Social Icons

Pages

Saturday, September 14, 2013

Adakah Yg Lebih Besar Dari Jihad?



"Emak, Mail nak pergi ke Syria minggu depan. Mail nak berjihad bersama rakyat di sana. Kalau Mail terbunuh, ampunkan segala dosa Mail, ya” Mail memberitahu emaknya pada suatu pagi yang hening.
“Kenapa pula kau nak menggadai nyawa sampai kesana. Siapa pula nak jaga emak ni, Mail. Mail yang emak dapat harapkan. Nanti kalau emak sakit, siapa yang hendak bawa emak ke klinik. Bapa kau dah tua dan bukan kuat sangat,” Mak Esah tidak bersetuju dengan hajat anaknya. 

“Rumah kakak dengan abang ipar ada dihujung sana. Mereka boleh tolong bila diperlukan. Janganlah emak menghalang niat suci saya. Saya nak mati syahid, emak”, Mail merayu lagi.

“Kakak kau tu ada suami dan anaknya ramai, ibu tidak suka menyusahkan dia. Mereka pun bukan orang senang. Kau tu, kami hantar sampai luarnegeri, sampai jadi engineer.. hidup dah senang. Ngapa pula kau nak berkorban ditempat yang jauh…  Kau jangan ikut hati yang kecewa kerana isteri dan anak kau meninggal. Mereka kemalangan, Mail”.

“Sudah emak tak redha kau pergi…” Mak Esah memuktamadkan jawapannya.

“Bukan kerana itu saya pergi emak. Saya redha dengan pemergian mereka. Saya kini hanya ingin mati syahid…. Itu sahaja. Maafkan Mail,mak. Mail dah nekad” Mail melangkah meninggal ibunya. Mail merasa sungguh sedih dengan kata-kata ibunya. Mail tidak peduli. Baginya,  jihad lebih afdal daripada restu ibunya. Dia mahu buat ibadah paling hebat, tentu agama benarkan walaupun ibunya tidak bersetuju.

“Mail, Mail. Mengapa ni, nampak sedih sahaja?”, Imam Razak menegur Mail yang masih duduk disejadah tetapi tidak bersolat, tidak berdoa. Hanya termenung. Mail adalah antara mereka yang sering hadir bagi solat jemaah setiap waktu solat zohor dan asar di Masjid berdekatan tempat kerjanya.

Mail tersedar. “Oh Imam. Baguslah imam bertanya dulu. Saya ada konflik untuk membuat keputusan ni.” Mail kemudian menceritakan tentang hajat hati dan bantahan ibunya.

“Saya dan rancang pemergian. Segala dokumen dah siap. Saya dah ada ‘contact’ dengan beberapa orang dari luar negara bagi tujuan yang sama. Ada kawan lama di luar negara yang turut serta. Kami akan melalui proses latihan ala- ketenteraan untuk suatu tempoh. Semuanya dah diatur. Tetapi saya tiba-tiba merasa resah…gelisah. Tanpa restu ibu… hati ini tidak begitu gembira” Mail mengakhirkan ceritanya.    

Imam Razak terdiam.  Terkelu seketika. Dia percaya Mail memang serius. Ini Mail yang dikenalinya. Imam Razak mengesat dahi dengan saputangan walaupun dahinya tidakpun berpeluh.

Mati Syahid, Masya Allah. Itu cita-cita yang besar Mail. Saya kagum, saya cemburu dengan awak. Saya tidak terfikir sejauh itu. Saya pun tidak tahu sama ada saya cukup berani untuk melakukannya. Tapi Mail…” Imam Razak memulakan pendekatan psikologi atas pengalaman.  

“Abila berlaku pertembungan antara tugas untuk pergi berjihad dan tanggungjawab kepada ibubapa, tanggungjawab kepada ibubapa adalah mesti didahulukan, diutamakan. Inilah perintah Agama.  Inilah perintah Allah dan Rasulllah!”, Imam Razak memperjelaskan kedudukan hukum secara tepat dan jelas.

