Social Icons

Pages

Monday, August 26, 2013

Bersih 3.0 & Ibadah Haji. kat mana relevannya?


ARTIKEL YANG PERLU DI BACA OLEH BAKAL HAJI...!

"Thousands of Malaysians gathered at Dataran Merdeka for a peaceful assembly. Police dispersed the crowd wit teargas and water cannons after demonstrators reacted strongly to the appearance of an opposition leader!!!


Begitulah apa yang berlaku pada demo 'BERSIH 3.0'!
Itulah balanya apabila nak Bersih sangat!

Hairan bin ajaib! ada juga yang tidak suka pada Bersih. Tapi kenapa eik? Kenapa ada manusia yang tak suka kepada BERSIH.Pastinya bukan semua suka kepada Bersih.

Tapi adakah bermaksud mereka suka kepada Kotor? Sebab lawan bersih adalah kotor.Tidak mengapalah. Bagi yang nak Bersih, bersihlah ia, bagi yang tak nak Bersih... terserahlah mereka... kalau tidak mahu bersih takut jadi kotor pula.

Sekadar seloka di atas tadi. Bawah ini baru serius.


Apalah kaitan pula Bersih ngan Haji? Tentu. Tentu ada kaitannya. Bersih sangat relevan bahkan sangat penting kepada Haji.

Relevannya :- 

Musim haji telah hampir tiba. Dalam kesibukan apa pun, pasti sebahagian orang Islam sedangkan menyediakan mental dan melengkapkan ilmu untuk pergi menunaikan haji. Kadangkala sebahagian bakal jemaah haji begitu memfokuskan kepada pengisian haji di Mekah khususnya dari segi rukun dan wajib haji dan lain-lain ibadah di Madinah, lalu terlupa bahawa terdapat persediaan yang perlu dilakukan seawal dari sekarang sebelum tiba waktunya untuk mereka berlepas ke langit tinggi menuju tempat paling suci.  

Mereka perlu melalui proses bersih terlebih dahulu.   

MENUJU ALLAH

Pergi haji ertinya menuju Allah yang esa. Justeru, ia perjalanan yang diberkati tanpa kepentingan duniawi, melainkan ketaatan kepada Allah yang tidak berbelah bagi,  dengan harapan kepada haji mabrur, impian tertinggi. 

Hati mesti dibersihkan. Kos pembiayaan haji juga mesti dari sumber yang bersih. Segala unsur yang tidak bersih, mesti dikeluarkan sehingga ia bersih sebersih-bersihnya. Persediaan juga mesti dilakukan. Persediaan yang bersungguh dan menyeluruh. 

Persediaan Menuju Allah.

1. Pembersihan Diri dan Harta
Bersih 1.0

Kos pembiayaan haji dan segala yang berkaitan dengannya mestilah dipastikan bersih dan bebas dari sumber haram, syubhah dan meragukan. Segala pendapatan dan simpanan yang sedia ada yang telah bercampur dengan yang haram atau syubhah, maka langkah pengiraan dan pengasingan dilakukan. Peratusan yang haram diasingkan ke dalam satu akaun. Bagi yang syubhat dan meragukan, dalam satu akaun. 

Manakala yang halal dan bersih dalam satu akaun. 3 akaun berasingan. Semua akaun islamik.
Jika ia dalam bentuk aset atau harta, maka penyelesaian adalah secara rapi dan berhati-hati. Jika ia haram boleh ditebus dengan wang yang halal pada harga pasaran yang adil, maka wang yang haram itu diasingkan pada akaun yang khas baginya tadi. Jika tidak boleh ditebus, maka mungkin perlu dijual bagi mengasingkan yang halal dan yang haram mengikut kadar peratusannya. Jika tidak harta itu perlu digunakan untuk maslahah awam tanpa kepentingan diri mengikut peratusan yang dianggarkan sebagai haram.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi tujuan penyelesaian dengan ukuran dan panduan bahawa yang haram itu tidak boleh dinikmati untuk kepentingan diri dan keluarga dan perlu dimanfaatkan bagi kepentingan umat Islam semua. Pengiraan peratusan adalah secara adil dan munasabah. Sesungguhnya Allah jua yang mengetahui apa yang ada (keikhlasan) di dalam hati manusia.

