Social Icons

Pages

Friday, September 20, 2013

Rahsia Menyelesaikan Konflik Menurut al Quran

Adakah kita pernah menyakiti? Adakah kita pernah disakiti? Adakah kita menghadapi masalah komunikasi atau hubungan dengan sesiapa? Adakah kita mempunyai konflik dengan sesiapa? Sama ada dengan rakan sekerja, orang atasan, jiran, kawan, ahli keluarga, saudara mara  atau sesiapa sahaja. 

Jawabnya, pasti ada. Ini adalah ujian biasa dalam kehidupan kita dan dalam urusan pekerjaan kita. Sekali sekali ia berlaku sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. 


Berkonflik dengan seseorang, selagi tidak diselesaikan, tentu mengganggu ketenangan dan kedamaian hati kita sendiri. Apalagi konflik dengan seorang rakan sekerja yang setiap hari kita terpaksa berjumpa dengannya. Ada konflik kecil, sederhana dan besar. 


Tiada siapa sebenarnya suka berkonflik apalagi dalam hal yang tidak berbaloi untuk kita berkonflik. Konflik yang membawa kebencian, perseteruan atau hilang rasa ukhwah adalah konflik yang tidak disukai Allah. Jika tidak menyelesaikan konflik ini bermakna, kedudukan kita di sisi Allah pasti terjejas. 


Benar, kadangkala kita kata kita telah berusaha menyelesaikan konflik tetapi tidak berjaya. Kita merasa bingung dan kecewa kerana tidak tahu lagi macammana nak buat? Kita dah puas cuba tetapi masih tidak berjaya. Kita dah tolong dia membuat kerja, kita dah tolong beli kuih yang dia jual, tapi dia masih menyampah dengan kita. Bagaimana?


Adakah kita ikhlas ingin menyelesaikan konflik dengan  seseorang? Ikhlas kerana Allah, kita melakukan kerana itu yang disukai Allah


Dua Mekanisma Penyelesaian Konflik   


Jika kita benar-benar ikhlas, maka saya beritahu di sini salah satu formula,  kaedah atau mekanisma penyelesaian konflik  yang diperintahkan Allah melalui kitab suci al-Quran untuk perlaksanaan kita sekelian. Ia sesuai untuk diamalkan sesiapa sahaja dalam apa jua bidang pekerjaan atau situasi kehidupan.  Sebarkan dan kongsikan……………..


Mekenisma 1 : Motivasi Berlaku Adil Dalam Bekerja


Kita mesti berlaku adil kepada orang bawahan, rakan sekerja, dan sesiapa sahaja. Sesiapa yang dah terlanjur, kembalilah dalam ketaatan kepada Allah dan berlaku adillah kepada manusia. Hayatilah perintah Allah ini, sekiranya kita mahu tergolong sebagai orang beriman.


 “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (Kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.Surah al-Maa’idah 5:8)


Keadilan itu sangat suci maksudnya. Kata bijaksana dalam undang-undang:-


“Justice must not only be done but it must be seen to be done (Keadilan bukan sekadar dilaksanakan tetapi mesti kelihatan/nampak dilaksanakan).  Ini bermaksud, sebagai contoh mudah, kita menjadi salah seorang hakim pertandingan bahas (debate), anak kita masuk pertandingan. Anak kita menang dan memang dia layak menang kerana markah tinggi bukan kerana kita tidak adil. Tetapi atas prinsip ini *(maxim) ini,  prinsip keadilan terjejas (compromised) bermakna walaupun keadilan sebenarnya telah dilakukan tetapi ia tidak dilihat telah dilakukan kerana ada unsur ‘biased’ dalamya. Maka sewajarnya kita tarik diri sebagai hakim dalam menilai anak kita itu.   


Tapi ada juga yang menarik ialah kata bekas almarhum hakim Tun Suffian yang semasa itu sangat kecewa dan sedih melihat sistem keadilan yang telah disakiti teruk dalam era pemerintahan ketika itu. Cuba teka? Beliau menukilkan kata indah yang saya tidak begitu ingat dan harap tidak tersalah pengataannya:-


 “Justice must not only seen to be done but in fact it has not been done”  - -mungkin dapat difaham sebegini,


“keadilan tidak berguna jika kononnya kelihatan seperti telah dilakukan tetapi sebenarnya ia telah tidak dilakukan ...”


Saya rasa beliau (bekas hakim yang terkenal tegas dalam prinsip keadilan) itu merujuk kepada apa yang berlaku dalam kes dakwaan liwat dan salahguna kuasa dalam kes Anwar Ibrahim, mungkin ketika perbicaraan oleh hakim Augustine Paul, ketika itu.  Harap ada pencerahan!


Jadi berlaku adillah kepada orang disekeliling kita dengan cara profesional!


Mekenisma 2 :


Selesaikan setiap konflik dan masalah yang mendatang dan menyerang dengan sebaik-baiknya. Berfikir, berfikir dan berfikir, jangan beremosi, emosi dan emosi. Inilah cara manusia bijak yang disebut sebagai golongan Ulul-albab.


“..yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna”[1].


Justeru, sebagai golongan  ulul-albab, maka setiap ujian dan konflik diselesaikan dengan mekanisma, teknik dan kaedah yang betul sebelum bertawakal. 

 “maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai 
Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya”.[2]


Berdasarkan ayat di atas, lima syarat penyelesaian konflik ini ialah: 


(1) Bersikap lemah lembut dengan orang yang kita berkonflik dengannya. 


(2)  Memaafkan. Maafkan orang yang kita bersengketa dengannya, walaupun kesalahan dan punca konflik adalah kerana dirinya.


(3)   Minta ampun kepada Allah bagi dirinya. Satu syarat hebat yang tidak tersangka.


(4)   Bermesyuarat. Berdiskusi, berbincang bermakna komunikasi dua hala bukan memberi arahan sebaliknya mencapai keputusan dan persetujuan bersama.


(5)  Apabila telah berazam iaitu yakin dengan usaha, cara  dan keputusan yang dibuat, maka barulah kita bertawakal kepada Allah s.w.t. 


 Adakah kita telah mencuba cara ini .. kalau belum cubalah.

No comments:

Post a Comment