Social Icons

Pages

Monday, November 25, 2013

Dilema sistem pendidikan kita dan Cabaran Untuk Menjadi Hafiz al-Quran



Alhamdulillah. Faruq, anak kedua saya mendapat semua A untuk UPSR, SIA, UPKK dan peperiksaan di kelas mingguan (tahfiz)nya di Masjid Azim Melaka. Alhamdulillah. Dari sudut akademik dan ilmu agama, pada umur 12 tahun, pencapaiannya lebih baik daripada saya,  iaitu ketika saya berumur 12 tahun dahulu. Namun itu tidak bermakna dia lebih bijak daripada bapanya, hanya sanya peluang dan kesempatan yang dia perolehi jauh lebih besar, pada aspek itu. Itu tidak pula bermakna, saya terlalu ego untuk mengatakan siapa lebih bijak, dia atau saya, ketika umur 12 tahun, kerana ia terlalu subjektif, apalagi 12 tahun dia dan saya merujuk dua zaman yang berbeza.

Seorang bapa tidak akan cemburu bahkan gembira jika anaknya dapat menjadi lebih baik daripada dirinya sendiri. Cuma, kadangkala rasa ‘tercabar’ juga apabila saya diperbetulkannya oleh anak  (secara selamba selepas terdengar saya salah menyebut), pada ayat yang saya baru berlatih untuk menghafal. Dengan sedikit rasa malu, saya mengatakan bahawa ketiga-tiga anak lelaki saya dari 9 tahun  hingga 13 tahun telah menghafal lebih banyak surah al Quran daripada saya.

Hanya kini saya bertarung di-liga anak lelaki saya yang berumur 7 tahun. Dia kini sedang menghafal sekitar ayat ke-70 surah Kahf sedangkan saya berpuashati dengan 10 ayat pertama dan  11 ayat penutup surah kahfi. Maklumlah ada hadith mengatakan yang difahami bahawa menghafal 10 ayat pertama itu, kelebihannya, insya Allah selamat dari fitnah Dajal.

Tidak mudah untuk saya menghafal pada umur sekarang, dan lebih tidak mudah untuk tidak terlupa apa yang dihafal. Beberapa kali saya merasa seperti putus asa, dan merasakan ia sudah terlambat bagi diri saya. Otak saya tidak mampu, fikir saya. Lalu untuk beberapa lama saya menghafal sedikit–sedikit tanpa matlamat jelas berapa jauh saya sanggup pergi.

Baru-baru ini, saya teringat semula bahawa pada 2007 ketika di Mekah, saya pernah memohon, berdoa dan merintih menyatakan niat hati saya untuk menghafazkan seluruh al-Quran dan begitu juga bagi kesemua anak saya. Maka kini saya menanam niat semula untuk melakukannya. Biarlah, jika ia mengambil masa seumur baki hidup saya. Jujurnya, saya tidak tahu bagaimana ia boleh direalisasikan, melihat refleksi diri di cermin, ia bagai tidak logik namun saya tidak sanggup memikirkan bahawa jika saya ‘give up’ bermaksud doa saya tidak dimakbulkan. Jika begitu, teruknya saya di sisi-Nya. Sedangkan kita diyakinkan bahawa Allah makbulkan doa dengan cara pelbagai dan tertentu; diberi terus, di tangguhkan, ditukar kepada apa yang baik untuk kita, atau dalam keadaan lain yang tentulah Dia juga yang mengetahui apa yang baik bagi diri kita berbanding dengan diri kita sendiri.   

Katakanlah, jika 20 tahun kelak saya berjaya menghafal, maka makbullah juga doa saya secara tertangguh. Jika saya meninggal dalam usaha menghafaz tetapi tanpa habis menghafal.... moga pahala saya atau status saya dikira sebagai sedarjat orang yang telah menghafaz.  Saya teringat maksud satu hadith sahih tentang bagaimana orang yang tulus dalam niat mati syahid in sya Allah disampaikan ke maqam syuhada’ walaupun mati di atas katilnya sendiri.

