Mereka yang kononnya menyokong
kepimpinan ulama tapi menunjukkan sokongan dengan cara yang tidak wajar,
tidak menepati undang-undang PAS da tidak islamik, maka kumpulan ulama
perlu menyatakan bahwa kumpulan ulama tidak bersetuju dan berlepas diri
daripada jenis penyokong ini ...
takut nanti ini kategori sokongan membawa rebah...
hayatilah suara dari dalam PAS sendiri!
--------------------------------------------------
KENYATAAN MEDIA
Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS Malaysia berbeza pandangan
dengan Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi
Marzuki, dan Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria, di dalam isu
seruan kepada ahli-ahli PAS yang tidak bersetuju dengan pemimpin
tertinggi parti supaya keluar parti untuk menyelesaikan konflik dalaman
parti.
Seruan meminta ahli-ahli
PAS keluar parti adalah suatu tindakan yang tidak bijak, apatah lagi
jika ia dibuat oleh pemimpin tinggi parti. Seruan ini tidak selari
dengan prinsip demokrasi di dalam parti di samping bercanggah dengan
perlembagaan parti dan sangat bertentangan dengan usaha para pemimpin
terdahulu yang bekerja dengan penuh jerih mengajak rakyat Malaysia
menyertai PAS.
Selaku sebuah parti yang memperjuangkan hak asasi
rakyat, di dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syariat, kita di
dalam PAS sepatutnya menghormati hak asasi ahli PAS untuk kekal menjadi
ahli PAS, apa lagi hak untuk memilih dan dipilih untuk memegang
mana-mana jawatan dalam parti, di samping hak untuk memberikan pendapat
dan pandangan kepada parti.
Fasal 15(1) Perlembagaan PAS
menyebut “keberhentian ahli ialah disebabkan (a) permintaan sendiri (b)
dipecat (c) mengisytihar diri keluar PAS atau menyertai parti politik
lain.” Peruntukan di bawah Fasal 15(1)(a) dan (c) jelas menyentuh hak
asasi ahli yang tidak boleh diusik oleh sesiapa, waima oleh pemimpin
tertinggi parti sekalipun, kerana ia membabitkan kerelaan ahli.
Sebaliknya, jika mana-mana pihak merasakan bahawa kewujudan ahli-ahli
tertentu parti menimbulkan kemudaratan, apa yang boleh mereka lakukan
ialah bukan membuat seruan terbuka tetapi mengemukakan cadangan
bertulis kepada Setiausaha Agung bagi dipertimbangkan dan diputuskan
oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS supaya ahli-ahli tersebut dipecat dari
parti.
Asal saja bukti ada; selaras Fasal 15(3)(a) Perlembagaan
PAS yang menyebut “pemecatan seseorang ahli itu bolehlah dilakukan
apabila terbukti ianya telah melanggar Perlembagaan PAS, Aturan dan
Peraturan serta arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti, atau telah
melakukan sebarang perbuatan yang berlawanan dengan kepentingan parti
atau menyalahi tatatertib parti”.
Sedarkah Dr Mohd Zuhdi dan
Haji Razman apakah yang akan berlaku jika seruan mereka supaya
ahli-ahli PAS yang tidak bersetuju dengan pemimpin tertinggi parti
keluar parti disahut oleh ahli-ahli tersebut? Tahukah Dr Mohd Zuhdi dan
Haji Razman berapakah bilangan ahli dan cawangan PAS yang berdaftar
dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan berstatus aktif pada masa ini?
Jika Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman melihat semula Laporan Tahunan PAS
Sesi 2013/2014 yang dibentangkan di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali
Ke-60 di Batu Pahat, pada September lalu, mereka patut tahu bahawa
bilangan ahli dan cawangan PAS yang berdaftar dengan Pendaftar
Pertubuhan Malaysia dan berstatus aktif hanyalah sebanyak 763,849 dan
6,894 sahaja.
Tahukah Dr Mohd Zuhdi dan Haji Razman betapa
susahnya para pemimpin terdahulu bekerja untuk mengumpul ahli hingga
menjadi seramai ini? Di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 di Taman
Melewar pada Jun 1991, Almarhum Datuk Fadzil Noor telah mensasarkan
untuk mendapatkan 180,000 ahli baru bagi mencukupkan ahli PAS menjadi
500,000 pada tahun 1995.
Tetapi berapa orang sahajakah ahli yang
mampu ditambah oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh Dr Daeng
Sanusi Mariok di dalam tempoh empat tahun ini? Hanya 48.5% dari jumlah
yang disasarkan sahaja, iaitu 87,328 orang, dengan 21,123 orang pada
sesi 1991/1992, 17,550 orang pada sesi 1992/1993, 21,547 orang pada
sesi 1993/1994 dan 27,108 orang pada sesi 1994/1995.
Bayangkanlah betapa gembiranya Almarhum Datuk Fadzil di dalam Muktamar
Tahunan PAS Kali Ke-45 di Taman Melewar pada Mei 1999 apabila
mengumumkan di dalam ucapan dasar beliau bahawa, hasil dari gelombang
perubahan yang berlaku di dalam negara beberapa bulan sebelum itu,
“Alhamdulillah rancangan kita telah pun berjaya. Hari ini bilangan ahli
PAS telah melebihi setengah juta.” Jelas Almarhum Datuk Fadzil, “Saya
cukup terharu dengan penyertaan ahli baru yang mencecah lebih 100,000
orang dalam masa beberapa bulan terakhir ini”.
Dengan bangganya
Almarhum Datuk Fadzil menyebut, “Kita seringkali mendengar rungutan dan
kritikan bahawa PAS begitu sekali ketandusan sumber tenaga manusia
terutama dari golongan profesional. Bagaimana mungkin untuk PAS
mentadbir negara sedangkan mereka tidak mempunyai tenaga profesional?
Sekarang kita mempunyai ribuan ahli di kalangan profesional. Apakah kita
masih tidak mampu mentadbir negara dan menjadi kerajaan alternatif?”
Jabatan Pendidikan Politik, Pemuda PAS Malaysia menyeru semua pemimpin
PAS supaya berlapang dada memikirkan di manakah silapnya apabila
ahli-ahli yang sebelum ini pernah menjadi lambang kebanggaan kita kini
cuba dihambat keluar dari parti pula. Gesaan menghambat ahli-ahli keluar
dari parti perlulah dihentikan serta-merta kerana gesaan ini sangat
memalukan. Ia seolah-olah membuat pengakuan terbuka bahawa Lajnah Dakwah
dan Lajnah Tarbiyyah kita gagal dalam melaksanakan tugas mendakwah dan
mentarbiyyah ahli-ahli parti.
Jabatan Pendidikan Politik,
Pemuda PAS Malaysia ingin mengingatkan semua pemimpin PAS bahawa
sebagai sebuah parti politik, kita memerlukan kedua-dua kualiti dan
kuantiti pada ahli-ahli kita. Gesaan menghambat ahli-ahli keluar dari
parti adalah berlawanan dengan matlamat kita berpolitik, iaitu untuk
mencapai kemenangan di dalam pilihan raya demi mencapai redha Ilahi.
Meruntuhkan apa yang telah dibina dengan bersusah-payah oleh para
pemimpin terdahulu bukanlah kerja yang susah, tetapi membinanya semula
sudah tentu akan memakan masa.
Dengan penuh hormat, saya berharap agar gesaan sedemikian tidak berulang lagi.
MOHD HASBIE MUDA
Pengarah Pendidikan Politik
Pemuda Pas Malaysia.
----------------------------------------------------------------
https://www.facebook.com/hisham.ahmad.1420
hisham-ahmad.blogspot.com