Social Icons

Pages

Sunday, April 20, 2014

Syahid Di Bumi Malaysia


Saya selalu mengikut perkembangan Syria melalui facebook Kapten Asri. Tidak pelik jika hampir setiap hari ada sahaja mereka yang syahid fi sabilillah. Golongan syuhada’ terdiri daripada lelaki berusia, lelaki muda hingga kepada golongan wanita dan kanak-kanak.

Ada satu rakaman video pertempuran di mana mereka yang tertembak dan mati, diraikan dengan takbir dan kesyukuran oleh rakan-rakan seperjuangan kerana telah berjaya mencapai cita-cita untuk syahid. Itulah realiti di sana.

  Bagaimana pula kita di sini?

 Jika ada yang bercita-cita yang sama, bagaimana pula untuk merealisasikan cita-cita itu?

“Saya ingin jadi lawyer! Saya ingin jadi doktor! Saya ingin jadi PM! Saya ingin jadi film maker!”  “Tidak kisah apa jua cita-cita kita dalam urusan kerjaya di dunia asalkan halal, baik dan berguna. Namun sebagai umat Islam, kita mesti sewajarnya mempunyai satu (jenis) cita-cita yang sama. 

Cita-cita  yang perlu dikongsi bersama.

Cita-cita untuk mati syahid. 

Syahid adalah cita-cita kami. 

Bicara kematian & ingin mati syahid

Dalam bicara soal kematian, kita sentiasa berdoa agar diberikan pengakhiran hidup yang baik, dan tidak diakhirkan dengan kesudahan yang buruk. Umat Islam di negara ini meninggal dengan pelbagai musabab kematian. Kita sendiri tidak tahu musabab kematian apa yang akan kita akan lalui bagi menuju alam barzah. Asalkan ia kematian yang baik (dengan keampunan), itu yang penting. 

Namun kita sedar sebolehnya kita tidak mahu melalui kematian yang memenderitakan atau kelihatan ngeri dan memenderitakan melalui pandangan luaran. Sepertimana sering tersiar dan terpapar di t.v. dan akhbar.  Tidak perlu saya memberikan contoh dan perincian. Kemalangan kenderaan dan penyakit yang membawa kesakitan antara musabab yang dianggap lazim bagi kematian. Bila sahaja, ketika kita memandu kereta, sama ada kita tercuai atau pemandu lain yang tercuai, risiko sentiasa ada antara minima hingga maksima. Cedera ringgan, parah, koma atau kematian.
 
Sedangkan di atas semua itu, kita tahu betapa tingginya nilai kematian seorang syuhada. Syahid di sisi Allah. Syahid yang sebenar. Sebagaimana sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang terkorban di medan perang melawan kuffar. Sahabat seperti Umar, Ali, Uthman yang dibunuh. Sebahagian sahabat ini meminta syahid dalam medan perang, lalu Allah mentakdirkan.

Kisah Syahid Atas Permintaan  

(1) Demi Allah, Bukan Untuk Ini Aku Mengikutimu [1]

Setelah diberi bahagian rampasan Perang Khaibar, seseorang sahabat bergegas menemui Nabi s.a.w. Dia berkata, “Apa ini, ya Rasulullah?” Beliau menjawab, “Itu adalah bahagianmu.” Dia berkat , “Wahai Rasulullah, demi Allah bukan untuk ini aku mengikutimu. Tetapi, aku mengikutimu agar busur panah mengenai ini (sambil menunjukkan ke lehernya), sehingga aku mati dan masuk syurga.” Nabi s.a.w. memandangnya sambil berkata, “Jika engkau jujur kepada Allah, pasti dia memberikan kepadamu.” [2]

Lalu lelaki tersebut menyertai satu peperangan dan gugur sebagai syahid. Ini bukan suatu yang pelik dan aneh. Anehnya ialah panah musuh itu betul-betul mengenai tempat yang dia tunjukkan kepada Rasulullah (iaitu lehernya). Mereka membawa jenazahnya kepada Nabi s.a.w. Baginda mengembalikan telapak tangannya dengan rasa terkejut sambil berkata, “Betulkah dia? Dia telah jujur kepada Allah sehingga Allah memberikan kepadanya.”

Doa Mati Syahid

Berdoalah untuk mati syahid. Berdoalah  bagi kematian seorang syuhada. Usah kita gentar dan berbelah bagi. Berdoalah. Mintalah sejujur rasa dan hati. 

Bagaimana ia akan berlaku, tentulah kita tidak tahu. Sekiranya Allah mengkehendaki, pasti ianya terjadi. 

Walaupun begitu wahai saudara-saudaraku… 

Ada suatu rahsia indah untuk dikongsi. 

 Sekiranya mati syahid itu tidak tercapai pada realiti, martabat seumpama masih boleh perolehi.
Bagaimana begitu? Apakah aku permainkan perasaan mu? Tidak. Sabarlah dahulu.  

Hadith Sahih.

الرابع :عن أبي ثابت، وقيل: أبي سعيد، وَقيل :أبي الو ليد، سهل ابن حُنَيْفٍ وَهُوَ بدريٌّ – رضي الله علنه – أنَّ النَّبي – صلى الله عليه وسلم -،قَالَ:"مَنْ سَأَلَ الله تَعَالَى الشَّهَدةَ بِصِدْقِ بلَّغَهُ مَنَازِلَ الشَّهَدَاءِ وَإِنْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ". رواه مسلم.                            

Daripada Abu Tsabit, ada yang mengatakan, Abu Said, dan ada pula yang mengatakan : Abu al-Walid, Sahal ibn Hunaif, iaitu seorang sahabat yang pernah menyertai Perang Badar (r.a), bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa memohon kepada Allah Ta’ala kematian secara syahid dengan benar dan jujur, maka dia disampaikannya kepada kedudukan para syuhada’, meskipun dia meninggal dunia di atas katil tidurnya.” [3]
 
Hadith ini menyatakan bahawa ketulusan niat membolehkan seseorang mencapai apa yang telah dicita-citakan dan seseorang yang berniat untuk mengerjakan suatu amal kebaikan, maka dia diberi ganjaran pahala, meskipun dia tidak berpeluang mengerjakannya. Begitu juga jika dia mengimpikan mati syahid… 

-       Lalu apa lagi yang melekakan kita?

Sebahagian isi di atas diambil daripada buku haji 2013 bertajuk Baitullah Aku Datang, (Terbiran Karangkraf- Karya Bestari). Jangan ketinggalan mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa 2014 (bermula 24 April) . 

hisham-ahmad.blogspot.com


[1] Buku Pintar Akhlak; Dr. Amr Khaled (m/s 112-115)
[2] HR al –Nasai, al Sughra (hadis 4/60), al-Hakim, al-Mustadrak. (Hadis 3/595), al-Thabrani, al-Mujam al-Kabir (hadis no. 7108) Buku Pintar Akhlak.
[3] HR Muslim dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment