Social Icons

Pages

Tuesday, December 30, 2014

Bersyukur Di landa Banjir!?


Kenal tak gadis bijak yg bersyukur ni?
“Ya Allah jika ini ujian kami, kami terimanya dengan redha”, itulah antara ucapan Pn. Nor Aini Mat Nor, GPK SMK Manek Urai. Malah, katanya, dia dapat melihat beberapa rumah  dan kayu balak hanyut deras melalui di hadapan sekolahnya, namun bersyukur kerana ia membelok sebaik sahaja menghampiri kawasan sekolah. “Ini adalah kuasa Allah, saya sudah redha sekiranya rumah yang hanyut itu menghempap sekolah kami, tetapi ia tidak berlaku, “katanya lagi.

Ini kata-kata yang mengharukan, penuh emosi dan amat mengusek hati. Ini kata-kata dari hati yang sabar dan tabah. Bahkan ini kata-kata dari hamba yang bersyukur. 

Lalu saya teringat firman Allah S.W.T yang bermaksud:- “Jika kamu bersyukur….. Nescaya AKU tambahkan buatmu…"  Begitulah janji  Allah S.W.T.

Saya berada di bumi Melaka. Hampir hari-hari hujan turun tapi tidaklah lebat. Suasana redup dan cuaca terasa sejuk. Biasanya saya suka cuaca sebegini (sebab badan rasa sejuk) … tapi kali ini perasaan berbeza. Hujan renyai yang tidak berhenti, suasana redup dengan rasa sejuk cukup merisaukan… bila mengenang negeri-negeri yg teruk  dilanda banjir.  

Saya berdoa agar kami di Melaka tidak diuji seperti mereka di sana. Saya tidak dapat membayang jika terpaksa keluar rumah untuk menyelamatkan diri dan keluarga. Ibu yang sudah tua, ayah yang baru lepas pembedahan dan anak-anak yang masih kecil.  

Terasa diri lemah tidak berdaya… … terasa jiwa tidak sekuat jiwa guru wanita itu!

Mungkin saudara-saudari disana lebih kuat iman dan kesabaran mereka. Bukankah Allah tidak membeban kita apa yang diluar kemampuan kita. Adakah kami di bumi Melaka lebih baik amalan islamnya menjadikan kami tidak diuji sedemikian… atau kami sebenarnya tidak layak kepada ujian seberat itu…  atau mungkinkah ia hanya persoalan siapa dulu … atau …

Ia persoalan-persoalan yang sukar ditemukan jawapan.Tidak perlu bersusah mencari jawapan kenapa dan mengapa?  Memadailah dengan apa yang Quran dan sunnah sediakan jawapan. 

Apa yang pasti, tiada siapa terlepas daripada diuji. Orang yang sabar adalah orang berjaya .. mereka akan mendapat khabar gembira.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar.” (Al-Baqarah(2): 155)

Saya berdoa agar kami tidak ditimpakan ujian seberat itu .. tetapi jika ia berlaku … saya berdoa diberi kekuatan untuk menghadapi dengan kesabaran yang tinggi..

Tetapi bagaimana pula Allah memerintahkan kita bersyukur atas ujian yang berat dan memenderitakan… !  Bagaimana muungkin? Bukankah bersyukur hanya pada apa yang kita suka,kita seronok menerima atau mendapatnya….

Inilah hujah dan kisahnya. Authoritinya.

Di dalam Surah ibrahim  (14) ayat 7; Allah berfirman … bermaksud; “ … tatkala Tuhanmu mengisytiharkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti aku akan menambah kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".

Jika kita lihat ayat-ayat sebelumnya, nyatakan kisah ayat ini adalah berkait dengan kisah nabi Musa a.s. dan Firaun.  

Firaun, raja yang zalim bermimpi seakan-akan api datang dari Baitul Maqdis sehingga ke Mesir. Api itu memusnahkan rumah dan bangunan, sehingga tiada satupun tertinggal kecuali kepunyaan Bani Israil. Firaun memanggil ahli sihir dan ahli kaji bintang, untuk membuat takwilan mengenai mimpi itu. Lalu mereka mengatakan, akan lahir seorang anak lelaki dari Bani Israil. Lelaki terbabit kelak akan mengusir kerajaan Firaun dan menggantikan agama Firaun.

