Social Icons

Pages

Sunday, May 11, 2014

Penjelasan Kondusif Kepada Peragu-peragu Hudud


[Peragu-Peragu Hudud] [1]

Dr. Asri[2] kelihatan sebagai seorang idealis dengan mengharapkan dan menggambarkan suasana ‘impian yang indah’ bagi negara ini sebelum hudud dapat dilaksanakan. Mengambil iktibar dan bandingan suasana zaman Rasulullah s.a.w.,  setelah suasana stabil dan islamik dalam banyak keadaan, (di negara ini, umpamanya isu rasuah dapat diatasi sebaiknya) barulah hudud datang sebagai pelengkap. Seumpama tiada alasan munasabah  untuk melakukan jenayah lagi,  yang jika dilakukan dan dibuktikan, layakkan dia kepada hukum hudud. 

 Alangkah indah visualisasi ini!

Saya seronok dengan impian Dr Asri di atas itu dan saya mahu berkongsi rasa dan fikir bahawa ia adalah waktu dan cara terbaik dalam melaksanakan hudud. Sekalipun ia kedengaran agak idealis namun kita akui ia tidak mustahil berlaku. Kita bahkan mengharapkan ia dapat berlaku secara begitu.

Tetapi adakah ia satu kemestian atau pilihan? Dan bila suasana itu akan menjelma?

Mengambilkira keadaan agak parah yang didedah dalam laporan ketua audit negara dan lain-lain isu semasa, suasana ‘indah’ itu masih terlalu jauh dari kita. 

Persoalan lebih besar, adakah hudud perlu menunggu kepada kewujudan suasana itu, atau ia boleh hadir dahulu  bagi membantu membentuk suasana ‘indah’ itu?  

Suasana kondusif…. Emmm

Wahai peragu-peragu perlaksanaan hudud di luar sana! 

Tidak kira pada apa jua bentuk dan jenis keraguan anda dan pada kadar apa keseriusan keraguan anda, bacalah hujah di bawah ini.

Sejauh Mana Suasana Kondusif Diperlukan Dalam Perlaksanaan Hudud.[3]

Isu perlaksanaan Hudud di Malaysia timbul kembali. Pelbagai pandangan dikemukakan dalam isu ini termasuklah keperluan suasana kondusif untuk melaksanakan Hudud. Ia telah dijadikan sesetengah pihak sebagai syarat perlaksanaan hukuman tersebut. Ia tidak boleh atau hendaklah ditangguhkan perlaksanaannya jika suasana tersebut tidak wujud.

Hudud sebagai Undang-Undang Negara:
Perlu difahami bahawa usaha yang dilakukan oleh PAS hari ini untuk melaksanakan hukuman Hudud adalah untuk menjadikannya sebagai undang-undang (taqnin). Ada pun selepas ia diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat, kesalahan yang dilakukan akan diadili oleh hakim untuk melihat sejauh mana syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang yang diluluskan tersebut dipenuhi atau tidak.

Ramai yang meletakkan syarat kondusif untuk melaksanakan Hudud. Mereka lupa bahawa syarat tersebut tidak boleh menafikan hasrat PAS untuk menjadikan Hudud sebagai undang-undang. Syarat tersebut hanya boleh menafikan hukuman dijatuhkan apabila hakim membicarakan kes yang berkaitan setelah Hudud menjadi undang-undang, bukannya menafikan usaha menjadikannya sebagai undang-undang yang menjadi kewajipan terhadap orang Islam.

Mereka menggunakan hujjah tindakan Saidina Umar yang tidak menjatuhkan hukuman potong tangan kepada pencuri pada tahun kelaparan (‘am al-maja’ah). Saidina Umar sebenarnya bukan tidak menjadikan Hudud sebagai undang-undang tetapi tidak menjatuhkan hukuman tersebut kerana tidak cukup syarat di bawah undang-undang Hudud yang sedia ada apabila berlakunya peristiwa tersebut. Hudud ketika itu telah pun menjadi undang-undang negara.

Justeru, tidak boleh dijadikan hujjah untuk menafikan Hudud dijadikan undang-undang dalam negara kita dengan merujuk kepada tindakan Saidina Umar r.a. tersebut.

