Social Icons

Pages

Friday, November 7, 2014

BULI. Khas Buat MRSM Ulul Albab



Kenapa saya khususkan kepada MRSM Ulul Albab?  Satu kerana saya menghargai jasa menteri yang bertanggujawab melakukan transformasi terhadap MRSM. Transformasi  bersifat taqarub-illahi.
Kedua, saya mempunyai sebab peribadi. Bagaimanapun, jika ada kebaikan pada apa yang saya bicarakan, bolehlah dijadikan panduan dan pandai-pandailah sesuaikan dengan keadaan.

Semua bapa dan abang-abang yang pernah bersekolah asrama pasti mempunyai pengalaman sendiri dalam hal buli. Sukar mengatakan buli tidak wujud. Ia hanya persoalan seburuk mana ia berlaku, sekerap dan seteruk mana pembulian itu?

Semasa saya disekolah agama di Selangor sekitar tahun 1984… buli telah berlaku. Seingat saya, kebanyakan pelajar lelaki ketika masuk asrama ditingkatan satu, lazimnya berbadan kecil sama ada belum baligh atau baru baligh.  Manakala fizikal atau tubuh pelajar tingkatan dua dan tiga (khususnya tingkatan 3) jauh lebih besar. Pelajar tingkatan satu yang buat pertama kali meninggalkan rumah dan pertama kali tinggal diasrama adalah bersifat ‘penakut’ kepada senior mereka menjadikan mereka mudah diugut, digertak dan dibuli.

Buli secara fizikal atau  secara halus memang berlaku secara agak kerap dan dan ia boleh berlaku dalam keadaan bila-bila masa, apabila peluang terbuka. Sentiasa sahaja ada pelajar senior yang ingin membuli (secara ringan) tetapi  terdapat beberapa orang yang boleh disifat sebagai kaki-buli kerana melakukan secara keterlaluan dan selalu mencari peluang untuk membuli seakan ia telah menjadi hobi mereka.

Pelajar tingkatan 1 yang kebanyakannya hidup dalam ketidak tenangan ini berusaha mengelakkan dari tertembung kaki buli ini, tetapi ia menjadi tidak mudah jika sikaki buli memang sengaja mahu bertembung. Lagi, manakan mudah mengelak jika tinggal bersama seasrama.

Pengalaman menyaksikan bahawa kaki-kaki buli ini sebenarnya menunjuk  berani dan mengambil kesempatan atas sifat takut atau sifat tidak melawan, pelajar-pelajar junior mereka. Sebab itu bukan semua dibuli. Akibat kerap membuli, sifat zalim mulai sebati dalam diri. Mereka menjadi biasa melakukannya.  Biasa bertukar suka. Bila dah suka, tentulah kena buat selalu.

Mangsa-mangsa yang dibuli, sebahagiannya mengambil alih tugas zalim itu bila mereka pula berstatus  senior. 

Apabila saya memasuki Kolej Islam Kelang (Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang) pada tingkatan 4, pada awal minggu orientasi kami, wakil tak rasmi pelajar tingkatan 5 yang pada mulanya kelihatan sebagai pembuli telah membuat perisytiharan kepada kami bahawa tradisi zalim itu tidak akan diteruskan oleh mereka. Betapa hebatnya senior itu , kerana memulakan ‘sunnah’ yang baik dan menghentikan tradisi zalim yang mungkin diwarisi sejak zaman firaun, diturunkan kezaman Husni Mubarak… di wasiatkan kepada Fatah Sisi…. dan entah macam mana telah di’eksport’ ke negara kita. Asal jangan melalui pelajar kita di sana, sudahlah (ini dimaksudkan sebagai gurauan).

inilah coretan ringkas sedikit kisah dulu tentang buli.

Satu kesimpulan atas pengalaman saya ini ialah punca utama buli gagal dibendung secara efektif ialah kelemahan pihak sekolah khususnya sistem penjagaan keselamatan, pengawasan di asrama.  Mereka seperti berpegang kepada anggapan bahawa ‘ia hanya berlaku disekolah lain, tidak mungkin disekolah aku’.   Tiada mekanisma pencegahan, tiada pengawasan berkesan, hanya menunggu kepada pengaduan. Barulah sibuk… atau buat-buat sibuk!


