Social Icons

Pages

Thursday, September 26, 2013

Fakta-fakta Penting Dalam Berselawat Yg Kurang Diketahui



Semasa hayat baginda nabi, tentulah ramai para sahabat yang sentiasa ingin bersama dengan nabi. Berdampingan dengan nabi. Mereka ingin berjumpa nabi, bertanya soalan, berbincang, menziarahi, belajar ilmu, memberi hadiah dan sebagainya.  

Kadangkala kita terbayang suasana ketika itu. Alangkah indah dan seronoknya mengenali dan mendampingi nabi. Menjadi makmum solat jemaah nabi. Berebut saf pertama. Berebut saf sebelah kanan agak dapat melihat dan dilihat nabi sebaik sahaja nabi menoleh kekanan. Berebut untuk memberi salam terlebih dahulu daripada nabi apabila bertemu, walaupun ia tidak mungkin berlaku. Mendengar kuliah nabi. Menatapi nabi, menghayati setiap butir kata nabi dan pelbagai perlain lain lagi. Namun semua itu hanya umpama mimpi dalam mimpi. Kami tersentak dari lamunan, kami beristighfar. Kami  sedar kami bukan yang terbaik untuk berada di zaman itu. Zaman penuh dugaan dan cabaran. 

Ketika zaman itu, pasti seribu macam alasan dicari, asal sahaja dapat bersama dengan nabi. Walaupun kadangkala tiada kepentingan sebenar melainkan ingatan yang kuat kepada nabi. Sekadar dapat melihat nabi atau mendengar kata baginda sudah menggembirakan hati.



Ada yang mungkin sengaja datang ketika waktu makan hampir tiba. Semua mengetahui mana mungkin  nabi yang mulia pekerti berbuat tidak peduli, melainkan menjemput sekali. Dah makan, melepak lama. Buat susah nabi pula. Kalau kita ada pada masa itu, pasti kitapun beperangai macam tu.



Namun dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman (maksudnya) :- “wahai orang yang beriman! Janganlah kamu masuk ke rumah Nabi kecuali apabila kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya.  Tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah, kemudian setelah kamu makan hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga Baginda merasa malu hendak menyatakan hal itu kepada kamu, sedangkan Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.”[ al-Ahzab (33) : 53].



Tentulah dalam keadaan tertentu, nabi perlukan masa untuk diri, isteri dan keluarga terdekat. Maka kerana itulah juga, salah satu kepentingan salawat supaya sahabat dapat mengingati dan berkomunikasi dengan nabi tanpa perlu sentiasa berada di sisi. Kenikmatan itu turut diperolehi sekelian umat islam, dulu dan kini.



Hadith Sahih. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Bacalah selawat kepadaku kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu semua dapat sampai kepadaku di mana saja kamu berada .” [ Sila rujuk HR Abu Daud, Riyadus Solihin, 1398, Sahih menurut Imam Nawawi ]



Hadith Sahih. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda;  “Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku),melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” [Sila rujuk HR Abu Daud dan Ahmad,Riyadus Solihin -1398,Sahih menurut Imam Nawawi ]       



Hadith Sahih. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” [Sila rujuk Sahih Muslim-0408]



Hadith Sahih. Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” [Sila rujuk HR An-Nasaie-1271, sahih oleh Imam Az zahabi dan Shaikh Nasiiruddin Albani ]



Hadith Sahih.  Abdullah ibnu Masud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Seutama-utama manusia dengan aku di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” [Sila rujuk HR At-Tirmizi-0483 dan beliau berkata hadith ini adalah hasan Gharib. Riyadus Salihin -1395 ]



Hadith Sahih. Hussain bin Ali memberitakan daripada ayahnya Ali bin Abi Talib (semoga Allah meredhainya mereka berdua) bahawa Rasulullah (selawat Allah dan salam keatasnya) telah bersabda :”apakah tidak lebih baik aku khabarkan kepada kamu tentang orang yang dipandang sebagai manusia yang paling bakhil?”maka kami(para sahabat) menjawab : “Baik benar Rasulullah!” Maka Rasulullah (selawat Allah dan salam ke atasnya) meneruskan: “ Orang yang disebut namaku di hadapannya, maka tiada ia berselawat kepadaku, itulah manusia yang paling bakhil.!”

[Sila rujuk HR At-Tirmizi,Misykat Al-Masbih-3/299,no : 311.Riyadus Salihin -1440. Imam At-Tirmizi berkata hadith ini adalah sahih. Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Ibnu Hibban dan Al-Hakim ]

Hadith Hasan. Ali bin Abi Talib (semoga Allah meredhainya) berkata : “Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.”

[Sila rujuk kitab Al-Mu’jam Al-Ausat oleh Imam Ath-Thabrani. Hadith Hasan, Shaikh Nasiruddin Albani.]



