Social Icons

Pages

Wednesday, May 29, 2013

Autisme, Pancaran Kedewasaan....

7/5/2013, malam hari Isnin. Tiba-tiba, saya dikejutkan dengan pertanyaan dari anak lelaki saya; “Abah, air mani itu apa?”  

Apa relevannya pertanyaan ini?  Relevannya kerana ia datang dari anak lelaki saya berumur 13 tahun yang mempunyai autisme. 

Isu air itu timbul hasil perbualan dia dengan F, adiknya yang berumur 12 tahun. Semasa soalan itu ditanya, kami baru nak keluar ke surau bagi solat isyak. Jadi saya tidak dapat bertanya lanjut perbincangan 2 beradik itu sehingga timbul topik ‘pancaran kedewasaan’ itu.

Semasa menulis tentang ini, saya masih tidak sempat lagi untuk menyiasat atau mengorek apa isi perbualan mereka kerana terlupa dan masih belum berpeluang. Buat masa ini, anak saya F telah kesekolah untuk kelas persediaan UPSR.

Adakah perlu untuk saya siasat? Apa pendapat tuan-puan? Mungkin perbualan mereka sekadar atas isu agama yang ustaz ajar disekolah tetapi mungkinkah juga mereka berbincang pasal ‘girlfriend-boyfriend’, cinta-cintun hingga ke isu seks. Tak mungkinlah, anak-anak saya ini. Seorang ‘innocent’ sifatnya, seorang lagi pengawas sekolah, yang bila diusek dengan awek, menunjukkan rasa tidak suka. Ah! itu didepan bapanya, bersama-sama kawan-kawan, kita tidak tahu. Berbaik sangkalah.

Berbaik sangka? Alamak, nanti dulu. Kalau kita mendengar kisah-kisah budak sekolah rendah dari guru-guru sekolah dalam hal berkaitan isu sebegini (unsur seksual), percayalah,  banyak elemen ‘surprise’ bagi yang bersangka baik.

Saya teringat. Komen pertama saya dalam facebook autisme  (www.facebook.com/groups/autisme.malaysia/) sebagai respon kepada sambutan mesra yang saya terima daripada sekian saudara muslimin dan muslimah. Sambutan baik dan sifat kemesraan keluarga facebook ini memang hebat dan mengharukan sehingga saya risau bahawa buku autisme (aku bersyukur anakku autisme) yang seadanya itu tidak memenuhi ‘expectation’ ibubapa bertuah.

Lalu apa komen saya? Komen saya ialah ‘kekadang menulis jauh lebih mudah daripada melakukan apa yang ditulis’ (lebih kurang begitulah ayatnya).

Begitulah berlaku dalam kes saya sendiri. Bila si anak mengeluarkan pertanyaan begitu. Serasa ketukan tepat didahi saya. Mengapa saya tercuai daripada bertanya dahulu soalan itu. Saya pernah ‘syak; atas pertukaran suaranya yang menjadi lebih garau dan besar. Semasa itu, saya mungkin merasa, takkanlah dia cepat didatangi berahi yang mendorong kepada mimpi indah hingga berlaku pancaran kedewasaan. Kerana apa? Kerana dia anak ‘innocent’ dan rasa sensual sebegitu mungkin masih terlalu awal bagi dirinya. Saya tersilap. Mungkinkah perubahan kematangan fizikal boleh mendorong kepada kedewasaan itu. Harap ada saudara/saudari yang ahli/pakar dalam bidang ini  yang dapat membantu menjelaskan hal ini.

Bila tiba perkara sebegini, baru diri sendiri rasa teruji atas kefahaman ilmu ini sedangkan ada bahagian atau bab dalam buku autisme itu yang berkaitan isu dewasa, baligh dan sebagainya.  Saya tulis tentangnya tetapi belum tentu saya sendiri dapat menghayati atau merealisasikan ilmunya dengan berkesan.    

Saya sedar ada ayat al-Quran yang memberi peringatan atau teguran terhadap mereka yang tidak melakukan apa yang dikatakan. Kita memohon perlindungan-Nya dari termasuk golongan yang ‘cakap tak serupa bikin’.

Namun saya mengambil pendekatan bahawa penulisan itu sendiri merupakan satu motivasi atau dorongan untuk kita berusaha melakukan atau ke arah melakukan dan merealisasikan apa yang dikata, ditulis.

Kembali kepada pertanyaan anak saya itu. Saya pun menjawab “Air mani itu putih macam susu, rasa melekit..”  D… ada keluar air mani ke?” 