Bersih 2.0

Bagi kerja atau kerjaya yang masih terlibat dengan perkara yang menyebabkan pendapatan itu haram 
atau syubhah, ia mestilah ditinggalkan segera dan serta merta mengikut syarak. Sekiranya ia menimbulkan mudarat yang berat, mungkin ia perlu dilakukan secara teliti dan berhati-hati. Namun sekiranya ia melibatkan haram yang jelas dan dosa besar seperti kerja melibatkan pelacuran, penzinaan, jenayah, rasuah dan Riba, tiada alasan penangguhan, melainkan perlu dihentikan serta-merta (pada yang haram itu). 
Setakat ini, tiada alasan darurat yang mewajarkan kerana masih ada ruang mencari rezeki halal yang lain. Hatta meminta sedekah, jika terpaksa, lebih wajar daripada melakukan yang haram tadi. Tapi janganlah! ia sekadar bandingan.

Walaupun begitu, sekiranya ia pada kerjaya yang bercampur unsur haram dan syubhah tapi masih ada unsur halal, seperti menyanyi dan bermain muzik, maka dapatkan maklumat jelas tentang keadaan mana yang ia jatuh harus dan keadaan mana yang ia boleh jatuh haram. Hentikan yang haram, boleh teruskan yang harus. 

Bersih 3.0

Semua yang haram atau syubhah yang telah dimakan, pakai atau digunakan sehingga ia tidak munasabah untuk dikembalikan semula untuk disedekahkan. Maka bertaubat adalah pilihan yang ada, yang wajib dilakukan. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat.

Adakah kita masih memerlukan bukti dan dalil terhadap kebenaran ini. Bukankah kita semua sedia mengetahui akan amaran Rasulullah s.a.w. mengenai seseorang yang melakukan perjalanan jauh, berambut kusut penuh debu, mengangkat kedua-dua tangannya ke langit dan berkata, “Ya Rab, Ya Rab.” Jika makanannya haram,  minumannya haram,  pakaiannya haram dan biayai dengan yang haram, maka bagaimana doanya boleh diterima?” [1]

Fikirkanlah! Apalah guna bersusah payah kesana, jika ibadah dan doa tidak diterima.

2. Penyediaan Bekalan

Takwa adalah sebaik-baik bekalan.
  [2]
Bermaksud, “Berbekallah dengan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-ku, wahai orang yang berakal.”

Jelaslah kepada kita bahawa persediaan, perancangan dan bekalan adalah perlu dalam melakukan sesuatu perkara. Begitu jua dalam ibadah haji. Bekalan takwa adalah bekalan terpenting yang dapat mempertahankan jatidiri (keikhlasan, kesabaran, kekusyukan) dalam beribadah dan dalam menghadapi pelbagai ujian. 

3. Jangan melakukan kefasikan dan maksiat. Jangan berkata lucah, berbantah, berdebat atau melakukan perlakuan seumpama dengannya.

Kesemuanya disebut jelas oleh Allah s.w.t. dan rasul-Nya sebagai faktor-faktor yang boleh merosakkan haji atau menghalang kepada pencapaian haji mabrur. Justeru elakkan segala elemen dan unsur yang boleh membawa ke arah perkara buruk di atas.

Tentunya, perintah Allah s.w.t. secara khusus dalam hal larangan berbantah dan berdebat menunjukkan kepentingan setiap umat Islam menjalinkan dan memelihara hubungan yang baik. Jenis-jenis komunikasi yang berisiko membawa ke arah perselisihan, pertelingkahan dan pergaduhan perlu dijauhkan. Oleh itu, topik-topik  seperti politik, bola dan yang sia-sia, tinggalkan sahaja. Sebaliknya, tanam tekad untuk bersikap baik kepada semua dalam sebarang masa, di mana jua berada, pada apa jua suasana. 

4. Bertaubatlah Atas Segala Dosa

Bertaubatlah sentiasa. Imam al-Qurtubi dipercayai mengatakan bahawa “Para ulama bersepakat bahawa bertaubat adalah fardu ke atas semua mukmin.”

