Social Icons

Pages

Thursday, July 17, 2014

Sudah Tiba Masa nya.................


[Tulisan ini adalah saya tujukan untuk orang kampung saya  melalui Buletin Ramadan Edisi 2 di mana saya adalah editornya juga selaku S/U Surau. Siapa sudi ..silalah baca. ]

Seorang yang dihormati dikampung ini ada menyuarakan rasa kerisauan tentang masa depan generasi akan datang di Kg Bukit Kechil ini?

Jika saya tidak silap dalam memahami, bahawa keprihatinan beliau merujuk kepada taraf pekerjaan, ekonomi dan sosial kehidupan anak-anak kita pada masa-masa yang akan datang.Ya, saya berkongsi rasa yang sama. Lalu saya ingin meluahkan sedikit rasa hati, buah fikir tapi dengan harapan semua berhati terbuka membacanya kerana ia tulus dari hati saya.Lama dahulu selepas SPM dan dalam cuti-cuti pengajian, saya pernah bekerja sementara di KFC, Parkson, Kilang  Plastik dan Kilang buat zink & proses besi dan lain-lain. Ketika itu, di Sungei Way, Selangor. Tak sabar mahu merasa mempunyai wang sendiri. Walaupun wang gajinya terlalu kecil berbanding tokey kilang, tapi kali pertama dapat gaji, rasa kayanya seperti tokey kilang.

Saya menggunakan sijil SPM semasa mohon kerja di kilang plastik. Saya diterima, kemudian dilatih untuk jadi penyelia bagi memantau 3 bahagian, pembuatan plastik daripada biji-biji kecil, pengukuran dan penghasilan plastik yang pelbagai dan bahagian printing. Ketika itu saya dapati kebanyakan pekerja bangsa saya membuat kerja khusus yang sama sepanjang hari dan diakhir bulan mendapat gaji. Kerja mereka tidak memerlukan kemahiran yg tinggi atau kemahiran mereka terlalu khusus bagi kerja itu menjadikan, pengalaman kerja seperti itu sukar digunakan ditempat lain. Tentulah keadaan ini menyukarkan mereka mendapat gaji lebih tinggi atau peluang kerja lebih baik ditempat lain berasas kemahiran yg sama, yg ada. Ketika itu saya tidak dapat membayangkan untuk kerja sebegitu bagi tempoh lama dengan  gaji yang dinaikkan sedikit demi sedikit setiap tahun.

Fitrah kerja dunia, apabila kita mencari kerja tetapi berbekal SPM atau STPM maka lazimnya kadar gaji ditawarkan tentulah lebih rendah berbanding graduan-graduan universiti. Namun ia tidak bermakna tidak boleh berjaya dan tidak boleh kaya. Peluang masih luas, hanya perlu usaha keras & diizinkan-Nya.

Bagaimanapun. Bagaimanapun, bagi masyarakat melayu khususnya seperti di kampung kita, jalan paling baik dan paling mudah membina kejayaan ialah melalui pendidikan, kejayaan pada pendidikan sebaiknya pada awal pendidikan.  Bermula dari UPSR, UPKK, SIA hinggalah PMR dan seterusnya…SPM.  Peringkat UPSR adalah paling penting maka umur anak-anak selewatnya 7 tahun telah sewajarnya mula dirancang untuk ke arah kejayaan. (Umur lain tidaklah terlambat).

Memang akan ada beberapa anak yang direzekikan untuk mampu belajar sendirian, mampu bangkit sendiri hingga  berjaya dalam pelajaran. Namun kebanyakan anak khususnya yang lelaki akan cenderung dan memilih kepada keseronokan dan hiburan seperti bola, games, bermain, dan lain-lain aktiviti yang akhirnya menyebabkan mereka tidak lagi fokus pada pelajaran lalu ketinggalan, markah mulai merosot,  keputusan no kelas menurun.