“Ada, hari itu…” katanya.  Saya memandang kepada isteri saya , mempamerkan muku terkejut (tetapi tidaklah ketahap "terkejut beruk") sambil tersengih seperti 'kerang yang belumlah lagi busuk' dan dengan perlahan berkata; “alamakkkk...”

Dipendekkan cerita. Setelah sedar dari kejutan, saya menyuruh dia mandi wajib dahulu dan solat isyak di rumah. Isteri saya mengajar niat mudah mandi wajib dan apa yang perlu. Saya bergegas ke surau.

Terlintas difikiran, bagaimana solat-solatnya dalam 1-2 hari ini, jika dia tidak meniatkan mandi wajib (bersuci dari hadas besar). Semoga Allah mengampun kami atas kelemahan dan kejahilan ini. Saya bergantung kepada dalil atau nas bersandarkan  harapan kepada kewujudan satu hadith, yang menyatakan ada situasi nabi s.a.w. atau seorang sahabat terlupa mandi wajib dan mengimami solat jemaah.Semoga ada pelepasan begitu atas ketidaksengajaan itu. (Belum sempat untuk semak kesahihan kewujudan authoriti atau kesahihan kualiti (jika hadith atau athar, apa statusnya- moga ada bantuan dan pencerahan)

Isunya, pada aspek aspek syariah, adakah dia sudah dianggap dewasa? Status mukalaf?  Namun saya yakin penilaian dirinya (dalam hal dosa dan pahala) tentulah berdasarkan kematangan pemikirannya. Nasib baik tidak lama sebelum itu, saya ada membuat satu sesi semakan secara ‘one to one’ dalam hal solat, hafazan, bacaan dan kefahaman. Selama beberapa jam, saya menghabiskan masa dengannya. Pada aspek untuk membaiki kualiti bacaan fatihah sahaja telah menduga kesabaran saya. Sesungguhnya, memanglah perlu untuk semakan dilakukan dari masa ke semasa. Kini, proses mengajar ilmu dan memberi kefahaman adalah lebih perlu disegerakan.

Sekiranya atau apabila dia sudah mula dipertanggungkan dalam soal dosa dan pahala, kita mahu anak ini memulakan langkah kedewasaan sebagai anak muda yang mantap tauhidnya, memahami objektif solat dan melakukan dengan kualiti, mejauhi dosa dan mula aktif mengumpul pahala. Pun begitu saya tahu ia satu cabaran bagi saya. Cabaran yang berterusan ....entah untuk berapa lama lagi?

Sesungguhnya buku (aku bersyukur anakku autisme) itu mungkin mengandungi nas dan dalil (Quran dan Hadith) yang agak banyak untuk dijadikan rujukan, bandingan dan panduan dalam menjelaskan hubungan kita dengan anak autisme daripada pelbagai aspek, namun hakikatnya ilmu dan kemahiran spesifik yang tinggi dalam didikan anak autisme adalah hasil usaha jerit perih yang berterusan dari masa ke semasa oleh si-ibu, ibu, ibu dan bapa.  Penyudahnya, bagi setiap anak ini, si ibu atau sibubapanya yang lebih memahami.

Maksud saya, hasil perkongsian maklumat yang dilakukan dalam facebook itu jika disunting, akan mengumpulkan ilmu-ilmu khusus, terperinci dan penting kerana ia berdasarkan pengalaman realiti. Inilah antara ‘buku’ autisme terbaik yang tidak harus ditinggalkan dari dibaca.

Buku saya (as co- writer) jika sekadar dapat mendatangkan rasa ‘lega’ (comfort), rasa ‘tenang’, rasa ‘ada hikmah disebalik kejadian’ , rasa ‘layak kepada ujian’, rasa  ‘sabar’ atau lebih tinggi lagi, rasa ‘syukur’, maka ia telah mencapai ‘expectation’ saya sendiri, dan saya mohon maaf sekiranya ia jauh dari ‘expectation’ para ibu dan bapa bertuah kepada anak-anak syurga.

Bersambung…  Allah juga yang maha mengetahui.

Untuk maklumat lanjut. http://hisham-ahmad.blogspot.com/
 

Sunday, May 26, 2013

AUTISME TIADA MASA DEPAN.... benarkah ..?

Saya ingin bertanya kepada semua, tahukah maksud perkataan autisme, autistic? Baiklah, jika tidak pasti, tahukah anda maksud kanak-kanak yang mempunyai autisme?  Atau kanak-kanak autisme?

