Social Icons

Pages

Wednesday, April 30, 2014

Tuesday, April 29, 2014

Filem Bagus Untuk Tontonan Sekeluarga -Alangkah lucunya negeri ini!




meminggirkan diri, terpinggir atau dipinggirkan!
“Setelah aku belajar bertahun-tahun sampai dapat sarjana dalam pendidikan,  baru aku tahu pendidikan itu tidak berguna!” luah seorang sahabat kepada sahabatnya akibat pelajaran tingginya tidak menatijahkan habuan kerja, lalu kebanyakan masa dihabiskan dengan bermain daun terup. 

“Pendidikan itu berguna!”, balas sahabatnya (hero filem).

 “Hanya setelah bertahun-tahun dalam pendidikan baru kau tahu pendidikan itu tidak berguna!”… sambungnya lagi sambil tersenyum.

Filem ini memaparkan kisah segolongan kanak-kanak yang ‘terpaksa’ melakukan kerja haram bagi ‘survival hidup. Mereka kemudian ditemukan dengan seorang pemuda berpelajaran (hero filem) tapi masih menganggur. Lalu mereka memasuki perjanjian atau kontrak persetujuan tertentu yang menarik. Atas khidmat yang diberi pemuda itu, dia dibayar bayaran persen dari wang haram hasil kegiatan haram kanak-kanak. Hero ini berhasrat murni untuk mengubah ‘nasib’ hidup kanak-kanak tadi dari hidup dalam kegiatan jenayah kepada bisnes kecilan. 

Dua watak lain di bawa si hero untuk membantu tugas ‘pendidikan’ dan ‘reformasi’nya. Sahabat ‘educated’nya tapi kaki buang masa main terup.  Seorang gadis yang asyik menghabiskan masa menonton TV dan ‘cuba nasib’ bagi program kuiz yang menawarkan ganjaran wang.  Mereka kemudian membawa balik pendapatan daripada sumber wang haram. 

Saksikan ujian dan cabaran hero untuk mendidik kanak-kanak yang ibarat ‘buluh betung’. Kebijaksanaan dalam mendidik. Keinginan sebahagian kanak-kanak untuk berubah dan cabarannya.  Adegan-adegan menarik antaranya apabila si hero tertelan air liur apabila melihat bapanya menyuap juadah yang dibeli olehnya dari sumber wang haram. (2) bapa-bapa (orang surau) merasa kecewa apabila tahu sumber haram dibawa balik anak-anak (3) Mereka kemudian berhenti mendidik dan kembali kepada aktiviti lazim. (4) adegan kanak-kanak yang cuba berniaga dikejar penguatkuasa dan dialog sindiran kepada kerajaan dan lain-lain. 

Terdapat banyak sentuhan menarik yang boleh ‘menyentak’ kita dan anak-anak kita.
Terdapat persoalan agama yang boleh dibincangkan :-

   (1)    Apakah status pendapatan hero dan 2 pendidik tadi dalam keadaan mereka tahu bahawa sumber pendapatan mereka dibayar dari wang haram?
   (2)    Apakah kedudukan ibubapa atau keluarga yang tidak sedar dan yang sedar mereka memakan makanan dari pendapatan tadi? Status  halal dan isu keberkatan?
   (3)    Apakah terdapat ukuran antara 2 kerja yang berdosa atau antara dua kerja mulia  yang akhirnya membawa sahabat hero kembali kepada aktiviti lazimnya main terup atau berjudi?
   (4)    Apakah yang dapat kita fahami daripada keadaan di mana sebahagian kanak-kanak memilih untuk berubah (baik) dan sebahagian kanak-kanak masih memilih untuk meneruskan aktiviti berdosa? 
    (5) Dan akhirnya –dipaparkan tentang peruntukan undang-undang (mungkinkah perlembagaan Indonesia) menyebut“fakir miskin dan anak-anak yang terlantar dipelihara oleh negara.- Artikel 34 item 1 UUD 1945” 

akhirnya kita akan dapati bahawa: "alangkah tidak lucunya negeri ini!"

Maaflah, ulasan ini dibuat secara ‘nak cepat.’ Berminat, tengoklah dalam web –al-ahkam. Oh lupa tajuk filem itu- (filem motivasi)- “alangkah lucu negeri ini!” 

(http://al-ahkam.net/home/tonton-filem-penuh-pengajaran-alangkah-lucunya-negeri-ini-2010)

Sambil menonton, bawa-bawalah berfikir…

… isu keadilan sosial, hak golongan miskin dan kurang upaya dan persoalan agama serta jangan sekali lupa… tanggungjawab kerajaan dan akhirnya untuk 5 tahun sekali, tanggungjawab kita dalam memilih kerajaan. Hehehe

Perhatian –bagaimanapun untuk maklumat kedudukan harta atau sumber haram di bawah ini, boleh dapatkan kefahaman awal atas pandangan/jawapan Dr Maza di bawah ini atau dalam blog saya. Bagaimana dapatkan kefahaman baru/lain kerana fakta isu dalam filem itu mungkin kita rasa berbeza.  hisham-ahmad.blogspot.com

 Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh tentang hukum menerima sumbangan dari hasil haram. Saya pun baca kenyataan Dr Asri yang menyatakan tidak mengapa selagi traksaksi itu atas bantuan, bukan judi. Cumanya, masyarakat kita keliru, ada kata boleh dan ada kata sebaliknya. Jika haram, apa hukum pula kakitangan kerajaan yang menerima gaji dari kerajaan yang mempunyai pelbagai sumber termasuk hasil cukai judi dan arak? Bagaimana pula anak-anak yang mendapat wang dari bapa terlibat dengan wang haram seperti riba, rasuah dan seumpamanya? Bagaimana pula persatuan-persatuan yang mendapat bantuan dari syarikat atau bank yang mempunyai sumber haram seperti arak atau riba?