Hadith Sahih. Abu Hurairah (semoga Allah meredhainya) berkata,Rasulullah (selawat Allah dan salam keatasnya) telah bersabda : “Tiadalah suatu kaum berada di sesuatu majlis di mana mereka tidaklah menyebut nama Allah dan mereka tidak pula berselawat ke atas Nabi mereka.melainkan mereka pasti akan ditimpai padah(penyesalan). Maka jika Allah kehendaki ,Dia akan seksa mereka ; dan jika Dia kehendaki, Dia akan mengampunkan mereka.” [Sila rujuk HR At-Tirmiza-3440 ]



Di dalam satu riwayat yang lain ,hadith ini di akhiri dengan: “……..mereka akan ditimpa penyesalan di hari Kiamat; sekali pun mereka dapat memasuki syurga bagi pahala amalan-amalan lain yang mereka kerjakan.”  [Sila rujuk Musnad Imam Ahmad. Disemak semula sebagai Sahih oleh Imam Al-Hakim, Adz-Dzahabi dan Al-Haitami]



Lafaz Selawat Sahih

Oleh itu berselawatlah sebanyak-banyaknya. Namun utamakanlah selawat-selawat dari lafaz sahih yang diajar oleh nabi sendiri.

Hadith Sahih 1:- Abdul Rahman bin Abi Lailah r.a. berkata:“Saya berjumpa dengan Ka’ab bin Abi Lailah lalu dia berkata: Mahukah aku hadiahkan kepadamu satu hadiah yang aku pernah mendengarnya daripada Nabi s.a.w.? Jawabku: Sudah tentu! Hadiahkanlah kepadaku. Dia berkata: Kami (para sahabat) pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagaimana (cara) berselawat kepada kamu (wahai) ahli bait kerana sesungguhnya ALLAH telah mengajarkan kepada kami bagaimana (caranya) kami memberi salam (kepadamu)? Baginda menjawab: Ucapkanlah oleh kamu semua:-

اللَّهُمَّ صَلّ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صلَّيْتَ عَلى اِبْرَاهِيمَ وَعَلى اَلِ اِبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَاركْتَ عَلى إبْرَاهِيمَ وَعَلى آلِ ابْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ



Maksudnya: “Ya Allah! selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya engkau maha terpuji lagi maha mulia. Ya Allah! berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya engkau maha terpuji lagi maha mulia.”  [Sila rujuk Sahih al-Bukhari].


Hadith Sahih 2:- Musa bin Talhah meriwayatkan daripada bapanya (iaitu Talhah bin ‘Ubaidullah) r.a. katanya:“Kami (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah (caranya) berselawat kepadamu? Baginda bersabda: Kamu semua hendaklah mengucapkan:-



اللَّهُمَّ صَلّ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صلَّيْتَ عَلى اِبْرَاهِيمَ وَعَلى اَلِ اِبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَاركْتَ عَلى إبْرَاهِيمَ وَعَلى آلِ ابْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ



Maksudnya:“Ya Allah! Selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Dikau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Kau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Dikau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Dikau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”


Hadith Sahih 3:- Abu Masud al-Ansori r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. datang kepada kami sedang kami berada dalam majlis Saad bin Ubadah. Kemudian Basyir bin Saad bertanya kepada baginda: Allah telah memerintahkan kepada kami berselawat kepadamu wahai Rasulullah, maka bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepadamu? Abu Masud berkata: Lalu Rasulullah s.a.w. diam sehingga kami ingin kalau sekiranya dia (Basyir bin Saad) tidak bertanya kepada baginda. Kemudian Rasulullah s.a.w.bersabda: Kamu semua hendaklah mengucapkan:-



اللَّهُمَّ صَلّ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صلَّيْتَ عَلى اِبْرَاهِيمَ وَعَلى اَلِ اِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلى إبْرَاهِيمَ وَعَلى آلِ إِبْرَاهِيمِ فِي العَالمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ


Maksudnya:“Ya Allah, Selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Dikau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Dikau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim mengatasi seluruh alam. Sesungguhnya Dikau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”


Sedikit Isu :-  2 selawat di atas sangat popular. Amalkan keduanya. Lafaz yang sahih ini tiada perkataan sayyidina. Perkataan sayyidina adalah penambahan atas kreativiti dan innovasi manusia. Bermaksud baik dihati namun adakah ia lebih baik pada realiti?  

Walaupun ada pandangan yang mahukan penambahan perkataan sayyidina pada lafaz selawat tapi sebahagian berpendapat pandangan terpilih ialah:-  berpegang pada nas yang sorih dan sahih adalah dikatakan lebih baik kerana ia adalah lafaz selawat yang diajar oleh nabi sendiri. Hujah terkuat ialah lafaz ini sebenarnya bersifat tauqifi, bukan taufiqi. Besar dan penting perbezaan dua perkataan ini. 

