Social Icons

Pages

Thursday, September 5, 2013

Ingkar Hadith Punca Bunuh Bayi!

Zina Meruntuhkan Peradaban Manusia!
 Perhatian semua: Ini kajian penting perlu dibaca! 

Hari itu seorang bayi dijumpai mati terapung kat longkang di sebuah universiti. Hasil siasatan awal, pembuang yang disyaki ialah salah seorang pelajar di situ. Bayi yang dibuang itu mungkin hasil MOU dengan seorang pelajar lelaki. Berita buruk ini bukan satu yang baru bahkan ia adalah tragedi pengulangan jenayah bunuh bayi yang berlaku dari masa ke semasa. Isu ini telah dibicarakan dalam pelbagai forum perbincangan tetapi belum ada mekanisma penyelesaian yang berkesan. Justeru kerana itu, kita hanya tertunggu berita tragedi baru yang lain pula…  Tungguuuuuuuuuuuuuuu…

Maafkan saya, MOU itu adalah bermaksud Zina, seks suka sama suka. Penyakit sosial orang muda. Mengapa saya letak tajuk ‘Bunuh Bayi’ bukan buang bayi. Sebab tujuan utama bayi itu dibuang adalah untuk membunuhnya. Mengapa saya tidak sebut zina pada tajuk, sebab bunuh bayi ini pasti didahului  dengan zina yang sekurang-kurangnya pun mesti berlaku sekali,  tetapi logik, adalah berkali-kali kerana dari proses persenyawaan hingga badan dirasa ada isi, mungkin memerlukan beberapa kali ‘ujikaji’ dan mengambil masa beberapa bulan. Saya bukan hendak melucah tetapi untuk menggambarkan betapa parah!.

Zina berkali-kali adalah tahap paling hina pada hubungan suci kemanusiaan menjadi pelakunya dah sudah hilang rasa malu, tiada lagi erti malu dan tiada maruah. Apabila diri telah berbogel dan tidak senonoh ke tahap itu tanpa hubungan sah, walau di mulut mereka kata ‘enjoy’ tapi dalam jiwa mereka pasti merasa diri sangat hina dan kotor, maka apa ke jadah nak bersopan dalam hal lain, apa lagi hendak dipeduli perkara dosa yang lain.

Adakah apabila kita melihat perlakuan tidak sopan, sentuh menyentuh, pegang memegang dikhalayak ramai oleh golongan remaja dan muda yang belum kahwin, maka ia perlu dipandang dengan prihatin dan kebimbangan supaya ia bukan kerana faktor itu?      

Ok. Mari kita lihat apa maksud saya tentang ingkar hadith sebagai punca.

Tahukah kita, wahai orang islam sekelian tentang hukum bermusafir bersendirian atau tinggal berjauhan oleh seorang wanita? Saya lampirkan penulisan maklumat yang agak menarik. Apa yang dipohon untuk anda lakukan hanya membaca. Itu sahaja.

Kalau membaca benda yang telah disediakan, pun malas atau enggan ….  jauhlah lagi kita dari kejayaan.

[Maafkan bukan saya nak ‘provoke’ tapi penulisan ini agak ilmiah, jika tiada kesabaran utk memahaminya, pasti yang malas…maaf, maksud saya yang tidak bersungguh, tidak akan habis membacanya].

Musafir Bersendirian Atau Tinggal Berjauhan

Isi bicara ini kelihatan seperti kurang menarik dan tidak penting.

Kalau itulah yang dirasakan, benarlah bahawa isu sunnah ini telah dipinggirkan. Hakikatnya isu ini ditekan oleh Rasulullah s.a.w., pengabaiannya telah membawa masalah[1]  sehingga tergadai maruah; gadis agama dan ummah.

Wahai adik-adikku, gadis dan wanita muda sekelian,

Janganlah isu ini diperlekehkan.  Walau tinggi ilmu, petah tuturkatamu, bijak pemikiran dan lincah pergerakan, kau tetap perempuan. Sekalipun kau berjaya dalam kerja dan terkenal di sisi manusia, fitrah ciptaanmu tetap sama. Sifat kelembutan dan biologi kejadian, sentiasa mencabar kelakian, yang berniat jujur dan budiman, juga yang bersifat binatang hingga yang berjiwa syaitan.

Perkara mengenai wanita keluar rumah secara sendirian tanpa ditemani suami atau mahram dari kalangan ahli keluarga lelaki dan saudara lelaki tidak menjadi isu atau permasalahan dikalangan masyarakat umat Islam hari ini khususnya di Malaysia, tanah air kita sendiri.

Mengapa? Perkara perlakuan ini telah menjadi amalan kebiasaan dan dilakukan hampir semua orang, melibatkan semua keluarga Islam di semua tempat, di kampung atau di bandar sama ada kerana benar-benar suatu keperluan atau bagi lain-lain urusan yang pada agama, tiada kepentingan.

Terdapat ramai pelajar perempuan yang terpaksa menaiki bas atau memandu sendirian untuk pulang ke institusi pengajian setelah habis bercuti di kampung halaman. Mereka ini kemudian tinggal di asrama bagi tempoh masa yang lama.

Dalam suasana lain, ramai wanita yang keluar dari daerah kediaman bagi pelbagai tujuan. Ziarah saudara mara, melancong, pergi membeli belah, pergi ke tempat-tempat hiburan seperti konsert dan bagi lain-lain urusan. Ada pula yang tinggal bersendirian jauh dari keluarga kerana bekerja, berkursus, pengajian dan lain-lain tujuan. 

Apabila mereka yang keluar bersendirian ini melewati tempoh 24 jam dan melepasi jarak tertentu seperti keluar dari kampung atau daerah tempat tinggal mereka, maka mereka boleh dianggap melakukan musafir.

Tahukah kita bahawa terdapat hukum berkaitan perkara ini berdasarkan hadith-hadith sahih nabi. Antara untuk diteliti:-


“... dari Abu Hurairah r.a. berkata; telah bersabda Nabi s.a.w.; "Tidak halal seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhir untuk mengadakan perjalanan selama satu hari satu tanpa didampingi mahramnya".[2]

“... Ziyad berkata, Aku mendengar Abu Sa'id Al Khudriy r.a. menceritakan empat hal (kalimat) dari Nabi s.a.w.  yang menyebabkan aku ta'ajub dan kaget. Baginda s.a.w. bersabda: "Tidak boleh berpergian bagi wanita selama dua hari kecuali bersama suami atau mahramnya, ...".[3]
 “... dari Ibnu 'Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Seorang wanita tidak boleh mengadakan perjalanan diatas tiga hari kecuali bersama mahramnya".[4]

Unsur Isykal[5]& Ikhtilaf[6]
Hadith-hadith di atas[7] sebagai melarang seorang wanita bermusafir seorang diri tanpa suami atau mahram di sisi. Namun mengapa ada unsur isykal dan ikhltilaf melibatkan perbezaan tempoh masa. 1 hari, 2 hari dan 3 hari?
Kaedah Penyelesaian dan Penyerasian
Terdapat sekurang-kurangnya 2 pandangan fiqah di dalam penyelesaian perkara ini dalam memahami apa sebenar yang dimaksud dan dikehendaki nabi:-
Pandangan 1
Pandangan ini berpendapat larangan had masa yang berbeza satu, dua atau tiga hari adalah daripada matan hadis yang berbeza yang timbul dari pertanyaan kepada Nabi. Apabila ada permintaan untuk wanita bermusafir lebih 3 hari, maka nabi tidak membenarkan.  Permintaan untuk 2 hari, nabi tidak membenarkan. Begitu juga bagi 1 haripun, tidak dibenarkan Nabi. [8]
Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa perkataan “janganlah seorang wanita bermusafir” secara mutlak menyatakan kata “safar” atau perjalanan, dan ditaqyidkan dengan kata “dua hari” seperti dalam riwayat Abu Sa’id al- Khudri atau “satu hari satu malam”  dalam hadith riwayat Abu Hurairah. Para ulama mengamalkan apa yang mutlak di dalam hadith ini kerana muqayyadnya berbeza-beza. Jadi, sebagaimana komentar al Nawawi bahawa yang di maksudkan dalam hadith ini bukanlah batasan perjalanan melainkan bahawa semua perjalanan yang disebut sebagai safar adalah haram hukumnya bagi wanita melainkan jika dia disertai oleh mahramnya.[9]
Pandangan 2
Perbezaan atau percanggahan tempoh hari perjalanan bukan faktor material. Faktor material adalah soal keselamatan.
Oleh itu had masa sehari semalam pada interaksi Hadis A adalah mengambil kira suasana ketika itu di mana daerah-daerah di luar kota Madinah tidak terjamin keselamatannya, manakala apabila keadaan keselamatan bertambah stabil dan terjamin, had bermusafir sendirian diluaskan kepada jarak perjalanan 3 hari, sebagaimana hadis B.
Hadis-hadith di atas adalah bukti kepada kepentingan pertimbangan faktor  i’llah dan suasana  iaitu memelihara kemaslahatan dan mengelakkan kemudaratan kepada muslimah ketika mereka bermusafir.
Perbezaan Pendekatan Pada Pandangan 1 dan Pandangan 2
Pandangan 1 :- Berpegang dengan nas secara tekstual.
Pandangan 2:-  Memahami secara kontekstual – kepada wujudnya illah[10]

Pegangan secara tekstual[11] cenderung untuk tidak mengharuskan wanita bermusafir secara bersendirian, manakala pegangan secara kontekstual[12] cenderung kepada kepentingan illah. Sekiranya faktor keselamatan terjamin maka wanita diharuskan bermusafir secara bersendirian.
Maka atas dasar inilah di kalangan para mujtahid, ada yang membenarkan wanita untuk bermusafir sekalipun tanpa mahramnya dan melebihi perjalanan tiga hari, asalkan wanita tersebut dapat memastikan musafirnya adalah selamat, seperti bermusafir bersama sekumpulan orang yang dipercayai. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dipercayai cenderung kepada pandangan ke-2.