            Penghulu Istighfar. Baca, amal dan hayatilah,  ‘Allaahumma anta Rabbii laa illaaha illaa ant, khalaqtanii wa ana ‘abduk, wa ana ‘alaa ‘ahdika wa wa’dika mastata’t, a’uuzu bika min syarri maa sana’t, abuu ‘u laka bi ni’matika ‘alayya, wa abuu’u bi zanbii, faghfir lii, fa innahu laa yaghfiruz zunuuba illa ant’. “Ya Allah, Engkaulah tuhanku, tiada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Engkaulah yang menciptaku dan akulah hamba-Mu. Aku berada di bawah ketaatan kepada-Mu dan janji-Mu, berdasarkan setingi-setingi kemampuanku. Aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan perbuatanku. Aku kembali kepada-Mu dengan nikmat-Mu di atasku. Aku juga kembali kepada-Mu dengan membawa dosaku, maka ampunkanlah untukku kerana sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa kecuali Engkau”.

            Kata Baginda : “Sesiapa yang menyebutnya pada siang hari dengan penuh keyakinan lalu dia mati pada hari itu sebelum petang maka dia tergolong dalam penghuni-penghuni  syurga. Sesiapa yang menyebutnya pada malam hari pula dengan penuh keyakinan lalu dia mati sebelum subuh maka dia juga tergolong dalam penghuni-penghuni syurga”.
           
            Fakta Sunnah :-

            Amalan Sayyidul Istigfar (Ibu Istighfar) adalah sahih berasaskan hadith sahih dan ganjarannya juga adalah sahih. Kategori amalan : Sangat merugikan jika tidak diamalkan. Inilah dia:-

حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ حَدَّثَنَا الْحُسَيْنُ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بُرَيْدَةَ قَالَ حَدَّثَنِي بُشَيْرُ بْنُ كَعْبٍ الْعَدَوِيُّ قَالَ حَدَّثَنِي شَدَّادُ بْنُ أَوْسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ قَالَ وَمَنْ قَالَهَا مِنْ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَمَنْ قَالَهَا مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ
“telah menceritakan kepada kami Abu Ma'mar telah menceritakan kepada kami Abdul Warits telah menceritakan kepada kami Al Husain telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Buraidah dia berkata; telah menceritakan kepadaku Busyair bin Ka'b Al 'Adawi dia berkata; telah menceritakan kepadaku Syaddad bin Aus radliallahu 'anhu dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam;

"Sesungguhnya istighfar yang paling baik adalah; kamu mengucapkan: 'ALLAHUMMA ANTA RABBI 
……. LAA YAGHFIRU ADZ DZUNUUBA ILLA ANTA.

 Baginda bersabda: 'Jika ia mengucapkan di waktu siang dengan penuh keyakinan lalu meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka ia termasuk dari penghuni surga. Dan jika ia membacanya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka ia termasuk dari penghuni surga.' [3]

5. Penyediaan IImu. Antara Syarat Utama Bekalan Takwa

Untuk menunaikan haji yang sah, sudah tentu memerlukan ilmu dan kefahaman memadai dalam bidang dan urusan haji, seperti pada rukun dan syaratnya. Sahlah haji itu.  Namun ilmu itu sahaja sudah pasti tidak memadai untuk membolehkan kita mendapat haji yang mabrur.
Kita mesti menguasai ilmu dari semua segi pada banyak aspek lain. Tentulah ilmu-ilmu meliputi segala perkara yang perlu bagi seorang insan muslim dan mukmin. Ilmu akidah dan tauhid. Ilmu berkaitan rukun Iman dan rukun Islam. Ilmu solat, Ilmu puasa dan lain-lain bagi menyempurnakan peribadatan khusus. Begitu juga ilmu-ilmu dalam hal muamalat dan sebagainya. Kita haruslah mendapat sebanyak mana ilmu fiqh untuk menjamin bahawa ibadah dan urusan harian adalah betul.

Ilmu-ilmu ibadah khusus ini seperti ilmu haji dan ilmu solat ini sudah tentu tiada yang lebih baik melainkan mengikuti sunnah nabi. Ilmu mengikuti sunnah nabi pasti bersandarkan dalil terkuat pada syarak iaitu hadith-hadith Nabi. Hadith-hadith sahih.    

