Social Icons

Pages

Monday, September 1, 2014

Anwar Ibrahim, Nepotisma dan Solat Tanpa Wuduk!


Saya merujukkan pembaca kepada satu artikel ‘Kisah Penyertaan Anwar Ibrahim Dalam UMNO,’ oleh Tun Dr. Mahathir yang dipaparkan dalam web ini. Saya seterusnya merujuk khusus kepada bahagian yang bertulis:-

Beliau (Anwar) begitu berpengetahuan dan nampak komited dalam hal-hal agama – mengambil wuduk dan bersolat walaupun di dalam pesawat. Beliau memikat saya sebagai seorang yang mengagumkan dan warak. Beliau adalah salah seorang penyokong kuat saya dan sering mengucapkan kata-kata yang betul. Tidak syak lagi ada aura istimewa – satu karisma – mengenai beliau dan saya juga mungkin terpengaruh.”

Saya tidak mahu menimbulkan apa-apa tanggapan berbaur negatif daripada pernyataan di atas seperti sama ada atau tidak Tun berwuduk semasa bersolat di dalam kapalterbang (pesawat), sama ada Tun menyindir atau menggangap apa yang dilakukan oleh Anwar itu sebagai tidak perlu atau berlebihan atau sama ada ia  satu  lakonan dan kepura-puraan atau apa juga bentuk tanggapan yang lain.

Saya rasa tetapi tidak pasti sama ada benar-benar terdapat fatwa atau  ketetapan hukum oleh pihak berwajib agama atau yang relevan dengannya bahawa Jemaah haji dibenarkan solat fardu tanpa wuduk ketika di dalam pesawat (kemudian qada) , tetapi saya percaya adanya kepercayaan dan amalan sebegitu dan saya juga tahu terdapat bantahan yang serius dari kalangan ilmuan agama tentang keharusan solat tanpa wuduk dalam pesawat.

Walaupun begitu saya yakin bahawa ramai dari kalangan para ilmuan dan orang biasa yang berwuduk untuk solat dalam pesawat atas alasan tidak dapat menerima hukum keharusan solat tanpa wuduk itu dan/atau tidak selesa dengan keharusan hukum itu. 

Bagi mereka ini, berwuduk untuk solat dalam pesawat adalah masih boleh dilaksanakan dan sebagai bukti iltizam mereka dalam  kesungguhan untuk mentaati Allah secara lebih baik atau terbaik. Seseorang yang takutkan Allah dan telah mendengar hujahan tentang keperluan solat dengan wuduk dalam pesawat  akan merasa amat takut untuk mati dalam keadaan solat terakhirnya adalah tanpa wuduk. Dia pasti tidak akan ‘senang hati’  untuk tidak berwuduk semasa solat dan pasti akan mengusahakannya. Apalagi dalam keadaan ingin menunaikan haji dan dalam ingatan 2 tragedi nahas yang menyayatkan hati.  

Saya sendiri berwuduk dalam pesawat dan seorang rakan-jemaah tabligh menyatakan bahawa dia bersama sekian ramai Jemaah  dapat  bersolat dan berwuduk dalam pesawat.

Kaitan dengan Anwar Ibrahim.

Saya disini bukan untuk mempertikaikan atau berbahas tentang isu solat tanpa wuduk dalam pesawat, apalagi jika di sana terdapat pandangan hukum atau fatwa yang membenarkan, sekalipun kita menganggap ia lemah atau silap.  

Saya hanya nak kaitkan dengan ‘pengakuan’ Tun Mahathir tentang peribadi Anwar melalui penilaian satu fakta diakui (agreed fact). 

Keseluruhannya, bagi saya tujuan dari kesimpulan artikel penulisan Tun adalah untuk mempertikaikan kredibiliti atau dalam bahasa lembut, mengkritik Anwar. Walau terdapat beberapa ciri baik peribadi Anwar disebut tetapi ia juga dirasakan dengan tujuan bagi satu sindiran atau kritikan tidak langsung. Anwar seperti disifatkan sebagai begitu berkarisma dalam keperibadian pada lain-lain perkara sehingga mampu menyebabkan ‘bosnya’ terpedaya atau merasa  suka padanya. Namun ia mungkin tidak lebih dari satu lakonan… 

Baiklah inilah dia fakta diakui. Anwar dan Solat. Saya fokus kepada isu ini.  Kepentingan solat bagi manusia dan nilainya  di sisi Allah adalah diketahui semua. Solat itu tiang agama, beza iman dan kufur, mencegah fasya dan mungkar, amalan pertama dan utama dan banyak lagi. Perlukah saya mendetailkan lagi? Tak perlu.

Anwar telah diakui bersolat dengan wuduk dalam pesawat …sekalipun ia mungkin mencanggahi  pemikiran dan pandangan orang lain, VIP lain atau ‘bos’nya atau fatwa/hukum pihak berkuasa. Mengapa dia perlu bersusah begitu? Sedangkan tidak melakukan wuduk juga adalah diterima dan mungkin lebih se-ia sekata dengan pandangan pihak yang di atas-nya.