Mulanya ketinggalan dan kemerosotan sedikit, tapi biasalah, sikit-sikit lama-lama  jadi bukit. Asalnya masa darjah satu, kelas no satu, periksa no 3 tapi pengaruh kawan, hiburan dan kurang kawalan akhirnya peperiksaan akkhir tahun jatuh no. 30, darjah dua pindah kelas ke 2… begitulah dari satu tahun ke satu tahun, hinggalah akhirnya pada darjah 6, anak ini merasakan bahawa itulah yang layak baginya, setakat cukup makan, cikgu pun dah tak letakkan harapan, ibubapanya pula berkata  dalam hati “itulah tahap yang kau mampu ‘pergi’, esok kau kerjalah apajua.. .”

“Janji halal dan berkat.” Betullah tu!

Kerja dimana pun tidak mengapa. Kerja di kilang adalah baik … tapi kalau kita dapat kerja di dalamnya sebagai jurutera kenapa perlu kerja sebagai operator? Kerja di Tesco dan mydin tidak mengapa, tapi kalau boleh jadi manager kenapa perlu jadi cashier? Tempat yang sama, gaji yang  jauh berbeza. Begitu juga, kan lebih bagus jadi guru, ustaz, doktor, pensyarah iaitu kerja-kerja yang perlukan ijazah.

Apapun status kerja kita sekarang sama ada sebagai ibu,bapa,abang dan kakak… kita mahukan anak-anak/adik-adik dan keturunan kita jauh lebih berjaya daripada kita. Kita perlu perlu bekorban demi generasi masa depan. Macam atuk moyang kita tanam pokok durian masa umur tua, mereka tahu mereka takkan dapat merasai buahnya… jadi untuk siapa, melainkan untuk dinikmati anak cucunya. Alangkah mulia hati mereka!

Begitulah ibubapa dan abang kakak. Mereka perlu berkorban wang, masa dan tenaga mereka. Hobi melepak, mengeteh, main dam  antara yang mungkin perlu dikurangkan, jika tidak ditinggalkan. Abah dan abang yang merokok pastikan anak dan adik yang belum merokok… tidak akan merokok  Ketahuilah, Padahal hakikat sebenarnya semua anak itu sihat dan cerdas pemikirannya. (Hanya satu dua yang dianggap kekurangan kerana telah ditakdirkan). Tapi hukum sunnahtullah … siapa yang berusaha dia akan dapat. Anak-anak yang tidak berusaha … tidak akan dapat. (Berjaya).

Namun saya tidak suka jika anak-anak sekadar berjaya dengan pelajaran tinggi lalu menjawat tinggi tetapi ingkar agama, tak cinta agama seperti suka berhibur dan berpoya-poya, rasuah, riba, minum arak, tamak, tak solat, malas solat dll.  Ada pula kategori pandai dan bergaya tapi fikiran dah menyeleweng dari agama. Fikiran terlalu liberal, terlalu sosial, pesimis atau buruk sangka dengan amalan islam, dianggap kuno dan ketinggalan, tidak suka solat, tidak suka hijab, tidak percaya hudud. .

Ada anak melayu belajar sampai keluar negara,, kemudian kahwin dengan mat salleh. Tak salah apa! Dia kahwin sama jantina.. lelaki dengan lelaki. Baik bulan posa, kalau tidak saya tulis namanya di sini. Ada tu, anak gadis melayu yg sgt pandai otaknya, belajar ke luar negara di usia muda remaja, agaknya dah terlebih pandai kepala otak, terus jadi berkeladak, akhirnya .. di internet menawarkan khidmat seks dengan bayaran. Anggap benda laknat itu satu kebebasan kemanusiaan. Lu orang yang tak terima.. memang manusia kelas purba!. Kalau saya sebut namanya … takut ada yg tersendawa. Malu pulak orang ingat kita tak posa. (Kalau takpercaya nak bukti boleh jumpa saya…)

Jika jadi manusia kategori  di atas ini, lebih baik kita biarkan anak-anak kita susah di kampung ini, kais pagi makan pagi, tapi masih taat perintah illahi.

Sebenarnya, kini, anak-anak kita berpeluang luas untuk cemerlang di dalam akademi dengan pengisian ilmu agama didada. Pastikan mereka cemerlang dalam UPSR dan UPKK atau SIA dan halakan mereka ke sekolah menengah agama berkualiti seperti Imtiyaz, Ulul albab, chenderah, sultan mohammad sebagai antara contoh yang ada akademik dan agama, juga ada hafazan. Kita mahu lahirkan anak-anak jurutera, doktor, pensyarah, banker, businessman, arkitek, pakar senjata, pakar perang, pakar computer dan sebagainya yang hafaz al quran, faham sunnah dan faqih agama. Kelak mereka berjiwa agama yang kuat yang dalam kesibukan masih tetapi mendahulukan bersolat. Gaji berpuluh ribu sebulan tetapi setiap bulan, sebahagian besar diinfaqkan. Begitulah… sebahagian.