Kalau nak berbalas hujah memang berjela. Sebahagian pula berpendapat terdapat bukti kes di mana nabi menyuruh satu kaum berdiri tanda hormat kepada seorang sahabat, ketua kaum mereka. Nabi dikatakan ada menyebut “tuan kamu”. Kalau betul kes itu, kiranya satu hujah juga.

Tapi dibalas pula bahawa ia kes lain bagi tujuan yang lain. Sedangkan semasa nabi mengajar lafaz salawat, nabi menyebut nama nendanya, Ibrahim dan keluarga Ibrahim tanpa sayyidina.

Tidak mengapalah, ikutlah mana satu hujah (bukan suara hati atau emosi) yang anda yakin kuat dan tepat. 



Terserah kalau nak berpendirian bahawa di dalam ibadah khusus seperti solat, lebih perlu lafaz original dikekalkan namun dalam keadaan santai, lafaz tambahan sayyidina adalah tidak salah digunapakai. Adakah yang lebih mendekati sunnah ialah lafaz yang original?

Apapun, ingatlah penghormatan sebenar adalah melalui berselawat. Banyaklah berselawat.



Hadith Sahih 4:- Abu Humaid al-Saaidi r.a. berkata:“Sesungguhnya mereka (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah! Bagaimana (cara) kami berselawat kepadamu? Jawab baginda: Ucapkanlah,



اللَّهُمَّ صَلّ عَلى مُحَمَّدٍ وأَزْوَجِهِ وَذُرَّيَّتِهِ كَمَا  صَلَّيْتَ عَلى آلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وأَزْوَجِهِ وَذُرَّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلى آلِ إبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ



Maksudnya:“Ya Allah! Selawatlah kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri baginda dan keturunannya sebagaimana Dikau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah! Berkatilah Muhammad, isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana Dikau telah memberkati keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Dikau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” (Muttafaqun ‘alaih- Sahih Bukhari dan Muslim). 



Selawat Paling Ringkas:-



اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

“Ya Allah ! Berselawatlah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad.”

[ HR An-Nasai-1266 ]

           

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ الَّنبِيِّ الأُمِّيِ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



“Ya Allah ! Berselawatlah ke atas Muhammad, Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga Muhammad.”

[ HR Abu Daud -0942 ]



Kesimpulan.


Salawat-salawat di atas bersifat tauqifi. Bermakna walaupun ia diajar oleh nabi, ia sebenarnya petunjuk dari Allah. Oleh itu, selawat-selawat yang lafaznya tidak dari tunjuk ajar nabi (bukan dari hadith sahih) tidak memiliki keutamaan untuk didahulukan daripada selawat-selawat di atas.


Kegembiraan Nabi dan Selawat.


Perhatikan betapa besar kegembiraan nabi jika kita berselawat kepadanya. Pastinya mengikut selawat yang nabi ajar dari tiga jenis selawat yang sahih di atas. Kegembiraan Rasulullah s.a.w. terhadap amalan berselawat kepada baginda terserlah melalui hadis berikut:



عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ: خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاتَّبَعْتُهُ حَتَّى دَخَلَ نَخْلاً فَسَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ حَتَّى خِفْتُ أَوْ خَشِيتُ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ قَدْ تَوَفَّاهُ أَوْ قَبَضَهُ. قَالَ: فَجِئْتُ أَنْظُرُ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ: مَا لَكَ يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ؟ قَالَ: فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ.فَقَالَ: إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلاَم قَالَ لِي: أَلاَ أُبَشِّرُكَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ لَكَ: مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ صَلَّيْتُ عَلَيْهِ وَمَنْ سَلَّمَ عَلَيْكَ سَلَّمْتُ عَلَيْهِ.(زاد في رواية): فَسَجَدْتُ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ شُكْرًا.



“Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf (r.a.), dia berkata: Rasulullah s.a.w. keluar, lalu aku mengikuti baginda sehingga memasuki kebun kurma. Baginda lalu sujud dan alangkah lama sujud baginda sehingga aku bimbang atau takut seandainya Allah mewafatkan baginda atau mencabut rohnya. (‘Abd al-Rahman bin ‘Auf) meneruskan: Maka aku datang untuk melihat baginda, lalu baginda mengangkat kepalanya dan bertanya: “Kenapa dengan kamu wahai ‘Abd al-Rahman?” (‘Abd al-Rahman bin ‘Auf) berkata, maka aku menyebutkan apa yang berlaku kepada baginda. Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Jibrail ‘a.s. berkata kepadaku, “Hendakkah aku gembirakan kamu bahawa sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah berfirman kepada kamu: “Sesiapa yang berselawat ke atas kamu maka Aku berselawat ke atasnya dan sesiapa yang memberi salam ke atas kamu maka aku memberi salam ke atasnya.” (Dalam sebuah riwayat lain ditambah): “Maka aku (Rasulullah) bersujud kepada Allah Azza wa Jalla kerana bersyukur.”