Mazlan, Pulau Pinang.

Jawapan Dr MAZA: Saudara Mazlan, perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya, seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut;

1. Seseorang yang menerima wang dari pihak yang lain hendaklah memastikan atas traksaksi apa wang itu diterima. Adapun urusan sebelum itu, yang tidak membabitkan diri penerima, maka itu tidak pertanggungjawabkan kesalahan itu ke atas penerima tersebut.
Umpamanya, kakitangan kerajaan yang bekerja dalam urusan yang halal dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber kerajaan dalam membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.

2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi.

Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.

3. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran (maksudnya):

“dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)

4. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi s.a.w di mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing, baginda memakannya. Ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka.
Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda. Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak yang sudah berubah baunya dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.

5. Rasulullah s.a.w tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi s.a.w, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:

“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Jika ia disedekah kepada Nabi s.a.w, baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di sini menunjukkan yang diambil kira transaksi antara pemberi dan penerima, bukan yang sebelum itu.

6. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:
“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675).
Dalam riwayat al-Baihaqi,

seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?. Jawab Ibn ‘Umar: “Ya” (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138).

7. Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya. Beliau menjawab:

“Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi s.a.w pun menerima hadiah dari yahudi, memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah s.a.w memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa”  (http://www.estgama.net/estgama_mag/full.php?id=82).

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika ditanya mengenai wang riba ke mana patut disalurkan, beliau menyebut antaranya:

“Sebenarnya, wang tersebut keji (haram) jika nisbah kepada orang mendapatkan secara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk fakir miskin dan badan-badan kebajikan…(penyelesaiannya) disalurkan ke badan-badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang terputus perjalanan, institusi-institusi kebajikan islam, dakwah dan kemasyarakatan..” (al-Fatawa al-Mu’asarah 2/411, Beirut: Dar Ulil Nuha).

9. Namun diharamkan jika membabitkan kezaliman secara jelas kepada pihak lain (hak al-‘ibad) yang mana dengan kita mengambil, akan ada yang teraniaya tanpa rela, seperti harta curi dan rompakan. Sabda Nabi s.a.w:
“Allah tidak terima solat tanpa bersuci, dan sedekah dari pengkhianat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini kerana penerimaan ini akan menyebabkan pihak yang sedang menuntut atau mencari hartanya yang dirampas atau dicuri terzalim. Melainkan pihak yang dizalimi itu redha. Jika dia menuntut, wajib dikembalikan kepadanya.

10. Walaupun harta atau pemberian dari harta yang haram itu boleh diambil, tetapi jika dengan pemberian itu menunjukkan secara jelas sikap bersekongkol dengan dosa maka ia diharamkan kerana redha dengan maksiat. Ini seperti seseorang membelanja makan dengan wang judi sempena kemenangan judinya. Atau dia mempromosi syarikat judi tersebut secara jelas dengan cara memberi bantuan, maka haram bersekongkol dengan kemaksiatan seperti itu.

11. Maka fakir miskin yang mendapat bantuan kerajaan atau pihak lain dari sumber yang asalnya haram, mereka HALAL menerimanya dan tidak perlu dikembalikan. Dengan syarat mereka tidak terlibat secara langsung dalam mempromosikan aktiviti haram seperti perjudian dan arak.
http://drmaza.com/home/?p=1238

Saturday, April 26, 2014

Kritikan Terbaik Atas Isu-dakwaan Pelik berkaitan Ustaz Don. Pohon Dibaca


Kritikan Ilmiah Ustaz Solleh, Penulis "Sehingga Quran terpahat di hati mu".

Saya rasa mungkin ramai yang telah bosan dengan isu ‘perselisihan’[1] diantara Ustaz Don dan Pn. Wardina, tetapi saya juga percaya lebih ramai yang masih prihatin dan ‘dahaga’ untuk mendengar dan meneliti kedudukan ‘ isu-isu agama bersifat pelik tapi serius’  yang merupakan isi dan asas kepada ‘perselisihan’ antara 2 selebriti itu.

Kita tidak lagi mempedulikan Wardina dan Ustaz Don,.  sebaliknya memfokuskan kepada isi-substantif kepada isu-isu agama bersifat pelik tapi serius iaitu ‘Isu Bani Tamim’, ‘isu ikhwanul muslimim’,  ‘telaga Baharut’ , “isu suluh rambut nabi’ dan lain-lain.  

Saya sedar kewujudan 2 golongan yang suka dan tidak suka, yang membela dan tidak membela, malah ada yang cuba melihat niat dan motif secara lebih jauh lagi, sehingga isu wahabi disauk-sekali.
Apa yang telah dilontarkan ke hadapan kita adalah lebih besar daripada diri 2 selebriti tersebut. Maka kita kini tidak lagi berminat untuk bicara tentang mereka…. kini ia bukan lagi tentang diri mereka, tetapi isu-isu agama bersifat pelik dan serius ini sewajarnya diberi perhatian dan dikaji demi kepentingan kepercayaan kita dalam beragama. 