Itulah yang negara ini perlukan. Itulah yang agama ini perlukan… maka itulah yang perlu ibubapa Kg Bukit Kecil lakukan iaitu menyediakan generasi muda dan generasi pewaris akan datang untuk mendepani cabaran masa depan yang penuh tohmah dan fitnah. Demi Tuhan yang nyawa-nyawa kita di dalam genggaman-Nya… entah apa jenis virus yang akan menyerang umat Islam…  bahang-bahang fitnah dajjal sudah banyak berlaku sebelum keluar Dajjal sebenar. Fitnah murtad, fitnah fikrah sesat, kekeliruan dalam agama, pembunuhan2, budaya gila hiburan, seks rambang entah apa lagi… Saksikan pula realiti bagaimana umat Islam ditindas di semua bahagian diseluruh dunia seperti di Syria, Myanmar, India, Sri Lanka, Afrika, China, Thailand dll. Juga konflik dalaman di Mesir, Iraq, Afghanistan. Apakah kita yakin negara ini akan selamat selama-lamanya? Kita berjiran dengan singapura yang mempunyai hubungan kuat dengan Israel, Thailand yang menindas umat Islam negaranya, Filipina yang mungkin masih ‘ada hati’ dengan Sabah.

Justeru marilah kita fikirkan dan usahakan bersama untuk mencapai matlamat menghasilkan generasi muda yang hafal quran, faham agama dan cemerlang akademik yang kemudiannya bekerja pada sector penting yg dapat menyumbang kepada kemajuan umat dan meninggikan agama. Ia mungkin mengambil masa 5 tahun, 10 tahun atau mungkin lebih. Tapi langkah pertama mesti bermula sekarang.

Benar, hasilnya mungkin diperolehi selepas kita mati. Tapi bayangkankan orang-orang kg. Bukit Kecil ketika itu adalah majoriti yang mempunyai pelbagai kerja yang berpendapatan tinggi, berjawatan penting pada pelbagai sektor namun berjiwa cinta agama, berdada ilmu agama, berminda faqih agama,  berhati cintakan orang miskin, berakhlak ‘memberi’ dan  sentiasa berdakwah menyebar luas agama Allah.

Pelbagai program yang sering dilakukan di dalam kampung seperti ceramah dan kuliah,  bacaaan yasinan ,kenduri tahlil, berzanji, qasidah, jamuan hari raya, perarakan maulud nabi  hinggalah kepada aktiviti-aktiviti jamuan raya, aktiviti berkompang, pertandingan memancing, futsal, bola dan banyak lagi. Ia adalah program baik-baik dan boleh diteruskan tetapi selain kuliah dan ceramah, program-program itu tidak termasuk dalam senarai kerja-kerja utama orang beriman dalam usaha mencapai tujuan dan matlamat yang dinyatakan. Di atas program-program itu, kita terpaksa, mahu tidak mahu terpaksa melakukan program-program pada senarai utama tugasan yang saya akui susah, penat dan payah. Tetapi itulah hakikat kejayaan.

Ketahuilah .. . Kejayaan itu mempunyai peraturan-peraturannya. Maka penuhilah peraturan-peraturan itu. Itulah fitrah kejayanan menurut sunnahtullah dan syariatullah.   Kita boleh jadi orang baik beriman dengan memenuhi syariatullah tetapi kita perlu memenuhi hukum sunnahtullah (bersama syariatullah) untuk menjadi umat islam cemerlang dunia dan akhirat.  (Contoh mudah, kita perlu kuatkan iman tetapi kita juga perlukan perkasakan kekuatan perang. Lihat Syria).

Tetapi sunnah kejayaan atau peraturan kejayaan menuntut kerja keras. Jalan bersungguh-sungguh, tiada jalan singkat. Jalan mujahadah … seperti dikehendaki Allah.  