Disebabkan takut mimpi itu menjadi realiti, Firaun memerintah dibunuh setiap anak lelaki yang dilahirkan di kalangan Bani Israil.

Dipendekkan cerita, maka Firaun sebagai raja mengeluarkan polisi atau undang-undang zalim agar semua kanak-kanak lelaki Bani Israil dibunuh (disembelih). Kempen dan program pembunuhan besar-besaran ini dilaksanakan melalui rejim tenteranya.

Bayangkanlah untuk entah berapa tahun lamanya, Kerajaan Firaun melaksanakan polisi atau kempen menyembelih anak-anak lelaki dari Bani Israil. Tempoh lamanya pembunuhan itu berlaku mungkin beberapa lama sebelum Musa lahir dan sehingga Musa menjadi anak muda yang mampu menentangnya. 

Bayangkanlah betapa ramai kanak-kanak dan bayi lelaki yang telah disembelih dan dibunuh. Bayangkan darah-darah yang tumpah ke bumi. Bayangkan keluarga yang ketakutan dan menderita. Penderitaan yang seperti tidak berkesudahan.

Allah s.w.t. sendiri mengiktirafnya sebagai ujian yang besar.

Bayangkanlah juga, kemudian, ketika mana Musa a.s. , membaca ayat itu ketika berkhutbah atau berceramah kepada kaumnya, umatnya, pasti ramai ibubapa atau ahli keluarga yang anak-anak mereka telah disembelih. Perhatikan ayat Quran tadi yang dibacakan Musa a.s.

“Apabila Tuhan-Mu mengisytiharkan”

Mungkin pada fikiran manusia, dalam keadaan kesengsaraan, musibah dan kesedihan yang menimpa kaum Musa a.s. , tentulah apa yang perlu mereka diperingatkan ialah agar ‘bersabar’.

Tidak ayat itu tidak menyebut  “wa iz taazan rabbukum …. Lain sabartum … laiza dannakum”  iaitu “ Sesungguhnya jika kamu bersabar, pasti kami akan menambah kepadamu.”

Bayangkanlah, Allah tidak minta kita manusia yang menderita itu bersabar tetapi lebih tinggi daripada itu iaitu bersyukur. Apabila bersyukur dalam keadaan sedemikian pasti didalamnya terkandung juga kejayaan dalam bersabar.

Apa pula balasan dan ganjaran kepada kesyukuran ini. Sebagai balasan dan ganjarannya, Allah akan tambah bagi kamu.

Perkataan ‘La azi dan na kum’   adalah suatu jawapan dalam bentuk paling tegas dan jelas. 
Penekanan paling kuat. ,

Perkataan ‘La azi dan na kum’ yang jika diterjemahkan secara kasar (di mana terjemahan tidak akan memberi maksud yang tepat), ialah seumpama Allah menyatakan dalam bahasa penuh ketegasan bahawa; “aku berjanji aku akan tambahkan, perbanyakkan bagi kamu.”

Apa yang menakjubkan lagi ialah Allah tidak menyebut pada ayat itu (secara khusus) apakah perkara yang akan ditambah, diperbanyakkan bagi mereka yang bersyukur. Walaupun pada terjemahan, ada yang meletakkan dalam kurungan perkataan ‘nikmat’ tetapi sebenarnya pada bahasa ia tiada… dan tujuannya, rahsia dan hikmahnya ialah ia dibiarkan terbuka luas bagi segala macam bentuk kebaikan, manfaat dan nikmat. Bermakna, Allah s.w.t. yang maha mengetahui apa yang kita mahukan dan apa yang baik untuk kita , akan memberi, menambah dan memperbanyakkan untuk kita apa jua sama ada  anak-pinak, harta, wang, kasih sayang, ilmu dan lain-lain.[1]

Semoga saudara-saudariku yang mengalami kerugian menderitai kehilangan …diberikan ‘pertambahan’ oleh Allah s.w.t pada apa yang sangat mereka perlukan dan penting buat mereka. 

Allah juga yang lebih mengetahui apa yang lebih baik dan terbaik untuk manusia.

Pertambahan yang memberikan keuntungan kepada mereka dunia dan akhirat.

Bagi yang kehilangan saudara tersayang … Semoga di syurga, mereka disatukan.

Pertambahan yang istimewa daripada -Nya atas kehilangan yang sementara.

hisham-ahmad.blogspot.com  

[1] (Syarahan) Ustaz Nourman Ali Kha