“Saya kurang faham , Imam…” balas Mail terperanjat dan merasa keliru.

“Mail, awak nak berjuang kerana Allah dan Rasulullah, betul?”  

“Betul”, jawab Mail.

“Awak juga tahu awak kena taat perintah Allah dan Rasulullah, betul?” “Betullah Imam, please straight to the point”, Mail sudah tidak sabar lagi..

“Baiklah, begini. Permintaan untuk berjihad pernah dibuat oleh seorang sahabat kepada Rasulullah s.a.w. tapi Rasulullah telah mengarahkan dia agar balik dan berbakti kedua ibubapa kerana itu jihad yang lebih utama baginya. Ia hadith sahih daripada sahih Bukhari”[1], Imam Razak menjelaskan.

“Dalil ini sangat bertepatan dalam situasi awak. Ibubapa awak telah berusia lanjut. Mereka perlukan awak. Ibu awak jelas menuntut khidmat bakti daripada awak. Paling penting dia tidak setuju, tidak reda dengan hasrat awak. Dia berhak melakukannya. Tiada yang salah pada syarak!”       

Mail hanya diam membisu. Imam Razak menyambung lagi.

 “Janganlah awak pergi. Panggilan jihad itu tidak wajib ke atas awak. Kalau awak nak pergi juga berjihad, biarlah sesudah kedua orang tua awak tiada lagi. Sekarang tidak boleh. In  sya Allah, telah tertulis pahala jihad untuk awak atas niat tulus awak itu”.

Percayalah saya, ada hadith sahih merekodkan bahawa “barang siapa bercita-cita untuk mati syahid dengan hati yang jujur, Allah akan menyampai dia kepada martabat itu , walaupun dia mati akan katilnya sendiri”.
 
Mail mengangguk-angguk lemah.

Di atas tadi adalah contoh kes Pertama untuk menunjukkan besarnya keutamaan dan kepentingan cinta kepada ibubapa .


Kes Kedua : Terpaksa Kembali Sesat?  

“Ravi, ibu bagi kau tiga hari, kalau kau tak tukar balik ke agama asal … Ibu akan bunuh diri. Ibu akan tuang minyak atas tubuh ibu, dan ibu akan nyalakan api…”

Itulah kata-kata yang masih terngiang-ngiang di telinga Muhammad Ravi. Dia sedar ibunya mungkin benar-benar melakukan apa yang diugutnya. Ravi merasa bingung, tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Dia sangat sayang ibunya dan ibunya juga sangat menyayanginya. Tindakan dia memeluk Islam telah melukakan hati ibunya. Ibunya tidak dapat menerima. Hasutan pakcik Ravi kepada ibunya menambahkan kesukaran bagi Ravi untuk meyakinkan ibunya bahawa pilihannya adalah tepat dan ibunya sepatutnya ikut bersama memeluk Islam. Dia masih ingat lagi dialog terakhir antara dirinya dengan ibunya.

Ibu, saya dah masuk Islam 6 bulan yang lalu. Ibu baru tahu 1 minggu sahaja. Adakah saya sebagai anak  bersikap buruk kepada Ibu selama 6 bulan ini?”

“Kau anak yang baik dan sentiasa menggembirakan ibu”.

“Bagaimana sikap saya sebelum itu, sejak dari saya kerja di Kuala Lumpur dulu? Ravi menyambung dengan soalan yang baru.

Ibu Ravi terdiam sebentar, seperti dapat merasai apa yang cuba hendak diberitahu oleh anak kesayangannya itu. Ibu Ravi sedar bahawa untuk beberapa tahun sejak Ravi bekerja di Kuala Lumpur, perangainya makin teruk. Suka minum arak, berpoya-poya, balik tengah malam dan seorang yang perengus dan pemarah termasuk kepada ibunya sendiri. 

Tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, perangai Ravi berbeza. Ibu Ravi tidak lagi nampak Ravi minum arak. Ravi tidak lagi pulang lewat malam atau membawa balik perempuan-perempuan tidak senonoh. Paling disukai, Ravi juga melayan ibunya dengan begitu baik. Tutur kata Ravi lembut dan sopan, selalu membelikan apa sahaja yang ibunya sukai dan bersedia untuk melakukan apa yang disuruh ibunya.

Ibu Ravi tidak mungkin dapat melupakan saat indah di awal perubahan sikap anaknya, Ravi. Ravi telah tiba-tiba berlutut, menunduk dan mencium tangannya sambil berkata; “Ibu, Ravi mohon maaf dengan ibu ... Ravi sangat berdosa dengan ibu. Selama ini Ravi jahat dan selalu menyakiti hati ibu. Ravi akan jadi baik lepas ini … akan layan ibu dengan baik.”  

 “Ibu! ibu!” Ravi menekankan tonasi suaranya, melihat ibunya yang diam membisu. Ibunya tersedar dari lamunan.
   
“Ibu, kenapa ibu diam sahaja. “akuilah ibu, dulu  saya anak yang jahat, kini saya anak yang baik, bukan? Untuk ibu, saya seperti ‘a devil turned to an angel’?” 

“Benar anakku, benar. Ibu gembira dan bersyukur tentang itu” Ibunya mengangguk perlahan mengakui. 
 
“Semua perubahan baik itu kerana agama Islam yang menyuruhnya. Islam menyuruh berbuat baik kepada kedua ibubapa dan tidak boleh berlaku kasar, bahkan tidak boleh berkata apa jua luahan atau kata-kata yang boleh menyingung kedua ibubapa sehalus, sekecil perkataan “ah!”

Justeru, Ibu, saya jadi  baik selepas saya peluk Islam. Bahkan saya masih wajib melayan ibu dengan baik walaupun berbeza agama. Kini, saya juga rasa sangat tenang dan bahagia. Ibu tidak suka semua itu untuk saya?”  Ravi membalas dengan  serangan emosi yang padu.

“Ibu suka tapi..kenapa tidak kau ikut ajarannya yang baik itu tanpa perlu kau masuk ke dalam agama itu.  Bila kau tukar agama, kau akan masuk neraka, kau telah melanggar kepercayaan tradisi nenek moyang kita. Seluruh saudara mara membenci kau, mereka juga membenci dan mencaci keluarga kita. Memalukan dan menjatuhkan maruah mereka!”

“Ibu tidak peduli. Ravi, ibu bagi kau tiga hari, kalau kau tak tukar balik ke agama hindu … Ibu akan bunuh diri. Ibu akan tuang minyak atas tubuh ibu, dan ibu akan nyalakan api…”

“tidak ibu, tidak mungkin!” Ravi membalas perlahan tapi memadai untuk didengari…

“Mengapa? Kau kata kau anak yang baik. Kau tidak pernah lagi menghampakan ibu. Apa yang ibu minta dan suruh, pasti kau lakukan. Ini sahaja permintaan ibu yang terakhir. Ibu tidak akan minta apa lagi dari kau, selepas ini!” 

“Apa sahaja ibu, mintalah apa sahaja ibu … tetapi tidak yang ini. Ini permintaan yang mustahil. Ini permintaan untuk saya kembali kepada kesesatan.”

“Kalau begitu … kaulah yang membunuh ibumu!”

“Ibu yang ingin membakar diri, mengapa saya yang disalahkan!”

“Ketahuilah ibu bahawa sekiranya ibu membakar diri dan mati didepan saya, kemudian tuhan menghidupkan semula ibu, lalu ibu membakar diri lagi hingga mati, dan tuhan hidupkan lagi ibu semula, dan ibu membakar diri ibu dan mati … dan ia berlaku berulang-ulang … saya tetap tidak akan tinggalkan agama Islam ini!”[2]

Pengajaran 2 kes di atas.