Kini, berita kes-kes buli kecoh semula. Satu di MRSM, bukan sekadar dibelasah tapi sampai hendak diseterika. Terbaru, rakaman pembulian melibatkan anak-anak yatim. Ini yang dirakam dan dapat ditonton, atau yang diadukan dan didedahkan. Bagaimana dengan yang tidak dapat dirakam, didiamkan atau di’konspirasi’  agar didiamkan?  Siapa berani kata ia masih tidak banyak berlaku? Tanyalah suara hati semua lelaki yang pernah tinggal diasrama? Samada ia pernah dibuli … yang menyaksikan kejadian buli…. atau yang pernah melakukan dosa-dosa buli?

Menyaksikan aksi ganas budak berbaju hitam itu… masing-masing boleh analisa sendiri. Mangsa—mangsa yang mungkin lebih ramai, mungkin lebih besar tidak ada maknanya jika pengecut atau tidak mampu berfikir secara terbaik atas apa tindakan terbaik untuk dibuat pada masa itu. Kita tidak salahkan mereka, kerana reaksi kita dulu pun lebih kurang sama.

Satu pembulian dikalangan budak pandai. Satu pembulian dikalangan budak hidup susah atau tiada ibu atau bapa. Apa pengajaran daripadanya?Fikirlah sendiri.

Baiklah. Mari kita berimaginasi. Pelajar yang tergamak memukul berlebihan sampai sanggup gunakan sterika, bagaimana kalau sudah besar nanti diberi jawatan sebagai pegawai  risikan atau soalsiasat  bagi Jenderal Fatah Al-Sisi? Atau pengawal penjara yang menjaga tahanan ISA? 
Manakala, pelajar yang beraksi serangan bertalu-talu itu pula bila besar nanti ditugaskan sebagai pengawal yang mengawal peserta demonstrasi bersih, dan dia dibekalkan dengan machine-gun?  

Selesai imaginasi. Sedar semula.

Bagaimana jiwa anak-anak muda ini. Bagaimana sifat zalim telah menguasai diri. Wajarkah dibela dengan alasan ia sekadar ‘adrenalin rush.’  Walaupun pada undang-undang mereka belum dewasa (belum 18 tahun) tapi ingatlah pada syarak mereka telah dewasa (jika dah baligh pada umur 12-13 tahun). Kedudukan orang yang dewasa pada syarak tidak kira ia berumur 15 tahun atau 51 tahun , bebanan tanggungan dosa adalah sama. Tanggunglah sendiri.

Baiklah. Mari kita pergi kepada sedikit cara penyelesaian  … khusus untuk MRSM Ulul Albab. Saya pun ada kerja lain nak buat ni.

     1.  Melayani dosa buli mengikut apa yang layak baginya. Kita mesti anggap buli itu satu kezaliman yang dibenci Allah swt. Tidak boleh lagi ada anggapan alah biasalah, budak-budak lelaki. Ia satu dosa yg serius. Ia sifat zalim yg tidak patut kita pupuk. Apa beza kita nanti dengan bangsa yahudi-zionis.  Semua pelajar mesti diberi gambaran yang jelas keberdosaan ini dan betapa tidak berbaloi ia dilakukan. Dunia dan akhirat. Malah dosanya mungkin menghantui kita sepanjang hidup. Sila baca kes seorang pelajar sekolah agama Izzudin Perak yang bertukar menjadi murtad dan membenci guru-ustazah-rakan-rakan dan agamanya yang antara puncanya ialah terjejasnya psikologi dan perasaannya apabila sentiasa dibuli dan diejek semasa zaman sekolah tanpa tidak dapat pembelaan yang wajar.  