Kesimpulan Ringkas Formula Penyelesaian Dan Penyerasian (PP)
Pandangan 1:- Pemahaman Hadis Secara Kontekstual (Faktor Keselamatan Sebagai Illah)
Ringkasnya kaedah PP yang di guna pakai ialah “Jama’’[13] secara pendekatan “Syarah Tafsili”[14]. Bermakna huraian dan perinciannya ialah merujuk kepada faktor keselamatan sebagai illah kepada keharusan bermusafir. Sekali pun melebihi tiga hari.
Pandangan 2:- Pemahaman Secara Tekstual
Kaedah PP yang di guna pakai ialah “Tarjih”[15]. Meneliti isi kesemua hadis iaitu hadis 1 hari, hadis 2 hari dan hadis 3 hari.
Isi pertama : Tidak diharuskan wanita bermusafir tanpa mahram. Lafaz ini bersifat mutlak, putus atau pasti.
Isi kedua: Rujukan perkataan-perkataan 1 hari, 2 hari dan 3 hari -  lafaz ini bersifat Muqayyad (berbeza-beza).
Pemilihan atau tarjihnya:- Apabila berlaku konflik atau pertentangan antara Lafaz Mutlak dan Lafaz Muqayyad, maka Lafaz Mutlak diutamakan, bersifat mengatasi dan lebih wajar di amalkan.

Wahai adik-adikku, gadis dan wanita muda sekelian,

Terdapat beberapa perkara perlu diambil perhatian:-

1.      sekalipun kita mungkin merasakan diri sebagai wanita moden dan kosmopolitan,  janganlah sekali-kali kita memperkecilkan larangan wanita bermusafir bersendirian. Sesungguhnya larangan itu adalah dari Rasulullah s.a.w. sebagaimana disebut dalam lafaz yang jelas seperti direkod dalam hadith yang sahih.

2.      Kini banyak kes gadis-gadis muda dianiaya ketika mereka keluar berseorangan atau tinggal berrsendirian. Didera atas nama cinta. Tertipu dan diperdaya kemudiannya ...., lalu ditinggalkan begitu sahaja. Janji tinggal janji.  Ada yang dirogol dan dibunuh dengan kejam. Cinta tidak berbalas memarakkan api dendam. “Jika aku tidak dapat, tiada lelaki lain yang akan dapat”.

3.      Ada yang dirosakkan oleh teman lelaki. Ini berlaku walaupun diuniversiti. Asalnya nak jumpa bersama untuk ‘study’. Mula-mula kat library lepas tu tempat sunyi. Asyik berjumpa, mula nak sentuh, nak meraba.  Akhirnya... berlaku zina atas alasan suka-sama suka. Yang Perempuan suka, yang lelaki suka , syaitan lagi suka!

4.      Bila dah mengandung, perempuan menyesal tak sudah. Lelaki jadi gelabah. Akhir kedua ditimpa bala. Hidup dalam ketakutan ... macammana nak sorok perut yang semakin mengembung.  Pastu nak buat apa anak yang dikandung... Akhirnya ... dari satu kesesatan ke satu kesesatan ... anak yang baru lahir, nyawanya ditamatkan. Dari ‘martabat’ penzina ke ‘maqam’ pembunuh.  

5.      Syaitan senyum bangga, seorang lagi, atau dua lagi manusia dijauhkan dari syurga. 

6.      Walaupun begitu, kita bersyukur atas terdapatnya dua pandangan berbeza. Pendapat kedua yang memberi keringanan bermusafir sendirian, bersyarat jaminan keselamatan telah memudahkan. Bersesuaian dengan manusia akhir zaman, mahu yang mudah, cepat dan ringan, dalam urusan ibadat dan amal kebajikan, tetapi mengimpikan makanan terlazat, bidadara tercantik, mahligai terbesar di syurga sebagai ganjaran.