Maka ketepikan segala sentimen peribadi dan fokus kepada isi isu-isu itu.

Mengapa penting:- Saya cuma mengharapkan kita semua bersifat ulul albab dalam menilai sesuatu dan adil dalam meneliti hujah dan keterangan. Isu-isu yang timbul adalah serius dan jika kita sama-sama teliti dan tangani dengan betul, ia boleh mengajar kita bagaimana untuk kita sebagai orang awam ‘berinteraksi dan respon atau bertindakbalas’ apabila isu-isu agama seperti ditimbulkan atau dilontarkan lagi kepada masnyarakat awam  di masa-masa akan datang. 

Walaupun saya anggap isu Baharut dan Bani Tamim boleh dianggap selesai, namun isu tentang Ikwanul Muslimin yang dilontarkan  oleh Ustaz Don sangat merunsingkan saya.. sangat merunsingkan.Saya ada beri gambaran keseriusan itu dalam penulisan saya sebelum ini tapi saya takuti ia tidak difahami oleh ramai. (hisham-ahmad.blogspot.com) 

Saya percaya ada penulisan lebih baik telah dibuat oleh Ustaz Solleh dalam blognya dan bahagian pertama telah dipaparkan dalam web ini. Please baca dalam “http://solleh-alfatimi.blogspot.com/2014/04/semoga-ustaz-don-maju-jaya-dalam-dakwah_24.html

Maafkan saya kalaulah saya masih mengharapkan kepada Ustaz Don;

“...berikan hujah atau akui salah.”

Inilah sebahagian yang saya petik dpd blog ustaz Solleh itu::- 

 FITNAH IKHWAN

Antara perkara sangat besar dan tidak boleh dimaafkan adalah tuduhan fitnah terhadap Ikhawanul Muslimin. Dalam video tersebut, Ustaz Don tidak menarik balik fitnah tersebut dan tidak memohon maaf terhadap Ikhwanul Muslimin. Ustaz Don menyatakan: “Maafkan saya jika saya sebut, antara yang paling ramai mengikut ikhwanul muslimin adalah mereka yang berpegang dengan fahaman salafi wahabi. Dan sudah ada ura-ura dikalangan mereka bila mereka dapat sahaja pegang mesir, pertama sekali yang mereka nak mansuhkan adalah pendidikan university al-Azhar. Tuan-tuan tahu tak benda-benda tu? Yang kita duk melenting at Ali Jumuah ni! Ooooh mana boleh, kita tak tahu, tak khabar. Dia tak boleh nak khabarkan kat kita, dia ada rancangan dia. Dia ada plan dia. Tak beritahu plan tu adalah plan. Not telling the plan is plan. Boleh faham tak? Yang mana lagi besar?” [Video penuh tentang Ikhwan]

Ini merupakan fitnah yang paling besar ustaz Don terhadap Ikhwanul Muslimin sekalipun beliau menyatakan; “Saya nak Tanya kita tahu tak apa yang berlaku dekat mesir sebenarnya? Saya tak kata ikhwanul muslimin jahat. Saya tak kata. Saya nak beritahu ikhwanul muslimin betul. Tapi siapa duk bawa ikhwanul muslimin? Dr. Mursi bagus, silakan. Tapi siapa pengikutnya? Tuan-tuan selidik tak yang tu?” [Video penuh tentang Ikhwan].

Ketika ustaz Don mempertahankan dirinya dengan mengemukakan dalil;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,”. Surah al-Hujurat : 6.

Apakah prinsip ini untuk membela diri ustaz Don sahaja? Tetapi Ustaz Don boleh sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan dan fitnah? Andai embuat video itu memfitnah Ustaz Don, maka mangsanya adalah Ustaz Don seorang. Tetapi apabila Ustaz Don menfitnah Ikhwanul Muslimin, bukan seorang yang menjadi mangsa, bukan seorang yang dizalimi tetapi berjuta-juta penyokong ikhwan dizalimi! Andai Ustaz Don benar2 jujur mohon maaf dan Tarik balik tuduhan ini.

Namun ustaz Don berlepas diri, bahawa berita ini diambil daripada Ustaz Muhadir Haji Joll [Penjelasan Ustaz Don (Sebelum ke UK)]. Saya tidak mahu mengkritik Ustaz Muhadir sebab saya tidak pasti dan tiada rakaman tentang kenyataan tersebut. Maka kritikan ini saya tujukan kepada Ustaz Don. Kerana Rasulullah bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
“Sudah mencukupi seseorang itu dianggap sebagai berdusta apabila ia menceritakan semua yang ia dengar”. (Riwayat Muslim).

Sebenarnya, andai ustaz Don selidiki sedikit sahaja dengan membaca dan memerhatikan apa yang berlaku di Mesir, maka tuduhan ini tidak akan terjadi. Namun kerana sifat gopoh dan tiada disiplin ilmu, maka diceritakan apa yang didengar sekalipun ia palsu.