Adalah berbahaya sekiranya kita beramal haji secara mengikut sahaja orang lain. Jika yang diikuti itu betul, betullah. Jika yang diikuti itu salah, salahlah. Setiap seorang insan muslim dan mukmin sepatutnya ada kemampuan untuk mencari dan mendapatkan maklumat yang sahih, dan membuat pilihan dan keputusan yang betul dari pelbagai maklumat yang didatangkan.  Pernah dikisahkan tentang adanya jemaah-jemaah haji yang mengusap tiang dan dinding dengan kain selendang/serban di maqam Nabi dan Masjid Nabawi dengan kepercayaan ia perbuatan yang betul. Mereka mengikut sahaja perbuatan beberapa ‘syeikh’. Padahal syeikh-syeikh itu adalah pekerja yang bertugas mengelap dinding, tiang dan sebagainya dalam masjid Nabawi bagi tujuan pembersihan. Mereka terpersona sekadar melihat janggut tebal dan panjang syeikh-syeikh itu, lalu terpedaya.

Bertanyalah kepada orang yang berilmu, sehingga anda mengerti. Kerana Allah telah berfirman, ertinya : “Maka bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui”. Rasul juga telah bersabda : “Barangsiapa yang dikehendaki Allah untuk di kurniakan kebaikan,  maka ia nescaya memberi kefahaman dalam agama”.

Matlamat dan Manfaat. Destinasi dan Impian Hati

Menuju Allah melalui peribadatan haji tentulah bermatlamatkan mencari keredaan Allah Azza Wa Jalla. Destinasi impian bagi mendapatkan janji-janji yang dijanjikan. Inilah antara yang dijanjikan:-

1. Syurga Sebagai Manafaat Tertinggi
Hadith Sahih. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Dan Haji mabrur tiada balasan melainkan syurga” [4]

2. Sesuci Tanpa Dosa Ibarat Anak Yang Baru Dilahirkan
Hadith Sahih. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang mengunjungi rumah ini (Kaabah) kemudian tidak rafath (bercakap lucah) dan tidak berbuat fasik, maka akan kembali (bersih daripada dosanya) seperti dia baru dilahirkan oleh ibunya.” [5]

3. Ganjaran Pahala Solat Yang Berganda
Daripada Jabir bin Abdullah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu solat di masjidku lebih afdal seribu kali daripada solat di masjid-masjid yang lainnya kecuali Masjid al Haram, satu solat di Masjid al Haram lebih afdal daripada seratus ribu kali solat di masjid-masjid yang lain” [6]

4. Pahala Jihad Fi Sabilillah
Pahala ibadah haji disamakan pahala jihad fi sabilillah untuk orang yang lemah dan wanita. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :“Jihadnya seseorang yang sudah tua dan anak-anak, orang lemah dan wanita adalah haji dan umrah” (HR Nasai, sanad hasan) Diriwayatkan pula oleh Ummu Salamah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Haji adalah jihad semua orang yang lemah.”

5. Nikmat Rindu Serindu-Rindunya. 
Ini. Saya ada-adakan sendiri. Tiada nas saya ketahui. Sekadar rasa manusia. Selepas kembali ke tanah air, ke sisi keluarga, dari masa ke semasa atau disuatu ketika, sesudah beberapa lama berlalu, anda kemudiannya pasti merasa rindu. Rindu kepada tanah suci dan bumi nabi.  Mekah dan Madinah. Rindu, serindu-rindunya.

Ini adalah sebahagian daripada perbahasan ilmu di dalam salah satu bab, buku haji (2013) bertajuk Baitullah Aku Datang, Terbitan Karangkraf - karya seorang peguam sivil, syariah. Terdapat kupasan kritis dan argumentatif beberapa isu yang beliau hadapi dan perhatikan semasa ibadah haji. Antara isu menarik, sensisitif dan kontroversi ialah isu kebal tanpa syahwat, solat diudara, wanita solat didepan lelaki dibelakang, kerana cinta (kisah ttg hajaral aswad), mahu susah atau muassasah dan lain-lain. 

(Ingin membeli sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my) atau cari di kedai buku.. kedai buku  di Mydin Melaka ada... 

 http://hisham-ahmad.blogspot.com





[1] Rujuk HR Muslim
[2] Surah al-Baqarah 2: 197

[3] HR Bukhari. [No. 5831 Kitab 60. Doa]
[4] Rujuk HR Bukhari, HR Muslim

[5] Rujuk HR Bukhari
[6] Rujuk HR Ahmad

No comments:

Post a Comment