“Aduh!” Terdengar keluhan seorang
lelaki tua yang terjatuh di luar pintu masuk premis surau kampung. Kedengaran pula seorang yang
mungkin masih berada di pangkir surau bergegas mendapatkannya untuk membantu
dia untuk bangun dan kemudian memimpinnya ke surau.
Kami yang berada di dalam surau
juga seperti terdengar sesuatu.
“Haji Salam terjatuh tu!” Terdengar seseorang berkata dari atas beranda surau.
Ketika itu, iqamat sedang
dilaungkan. Pemuda yang menyudahkan lafazkan iqamah itu tiba-tiba terus
meninggal saf pertama dan keluar surau. Tiada
apa yang menghairankan. Bapanya yang terjatuh itu. Kami merapatkan ruang kosong
yang ditinggalkan. Tidak lama, kedengaran susuk tubuh haji Salam dibantu untuk
duduk di kerusi di saf kedua.
Itulah satu kisah benar di waktu
subuh di surau kampung saya hanya beberapa hari yang lalu.
Orag tua itu bernama Haji Salam[1].
Umurnya sekitar 60 tahun. Seorang yang komited pada solat Jemaah. Saya percaya
ia pembawaan sifat diri sejak zaman muda. Saya juga percaya pembawaan sifat ini
didisiplinkan melalui penglibatan seriusnya dalam pegerakan ‘Jemaah tabligh’.
Suatu hari, beberapa lama yang
dahulu, haji Salam diserang angin ahmar. Ketika itu, dia juga sedang berada di
perkarangan surau bagi persediaan untuk solat zohor. Sejak itu, untuk suatu
tempoh tertentu, dia tidak lagi hadir ke surau. Saya percaya, keadaan yang
menimpanya telah menyukarkan dia hadir ke surau, jika tidak, pasti dia akan
menghadirkan diri untuk solat jemaah setiap waktu.
Dia kemudian kembali, kembali ke
surau. Kehadirannya disambut ceria. Walaupun begitu, keadaannya berbeza daripada
sebelum itu. Dia lebih banyak berdiam. Pergerakkannya juga perlahan. Daya
ingatannya juga terkesan. Solatnya juga secara duduk di kerusi. Sekali sekali
dia menggagahkan diri bersolat tanpa kerusi dan jiran-jiran solatnya pasti
perasan betapa dia memerah kudrat untuk bangun berdiri tegak sesudah sujud.
Pergi dan pulangnya sentiasa
dibantu. Ada kalanya, dia terpaksa juga berjalan seorang diri dari rumahnya
iaitu ketika anaknya tiada atau tiada sesiapa untuk membawanya dengan
motorsikal. Ini bukti bahawa dia tetap berusaha untuk hadir solat fardu jemaah setiap
waktu. Bahkan dia selalunya hadir sekitar 10-20 minit awal sebelum masuk waktu
solat.
Hari ketika dia terjatuh itu ialah
ketika dia berjalan seorang diri daripada rumahnya menuju surau di waktu subuh.
Inilah sebahagian ceritanya. Saya
tidak menceritakan melainkan untuk kita sama-sama berfikir dan mengambil
pengajaran daripadanya.
Kehadiran kaum adam untuk
bersolat subuh di surau kampung saya ini lazimnya tidak lebih 2 saf. Persoalannya
di mana mereka yang lain? Apakah alasan mereka untuk tidak hadir?
Sakit, jauh, mengantuk, tak sedar
diri atau apa jua alasan yang lain.
Hakikatnya diri sendiri yang sedar
kewajaran alasan ketidakhadiran itu.
Cuma.
Di kala seorang tua bernama Haji
Salam berusaha keras untuk melakukannya, kita takut alasan ketidakhadiran kita ‘tidak
cukup kuat’ untuk diterima di sisi-Nya!
Ketahuilah, orang tua itu juga
adalah satu ‘hujah hidup dan bergerak’ yang ditampakkan di depan mata-mata
manusia ….
semoga ada yang memandang dengan
mata hati!
Wallahu taala alam.
hisham-ahmad.blogspot.com
No comments:
Post a Comment