Social Icons

Pages

Thursday, May 23, 2013

Tranformasi dan Transnasional, ujian disebalik kejadian

Sabtu 18-5-2013, menghampiri jam 6 petang di Terminal Bersepadu Selatan – Bandar Tasik Selatan (TS-BTS).  Saya bersama ibu, bapa, isteri dan 5 orang anak menaiki bas untuk pulang ke Melaka.  Sudah terlalu lama saya tidak menaiki bas bagi satu perjalanan, dekat atau jauh. Ini kali kedua saya berada di sini. Pusat perhentian (Bas) ini memang canggih dan cantik.  Saya tidak tahu mana satu bas hendak dipilih. Kaunter tiket banyak. Saya memilih kaunter Transnasional.  Seperti ada unsur nostalgia.

Kami bertolak pukul 6 petang. Keadaan dalam bas selesa. Penumpang tidak ramai. Selain kami 9 orang, terdapat sekitar 5-6 orang lain. Anak-anak saya bergembira ‘menguasai’ kerusi-kerusi kosong di bahagian belakang. Tiada apa-apa video dipasang melainkan kedengaran lagu berbentuk hiburan biasa.

Apabila melepasi sempadan Melaka, dalam keadaan menghampiri waktu maghrib atau telah melepasi sedikit waktu maghrib… isteri saya berbisik kepada saya bahawa dia terdengar pemandu bercakap dalam telefon mengenai bas rosak. Saya memerhatikan keluar dan kedepan.  Oh, baru disedari, bas bergerak terlalu perlahan. ‘Tenaga’ dalamnya bagai diperah untuk menggerakkan ‘badan’ yang besar. Namun bas tetap terus dipandu.  Beberapa penumpang lain juga kelihatan merasa curiga. Namun pemandu tidak memberi apa-apa makluman kepada kami.

Saya mengarahkan anak-anak  saya yang seronok bermain dikerusi-kerusi kosong  di belakang agar duduk semula di bahagian hadapan. Rasa tidak sedap hati. Lebih mudah jika hendak bersegera keluar jika situasi memaksa, fikir saya.

Tiba-tiba bas diberhentikan, isteri saya mengatakan ada banyak asap dapat dilihat daripada bahagian depan. Saya melihat dan terperanjat lalu mengarahkan semua ahli keluarga saya keluar. Suara saya yang diperkuatkan menyebabkan semua penumpang bersegera bertindak untuk turun dan keluar.

Saya tidak tahu setakat mana risiko bahaya… adakah boleh membawa kebakaran!? Tetapi seperti dikatakan’ “hope for the best prepare for the worst’.

Bayangkanlah betapa kelam-kabut untuk mengeluarkan dengan segera anak-anak yang tidak begitu kesah apa yang berlaku dan tidak merasa takut. 13 tahun, 12 tahun, 9 tahun, 7 tahun dan 3 tahun.  Saya perlu mendokong anak bongsu perempuan saya turun dan keluar.  Kalau berlaku apa-apa keburukan luar dugaan, saya tidak pasti sama ada saya sempat mengeluarkan mereka semua.

Alhamdulillah. akhirnya, semua selamat keluar. Apa yang pasti pemandu dan keluar dahulu.

Bas besar tersadai di tepi jalan, lorong kecemasan. Kami tersadai di tepi jalan tidak jauh dari depan bas. Disebelahnya curam yang tidak tahu berapa dalam. Hanya jika tergolek ke bawah barulah tahu.  Keadaan makin gelap. Saya sudah lengoh mendukung anak kecil yang tidak selesa dalam keadaan yang ada. Anak 7 tahun pula memang tidak mudah duduk diam.  Kenderaan besar seperti lori dan bas yang lalu-lalang ditepi/sebelah bas mewujudkan keadaan cemas. Kalau ada lori melanggar bas ini, tidak tahulah untung nasib kami. Saya teringat almarhum keluarga pemilik perniagaan Fadilat Herbs di Melaka (tak berapa pasti nama produk/syarikatnya) yang terkorban sekeluarga apabila kereta BMW baru mereka melanggar kenderaan yang dletakkan di lorong kecemasan ini. Begitulah yang saya dengar. Kesemuanya meninggal dunia.

Ketika ini saya sedar bahawa tidak banyak usaha yang dapat saya lakukan. Haya berserah dan berdoa. Saya pasrah dan bertawakal, menerima dan memujuk hati untuk bersedia menerima apa jua ketentuan. Namun lidah dan hati tidak berhenti mengharap kesudahan yang baik.

Sekian lama, kami dalam ‘comfort zone’. Bila keluar sahaja dari zon itu, kami di uji. Ujian tidaklah besar mana tetapi bagi kita yang sudah biasa dengan keselesaan, ia cukup menguji. Anak-anak selama ini juga berada di dalam zon selesa. Sentiasa ada ibubapa , dato dan makwe (nenek) untuk hampir semua perkara. Makan, minum, belajar, kemudahan pengangkutan ke sana sini selain tempat bermanja dan mengadu. 

Saya terkenang ujian-ujian yang dilalui oleh kanak-kanak yang lain khususnya di Palestin dan Syria. Kesengsaraan dan penderitaan yang ditanggung. Ujian yang dihadapi tidak terbanding dan tidak dapat dirasionalkan oleh akal-budi dan rasa kemaknusian. Kita juga kekadang merasa sukar untuk menjustifikasikannya dengan logik dan fikiran munasabah. Bagaimana sebahagian manusia boleh terlalu begitu tersangat jahat dan kejam?!. 

Biarpun begitu, keyakinan kita tetap teguh sesungguhnya Allah Maha Adil.

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…” (al-Muik:2)
“dan ketahuilah Bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala Yang besar” (al-Anfal,  8:28)
“Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Ankabut 29-2)
“dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya” (Ankabut  29:69)
Kembali. Akhirnya kami semua selamat. Tidak berapa lama dalam penungguan, sebuah bas tiba dan mengambil kami. Di dalamnya dipasangkan rakaman video majlis maulud yang dipenuhi pelbagai selawat atas nabi s.a.w.  Antara yang menjadi pilihan ialah

“Ya hana na..” yang bermaksud “alangkah beruntungnya kami”… 


Oh, hampir saya terlupa. Terdapat satu perkara yang menjadi kemusykilan ialah tentang isu ‘code and conduct’ seorang pemandu atau protokol keselamatan. Sekiranya bas tidak lagi selamat di pandu atau apabila di dapati ada masalah pada bas, mengapa tidak segera berhenti pada tempat yang selamat? Mengapa terus dipandu sehingga sampai berasap … dan akhirnya tempat diberhenti sangat tidak sesuai dan berisiko ? 

Perkara ini perlu diperjelaskan oleh pihak Transnasional segera. 

Transnasional perlu lakukan transformasi, jika tidak mereka terdedah kepada liabiliti.

http://hisham-ahmad.blogspot.com/
 






No comments:

Post a Comment