H (11-16 Jan 2003) telah memutuskan (keputusan nombor 127 (14/1) : Bahawa semua permainan dan pertandingan yang hadiahnya diambil dari hasil kumpulan wang penyertaan peserta. hukumnya adalah haram hadiah tersebut. kerana ia mengandungi unsur judi.

Oleh itu sesiapa yang terlibat dengan amalan berjudi, maka dia adalah melakukan Dosa Besar. Risiko balasan dan kesudahan ialah Neraka Allah. Adalah perlu difahami Dosa atas penglibatan kepada satu perlakuan atau amalan Judi adalah menimpa kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam perlakukan itu iaitu samada secara aktif atau pasif, langsung atau tidak langsung mengikut kadar sokongan dan sumbangannya dalam perlakuan Dosa itu seperti memberi kerjasama, bantuan, galakan, turut gembira dan bersama meraikan dan memakan hasilnya.

Dalil. Ayat al-Quran. "Dan janganlah kamu bantu membantu dalam urusan dosa dan permusuhan" (Al-Maidah: 2). Hadith Nabi: "Rasulullah s.a.w.melaknat tentang arak, atas sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya." [1] Walaupun hadith di atas menyebut bab arak, tetapi ia merangkumi item haram yang lain berdasarkan kepada kaedah Qiyas dalam Islam. Begitu jugalah dalam hal judi.

Kesimpulan dan Nasihat.
Yang sudah, sudahlah. Kembalikan diri kita kepada ketaatan kepada Allah secara komprehensif. Janganlah kita berhujah lagi. Ini adalah pendapat hukum terkuat dan sangat menghampiri kepada keredaan Allah.

Ambillah perhatian wahai sekelian bakal jemaah haji yang bermain golf! Ingat-mengingatkanlah saudara-saudara kita yang lain.

Berminat. Anda juga boleh membeli sebuah buku haji 2013 bertajuk Baitullah Aku Datang, (Terbiran Karangkraf- Karya Bestari) – karya seorang peguam sivil dan syariah, yang berijazah undang-undang sivil, diploma syariah dan ijazah SMPI,  Quran dan Sunnah.  Beliau mengupas secara kritis dan argumentatif beberapa isu yang beliau hadapi dan perhatikan semasa ibadah haji. Antara isu menarik, sensisitif dan kontroversi ialah isu kebal tanpa syahwat, solat diudara, wanita solat didepan lelaki dibelakang, kerana cinta (kisah ttg hajaral aswad), mahu susah atau muassasah dan lain-lain.  
(Berminat sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)



No comments:

Post a Comment