Social Icons

Pages

Friday, August 2, 2013

Ujian Cinta, Siapa antara kita yg diselamatkan?

cinta golf- punah masa!
Terdapat satu kisah benar dalam majalah Reader Digest[1], catatan peribadi Dr. Micheal J. Collins, seorang Doktor Pakar Bedah (Orthopaedic).  Ketika bertugas di Mayo Clinic di Minessota  antara tahun 1979 – 1983 seorang pesakit, Jason Withers (36 tahun) bekerja sebagai tukang kayu telah terpotong kesemua 4 jari pada tangan kanannya dengan gergaji circular.  

“Awak mesti tolong saya, Dr.” Jason merayu kepda Dr. Micheal di bilik ER.  “Saya perlu untuk mampu bekerja”. Jason mempunyai isteri dan beberapa orang anak. Dia perlukan jarinya untuk bekerja.

“Bolehkah Dr. cantumkan semula jari saya,” katanya dengan mata bergenang air mata.  Kes ini didapati berpotensi untuk pembedahan.   Bagaimanapun Jason didapati seorang perokok pada kadar lebih satu kotak rokok satu hari.  Dr. Micheal mengatakan dia mesti berhenti merokok serta-merta.  Merokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan tetapi di dalam kesnya, merokok menyebabkan sekatan pada aliran salur darah.

“Diandaikan pembedahan berjaya, kesemua jari dapat dicantum dan darah dapat mengalir kepadanya, semua akan menjadi sia-sia jika awak merokok walau sebatang. Salur darah akan tersekat dan jari- jari itu akan mati,” kata Dr. Micheal kepada Jason. Jason mengeluar kotak rokok daripada poketnya dan mencampakkan ke lantai dan berkata. “Dr. jika awak semua dapat cantumkan semula semua jari saya, saya tidak akan merokok lagi!” 

Pembedahan kemudian dilakukan. Hari keempat, tanda kejayaan mulai kelihatan. Jari-jari yang asalnya gelap dan seperti ‘mengarat’ kini berwarna sedikit merah jambu dan lebih sihat. Pada hari ke 10, Jason dibenarkan peluang. Hari esok, selepas Jason pulang, Dr. Micheal menerima panggilan cemas daripada isteri Jason yang berkata “Jari-jarinya kelihatan teruk. Kena periksa segera, Doktor.

Setelah memeriksa kesemua jari itu, Dr. Micheal menghela nafas dan berkata perlahan, “Maafkan saya, Jason atas apa yang berlaku. Tiada apa lagi dapat kami lakukan untuk selamatkan jari-jari itu”. Jason hanya diam tunduk membisu merenung lantai lantas menyebab terlintas difikiran Dr. Micheal bahawa Jason telah melakukan suatu yang bodoh, lalu dengan perlahan Dr. Micheal bertanya; “Jason, katakan bahawa awak tidak merokok, kan?”

Jason mendiamkan diri tetapi ia memberi jawapan yang jelas. Dia telah merokok. Dr. Micheal merasa kecewa dan marah, mengapalah bodoh sangat lelaki ini, merosakkan dirinya sendiri. Segala yang telah dilakukan untuk Jason hanya membuang masa.  “Oh, Jason, apalah yang telah kau lakukan pada dirimu sendiri.” 

Pembedahan semula terpaksa dilakukan beberapa kali dalam beberapa hari hanya sekadar untuk membersihkan dari kesan kerosakan yang berlaku. Kesemua 4 jari itu tidak dapat diselamatkan. Jason meminta maaf kepada Dr. Micheal.  “Saya menyesal dr. saya tahu kini saya cacat, tapi saya janji saya tidak akan merokok lagi walau sebatang.” Jason menyesal, tetapi  sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Kesimpulannya, kegagalan pesakit itu (Jason) mentaati arahan doktor pakar itu telah menyebabkan kesan kerugian dan kesan buruk kepada dirinya sendiri tetapi tidak menjejaskan doktor itu. Diri pesakit itu sendiri yang menderita. Doktor tidak rugi apa-apa. Doktor itu tidak terjejaspun, reputasinya kekal ternama.  

Begitulah cinta Allah. Kecintaan dan ketaatan penuh kepada Allah s.w.t. adalah tidak lain bagi kebaikan manusia sendiri bahkan kebaikan itu mengatasi semua kebaikan yang lain kerana ia merupakan kebaikan bagi dunia dan akhirat manusia. Jika manusia itu tidak mencintai dan tidak mentaati Allah maka kerugian itu adalah bagi dirinya sendiri. Dalam ertikata lain, seorang yang mencintai Allah dan melakukan kebaikan di dunia ini, maka manfaat kebaikan itu dikembalikan kepada dirinya sendiri. Dia sendiri akan mendapatkan kebaikan atas kebaikan yang dilakukan itu. Manakala, setiap maksiat dan dosa yang dilakukan tidak sedikitpun menjejaskan dan tidak langsung memberi kesan kepada keagungan dan kebesaran Allah s.w.t sebaliknya ianya sekadar merugikan, menjejaskan dan merosakkan diri seseorang pelaku dosa dan maksiat itu sendiri. Bermakna keburukan dosa dan maksiat itu akan menimpa dirinya sendiri. Inilah janji Allah yang disebut di banyak tempat di dalam al-Quran.

