Beberapa hari yang lalu,
sedang membelek majalah Reader Digest lama, saya terbaca kisah CEO Air Asia, Tony
Fernandes menceritakan kisah perjalanan atau rahsia kejayaaannya. Antaranya
katanya; “Don’t be afraid of making mistakes. If you don’t make mistakes, you’ll never learn.
But when you do mess
up, be the first to admit it. Don’t try to cover yourself. Just stick your hand
up and say you screwed up.”
Beliau kemudian
memberikan contoh-kejadian-kejadian sebenar di mana dia telah melakukan
kesilapan dalam keputusan dan tindakan dan bila didapati tidak betul atau tidak
bagus, selepas ditegur atau terbukti kesilapannya atau memadai dilihat pada
kesan buruk tindakannya, beliau segera mengakui kesilapan, meminta maaf dan memperbetulkannya.
Ia menjadikan beliau lebih dihormati dan lebih berjaya, dalam kewangan dan
perhubungan.
Mengakui salah dan
meminta maaf bukan suatu yang mudah. Bagaimana dalam bidang agama melibatkan
ustaz-ustaz kita?
Kita mungkin pernah
mendengar seorang selebriti wanita yang membangkit sesuatu perkara berkaitan
isu agama, kemudian memohon maaf atas sebab yang kita tidak pasti apakah
sebenar salah dirinya. Namun kita memahami tekanan yang diterima kerana apa
yang dilakukan dianggap menyentuh wibawa ilmuan selebriti, sekaligus mungkin
melukai ramai peminat ilmuan tadi, tanpa merit isu dibangkitkannya, seadilnya
diadili.
Hakikatnya, seseorang
ustaz juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dalam banyak perkara baik
yang telah dilakukan, sekali sekala mungkin berlaku kesilapan, atas
ketidaksengajaan atau kurang teliti dalam penyampaian. Adakah ketelanjuran
kerana lidah yang tidak bertulang?
Bukan mudah untuk
memastikan kesahihan sumber. Berapa ramai ustaz yang telah merujuk sumber yang
asalnya dipercayai tetapi kemudiaannya didapati kesahihan fakta yang dibawa dipertikaikan
atas kajian yang lebih terkemudian. Lihatlah pada kisah isu dakwaan ‘kezaliman’
Hajaj bin yusuf as-Saqafi, kisah sahabat bernama Tsalabah dan sebagainya. Hakikatnya, tiada siapa ingin membawa kisah
yang tidak benar dalam hal agama apalagi
kalau disandarkan kepada Rasul s.a.w. yang mulia dan para sahabat yang
tercinta.
Namun sebahagian
keterlanjuran dalam penyampaian adalah serius dan merupakan suatu kesilapan
yang sukar diterima melainkan kesilapan itu diakui, diperbetulkan dan permohonan
maaf dihulurkan.
Bagaimana harus
diketahui? Mudah. Apabila isu serius pada agama dibangkitkan (sama ada melalui
teori atau pandangan) telah dipertikaikan bahkan dicabar oleh lain-lain ilmuan dengan
hujah meyakinkan, maka di atas bahunya terletak tanggungjawab memberikan hujah
balasan, jika teori dan pandangan masih mahu dipertahankan, bukan sekadar
penjelasan yang berlegar pada persekitaran isu, dengan kata berunsur emosi dan
memikat hati. Mungkin kebanyakan yang mendengar, menyaksi merasa puas hati
tetapi tidak bagi sebahagian yang benar-benar berfikir dan memahami.
Jika tidak mampu, dan naluri
kuat merasa berlaku kesilapan pada diri atas keterlanjuran yang tidak
disengajakan, disitu ada jalan keluar yang mudah. Lagi mulia.
Persoalannya, kenapa
sukar untuk mengakui kesilapan? Mengapa sukar untuk permohonan maaf dilafazkan?
Adakan menjatuhkan martabat, atau sebenarkan menaikkan darjat?
Sesungguhnya yang hak itu hak dan yang batil itu batil. Kalau salah, katakan salah. Akui salah.
Kalau sekadar kata, “maafkan saya, kalau saya salah”. Itu bermakna kita masih tidak mengakui salah.
Maafkan saya, kalau
saya salah. Wallahu taala alam.
KEWAJIPAN SETIAP DIRI MENJADI HAKIM YANG ADIL
Inilah adalah pesanan
yang penting. Bacalah betuk-betul kerana mungkin kita teralpa walaupun mungkin
kita tahu mengenainya.
Ketahuilah kita
sentiasa berhadapan dengan sesuatu perkara atau situasi yang memerlukan kita
untuk membuat pilihan, keputusan atau tindakan. Ia menjadi penting atau lebih
penting, jika pilihan, keputusan atau tindakan itu melibatkan pilihan antara 2
perkara atau lebih dan apabila ia mempunyai kaitan dengan orang lain sama ada
berkaitan hak atau tanggungjawab.