     2.       Sentiada berawas dan bersedia. Kita tidak suka ia berlaku tetapi kita mesti pijak pada realiti bahawa buli  masih dirasa banyak berlaku atau kita mesti berawas bahawa ia boleh bila-bila masa sahaja berlaku. Kita tidak mahu, kerana tidak bersifat ‘alert’ atau awas , berlaku buli melampau yang menyebab kecederaan teruk, kematian atau kecederaan pada emosi, mental atau psikologi.

    3.       Kita bersangka baik dengan pelajar ulul albab kita tetapi kita mesti sentiasa bersangka buruk dengan syaitan yang sentiasa berkeliaran disekeliling mereka. Sejarah membuktikan sentiasa ada sahaja pelajar yang berjaya dihasut hingga hilang pertimbangan lalu berlaku buli. Bila dah belasah, dan disorakkan, hilang akal… seterika pula nak diambil. Agaknya, kalau ada pisau atau pistol yang boleh dicapai?

     4.       Pelajar-pelajar diajar berawas dan bersedia. Jika ia berlaku kepada sesiapa sahaja diantara mereka, mereka mesti tahu apa nak buat. Warden-warden sewajar, diwaktu-waktu tidak disangka melakukan pemeriksaan mengejut dibilik-bilik asrama.
   
     5.       Perlu ada mekanisma yg tepat dan efektif. Sekiranya berlaku situasi buli atau suatu keadaaan yang membawa kepada buli, apakah mekenisma dalam berhadapan dengannya. Apakah semua pelajar telah diajar tentangnya? Sebagai contoh, apabila berlaku kejadian kecemasan seperti kebakaran, maka terdapat protocol dalam menyelamatkan diri.

     6.       Pelajar-pelajar wajar mampu mengenal tanda-tanda akan berlakunya buli, jika begitu apa perlu dilakukan. Atau buli telah mulai berlaku. Apa yang perlu dilakukan? Atau buli mulai melampau, Apa yang perlu dilakukan?  

     7.       Sebagai contoh dalam kes pelajar yang membuat serangan ganas dalam video itu? Apa yang perlu dilakukan oleh mangsa? Apa yang perlu dilakukan oleh saksi? Apa yang perlu dilakukan oleh rakan seumur penzalim dan yang dizalimi? Mesti ada rakan sebaya yang bersedia membantu.

Contohnya, rakan pelajar tingkatan satu yang dibuli aray rakanya mesti terus sms warden atau bergerak ke bilik air telefon warden atau ibubapa. Mesti ada kerjasama baik dan seorang warden yang bertugas dalam hal ini. Telefon adalah penting. Pelajar mesti jangan berahsia dengan ibubapa, laporkan terus ibubapa. Setiap kawan ada no telefon ibubapa beberapa kawan yang lain. Jangan sampai, pelajar yang dan tercedera dibiarkan sampai sehari menderita kerana nak sembunyi dari ibubapa atau warden gagal bertindak tepat dan cepat.

     8.       Perlu diwujudkan kumpulan penyelamat dikalangan pelajar. Pasti ada belajar baik, kuat dan berani. Lahirkan jiwa pelajar yang suka membantu orang lain, yang suka menghentikan kezaliman. Tiada ‘ikatan janji setia sehidup semati’ dalam melakukan kezaliman, no brotherhood dalam kerjasama dosa. Pelajar bermasalah sebenarnya hanya beberapa orang. Kalau bersatu menentangnya pasti dia takut.

    9.       Saya masih ingat ketika saya ditolak oleh pelajar yang dikenali sebagai kaki buli  dan ditolak ke dinding oleh pelajar tingkatan 3 itu kerana tidak puashati saya lama  bermain pingpong (sebab tidak kalah dan dia mahu ambil alih tempat saya… sedangkan dia boleh minta baik-baik). Dia kemudian bergaya seperti mahu menumbuk saya. Seorang pelajar tingkatan 3 berbadan lebih tegap dan besar tetapi baik dan berani telah menghalang dan menyelamatkan saya. Pelajar yang baik itu saya masih ingat namanya dan kini hasil risikan saya, dia adalah pemegang DR falsafah dan berstatus Prof Madya di sebuah universiti.  