Syarat kondusif yang dimaksudkan ialah tidak berlakunya syubhat (keraguan) dalam  kes yang didakwa di mahkamah di bawah undang-undang Hudud. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: Ditolak Hudud dengan sebab keraguan. [Riwayat Ibnu 'Adi]

Syubhat yang berlaku di zaman Saidina Umar sehingga beliau tidak menjatuhkan hukuman potong tangan ialah kecurian tersebut mungkin kerana dhorurat kelaparan yang membawa kepada seseorang mencuri. Orang yang mencuri ketika tahun kelaparan tidak disifatkan mencuri kerana dia melihat bahawa dirinya mempunyai hak terhadap apa yang diambil. Ada pun curi adalah apabila seseorang mengambil bukan haknya secara bersembunyi. (Lihat Dr. Al-Qaradhawi, As-Siasah As-Syari’yyah, 203).

Suasana yang tidak kondusif ini (suasana kelaparan) boleh dijadikan hujjah untuk tidak dijatuhkan hukuman kerat tangan di bawah hukuman Hudud yang telah menjadi undang-undang, bukannya hujjah untuk menafikan usaha menjadikan Hudud sebagai undang-undang negara.

Begitu juga jika terdapat kajian yang menunjukkan bahawa selepas dua kurun kewafatan Nabi s.a.w., Hudud tidak dilaksanakan dalam dunia Muslim, begitu juga sejak zaman Abbasiyah tidak ada penekanan perlaksanaan hudud dan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan Hudud, semua kajian ini tidak menggambarkan bahawa Hudud tidak dijadikan undang-undang kerana ia mungkin tidak dilaksanakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh Islam untuk hakim menjatuhkan hukuman terhadap pesalah di bawah undang-undang Hudud.

Kondusif dan Maqasid As-Syariah:

Terdapat juga sebahagian yang berpandangan bahawa kondusif ialah suasana di mana apabila hukuman Hudud itu dilaksanakan akan mencapai matlamat hukum itu disyariatkan iaitu tertegaknya keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat. Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri.

Contoh yang dibawa ialah dalam kes mencuri. Pada pandangan mereka, Tujuan Islam bukan ingin memastikan tangan pencuri itu putus, tetapi yang hendak dicapai ialah maksud keadilan, pencegahan dan pemeliharaan harta masyarakat di sebalik hukuman tersebut. Kaedahnya ditetapkan iaitu potong tangan. Maka, pelaksana hukum tersebut hendaklah memastikan bahawa apabila hukuman tersebut dilaksanakan, maksudnya dapat dicapai. Jika dilaksanakan, sedangkan maksud itu tidak dicapai, ataupun berlaku sebaliknya, maka itu tidak menunai tanggungjawab nas. Sebaliknya, hanya menzahirkan ketidakadilan, atau kekejaman atas nama Islam.

Jelas bahawa pandangan ini mengaitkan isu kondusif dengan maqasid As-Syariah (matlamat hukum disyariatkan). Tidak dapat dinafikan bahawa tujuan perlaksanaan hukuman Hudud adalah untuk menjaga lima perkara yang dikenali sebagai Ad-Dhoruriyyat Al-Khamsah iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. (lihat As-Syatibi, Al-Muwafaqat, 2: 8)

Pun begitu, perlaksanaan hukuman tersebut tidak boleh bergantung perlaksanaannya semata-mata kepada berjaya atau tidak dalam mencapai tujuan pensyariatan (maqasid as-Syariah) untuk menjaga lima perkara tersebut.

Ini adalah kerana hukuman yang ditetapkan oleh Allah secara nas seperti hukuman Hudud wajib dilaksanakan dan perlu diyakini bahawa ia pasti mempunyai maslahat dan dapat dicapai. Tidak timbul ia kemungkinan tidak dapat dicapai kerana ia datang daripada Allah yang pasti dapat dicapai maslahatnya.

Bukan urusan kita untuk memikirkan berjaya atau tidak matlamat tetapi kita hanyalah dituntut melaksanakan hukuman tersebut dan seterusnya perlu yakin bahawa matlamat tersebut pasti akan tercapai.

Ia adalah umpama kewajipan solat yang mempunyai matlamat yang dinaskan oleh Allah untuk mencegah daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; (Al-Ankabut: 45)

Sembahyang yang diperintahkan oleh Allah mesti dilaksanakan walaupun mungkin pada pandangan mata kasar kita matlamat daripada pensyariatan sembahyang (mencegah perbuatan keji dan mungkar) tidak tercapai.