Maka ketika itu kita
adalah berkedudukan sebagai hakim yang adil kepada diri kita sendiri dan kepada
orang lain yang terkesan dengannya. Inilah tuntutan Allah atas diri setiap
insan.
Oleh itu, setiap
seorang itu adalah hakim bagi dirinya sendiri. Diri sendiri adalah hakim yang
ditugaskan untuk menilai dan mempertimbangkan sebelum kita membuat keputusan
dan tindakan itu.
Setelah menimbangkan
semua faktor yang relevan, adalah tugas kita untuk membuat keputusan yang
terbaik atau dalam isu-isu yang kita bincang sekarang ini, untuk memilih
pandangan terbaik.
Sentiasalah Menegakkan
Dan Menerangkan Kebenaran
dan Berlaku Adillah
Kepada Sesiapa Sahaja
Justeru, sifat adil
adalah syarat menjadi hakim. Kita diseru dan perlu berlaku adil dalam semua
perkara. Keadilan itu menuntut kita mendengar daripada kedua belah pihak secara
saksama sebelum membuat keputusan dan memberi penghukuman. Keadilan juga
memerlukan kita menolak segala unsur berat sebelah (biased) dan sikap berpihak.
Keadilan mengkehendaki agar pertimbangan
dibuat atas hujah, fakta dan dalil bukan emosi. Hanya dengan itu kebenaran
diperolehi atau sekurang-kurangnya dapat dihampiri. Selain daripada itu adalah
kezaliman. Kezaliman diri sendiri yang akan dipertanggungjawab nanti.
Dalil 1 :-
“Wahai orang yang
beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan
kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu
terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (Kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih
hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha
mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.Surah al-Maa’idah 5:8)
Begitulah halnya dalam
mencari kebenaran atas kepelbagaian perbezaan pandangan. Proses dan metodologi
yang sama perlu digunapakai oleh hakim diri sendiri dalam hal kita membicara,
mengadili dan menghakimi pandangan-pandangan oleh sekian ramai yang digelar
ilmuan agama.
Kewajipan Mempunyai
Maklumat Mencukupi
Sesuatu pandangan itu
sudah tentu kuat jika ia menepati al Quran dan As-Sunnah. Sudah tentu kita
orang biasa akan merasa selamat jika dapat bergantung kepada pandangan ilmuan
agama yang kita yakini paling betul dan sangat dekat dengan hati dan fikiran
kita.
Untuk itu sekiranya
kita menerima sesuatu perkara dan ingin beramal dengannya, tentulah kita telah
mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenainya. Barulah kita boleh katakan
kita berpegang dengan suatu yang betul dan diyakini. Kita tak mahu jadi pak
turut atau pak sanggup.
Kita akan dipersoalkan
atas setiap pilihan, keputusan dan tindakan yang kita ambil. Kita akan
dipertanggungjawabkan.
Dalil 2 :-
Dan
janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;
sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap
akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (surah al-israa’17:36)
Dalil 3 :-
Maka gembirakanlah
hamba-hamba-Ku, yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai
kepadanya lalu mereka memilih dan mengikut apa yang terbaik (
Untuk diamalkan dalam urusan agama), mereka itulah orang-orang yang diberi
hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka
itulah orang yang berakal sempurna. – al-Zumar
(39) : 17-18
Kewajipan Menyampaikan
Maklumat dan Menaqalkan Ilmu Secara Adil
Kita harap semua ilmuan
agama bersikap adil dalam memberi pandangan. Bersikap telus dan jelas dalam
menyampaikan ilmu. Jangan bersikap mencari sokongan tetapi benarkan seseorang
itu membuat keputusannya sendiri, sekalipun kelak dia memilih pandangan yang
berbeza dengan kita.
Kita hendaklah berkata
tepat dan benar. Telus dan jelas. Tugas ilmuan agama adalah menyampaikan, bukan
mencari sokongan. Sebaliknya, untuk membantu kami (orang biasa) membuat
keputusan. Tak perlulah buat keputusan untuk kami.
Seseorang ilmuan itu
dikehendaki memberi pandangan yang disokong oleh keterangan, hujah dan dalil.
Janganlah kita disuruh sahaja mengikuti sesuatu pandangan sedangkan kita tidak
menyakini pandangan atau di satu pihak lain ada pandangan yang lebih baik. Jika
terdapat beberapa pandangan yang paling baik, ini sangat baik, kerana kita
boleh memilih yang mana yang paling baik dan sesuai untuk kita ikuti atau
amalkan.
Dalil 4 :-
“Wahai orang-orang yang beriman,
bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat-benar (dalam
segala perkara). Supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal
kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada
Allah dan Rasul-Nya , maka sesungguhnya dia telah Berjaya mencapai
sebesar-besar kejayaan”.al-Ahzaab
(33) : 70-71
saya pun tunggu gak ustz selebriti tu minta maaf...terutama utk isu ikhwanul muslimin tu....
ReplyDelete