Apakah kita sedar bahawa kerajaan Saudi (yang dikatakan Wahabi) menyokong Ikhwan dan Mursi ditumbangkan, malah menyalurkan dana untuk al-Sisi. Apakah mereka tidak melihat bahawa Parti Nur yang bermanhaj salafi telah keluar dan menentang ikhwan serta bergabung dengan kumpulan untuk menumbangkan Mursi. Apakah ikhwan salafi wahabi! Tuduhan yang paling tidak berakal adalah Ikhwan yang didalangi pengikutnya bercita-cita untuk memansuhkan pendidikan al-Azhar. Ini merupakan satu kejahilan yang tidak mampu dimaafkan.


[1] (Istilah perselisihan ini harus ditanggapi secara ringan merujuk kepada perbezaan pandangan-bukan bermaksud pergaduhan, permusuhan).

Thursday, April 24, 2014

Abuya Hj Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim & Justice For Wardina


Isu Selesai, Wardina Minta Maaf Pada Ustaz Don Daniyal. Begitulah dikatakan berakhirnya kontroversi di antara Wardina dan Ustaz Don Daniyal.  Inilah posting terbaru tentang mereka. Cuma apa bila saya baca apa yang diulas tidaklah sepenuhnya samaa apa yang ditulis Wardina.  

Namun Fakta : Wardina telah minta maaf kepada Ustaz Don.  Cuma apabila dibaca keseluruhan ayat yang ditulis Wardina,  boleh mendorong pembaca2  cuba untuk menginterpretasi  apa yang tersirat disebalik yang tersurat.  Setuju?

Pengulas menyatakan lagi dlm posting itu : Isu ini tidak sepatutnya timbul sekiranya Wardina meminta penjelasan secara peribadi dari Ustaz Don sendiri tanpa membuat sebarang tuduhan melulu di media social.

Di sini timbul beberapa isu:-
(1)    Mungkin ada berpendapat cara Wardina menegur dianggap tidak betul. Jika begitu selesailah apabila dia meminta maaf. Tetapi, persoalan syaraknya, (1) adakah cara dia menegur itu salah  kerana cara yang dgunakan sahaja?  Jika salahpun, apakah darjah kesalahannya (2) atau kerana dia org awam bukan ilmuan agama?  (3) walaupun cara tegurannya salah, adakah merit/isi tegurannya tidak diambilkira? (4) jika isi teguran itu mempunyai kepentingan dan  ada asas kebenaran pada apa yang ditegur, maka adakah cara tegurannya itu boleh diterima?  Perlu difaham bahawa ada pihak pertubuhan agama yang menyokong Wardina dan fakta bahawa Wardina belum menuduh tetapi meminta pihak tertentu membuat semakan? Ata situ… wajarlah penjelasan diberi oleh ilmuan agama akan kaedah  bagaimana org awam dapat ‘menegur’ seorang ilmuan yang menyebarkan sesuatu di kalangan masyarakat yang dipercaya sebagai suatu tidak betul pada agama.


(2)   Persoalan kedua penting ialah adakah Wardina telah membuat tuduhan melulu?  Maka kajian harus dilakukan secara adil kepada isi ceramah/komplikasi ceramah yang dikatakan mengandungi fakta tidak betul atau hadith palsu.

-fakta pertama: apabila isu bani tamim yang dibangkitkan oleh Ustaz Don telah dkritik hebat oleh beberapa ilmuan agama lain yang hebat dengan hujah yang bermerit. (Bahkan Prof Ridhuan Tee juga ada menyebut keraguannya pada isu ini).  

Maka ia membuktikan bahawa terdapat merit pada teguran Wardina pada salah satu isu pada isi kompilasi ceramah itu. Itu baru satu isu. Belum lain isu-isu yang didakwa terdapat pada kompilasi ceramah itu.

Justeru atas satu isu sahaja membuktikan bahawa  teguran Wardina ada asasnya. Maka sesiapa yang kata tiada asas atau melulu, tariklah balik dan minta maaf?  

Untuk isu-isu lain yang serius yang terdapat pada kompilasi itu, kajian adil perlu dilakukan demi kesahihan fakta agama. Pun begitu saya dapati ada isu lain yang dijawab oleh ilmuan agama dengan hujah baik yang serius.

Secara hipotesisnya, sekiranyalah jika selepas kajian, terbukti benar-benar terdapat isu-isu serius pada sesuatu ceramah atau kompilasi ceramah itu kerana terkandung kisah agama tidak sahih atau hadith palsu, sehingga menyebabkan ilmuan-ilmuan lain terpaksa memberi penjelasan kepada masyarakat bagi membetulkan kefahaman yang silap, maka ketika itu , mungkin masyarakat berterima kasih kepada orang yang membangkit isu itu.  Mungkin ketika itu, apalah salahnya  kalau ustaz yang tersilap itu pula meminta maaf, sekalipun dia dia dibela oleh ramai peminatnya dan sekalipun pihak yang membangkit isu itu di kondem habis-habisan.
Saya tidak mendakwa atau membela sesiapa tetapi mengharapkan kita melakukan analisa secara ulul albab kepada sesuatu isu berbangkit.

Sekali lagi, saya menerima dahulu hujah2 ilmuan-ilmuan yang mengkritik keras dakwaan ustaz Don yang mengaitkan ‘bani tamim dan melayu’. Saya berharap Ustaz Don atau ilmuan yang sependapat dapat menjawab secara berhujah.  