[Hadith Hasan: Sila rujuk Musnad Imam Ahmad (Musnad al-‘Asyarah wa al-Mubasysyarin bi al-Jannah, hadith ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf) dan ia dinilai Hasan Lighairihi oleh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, hadith no: 1658)].

Selawat yang dimaksudkan dalam  hadith ini sudah tentu merujuk kepada hanya lafaz-lafaz selawat yang sahih daripada hadith sahih. Maka ia sahih diperintah Allah s.w.t., sahih disukai oleh nabi s.a.w. sendiri dan sahih juga manfaat dan fadilatnya yang gerenti dikembali dan dinikmati kepada kita yang berselawat. Bermakna, adakah maksudnya Fadilat dan kenikmatan ini tidak wujud pada selawat tafjiriyah, munjiyah atau lainnya?



Namun mari kita beri perhatian kepada dalil-dalil ini:-

Hadith Sahih. Umar Al-Khattab r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Janganlah kamu melampaui batas dengan mengagung-agungkan aku sebagai mana kaum Nasrani (kristian) telah lakukan terhadap Isa anak Maryam. Sesungguhnya tiadalah aku melainkan hanyalah hamba Allah, oleh itu gelarlah aku ‘Hamba Allah dan Pesuruh Allah.’” [ Sahih Bukhari-3445 ]



Husain bin Ali r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : “Janganlah kamu mengangkat aku sedikit pun daripada kedudukan aku sekarang ini, kerana sesungguhnya Allah telah mencipta aku sebagai seorang hambaNya sebelum dia mengutuskan aku sebagai pesuruhNya.”            [HR Ath-Thabrani;29]

Mutarrif bin Abdullah r.a berkata bahawa ayahnya pernah bersama satu rombongan daripada Banu Amir pergi untuk berjumpa Rasulullah s.a.w. Apabila mereka tiba,mereka berkata kepada Rasulullah : “Anta Saidina!” kau Tuan kami) , Rasulullah menjawab : “Tuan kamu ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala! “ Mereka (Banu Amir) berkata lagi: “Engkau adalah yang paling mulia kemuliaannya, dan yang paling besar keutamaannya.” Rasulullah menjawab: “Berkatalah kamu dengan perkataan kamu itu, atau sebahagian perkataanmu itu, akan tetapi janganlah sampai syaitan menjadikan kamu sebagai wakilnya.” [HR Abu-Daud-4638 ]

Di dalam satu peristiwa yang lain pula :         Anas bin Malik r.a. berkata seorang Arab telah datang kepada Rasulullah s.a.w. berkata :“Ya Saidina wa ibni Saudina!” (Wahai Tuan kami dan anak kepada Tuan kami!) Rasulullah menjawab : “Wahai manusia! Berkatalah apa yang engkau hendaki, akan tetapi berhati-hati lah kalau-kalau syaitan mempermainkan engkau dan mempengaruhi engkau sehingga menyebabkan engkau melampaui batas.”



“sesungguhnya aku adalah Muhammad ibni Abdillah; dan Aku bersumpah kepada Allah bahawasanya aku tidak suka  sesiapa mengangkat kedudukan aku melebihi sedikit pun daripada apa yang telah Allah tentukan bagi aku.” [HR Ahmad 32] [ Rujuk Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, dirujukkitab Taqwiyat-Ul-Iman,ms.149 tulisan Maulana Shah Muhammad Ismail].


Berselawat Dengan Sempurna


Sesungguhnya ia adalah suatu fakta bahawa lafaz selawat yang terbaik ialah apa yang diajar oleh nabi s.a.w. kepada para Sahabat dan yang diriwayatkan melalui hadith hasan dan sahih serta dijadikan sebagai lafaz selawat dalam solat. 

Dalam konteks ini, Imam As-Sayuti berkata: “Aku telah membaca keterangan Imam As-Subki dalam kitab At-Tabaqat yang diterimanya daripada ayahnya, bahawa sebaik-baik selawat yang dibaca ketika berselawat ialah selawat yang dibaca di dalam solat ketika tasyahhud, iaitu yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Maka sesiapa yang membacanya dia dilihat sebagai telah berselawat dengan sempurna dan sesiapa yang membaca  selainnya, maka mereka tetap berada dalam keraguan, kerana bentuk-bentuk  selawat yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim itu adalah yang sering diajar  oleh Nabi s.a.w. sendiri dan yang sering disuruh supaya kita membacanya”.



(Sila rujuk  buku Pedoman Zikir Dan Doa, Thinkers Library, Malaysia, 1987, hal: 91  oleh Prof. Dr. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy)


hisham-ahmad.blogspot.com

No comments:

Post a Comment