Ujian Cinta

Namun kita sedar cinta kita sentiasa diuji. Allah juga yang menguji cinta kita. Setakat mana ketulenan dan kesucian cinta kita. Sekuat mana kita dapat mempertahankan cinta kita. Adakah sekuat cinta lelaki hebat bernama Yusuf dalam menangkis godaan gelora cinta bernafsu wanita jelita (Zulaikha)? Adakah cinta kita dapat diselamatkan seperti cinta pemuda yang hampir menzinai sepupunya tetapi terselamat atas rasa takut berdosa kepada Allah seperti diriwayat di dalam surah al-kahf?   Adakah cinta kita seteguh cinta ibu yang merelakan diri terjun bersama anak kecilnya ke dalam api membakar seperti direkod di dalam hadith sahih mengenai kisah Ashabul ukhdud, dari wahyu surah Burj?  

Keteguhan cinta tidaklah lagi terbukti selagi belum diuji. Hanya bila diuji, baru kita ketahui. Kita mesti sentiasa berusaha meneguhkan cinta kita sebagai bukti kesungguhan cinta kita. Namun sedarilah, biarpun seteguh mana cinta kita yang kita rasa, hakikatnya ia masih lemah, rapuh dan sentiasa berisiko. Cinta itu boleh tergelincir, tercemar dan ternoda tetapi sekiranya kita bersungguh pada usaha dan ikhlas di hati, in sya Allah cinta kita diselamatkan saat diuji.  

Ketahuilah kekuatan cinta Yusuf juga tercabar tetapi diteguhkan kembali oleh Allah setelah Yusuf ‘melihat tanda dari Tuhannya’. Cinta pemuda yang hampir menzinai sepupu sendiri yang sangat dicintai dalam keadaan yang hampir sangat untuk terlanjur pasti akan terlanjur jika tidak kerana dia tersentak, tersedar dan menggigil atas kata-kata sepupunya, “takutlah kamu kepada Allah untuk mengambil apa yang bukan hakmu”. Manakala keyakinan cinta si ibu tadi yang bersedia untuk terjun mati ke dalam panas api demi mempertahan akidah suci menjadi goyah apabila menatapi wajah anak kecilnya itu tetapi kembali utuh apabila anak kecil itu bersuara; “wahai ibuku, sesungguh kita dipihak yang benar.”

Siapa yang menggerakkan gadis itu untuk mengeluarkan kata sehebat itu dalam situasi itu? Siapa yang mencampakkan rasa takut yang amat sangat di dalam diri pemuda itu? Siapa yang melakukan keajaiban sehingga bayi kecil dapat berkata-kata dan menenangkan ibunya? 

Ketahuilah, kesemua cinta mereka diselamatkan oleh Allah saat mereka diuji. Cinta mereka jujur dan ikhlas tetapi tetap memerlukan Allah. Allah yang memberikan ujian, Allah juga yang memilih untuk menyelamatkan sesiapa yang diuji-Nya”.  

Ujian Besar Bagi Kita

Begitulah juga bagi diri kita.

Cinta kita akan selalu diuji. Ujian pelbagai bentuk, rupa dan keadaan. Ujian kecil, sederhana dan besar. Apabila tiba masanya, suatu ketika nanti, logik mencadangkan bahawa kita akan diuji dengan ujian yang berat dan besar yang ketika ianya berlaku ia benar-benar menguji kita. Ia benar-benar mencabar kesabaran dan keimanan kita.  Ketika itu  barulah kita tahu setakat mana ketulinan dan kekuatan cinta kita. Adakah kita akan melepasi ujian itu?

Semoga, sepertimana mereka tadi, kita berharap cinta kita juga akan diselamatkan Allah s.w.t saat kita diuji.

Untuk itu, sebagai syarat kepada harapan untuk cinta kita diselamatkan, kita mesti berjihad, berjuang dan berusaha (to struggle and strive) dalam membuktikan cinta kita kepada-Nya. Allah s.w.t. telah  berfirman di dalam al-Quran yang mulia, melalui surah Ankabut  29:69:
 ƒ 
 Bermaksud; “dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Perjuangkan cinta kita kepada-Nya, setinggi yang terdaya. Jika tidak mampu, khusus bagi kebanyakan kita, bersyukurlah pada tahap cinta manusia biasa. Cinta yang mengharapkan pahala, cinta yang meminta memasuki syurga dan cinta yang meminta dijauhkan dari neraka.  .

Semoga dengan itu  Allah membalas cinta kita. Sesungguhnya apabila Allah membalas cinta kita… maka telah sempurnalah impian cinta kita.

Bermaksud “……dari Abu Hurairah dari Nabi s.a.w. baginda bersabda: "Apabila Allah mencintai seorang hamba, maka Dia akan menyeru Jibril; "Sesungguhnya Allah mencintai si hamba itu, maka cintailah dia. "Maka Jibril pun mencintai orang tersebut, lalu Jibril menyeru kepada penghuni langit; "Sesungguhnya Allah mencintai si hamba itu, maka cintailah orang itu" maka penduduk langit pun mencintai orang tersebut, hingga akhirnya ditetapkan bagi orang itu untuk diterima di bumi.”[2]


[1] Reader’s digest-November 2005 – ms 116 Crash Course by Dr. Micheal J. Collins


[2] Sahih Bukhari. Kitab Adab.


No comments:

Post a Comment