Berikut- untuk membuktikan betapa isu –  ‘bani tamim  & melayu’ adalah serius , bacalah penulisan dibawah yang pernah saya tulis  beberapa tahun lalu:- (Untuk versi lengkap, visit blog saya)

Hisham-ahmad.blogspot.com

Pelik Lagi Ajaib
Kisah Abuya dan al-Arqam

Aku sekadar ingin merujuk kepada sebuah buku yang diberikan kepada aku beberapa tahun lalu. Buku bertajuk “Abuya Hj Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim. Susunan oleh Mohd Nizamuddin Hj. Ashaari , Laila Ahmad. Kalau buku lain pasti ada kritikan. Buku ini setebal 92 mukasurat  boleh dikatakan secara 100% pro-Abuya dan al-Arqam atau Rufaqa Corporation.

Sekarang aku hanya ambil beberapa bahagian daripada isi buku itu sekadar untuk tatapan dan santapan fikiran. Tiada tambahan , original version. :-  

·                    

·                     Di waktu Islam sedang musnah  dan binasa  di alam Melayu (Timur), bangunlah seorang manusia yang Allah janjikan untuk menyelamatkan kembali agamaNya. Dia seorang yang berbangsa Quraisy dari Bani Tamim tetapi sudah nipis sekali kearabannya. Inilah kerana seperti yang kita tahu,orang-orang arab yang datang ke Timur pada masa dahulu sudah berkahwin dengan orang ajam (bangsa selain Arab) maka tidak pelik kalau Putera Bani Tamim itu sudah nipis arabnya. Rasulullah s.a.w. tidak menyebut salasilah tetapi banyak memperkatakan tenyang ciri-ciri perjuangan dan pengikutnya. Sebab itu untuk mencari Putera Bani Tamim yang dijanjikan itu, kita carilah ciri-ciri dan stail perjuangannya,bukan salasilahnya.

·                     Dia berjuang mulanya tentu melalui kumpulan kecil tetapi kumpulan atau Jemaah atau toifahnya kemudian membesar. Sifat toifahnya mirip kepada Jemaah Rasulullah s.a.w. kerana wanitanya berpakaian serba hitam seperti gagak-gagak hitam. Lelakinya berjubah serban. Pengikutnya sangat berpadu seolah-olah lahir dari satu ibu ayah. Cita-cita dan azam mereka kental dan besar. Ibarat kalau mereka hendak meratakan gunung sekalipun, dapat mereka lakukan. Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang panjang menyebut malaikat Jibril a.s. sebagai berkata :
فيجمع الله عزوجل أصحابه على عدد أهل بدر ، أوعلى عدد أصحاب طالوت ، ثلاثة عشر رجلا ، كأنهم ليوث خرخوا من غابة . قلوبهم مثل زبر الحديد ، لو هموا بآءزالة الجبال لأزالوها عن مواضعها ، الزي واحد ، واللباس واحد ، كأنما آ باؤهم أب واحد
·                     Maksudnya : “Maka Allah s.w.t mengumpulkan sahabatnya (Al Mahdi) sejumlah ahli perang Badar atau tentera Thalut iaitu 313 lelaki. Mereka bagaikan singa jantan yang keluar dari hutan , hati mereka bagaikan besi waja, kalau mereka bercita-cita untuk mengubah gunung nescaya boleh di lakukannya . Gaya mereka adalah satu pakaian mereka juga satu, seolah-olah bapa mereka bapa yang satu,” (Dipetik dari kitab Aqdur Durar fi Akhbar Al Muntazar tahun 1983 m/s 95 ) 

·                      Apabila Putera Bani Tamim mendapat daulah, tidak lama selepas itu (dua tahun) zahirlah Imam Mahdi. Namanya sama seperti nama bapa dan ibu Rasulullah yakni namanya Muhammad bin Abdullah dan ibunya Aminah. Tentang Imam Mahdi, Rasulullah mengaitkan dengan baginda dari segi hubungan darah. Maka faktor salasilah Imam Mahdi adalah penting, sebab ia disebutkan di dalam hadis. Tidak sepertimana Putera Bani Tamim tadi, Rasulullah hanya menyebut tentang ciri-ciri fizikalnya.

Mendapat ilmu ilham atau ilmu laduni
Kalaulah kepada para Rasul dan nabi Allah beri ilmu melalui wahyu manakala kepada para mujaddid diberi jalan singkat oleh Allah untuk memahami ilmu-ilmu Allah secara ilham atau laduni. Yakni ilmu yang terus Tuhan jatuhkan ke hati yang bertaqwa. Ertinya mereka menimba ilmu secara direct  dari Allah dan Rasul, bukan dari hasil pengajian mana-mana system pendidikan dunia yang ada. Ilmu ilham ini adalah sumber ilmu bagi manusia yang bertaqwa. Inilah ilmu yang paling unggul kerana ia datang dari saluran Tuhan.  Allah berfirman :
والتَّقُواْاللهص ويُعَلِّمُكُمُ اللهُ

Maksudnya : “ Bertaqwalah kamu,Tuhan akan mengajar kamu.”(Al-Baqarah:282)

Mendapat ilham dan isyarat-isyarat ghaib dari Allah
Para  mujaddid diberi ilham dan isyarat-isyarat ghaib oleh Allah. Seseorang yang mujaddid sentiasa menerima maklumat dan arahan Rasulullah melalui yaqazah dan mimpi yang benar. Kekuatan ini adalah senjata paling canggih yang musuh Islam seperti Yahudi dan Nasrani tidak mampu mengesan. Para mujaddid menerima panduan dari Rasulullah tentang bagaimana membangunkan dan membina kekuatan perjuangan mereka dan usaha –usaha musuh-musuh Islam dalam menentang perjuangan mereka. Kerana itu mereka selalu berada  di depan dan perancangan musuh-musuh.