Selain daripada keluarga yang mempunyai disisi mereka kanak-kanak ini, Saya percaya kebenyakan kita ‘tahu’ tentang kewujudan  kanak-kanak ini, tetapi belum tentu ‘sedar’ akan kewujudannya.

Maksud ‘sedar’ ini adalah mengetahui secara wajar dan memberi tindakbalas  sewajarnya atas ‘tahu’ itu. Anologinya ialah semua orang ‘tahu’ solat fardu 5 waktu itu penting dan wajib (namapun fardu) tetapi bukan semua yang tahu itu ‘sedar’ untuk melakukannya.

Anda perlu sedar bahawa terdapat kanak-kanak autisme disekitar anda atau tidak jauh dari anda yang perlu anda tanggapi, layani dan hormati mereka sewajarnya. Keistimewaan atau kelainan upaya kanak-kanak autisme adalah unik dan berbeza antaranya kerana tidak mudah untuk mengenali dan mengesannya hanya dengan melihat pada raut wajar dan penampilan fizikal kanak-kanak ini. Tanpa ilmu mengenainya anda ditakuti akan menanggapi, bertindak balas dan melayani secara yang tidak wajar dan tidak adil. Kesedaran ini membolehkan kita menjauhi risiko daripada kita menzalimi orang lain atau diri kita sendiri.

Justeru sangat digalakkan kepada semua untuk mendapatkan buku “aku bersyukur anakku autisme” terbitan Telaga Biru hasil tulisan di Dr wan Nasyruddin dan seorang lagi. Ia masih baharu di pasaran. Anda juga diharap dapat menziarahi facebook :  /groups/autism.malaysia/   bagi maklumat yang sangat berfaedah.

Ada satu kisah relevan yang membawa pengajaran. Hari itu saya menghantar 1 buku “aku bersyukur anakku autism” dan 1 buku haji (Baitullah aku datang) kepada seorang kenalan mekanik, pemilik bengkel membaiki kereta. Saya sedikit ‘curious’ kenapa pula dia mahukan buku ini. (Sebab tidak mudah seseorang hendak membaca buku sebegini jika tidak ada suatu sebab kuat yang menarik hatinya atau memaksa..)

Dengan berhemat saya bertanya, “A……., mengapa kau berminat nak baca buku ini?
Dipendek cerita. Dia dikurniakan seorang anak lelaki yang mempunyai autisme.



Dari perbualan kami, ada satu perkara penting yang diluahkan. Dia kata isteri dia telah bawa anaknya ke hospital swasta di Melaka dan berjumpa seorang doktor pakar… Antara ayat yang dikatakan oleh doktor pakar itu telah membuatkan isterinya menangis.

“anak autisme takda masa depan”

Apa agaknya perasaan saya mendengarnya? Namun saya berbaik sangka kerana kita tidak mendapat maklumat lengkap dalam konteks apa ayat itu dikeluarkan. Mungkin juga kerana kurang fasih berbahasa melayu, maka ayat yang dikeluarkan bukan apa yang ingin disampaikan (dimaksudkan).  Namun situasi perbualan kami terlalu singkat disebabkan ada pelanggan memerlukan perhatian mekanik itu. Saya tidak sempat bertanya apa-apa lagi.

Cuma jika saya berjumpa isteri mekanik itu mungkin saya akan katakan, “Lah tahzan, inna Allah a, ma’ana”.  Mungkin tidak, kerana takkan tiba-tiba jumpa nak cakap macam ini.

Mungkin saya akan katakan bahawa sebahagian isi (dan tujuan utama) buku yang saya berikan kepada suaminya itu ada dan dapat memberi jawapan terbaik dalam menjawab kata-kata doktor pakar itu.

Sesungguhnya benarlah kanak-kanak autisme akan mempunyai cabaran berbeza dan mencabar pada masa depan mereka dalam memenuhi tuntutan keperluan hidup tetapi ada banyak bukti kes-kes kejayaan dari kalangan mereka yang mempunyai autisme.