Begitu juga kewajipan menunaikan fardhu puasa di bulan Ramadhan. Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [Al-Baqarah: 183]

Puasa yang telah difardhukan oleh Allah s.w.t. mesti dilaksanakan. Tercapai atau tidak matlamat menjadi orang yang bertakwa bukan menjadi neraca dalam menentukan samada ia perlu dilaksanakan atau tidak.

Mewujudkan suasana keadilan:

Tidak dapat dinafikan bahawa Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang Hudud telah mewujudkan suasana keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda. Pemerintah dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. Tiada diskriminasi keturunan dan latar belakang. Suasana kebajikan; bantu membantu, tolong menolong antara masyarakat yang kukuh. Jaminan hak rakyat yang diberikan. Suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk dan selainnya. Tiada alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram.

Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang layak dihukum. Ini kerana pertama; dia telah mencemarkan suasana harmoni yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa yang berat yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal sekalipun mudah.

Pun begitu, perlu difahami bahawa suasana keadilan adalah berbentuk subjektif yang sukar untuk dinilai. Untuk menentukan sama ada suasana itu wujud atau tidak hanyalah akan menyebabkan orang yang tidak mahu melaksanakan hukuman Hudud akan beralasan tidak wujud suasana keadilan walaupun pada hakikatnya tidak demikian.

Sebagai contoh di negeri Kelantan, menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerajaan Pas Kelantan sudah menyiapkan asas kukuh untuk pelaksanaan hukum Hudud berlandaskan konsep ubudiyah (kepatuhan), itqan (tekun) dan masuliyah (bertanggungjawab) dalam pentadbirannya. Penerangan kepada masyarakat juga dibuat berterusan melalui kuliah agama terutama pada setiap hari Jumaat mendapat sambutan menggalakkan daripada umum. Pelaksanaan program kebajikan oleh kerajaan negeri setakat ini sudah mencukupi untuk menghalang niat sesetengah pihak melakukan perkara yang menjadi kesalahan dalam peruntukan Hudud akibat desakan kewangan seperti projek Al-It’am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya. Ini semua persiapan untuk membolehkan rakyat berasa tidak perlu lagi mencuri, menipu dan merompak. Jadi asas kondusif ini sudah cukup baik di Kelantan.

Ini adalah perspektif daripada T.G. Nik Abdul Aziz tentang suasana keadilan di Kelantan. Pun begitu, bagi yang tidak mahu menjadikan hukuman Hudud sebagai undang-undang akan memberi dan mencari pelbagai alasan untuk menunjukkan ketidakadilan suasana di Kelantan.

Justeru, penulis melihat suasana keadilan tidak boleh menjadi penanda aras dalam menentukan sama ada hukuman Hudud boleh dijadikan undang-undang atau tidak. Pun begitu, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk mewujudkan suasana keadilan ini agar apabila sesuatu kes yang dibicarakan di bawah undang-undang Hudud dapat berjalan dengan adil dan saksama dan tidak -adanya syubhat
--------------------
Semoga artikel ini menghilang atau mengurangkan keraguan peragu-peragu pada kemampuan Kelantan untuk melaksanakan hudud.  

Semoga peragu-peragu Hudud akhirnya mengakui hujah;  

terbukti sekarang suasana atau keadaan adalah kondusif!….”

hisham-ahmad.blogspot.com


[1] Maksudnya peragu-peragu kepada kesediaan atau kemampuan Kelantan untuk melaksanakan Hudud.  
[2] Ini kelebihan Dr Asri yang meletakkan dirinya lebih dihadapan daripada kumpulan ilmuan muda yang mendakwa bermanhaj salafi. Sekalipun, Dr Asri dipercayai masih tegas dalam sunnah pada aspek ibadah khususiah tetapi sangat dinamik dalam soal politik dan isu semasa. Pemikiran dan tindakan beliau kelihatan menuruti  manhaj ulama terulung abad ini, Dr Yusuf Qaradhawi.  Pada masa yang sama seperti ada pengaruh pemikiran Dr Tariq Ramadan, pada aspek positif.
[3] satu artikel yang disediakan oleh Kumpulan Penyelidikan Ulamak Pelapis, Dewan Ulama PAS Pusat yang diketuai oleh ustaz Ahmad Mouhyideen Hasyim. - http://www.niknasri.com/?p=11795


No comments:

Post a Comment