Ulama
terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan
meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu
meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk
mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan
yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau
berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para
ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar
57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai.
Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang
menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan
meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang
tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.
Adapun
isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum
yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa
adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan
diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas
ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah,
demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan
lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat
al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Adapun
yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia
mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai
panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan
puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain. Hukumnya
: Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh
melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari
tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215).
Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith
riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam
An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang
menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat
Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji
Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam.
(Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority
mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur
ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari
ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya
: Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di
dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah
masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau
lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan
nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau
membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak
batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh
Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung
yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan
puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa
yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik
menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi
yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid untuk puasa penuh :Hukumnya
: Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya,
dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik
adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang
telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga
masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah : Hukumnya
: Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh
Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap
dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan
apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut
kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu
punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas
kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan
melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim
gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa.
Demikian
pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007
baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka
untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun
itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini
masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.
Bagaimanapun
para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor
bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh
At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana
gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala,
ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia
akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun
jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini
kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh
memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.
Pandangan
terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan
data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim
ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa
adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti
nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "Ertinya :
Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru,
jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah
makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka
serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak.
Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di
dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal
di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu.
Wallahu'alam.
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal: Hukumnya : Terdapat dua jenis :
samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk
mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas
perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ;
‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan
sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa
kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia
tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia
adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh
Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar
tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268
; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun,
suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan
secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga
puasa.
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya
terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan
wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut
air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no
142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn
Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat. Hukumnya :
Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa
maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah
mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus.
Selain
itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi
melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat.
(Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan
dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat
Ibn Hibban).
8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa. Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-Ertinya
: "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia
berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan
nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : - Ertinya
: Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan
bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ;
tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi :
Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama
lain, maka nabi berkata :- "aku tahu apa mengapa kamu saling
berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu
mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat
Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap
dhoif)
Al-Qaradawi
pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak
mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya,
ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia
boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada
persetubuhan di siang hari Ramadhan.
9) Wanita tamat haid. Wanita
tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum
naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia
tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum
apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak
dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib
boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :- Ertinya
: "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada
puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi.
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan
kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi
semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir
dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa. Bagaimanapun
mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad
dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh.Mencium
dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat
adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh
seluruh ulama.
Adapun
keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan
syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab
Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159) Manakala mazhab Hanbali dan Maliki
mengatakannya batal. Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan
pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah
dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah
sama dengannya keluar mani kerana sentuhan. Keluar air mani kerana
bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat
ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur dan kahak. Hukum
: Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga
hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang
selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu
masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan.
Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah
sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa
atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang
mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya
dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang
terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan
ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian
pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.
13 ) Mandi. Tiada
masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa.
Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang
junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib,
bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?. Jawapnya ia tidak
membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah
disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya
merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat
bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma puasa hanya boleh batal
apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.
14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie,
Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali
berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru,
seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong
untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan
tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat
juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
Diringkaskan dgn pindaan dari sumber www.zaharuddin.net/
hisham-ahmad.blogspot.com
No comments:
Post a Comment