Melebihi dan di atas semua itu, bagi kita orang Islam, kanak-kanak autisme ini adalah mempunyai kedudukan khas dan istimewa di sisi Allah. Ia adalah satu peluang yang Allah sediakan untuk dirinya dan orang disekelilingnya dalam meraihkan kebahagian dunia dan kejayaan hakiki di akhirat. Jika kita (ibubapa dll) berjaya menangani dengan betul, ketika itu tiadalah yang lain melainkan bahawa :-   

“Anak autism adalah satu jalan untuk kita ke Syurga-Nya”


Untuk maklumat lanjut. http://hisham-ahmad.blogspot.com/
 

Thursday, May 23, 2013

Tranformasi dan Transnasional, ujian disebalik kejadian

Sabtu 18-5-2013, menghampiri jam 6 petang di Terminal Bersepadu Selatan – Bandar Tasik Selatan (TS-BTS).  Saya bersama ibu, bapa, isteri dan 5 orang anak menaiki bas untuk pulang ke Melaka.  Sudah terlalu lama saya tidak menaiki bas bagi satu perjalanan, dekat atau jauh. Ini kali kedua saya berada di sini. Pusat perhentian (Bas) ini memang canggih dan cantik.  Saya tidak tahu mana satu bas hendak dipilih. Kaunter tiket banyak. Saya memilih kaunter Transnasional.  Seperti ada unsur nostalgia.

Kami bertolak pukul 6 petang. Keadaan dalam bas selesa. Penumpang tidak ramai. Selain kami 9 orang, terdapat sekitar 5-6 orang lain. Anak-anak saya bergembira ‘menguasai’ kerusi-kerusi kosong di bahagian belakang. Tiada apa-apa video dipasang melainkan kedengaran lagu berbentuk hiburan biasa.

Apabila melepasi sempadan Melaka, dalam keadaan menghampiri waktu maghrib atau telah melepasi sedikit waktu maghrib… isteri saya berbisik kepada saya bahawa dia terdengar pemandu bercakap dalam telefon mengenai bas rosak. Saya memerhatikan keluar dan kedepan.  Oh, baru disedari, bas bergerak terlalu perlahan. ‘Tenaga’ dalamnya bagai diperah untuk menggerakkan ‘badan’ yang besar. Namun bas tetap terus dipandu.  Beberapa penumpang lain juga kelihatan merasa curiga. Namun pemandu tidak memberi apa-apa makluman kepada kami.

Saya mengarahkan anak-anak  saya yang seronok bermain dikerusi-kerusi kosong  di belakang agar duduk semula di bahagian hadapan. Rasa tidak sedap hati. Lebih mudah jika hendak bersegera keluar jika situasi memaksa, fikir saya.

Tiba-tiba bas diberhentikan, isteri saya mengatakan ada banyak asap dapat dilihat daripada bahagian depan. Saya melihat dan terperanjat lalu mengarahkan semua ahli keluarga saya keluar. Suara saya yang diperkuatkan menyebabkan semua penumpang bersegera bertindak untuk turun dan keluar.

Saya tidak tahu setakat mana risiko bahaya… adakah boleh membawa kebakaran!? Tetapi seperti dikatakan’ “hope for the best prepare for the worst’.

Bayangkanlah betapa kelam-kabut untuk mengeluarkan dengan segera anak-anak yang tidak begitu kesah apa yang berlaku dan tidak merasa takut. 13 tahun, 12 tahun, 9 tahun, 7 tahun dan 3 tahun.  Saya perlu mendokong anak bongsu perempuan saya turun dan keluar.  Kalau berlaku apa-apa keburukan luar dugaan, saya tidak pasti sama ada saya sempat mengeluarkan mereka semua.

Alhamdulillah. akhirnya, semua selamat keluar. Apa yang pasti pemandu dan keluar dahulu.

Bas besar tersadai di tepi jalan, lorong kecemasan. Kami tersadai di tepi jalan tidak jauh dari depan bas. Disebelahnya curam yang tidak tahu berapa dalam. Hanya jika tergolek ke bawah barulah tahu.  Keadaan makin gelap. Saya sudah lengoh mendukung anak kecil yang tidak selesa dalam keadaan yang ada. Anak 7 tahun pula memang tidak mudah duduk diam.  Kenderaan besar seperti lori dan bas yang lalu-lalang ditepi/sebelah bas mewujudkan keadaan cemas. Kalau ada lori melanggar bas ini, tidak tahulah untung nasib kami. Saya teringat almarhum keluarga pemilik perniagaan Fadilat Herbs di Melaka (tak berapa pasti nama produk/syarikatnya) yang terkorban sekeluarga apabila kereta BMW baru mereka melanggar kenderaan yang dletakkan di lorong kecemasan ini. Begitulah yang saya dengar. Kesemuanya meninggal dunia.

Ketika ini saya sedar bahawa tidak banyak usaha yang dapat saya lakukan. Haya berserah dan berdoa. Saya pasrah dan bertawakal, menerima dan memujuk hati untuk bersedia menerima apa jua ketentuan. Namun lidah dan hati tidak berhenti mengharap kesudahan yang baik.