Beberapa hari lepas di surau, seorang jemaah tabligh membaca satu hadith dalam kitab Fadail Amal, di mana seorang hafiz dapat memberi manfaat (kelebihan syafaat) kepada beberapa orang dari ahli keluarganya untuk dibenarkan ke Syurga, sedangkan keluarganya itu telah direkodkan sebagai fasiq dan bakal dihumban ke neraka.

Terasa malu untuk bergantung dengan anak yang hafiz sedangkan diri sendiri tidak mencuba. Tapi dalam hal syurga, neraka... tiada siapa peduli tentang malu... surely we want all the help we can get!  
   
Cabaran besar dari sudut kemampuan diri untuk menjadi hafiz, selain saya ialah anak lelaki pertama saya. Beliau dikira anak kelainan upaya dengan anugerah autisme pada kategori ‘mild’.  Pada masa saya menaip ayat ini, dia sedang bermain ‘computer game’ bagi tempoh 1 jam sebagai hadiah bagi hafazan 1 mukasurat dari surah al-Baqarah. Saya pun tidak tahu sampai bila saya boleh mengawal secara motivasi begini.

Kembali tentang kisah Faruq.  Saya dengan persetujuan dirinya, mahu dia menyambung pengajian tahfiz. Apa-apa pun, biar dia jadi hafiz dulu sebelum dia mencebur dalam jurusan lain bagi kerjaya masa depannya. Itulah fikir saya. 
Saya memutuskan bahawa MRSM Ulul Albab adalah pilihan pertama diikuti lain-lain sekolah yang mempunyai pengajian tahfiz dan akademik bagi tingkatan 1. Saya kemudian dikejutkan dengan maklumat sahih bahawa apabila tawaran SBP (Sekolah Berasrama Penuh) dikeluarkan maka MRSM tidak akan menawarkan tempat walaupun layak. Saya tidak mengerti kebijaksanaan peraturan atau polisi ini, tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa.

Akhirnya saya telah menghantar surat kepada Kementerian membatalkan permohonan untuk memasuki SBP sedangkan tiada jaminan bahawa MRSM Ulul Albab akan menerima anak saya. Walaupun ada risiko kepada keputusan saya, tetapi itulah keputusan yang saya buat atas pilihan-pilihan yang terhad. Jika tidak dapat MRSM Ulul Albab, bagi pilihan kedua dan ketiga,  saya tetap mendahulukan tahfiz.    

Patutkah keputusan saya? Adakah ia menjejaskan peluang anak saya untuk ‘excel’ dalam pelajaran akademik seperti sains, matematik dan sebagainya? Saya sendiri ada LLB dan seorang peguam sivil? Mengapa saya berfikiran begini?

Alasan saya mudah. 1. Saya mahu dia jadi hafiz pada umur muda kerana itulah umur terbaik. Bila dah makin besar, makin tidak mudah, apalagi kalau ia sekadar  berharap pada keputusan dan kesungguhan si anak sendiri. 2. Saya tidak sekali-kali mengenepikan jurusan yang mempunyai manfaat fardu kifayah. Ia penting, seperti perubatan. Namun, peluang untuk jurusan lain bagi kerjaya diminatinya masih luas terbuka selagi dia mampu cemerlang dalam pengajian akademik. Itu biarlah dia putuskan nanti.

3. Disamping pelbagai kelebihannya, jurusan pengajian (tahfiz) adalah satu-satunya jurusan yang saya ketahui disebut secara langsung dalam hadith yang ganjarannya dikaitkan secara langsung dengan Syurga, bukan sahaja bagi si graduan hafiz itu bahkan bagi ahli keluarganya. Betulkah apa yang saya percaya ini?        

Walaupun ini hanya baru permulaan bagi satu aspek dalam pendidikan anak-anak. Saya sendiri masih ‘struggle’ dalam banyak perkara lain khususnya dalam aspek perangai baik dan akhlak.  


Saya harap tiada salah faham dari kisah ini. Tiada niat dan tujuan yang tidak baik namun diakui memang ada niat agar ia dapat mencetuskan idea, memberi motivasi dan bagi manfaat dakwah.

Hisham-ahmad.blogspot. com

1 comment:

  1. assalamualaikum... terharu ana baca tulisan tuan.. mudahan allah tunaikan hajat tuan insyallah.. amin..

    ReplyDelete