Justeru apa?

Logik!

Logik menyimpulkan bahawa Anwar tidak berlakon dalam hal solat. Anwar percaya solat di dalam pesawat perlu dengan wuduk. Ini pemikiran dan penerimaannya.  Sama ada ia kerana dia menyakini kewajipannya, atau melakukan kerana ia cara lebih afdal atau lebih selamat (di sisi Allah).  Apa pun ia bukti Anwar  seorang yang iltizam dalam melakukan solat fardu dengan baik. 

Dia juga beriltizam melakukan solat dengan baik dalam keadaan ketika itu dia  berada di puncak kuasa , di ranking no.2.  Dia beriltizam mengambil pendekatan berwuduk dalam keadaan ia mungkin mencanggahi pandangan orang atasan atau mungkin ia boleh menimbulkan kecurigaan bagi orang yang tidak faham. 

Dalam hal solat, nampaknya dia jelas tidak mahu berlakon! (kalau yang lain-lain itu dikatakan lakonan).

Lalu apa?

Logik!

Logiknya …. Bagi saya dan anda semua  muslimin dan muslimat yang meyakini bahawa solat itu sangat penting dan besar ertinya. Lalu saya menghisab diri dan mengelamun memikirkan; bagaimana mungkin seorang yang iltizam dalam solat dengan cara terbaik  tergamak melakukan dosa besar liwat, zina dan lain-lain?

Tapi ada video tape, ada keputusan mahkamah dan semua orang cakap tentangnya !  Hampir sekali lagi saya tumpas terpedaya kalau tidak kerana ilmu sedikit mengingatkan saya …. Dakwaan-dakwaan itu tidak langsung mencapai piawaian hukum pendakwaan dan pembuktian syarak apalagi motif politik kebencian sangatlah tinggi kepadanya.

Tapi dia kaut harta,…. Nah sekarang isterinya mahu dijadikan MB pula. Satu nepotisma terbuka! 

Ah, benar juga, fikir saya …  namun sejurus itu juga akal saya bertanya  apa buktinya  dia pernah mengaut harta negara, ada sabitan tentang rasuah berkaitan seleweng dana negara? Tiada.  Apa pula buktinya isteri dan anaknya ada membolot projek negara? Juga tiada.  Ini belum dibandingkan dengan anak dan keluarga VIP –vip negara. Nak sebutkah?

Nepotisma. Come on lah! Siapa yang benar-benar bebas dengan tidak menggunakan apa juga hubungan dan kenalan sepanjang hidupnya bagi manfaat diri, anak dan keluarga. Betapa ramai orang minta tolong orang lain untuk dapat kerja, masuk sekolah dan lain-lain sedangkan di sana ada yang lebih layak pada merit. Melantik orang dikenali tidak semestinya salah selagi ia layak dan tidak ada isu serius lain. Persoalannya ada tak isu serius berkaitan penyelewengan dana negara, pembolotan projek dan tender, merugikan harta negara dan sebagainya?

Saya bukan ahli PKR dan partinya bukan pilihan saya. Saya hanya menyokong keadilan menurut piawaian Quran dan sunnah tetapi saya sedar ia sangat sukar di’imani’ oleh kita semua. Justeru , melihat kepada kritikan, kutukan berterusan kepada Anwar, termasuk melalui web tranungkite; saya terpanggil untuk memberi sedikit imbangan kepada 'pembelaan' bg dirinya.

Tafsiran luas keadilan atau 'berlaku adil' kepada manusia ialah dapat mudah kita fahami dengan  kaedah iaitu – “give people what they deserve.” Berilah manusia itu apa yang wajar untuknya, apa yang menjadi haknya atau apa yang adil untuknya."
Saya kasihankan Anwar dan tidak pernah lupa atas apa yang telah dilalui semasa dia ditangkap, dianiaya, dihukum serta dibelasah dan dipenjara lama atas suatu yang saya yakini ia tidak adil untuk dia diperlakukan begitu, di sisi agama.

Kini dia 'dibelasah teruk' bukan sahaja oleh musuh partinya tetapi  mereka yang menyokong parti PAS yang merupakan sekutu partinya. Laman web Tranungkite ini adalah antara buktinya.  Berpada-padalah… Ada pula bijak pandai agama yang meminta dia berundur dari medan politik! ..

Kita tidak wajar lupa bahawa dia ada pemain utama kepada perubahan besar scenario politik tanah air dan sehingga kini dia masih lagi penting dalam menghangatkan suasana politik bagi perubahan dari kejumudan kepada keterbukaan, dalam politik. Kecohnya suasana hari ini di Selangor, adakah kerana ‘kegilaan’ (kuasa dan harta)  atau sebagai daripada harga integriti keterbukaan (yang sebelum ini tidak pernah dirasakan)?

Setakat ini Anwar masih lagi relevan.

Kecualilah nanti bila rakyat sudah benar-benar tidak mahukannya lagi.

Apapun, harapan saya kepada Anwar…

Semoga dia masih beriltizam dgn solat secara terbaik.

hisham-ahmad.blogspot.com

No comments:

Post a Comment