Rasulullah SAW bersabda :
اتقوا فراسة المؤمن ، فإنه ينظر بنور الله .     
Maksudnya : “ Takutilah firasat orang Mukmin, kerana mereka melihat dengan nur Allah . “ (Riwayat Tirmizi)                                

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB PUTERA BANI TAMIM.

                Perjuangan putera Bani Tamim ini jelas terkandung dalam Hadis Rasulullah SAW iaitu :
Abdullah bin Mas’ud r.a. meriwayatkan bahawa :
عن ابن مسعود رضي الله عنه قال : بينما نحن  عند رسول الله صلى الله عليه وسلم إذأ قبل فتية من بني هاشم فلما رآهم النبي صلى الله عليه وسلم اغرورقت عيناه ، وتغير لونه فقلت : ما نزال نرى فى وجهك شيئا نكرهه ، فقال : إنا أهل البيت اختارالله لنا الآخرة على الدنيا وإن أهل بيتي سيلقون بعدي بلاء وتشريدا وتطريدا حتى يأتي قوم من قبل المشرق معهم رايات سود فيسألون الحق فلا يقبلونه حتى يدفعونها إلى رجل من أهل بيتي فيملأها قسطا كما ملؤوها جورا . فمن أدرك ذلك منكم فليأتهم ولو حبوا على الثلج ، فإنه المهدي .

maksudnya: “dari Ibn Mas’ud r.a. katanya : “ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW,tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim (yang diantaranya adalah Hasan dan Husin r.a.) Apabila terpandang akan mereka,maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya ,”mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”

baginda menjawab, “Kami ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami Akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan  lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Al-Mahdi.” (Riwayat Ibnu Majah) (Lihat kitab Al-Hawi lil Fatawa,m.s. 71-72

Rasulullah SAW bersabda lagi :
فقال في حديث أبى هريرة : واشوقاه إلى إخوانى ، قالوا يا رسول الله أو لسنا إخوانك ؟ قال : لا ، أنتم أصحابى ، إخواني قوم يأتون بعدكم ، يود أحدهم لو يشترى رؤيتي بأهله وماله وفى رواية اخرى ، آمنوبى ولم يرونى .
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW berkata ,”Alangkah rindunya aku kepada ikhwanku (saudara-saudaraku).”
               
Terkejut para Sahabat lalu berkata ,” Wahai Rasulullah,bukankah kami ini ikhwanmu?”
Rasulullah berkata, “Tidak. Kamu adalah sahabat-sahabatku. Manakala ikhwanku itu ialah umat Islam akhir zaman, yang datang sesudahku, mereka sanggup ‘menjual’ keluarga dan harta untuk bertemu denganku, mereka tidak berjumpa denganku tapi beriman denganku.”

ABUYA ASHAARI MUHAMMAD MENEPATI CIRI-CIRI MUJADDID.

   ABUYA DI ANUGERAHKAN KARAMAH.
 Terlalu banyak karamah yang Allah perlihatkan kepada Abuya Ashaari Muhammad,antaranya :

·                     Ketika Abuya ditahan oleh kerajaan menggunakan ISA, Abuya Ashaari Muhammad tidak melawan bahkan memberi kerjasama. Beliau amat yakin bahawa Allah pasti menguji pejuang-pejuang sebelum diberi kemenangan. Ujian itu pula adalah penghapusan dosa, manakala penentang akan terhukum dengan sendirinya. Setelah dibebaskan dari lokap, Abuya menubuhkan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd sebagai wadah baru perjuangannya sedangkan Abuya masih dalam tahanan ISA (RO). Akhirnya dalam masa 10 tahun,Rufaqa’ Corporation menjadi jauh lebih gagah daripada Arqam yang telah dihancurkan itu. Walhal sepatutnya jemaahnya tidak mungkin hidup kembali. Namun melalui proses ISA, Allah menjadikan perjuangan Abuya lebih laju dari sebelumnya.

·                     Selepas ISA, Allah takdirkan Abuya Ashaari Muhammad sakit kuat. Dalam  keadaan dirinya yang terlantar sakit itu lebih-lebih lagilah tidak mungkin pengaruhnya membesar. Namun kenyataannya Abuya Ashaari Muhammad mendapat pengaruh yang cukup besar sama ada di dalam dan di luar Negara, sama ada dari kalangan orang biasa mahupun tokoh-tokoh kenamaan, tokoh-tokoh korporat, golongan professional, pemimpin masyarakat, artis dan lain-lain. Ini membuktikan bahawa usaha manusia bukan memberi bekas, tapi kuasa Tuhanlah yang mampu memberi kesan.

·                     Kalaulah tokoh-tokoh lain sama ada pemimpin,usahawan,ilmuan,karyawan,budayawan,atau lain-lain,di tangan mereka terjadinya pembangunan dan kemajuan material yang luar biasa namun belum ada di antara mereka yang mampu membina kemajuan sepertimana yang dibangunkan oleh Abuya. Sebagai contoh,Abuya Berjaya membangunkan ‘bandar’ yang lain dari yang lain iaitu sebuah Bandar dengan system hidup yang memasukkan Tuhan dan Akhirat sebagai imbangan dan praktikal. Yakni Abuya dapat membangunkan material dan rohani sekaligus. Walaupun pembangunan materialnya tidaklah bersaiz besar tetapi sistem bermodalkan Tuhan menjadi model yang boleh ditiru, diambil dan diperjuangkan oleh semua golongan.  