Sekian lama, kami dalam ‘comfort zone’. Bila keluar sahaja dari zon itu, kami di uji. Ujian tidaklah besar mana tetapi bagi kita yang sudah biasa dengan keselesaan, ia cukup menguji. Anak-anak selama ini juga berada di dalam zon selesa. Sentiasa ada ibubapa , dato dan makwe (nenek) untuk hampir semua perkara. Makan, minum, belajar, kemudahan pengangkutan ke sana sini selain tempat bermanja dan mengadu. 

Saya terkenang ujian-ujian yang dilalui oleh kanak-kanak yang lain khususnya di Palestin dan Syria. Kesengsaraan dan penderitaan yang ditanggung. Ujian yang dihadapi tidak terbanding dan tidak dapat dirasionalkan oleh akal-budi dan rasa kemaknusian. Kita juga kekadang merasa sukar untuk menjustifikasikannya dengan logik dan fikiran munasabah. Bagaimana sebahagian manusia boleh terlalu begitu tersangat jahat dan kejam?!. 

Biarpun begitu, keyakinan kita tetap teguh sesungguhnya Allah Maha Adil.

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…” (al-Muik:2)
“dan ketahuilah Bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala Yang besar” (al-Anfal,  8:28)
“Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Ankabut 29-2)
“dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya” (Ankabut  29:69)
Kembali. Akhirnya kami semua selamat. Tidak berapa lama dalam penungguan, sebuah bas tiba dan mengambil kami. Di dalamnya dipasangkan rakaman video majlis maulud yang dipenuhi pelbagai selawat atas nabi s.a.w.  Antara yang menjadi pilihan ialah

“Ya hana na..” yang bermaksud “alangkah beruntungnya kami”… 


Oh, hampir saya terlupa. Terdapat satu perkara yang menjadi kemusykilan ialah tentang isu ‘code and conduct’ seorang pemandu atau protokol keselamatan. Sekiranya bas tidak lagi selamat di pandu atau apabila di dapati ada masalah pada bas, mengapa tidak segera berhenti pada tempat yang selamat? Mengapa terus dipandu sehingga sampai berasap … dan akhirnya tempat diberhenti sangat tidak sesuai dan berisiko ? 

Perkara ini perlu diperjelaskan oleh pihak Transnasional segera. 

Transnasional perlu lakukan transformasi, jika tidak mereka terdedah kepada liabiliti.

http://hisham-ahmad.blogspot.com/
 






Thursday, May 16, 2013

Buku : Aku Bersyukur Anakku Autisme


Makluman : Salam untuk semua

Buku : Baitullah... Aku Datang



Baitullah... Aku Datang
Hisham Ahmad

Harga : RM 19.90
ISBN : 978-967-86-04-07
Halaman : ~ 400
Berat : 350 gm
Tarikh Terbit : 20 Januari 2013
Kategori : Agama

Sinopsis
Menunaikan fardu haji wajib bagi setiap umat Islam. Tanyalah ke¬pada mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Tanah Haram, pasti jawapannya mengujakan sehingga ada yang ingin kembali semula ke sana. Betapa hebatnya ‘aroma’ Kaabah hinggakan tiada kata yang terlafaz kecuali air mata pengganti bicara.

Haji mabrur, ganjarannya syurga nan abadi. Tetapi dapatkah di¬pastikan setiap rukun yang dilaksanakan itu menepati sunnah Rasulullah? Benarkah setiap pelaksanaan bertepatan dengan suruhan baginda? Jika demikian, mengapa masih ada yang mengabaikan pesan Nabi ketika berhaji? Bahkan ramai pula yang hanya ikut-ikutan tanpa ilmu yang benar dan pasti.

BAITULLAH... AKU DATANG menjadi pendorong buat semua bakal jemaah yang mengharapkan haji mabrur. Mudah-mudahan ilmu yang diperolehi dapat menukarkan tradisi kepada sunnah, selain mengutip semula teladan Rasulullah yang tercicir ketika menziarahi rumah-NYA. Mencari yang terbaik itulah kebijaksanaan, merungkai yang benar adalah kemestian!

ANTARA YANG MENARIK:
• Wasiat Haji
• Solat di Udara
• Kebal Tanpa Syahwat
• Umrah Sahabat Peguam
• Sedekah 100 000 Ganjaran
• Adakah Afdal dan Aula itu Sunnah?
• Sifat Solat Nabi
• Sifat Haji Nabi SAW
• Solat dalam Kaabah?
• Akhlak Perindu Haji Mabrur
• Menuntut Ilmu Pengetahuan
• Panduan Mendekati Sunnah