Terdapat banyak kisah dari riwayat hadith sahih mengenai kewajipan mencintai ibubapa dan melakukan kebaktian kepada mereka. Namun kedua kes di atas membawa perbandingan istimewa dan ekstrem dalam menetapkan had tertinggi keperluan kepada kebaktian itu.

Kes pertama membuktikan bahawa berbakti kepada ibubapa adalah suatu yang fardu dan wajib khusus bagi anak lelaki. Berbakti di sini tentulah kebaktian secara ikhlas, bersungguh dan dengan kecintaan. Jika tidak, ia tiada nilai pahala di sisi Allah s.w.t. Kebaktian kepada ibubapa adalah lebih utama dan mendahulu kewajipan-kewajipan yang lain.

Kes kedua membuktikan bahawa kefarduan dan kebaktian kepada ibubapa melepasi sempadan akidah. Kebaktian adalah wajib sekalipun ibubapa adalah bukan Islam. Kecintaan dan ketaatan kepada mereka adalah fardu selagi mana bukan kepada maksiat dan syirik. Allah berfirman dalam al-Quran yang agung melalui surah lokman (31) : 15 yang bermaksud;

“dan jika mereka berdua (ibubapamu) mendesak supaya kamu mempersekutukan dengan Ku sesuatu yang kamu, dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah kamu taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…”


Akhir kata, kelembutan, kesabaran dan kualiti yang ditetapkan dalam melayani kedua ibubapa di tetapkan pada syarat minima yang tegas dan ketat. Tanpa cinta, ketaatan ini hampir mustahil dapat dilakukan. Di dalam kita al-Quran, pada surah al-Isra ayat 23 dan 24 menyatakan yang bermaksud

“dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya kamu tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah kamu menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)…. dan hendaklah kamu merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil."


[1] Sahih Bukhari. No. Hadith  2782 Kitab 38. Jihad. “…telah bercerita kepada kami Habib bin Abi Tsabit berkata aku mendengar Abu Al 'Abbas Asy-Sya'ir, dia adalah orang yang tidak buruk dalam hadits-hadits yang diriwayatkannya, berkata aku mendengar 'Abdullah bin 'Amru r.a. berkata: "Datang seorang laki-laki kepada Nabi s.a.w. lalu meminta izin untuk ikut berjihad. Maka Baginda bertanya: "Apakah kedua orang tuamu masih hidup? "Laki-laki itu menjawab: "Iya". Maka Baginda berkata: "Kepada keduanyalah kamu berjihad (berbakti) ".


[2] Sahih Bukhari. Hadith No. 4432 Kitab 45 Keutamaan Sahabat. “…. Mush'ab berkata; "Ibu Saad bersumpah tidak mahu berbicara dengan Saad selama-lamanya hingga Saad meninggalkan agama Islam. Selain itu, ibunya juga tidak mahu makan dan minum.Ibu Saad berkata kepada Saad; "Wahai Saad, kamu pernah mengatakan bahwasanya Allah s.w.t. telah memerintahkanmu agar kamu selalu berbuat baik kepada kedua orang tuamu?. Sekarang aku adalah ibumu, maka aku perintahkan kepadamu agar meninggalkan Islam”. Mush'ab berkata; 'Ibu Saad bertahan untuk tidak makan dan minum selama tiga hari tiga malam hingga jatuh pengsan karena lemah. Kemudian Umarah, anak laki-Iakinya, memberinya minum. Lalu ibunya itu selalu memanggil Saad. kemudian turunlah firman Allah yang berbunyi: 'Kami wasiatkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya' (Qs. Al Ankabuut(29): 8). Sedangkan ayat yang lain berbunyi: Jika kedua orang tuamu memaksamu untuk menyekutukan-Ku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mematuhi keduanya dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik.' (Qs. Luqmaan (31): 15).

No comments:

Post a Comment