Abuya umpama tafsiran Al-Quran dan Sunnah bergerak
Para Mujaddid membawa tafsiran baru AL-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Ertinya para mujaddid menghidupkan isi Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dalam realiti kehidupan sehingga dengan itu manusia lebih mudah memahami Islam melalui role model yang dibawa oleh para mujaddid.

Dari sudut perjuangan, Abuya benar-benar menghidupkan isi perjuangan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.  Cuma dalam gaya  moden dan canggih sesuai dengan zaman yang serba moden kini. Abuya dapat mengatasi semua strategi musuh yang hendak menghancurkan perjuangannya. Masakan ini semua berlaku kalau bukan dia di monitor oleh Rasulullah s.a.w.

Mendapat ilham dan isyarat-isyarat ghaib termasuk mimpi benar.
 Abuya selalu didatangi Rasulullah dan juga Imam Mahdi  untuk mengajarkan bagaimana menghadapi persoalan dalam perjuangan serta memberi ilmu-ilmu dan panduan-panduan, apatah lagi ilmu bagi mempersiapkan jemaah. Kedatangan kedua-duanya ini adalah pengalaman beliau melalui tiga cara :

 1.   Rasa hati yang kuat untuk bertindak.
2.   Dijatuhkan ke hatinya ilmu. Bila dicakapkan bukan hasil fikiran. Malah Abuya pun belajar dari situ.
 3.   Berbual-bual secara jaga dengan Rasulullah s.a.w. dan Imam Mahdi. Hasil perbualan membawa jemaah Abuya makin maju di bidang insaniah dan material. Itulah bukti bahawa semuanya  bukan dari syaitan seperti yang dituduhkan. Masakan syaitan membawa orang kepada Allah.

Seseorang syeikh tarekat dari Iraq, Syeikh Abdul Jabbar, Abuya mendapat tahu melalui ilham dari Rasulullah SAW bahawa orang itu adalah salah seorang daripada orang kuat Imam Mahdi yang akan ikut membawa kebangkitan Islam di akhir zaman.

Maka Abuya pun menghantar wakilnya untuk berjumpa beliau. Apabila bertemu saja, belum bercakap apa-apa lagi,Syeikh Abdul Jabbar telah berkata kepada wakil Abuya :

“ kejayaan kamu sampai ke sini, adalah hasil rundingan saya dengan Syeikh Malaysia (Abuya).”Walhal secara zahirnya Abuya belum pernah berjumpa dengannya.

Syeikh Abu Mush’ab ,seorang syeikh tarekat di Jordan telah menunjukkan buku catatan beliau kepada Abuya Ashaari Muhammad ketika Abuya berada di Jordan. Di dalamnya bertulis :“Ashaari bin Muhammad pembawa kebangkitan di Timur akan datang ke Jordan. “ ‘mesej’ itu diterimanya dari Rasulullah dan Imam Mahdi sebelum kedatangan Abuya ke Jordan.

Syeikh Abdussalam Al-Harras, syeikh tarekat dari Maghribi memberitahu Abuya ketika Abuya ke Maghribi pada tahun 1986 :“ kenapa kamu datang ke mari? Kebangkitan Islam di tempat kamu. Buktinya ialah kamu yang membawa Islam ke mari.”

Syeikh Abdul Nasir dari Mekah datang kepada Abuya di Malaysia pada Tahun 1996 dan memberitahu bahawa orang-orang Imam Mahdi sdang giat mempersiapkan kedatangannya dan Abuya adalah orangnya di Timur. Mesej itu katanya diberitahu padanya oleh Rasulullah.

                Belum sempat Abuya menjawab, Ketua kumpulan itu berkata, “ Tentu kamu tahu, Al-Quran ada menceritakan perihal ibu Nabi Musa yang Allah masukkan ke dalam hatinya rasa yang kuat untuk meletakkan peti kurungan anak kecilnya ke dalam sungai Nil. Itu saja dirasakannya jalan selamat  dari dibunuh oleh Firaun. Maka dia pun memasukkannya dan betul selamat. Walhal kalaulah rasa hatinya itu dibawa berbincang dengan keluarga terlebih dahulu, tentu ramai tidak setuju kerana tidak mungkin peti itu boleh selamat dalam air.”

“ Apa yang di dalam hati kamu sekarang tentang Imam Mahdi itu, adalah rasa yang Allah memasukkan seperti berlaku kepada ibu Nabi Musa itulah. Bahawa kamu terlalu yakin untuk mendedahkan tentang Imam Mahdi dan kamu yakin selamat. Walhal hari ini semua orang tahu bahawa amat bahaya bagi seseorang yang memperjuangkan Imam Mahdi seperti yang kamu lakukan ini. Yahudi sanggup membunuh siapa pun yang mengaku Imam Mahdi bahkan bayang Imam Mahdi pun akan dibunuh. Ertinya pejuang-pejuang Imam Mahdi tidak akan selamat.”