7.      Namun ingat, jangan diambil pandangan kedua atas sebab keringanan lalu mengabaikan syarat yang ditetapkan. Itu tanda penyelewengan, tiada kejujuran. Maka, kalau kita sependapat dengan pandangan kedua, atau kita memilih pandangan kedua, kita mesti berusaha keras dalam memastikan keselamatan anak-anak perempuan dikala mereka keluar bermusafir bersendirian atau sekalipun mereka bermusafir bersama satu atau dua teman perempuan.  Risiko terdedah kepada jenayah pada hari ini adalah tinggi dan merisaukan. Begitu juga sekiranya mereka terpaksa tinggal bersendirian atau bersama satu atau dua kawan perempuan,  jauh dari rumah dan kampung halaman, langkah penjagaan keselamatan perlu diutamakan. Kalau tiada keperluan,  janganlah kaum wanita dibenarkan keluar bermusafir bersendirian atau tinggal berjauhan.

8.      Maksud dan kepentingan hadith ini sangat perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan, masyarakat dan khususnya ibubapa sendiri agar mereka dapat membuat perancangan yang teliti berkaitan dengan keselamatan kaum perempuan khususnya yang terpaksa tinggal berjauhan dengan ibubapa dan keluarga seperti pelajar-pelajar perempuan yang tinggal di asrama sekolah, asrama pusat pengajian tinggi, asrama pekerja-pekerja industri, apalagi yang belajar diluar negeri dan lain-lain lagi.

9.      Kerisauan mengenai umat Islam pada hari ini ialah terdapat amalan-amalan bukan sunnah yang diterima kerana telah menjadi kebiasaan sejak sekian lama, sehingga yang tidak berbuat begitu pula dianggap pelik dan asing, sedangkan kadangkala yang asing dan pelik itulah yang menepati sunnah.

10. Setiap keluarga umat Islam mesti kembali sensitif dengan kehendak hadith ini. Sebolehnya pendapat pertama diamalkan. Sekiranya terlalu sukar berpegang dengannya atau terdapat keperluan yang memaksa, amalkan pendapat kedua, pastikan syarat keselamatan terlaksana. Janganlah menjadikan pandangan kedua, sebagai alasan untuk bersuka-suka, untuk memanjangkan langkah dan meluaskan kebebasan anak perempuan kita.

Juga jangan salah faham maksud perkataan ‘keselamatan’! Keselamatan bukan sahaja dari gadis-gadis ini diganggu atau dirosakkan oleh sesiapa pihak yang jahat... tetapi keselamatan dari godaan nafsu jahat diri mereka sendiri. Ini hanya berkesan dengan pendidikan akidah Islam.

Sebagaimana kita selalu berdoa ‘Ya Allah lindungilah aku dari kezaliman manusia dan dari kezaliman diri aku sendiri..”

“Ya Allah selamatkan aku dari kejahatan nafsu manusia dan dari kejahatan nafsu aku sendiri....” 


Khusus buat semua ibubapa dan abang-abang sekelian, saya ingin berkongsi rasa;
        
“ adakah anak perempuan dan adik perempuan kita, di mana sahaja mereka berada,  dalam keadaan selamat.... SEKARANG ?

Hisham-ahmad.blogspot.com    


[1] sila lihat bab berkaitan cinta neraka dan fitnah wanita
[2]Bukhari, Sahih Kitab Jumaat Bukhari No. Hadith 1024. Rujuk hadith lain. No 1026, 2784, 1729
[3]Bukhari, Sahih Kitab Jumaat Bukhari No. Hadith 1122. Rujuk hadith lain. No 1731, 1858
[4]Bukhari, Sahih Kitab Jumaat Bukhari No. Hadith 1024. Rujuk Hadith lain. No 1025
[5] kemusykilan
[6] percanggahan
[7]terdapat banyak riwayat hadith lain atas perkara yang sama dalam kitab hadith lain seperti Sunan Abu Daud, Sunan Tirmidzi dan sebagainya.
[8]Al-Nawawi, Sahih Muslim bi al-Syarh al-Nawawi, 1392 H, Juz 9:103), Buku Takhrijj Hadith Realiti dan Keperluan Masyarakat Islam Nusantara. Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah  Fakulti Pengajian Islam UKM 2010.
[9]Al-Asqalani, Fath al-Bari, 1379 H, juz 4:75, Buku Takhrijj Hadith Realiti dan Keperluan Masyarakat Islam Nusantara. Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah  Fakulti Pengajian Islam UKM 2010.
[10] sebab dan tujuannya
[11]zahir hadith, literal hadith. Kefahaman pada maksud yang secara zahir dibaca
[12]difahami pada konteks tertentu. Tafsiran secara golden rule. Memahami maksud disebalik perkataan zahir dengan kepercayaan itulah yang sebenarkan dimaksudkan oleh nabi.
[13]menghimpunkan, menyatukan mengharmonikan
[14]memberi pemahaman dan penghuraian secara jelas 
[15]memilih pandangan atau kedudukan pendapat , pandangan atau hukum yang lebih rajih, kuat, tepat daripada lain-lain pandangan, pendapat atau hukum

No comments:

Post a Comment