    10.   Psikologi pelajar. Antara kurang ajar dan hormat. Ia mesti diajar secara wajar bertepatan al-Quran dan Al-Sunnah bukan ikut rasa hati dan fikir sendiri. Pelajar junior jangan kurang ajar, pelajar senior jangan harapkan penghormatan lebih kadarnya.
  
    11.   Timbangtara. Pelajar –pelajar diajar cara menyelesaikan konflik antara mereka. Mungkin perlu ada jawantakuasa timbangtara dikalangan pelajar bagi menyelesaikan masalah antara mereka. Penal Rayuan, barulah kepada guru-guru. Mereka diajar menyelesaikan masalah dan konflik secara hujah dan bukti … bukan secara menghayun tangan dan kaki.

    12.   Haram filem ganas, samseng melayu dan seumpamanya.  Saya terbaca teguran Wardina (jika benar dari Wardina) dan saya menyokongnya. Bagi yang tidak berpuashati, saya katakana “tidak  usahlah melawan suara hati kepada kebenaran dan akal fikiran yang bijaksana, bahawa kebaikan filem-filem ini, jika ada, adalah sedikit shj manakala kesan buruk nya adalah melampau-lampau.” (Pada arak itu ada sedikit kebaikan, tetapi keburukannya begitu besar)

     13.   Tadabur al-Quran. Kelebihan sekolah Ulul Albab. Ini jawapan penyelesaian mendalam dan menyeluruh. Sepatutnya, isu buli menjadi sangat mudah dikendalikan di tempat di mana Quran di hafaz. Tapi ingat syaitan dihantar mungkin kategori peguam, pakar motivasi,  kaunselor, dai atau ulama mereka.

    14.   Masa pelajar MRSM Ulul Albab sangat suntuk. Tiada masa untuk dibazirkan. Program & aktiviti lain mesti yang bukan sahaja bermanfaat tapi antara yang paling manfaat. Jika menjemput penceramah, atau tokoh luar, dapatkan yang terbaik bukan sekadar pada nama tapi isi yang hendak dibicara. Bukan penceramah yang datang bicarakan pasal air jampi, jual minyak wangi, kayu kokka atau sebagainya. Utamakan sunnah-sunnah yang sahih berteraskan hadith-hadith sahih. Utamakan kepada pembentukan manusia berkualiti.
  
    15.   Penekanan kepada program tadabur ayat Quran. Pilih yang paling relevan kepada mereka. Contoh memahami ayat yang menyuruh berlaku adil. Ayat-ayat tentang kepentingan sabar, syukur. Ayat –ayat ibadur rahman. Banyak sangat.  

   16.    “…dan hamba-hamba (Allah) AR-RAHMAAN, (yang diredai-Nya) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” Ayat 63 surah Furqan.

     17.   Dan (ingatlah), ketika Musa Berkata kepada kaumnya: "Ingatlah nikmat Allah atasmu ketika dia menyelamatkan kamu dari (Fir'aun dan) pengikut-pengikutnya, mereka menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak laki-lakimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu; dan pada yang demikian itu ada cobaan yang besar dari Tuhanmu" Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Surah Ibrahim ayat 6-7)

     18 .   “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (Kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.(Surah al-Maa’idah 5:8)\

     19.   Maka sesuatu yang diberikan kepadamu, itu adalah kenikmatan hidup di dunia; dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan Hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal.  Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan- perbuatan keji, dan apabila mereka marah mereka memberi maaf. (Assyura (42) : 36-37)

Semua ayat ini sebagai contoh jika dianalisa dan disampai oleh mereka yang terbaik… dan dikaitkan dengan realiti hari ini. Subhan Allah, pasti menusuk ke hati...

termasuk hati pembuli. 

Wallahu taala alam.

Hisham-ahmad.blogspot.com

1 comment:

  1. sangat bermanfaat. It should be shared among parents and students...

    ReplyDelete