Syeikh itu menyambung ,”rasa hati seperti ini, kalau diberi kepada seorang nabi dan rasul, itulah wahyu. Tapi manakala diberi kepada seorang yang bukan nabi dan rasul, seperti ibu nabi Musa dan seperti yang kamu sedang alami,ia disebut ilham. Yakni rasa hati yang kuat, yang menutup akal dari memikirkannya dan memaksa kamu bertindak.”

Dia bertanya lagi kepada Abuya, “Apakah kamu bertemu dengan Imam Mahdi?” Abuya tunduk agak lama. Akhirnya Abuya jawab, “Itu rahsia saya.”….

Bab 6. Abuya Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim

Berikut ialah apa yang Abuya faham tentang Imam Mahdi dan perjuangannya dengan merujuk kepada Hadis-Hadis akhir zaman serta ilham yang Abuya dapat dari masa ke semasa, sejak 40 tahun yang lalu:

1.       Imam Mahdi adalah seorang lelaki yang masih hidup  dan sedang dighaibkan oleh Allah. Dia akan zahir ke dunia nyata pada waktu yang Allah kehendaki untuk melakukan kebangkitan Islam.

2.      Di hari kezahirannya, iaitu hari Jumaat bulan haji, ketika khatib sedang membaca khutbah di mimbar Masjidil Haram di Mekah, hidung khatib tersebut berdarah kerana cuaca terlalu panas. Maka khatib itu turun dari mimbar  dan digantikan oleh khatib yang kedua. Hal yang sama berulang sehingga khatib yang keenam. Khatib yang ketujuh tidak berdarah hidungnya maka  dia menjadi imam sembahyang jumaat pada hari itu di Mekah. Itulah dia Imam Mahdi yang dizahirkan buat pertama kali setelah dighaibkan Tuhan selama lebih 80 tahun.

3.       Nama Imam Mahdi ialah Muhammad bin Abdullah, ibunya Aminah, keturunan Bani Hasyim iaitu Arab Quraisy dan merupakan ahlul bait.

4.      Imam Mahdi akan zahir tidak lama lagi iaitu selepas terjadinya daulah Islamiah di Malaysia iaitu sekitar 3 hingga 4 Tahun lagi.

5.       Dari Mekah, dia akan ke Malaysia untuk menerima serahan kuasa dari Putera Bani Tamim. Hal ini berlaku setelah 6 bulan kezahirannya di mimbar Masjidil Haram itu.

6.      Dalam tempoh 6 bulan itu, Imam Mahdi belum isytihar dirinya. Dia hanya berhubungan dengan para wazirnya untuk melengkapkan persiapan sebelum pengisytiharan. Namun umat Islam yang sudah tahu tentang keberadaannya mahu berbaiah padanya. Mereka disyaratkan untuk berbaiah terlebih dahulu dengan Putera Bani Tamim yang berada di Malaysia.

7.       Program penyerahan kuasa berlangsung hanya satu malam, sebab kerja-kerja menyiapkannya sudah dibuat oleh Putera Bani Tamim selama 40 tahun. Imam Mahdi hakikatnya telah memimpin kerja-kerja itu dari balik tabir.

8.      Dengan kuasa daulah yang ada, dengan system pemerintahan khalifah  yang sudah wujud dan dengan pengaruh yang sudah bertaraf dunia, Imam Mahdi akan memulakan operasi memerangi Amerika (Sufyani). Beliau akan menang dan dapat menguasai dunia.

9.       Imam Mahdi memerintah dunia selama lebih kurang tujuh tahun. Bila Dajjal datang, Nabi Isa turun untuk membunuhnya. Nabi Isa akan membenarkan Imam Mahdi, hasilnya seluruh penghuni dunia akan jadi pengikut Imam Mahdi.

Begitulah kefahaman Abuya tentang Imam Mahdi dan jadual yang akan terjadi. Abuya bukan sahaja mempromosikan Imam Mahdi bahkan Abuya sedang mempersiapkan jemaahnya dan team perjuangannya untuk diserahkan kepada Imam Mahdi.


Bab 7. Kesimpulan

…apa yang sedang terjadi di Malaysia oleh jemaah Arqam dan kini Rufaqa ialah jadual Allah untuk akhir zaman…

(Para akhir) Pemimpin sebenar kepada kebangkitan itu ialah Imam Mahdi yang aktif berperanan dibelakang tabir dan akan Allah zahirkan semula ke dunia sepertimana nabi Isa a.s. Imam Mahdi melantik pemimpin Arqam atau Rufaqa’ iaitu Abuya Ashaari Muhammad sebagai wazir kanan kepada Imam Mahdi yang membuat tapak perjuangan Imam Mahdi. Ertinya Abuya Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim. Perjuangan mereka akan mendapat sebuah Negara Islam iaitu Malaysia secara aman, damai dan harmoni. Abuya Ashaari sedang berusaha menagih janji Tuhan agar jadual kebangkitan yang Allah dan Rasul sebutkan di dalam hadis-hadisnya benar-benar akan berlaku tidak lama lagi!

-          Begitulah hebat sekali kisah Abuya,  Sebahagian kedengaran macam fiksyen tapi sebahagian mengandungi fakta.

-          Malangnya Abuya, yang dikatakan Putera Bani Tamim, yang berperanan menyambut dan membantu Imam Mahdi bagi kebangkitan Islam akhir zaman telah pun meninggal dunia …sedangkan Imam Mahdi belum menzahirkan dirinya….

-          Lalu?