Marilah kita memberi sokongan kepada kepimpinan Tuan Sidang kita yang mengharapkan sokongan setiap ibubapa di kampung ini. Tidak termampu untuk beliau lakukan seorang diri. 

Marilah kita melaksanakan program pendidikan yang pelbagai, progresif, kreatif dan inovatif bagi diri kita, keluarga dan keturunan kita supaya berilmu, faqih dan taat. Kita senang didunia dan bahagia diakhirat

Sebagai idea dan cadangan pertama, bagaimana kalau balai raya  di depan surau kita jadikan
sebagai pusat sumber ilmu. Markas operasi pendidikan kita. Tidak kisah lah apa nama diberi, atau perlu dirasmi.

Kita cat kita cantikkan luar dan dalam, kita hiasi bagi seronok mata memandang, kemudian kita lengkap dalaman, kita beli kerusi dan meja belajar, kita beli papan skrin putih yang besar, meja dan kerusi untuk guru, alatan tulis, projector, big screen tv, big screen computer atau apa lat canggih  sahaja yg dapat membantu. Kita beli cd belajar bahasa inggeris dan bahasa arab dll. Kita buka kelas petang, malam dan mingguan..atau mungkin 24 jam seperti 7-11. 

Kita cari sumbangan wang, tenaga. Takkan tiada sukarelewan pada agama… Kita ada orang –orang  muda yang sering solat Jemaah tetntu mereka faham besarnya saham akhirat atas kerja amal - Hazrikh, Fuad, Yusuf, Najib, banyak lagi yang saya kenal rupa tapi lupa atau tak tahu nama.

Mungkin pelan pertama ialah kita dapatlah nama anak anak bakal calon UPSR bagi tahun ini  dan kita buat perancangan bagi yang berumur 7 tahun ke atas.  Kita buat kelas tuisyen, motivasi .. dll.

Mungkin sebagai cadangan kelas pertama, kita buka kelas tahfiz untuk anak kecil dan remaja. 3-5 kali seminggu. Pada waktu-waktu ditentukan. Setiap kita wajar  memasukkan sebanyak ayat Quran di dalam dada.. menghafaz sebanyak yang terdaya.

Sebelum kita mampu membiayai ustaz berkelayakan, saya sudi mengambil tugas dan peranan. Saya tiada pengalaman rasmi hanya melatih 4 anak lelaki sendiri yang telah dan sedang menghafal beberapa surah seperti sajadah, mulk, lokman, insan, waqiah, ar-rahman, juz amma, kahfi, al-baqarah, ali-imran dll.
Saya juga bukanlah seorang hafiz (30 juzuk) tetapi masih berusaha ke arah itu walau mengambil masa seumur usia. Selepas itu bolehlah kita fikirkan dari masa ke semasa apakah pengisian berterusan yang perlu  dipelbagaikan dan diberikan.

Seperi saya tekankan selalu kepada para ibu,  anak-anak dan cucu cucu kita perlu hafal Quran, baca  makna bacaan, baca sebahagian tafsiran dan bertadabur iaitu memahami apa yang dimaksudkan. Untuk mendatangkan cinta dan syok kepada alQuran , mereka mesti merasai hebatnya dan ajaibnya al Quran. Justeru mereka mesti diberi merasai mukjizat Quran. (Saya telah tontonkan bgmana hebatnya mukjizat bahasa pada ayat kursi tempohari!)

Saya pernah bertanya bagaimana kitab Quran yang kita baca itu., adalah kitab yang mengandung ayat-ayat Quran dari Allah bukan dari hasil rekaan manusia, bagaimana ia dikatakan kitab panduan umat manusia, kitab yang  ada semua perkara. Kitab hebat kita mukjizat. Kita yakin dilisan.. dan memaksa keyakinan dihati.. tetapi adakah keyakinan kita mampu dibukti. Buktikan! Jawapannya….  tidak tahu, tidak mampu.

Sekadar ini dulu.. maafkan atas apa yang dikatakan. Tiada niat serong melainkan sekadar mahu memberi pandangan untuk kebaikan. Wasalam.Wallahu alam.
Editor Buletin cum S/u Madrasah