Social Icons

Pages

Sunday, October 13, 2013

Disebalik Idul Adha. Tragedi Bapa Berkorban Sembelih Anak!


Saya masih ingat lagi ketika lama dahulu belajar undang-undang. Kes benar yang dilaporkan dalam jurnal undang-undang, seorang bapa melayu muslim menyembelih anaknya hingga mati kerana merasakan dia mengikut perintah agama seperti kes Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. 

Bapa melayu ini didapati tidak siuman semasa melakukannya kerana menyakini ada bisikan halus mengarahkannya. Dalam ertikata mudah, dia gila, gila yang betul-betul gila. Masa itu, saya betul-betul tak sangka ada manusia sebegitu sekali ‘parah keadaan mental’nya dan sedihnya kepercayaan agama atau sebenarnya kesesatan agama dijadikan alasan kepada perbuatan gila itu.  



Begitulah bila bapa jadi gila!   




Saya teringat juga hari itu saya dengar kisah dari Dr Muhaya betapa ramai pasangan suami isteri nak anak tetapi tidak dapat. Bertahun-tahun berusaha dan berdoa. Mendapat anak itu ibarat menjadi matlamat perkahwinan, tetapi malangnya bila dah dapat … matlamat dah tercapai, selesailah tugas. Anak tidak diberikan pendidikan pada tahap yang sewajarnya. Anak dilayan sebagai sampingan dan tidak lagi dijadikan matlamat.



Sebenarnya, pengabaian anak-anak berlingkar pada tahap kecil, sederhana dan besar. Macam-macam bentuk keadaan dan jenis kes.



  1. Bagi yang ibubapanya sama ada sibuk bekerja kerana susah atau kerana untuk lebih kaya, anak-anak menjadi terbiar dan tidak dikawal. Setelah habis waktu persekolahan, masa berbaki hari itu, habis begitu sahaja. Melepak sana sini dan bermain-main. Bermain-main dan melepak sana-sini. Seperti tiada jadual dan disiplin aktiviti harian mereka. Pelajaran terabai. Potensi kerja masa depan mereka berlegar pada kerjaya yang tidak membawa pulangan wang yang baik jika kerjanya baik atau kerjaya yang membawa pulangan wang yang baik tetapi atas kerja yang tidak baik.



  1. Mereka juga terdedah kepada pelbagai gejala buruk dari rokok, video-games, judi, jenayah, ponografi, seks rambang dan lain-lain.



  1. Maka kemudiannya timbullah macam-macam kes, remaja rempit melanggar polis sampai mati, anak-anak gadis jadi bohsia seawal umur 12 tahun atau untuk sebungkus mee goreng mamak (sebab takdapat mee goreng mak), pelajar sekolah rendah dirogol secara beramai-ramai oleh rakan-rakan sekolah yang sebaya.



  1. Anak-anak siapa ni? Kalau bukan anak-anak orang melayu Islam kita. Mana emak  dan  bapa mereka?   



Sempena hari raya korban ini, kembalilah wahai para ibubapa untuk memulakan tekad dan azam untuk melakukan pengorbanan yang tepat dan benar khususnya dalam pendidikan anak-anak dengan matlamat untuk menyelamatkan  diri kita dan mereka daripada api neraka.



Hampir tiap kali raya korban, kita dikisahkan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan nabi Ismail a.s. Pengorbanan serang bapa dan seorang anak. Marilah kita ambil pengajaran secara yang tepat atas sesuatu yang mungkin kita terlepas pandangan dalam tarbiyah anak-anak.



Walaupun Nabi Ibrahim mendapat arahan jelas daripada Allah Azza Wa Jalla untuk menyembelih anaknya, yang tidak mungkin seorang rasul akan meningkarinya, tetapi pendekatan psikologi dan diplomasi tetap dilakukan sebagai seorang bapa, apabila baginda memberitahu dengan hemah dan bijaksana arahan ‘pengorbanan’ itu kepada anaknya dan meminta pandangan anaknya.



Begitulah dalam banyak keadaan, kita wajar melayan anak-anak kita secara komunikasi yang baik dan berkesan. Layanlah pertanyaan mereka dan berilah jawapan dengan logik dan betul. Jangan di ‘shut up’ kan setiap pertanyaan dan kemusykilan  mereka. Galakkan mereka berfikir secara munasabah dan menggunakan rasional.  Mintalah pandangan anak dalam hal yang berkaitan dengan diri mereka. Ajar mereka untuk sama-sama merancang dan sama-sama membuat keputusan. Kemudian pantaulah mereka. Mesti tahu setiap aktiviti jadual harian mereka. Jangan terputus ’24 hours monitoring system’  kita walau melalui kawalan jarak jauh. Sentiasa boleh bertindak segera bila berlaku kecemasan.



Saya  ingatlah kisah dalam satu sitcom inggeris, betapa seorang lelaki hanya perlu menjaga satu kemaluannya sahaja tetapi seorang gadis perlu berawas dengan ribuan kemaluan lelaki diluar sana. Maaf tidak bermaksud lucah, tetapi saya ingin pesankan kepada semua bapa di Malaysia ini, kebanyak bimbang dengan anak gadis masing-masing lalu sentiasa mengawasi dan memberi ingatan. Itu bagus tetapi mereka mesti buat satu perkara yang penting – iaitu



“memberi ilmu dan kefahaman yang cukup dan amaran yang tegas kepada semua anak lelaki mereka agar jangan sekali menganiaya mana-mana perempuan samada melalui zina suka sama suka, perdaya, rogol atau apa jua jalan yang membawa kepada zina…. !”    



Seterusnya, Jangan mengajar mereka untuk sekadar melakukan sesuatu tetapi berilah hujah dan alasan mengapa ia perlu dilakukan. Jangan sekadar memaksa hukum halal dan haramnya sesuatu perkara/amalan tanpa menjelaskan objektif dan matlamat sesuatu amalan itu.



Contohnya apabila kita ditanya; “Mengapa saya perlu bersolat, ayah?”

Apa agaknya jawapan terbaik kita…. Ah, moyang kau solat, atuk kau solat, abah solat.. semua orang kena solat…. Kau pun sama lah! … inikah jawapannya? Fikirkanlah…



Saya risau melihat cerita-cerita ‘ngeri’ tentang generasi anak muda dan kanak-kanak yang tidak keruan jati diri mereka.  Adakah mereka ini sedang dibesarkan dengan cara yang diarahkan oleh ayat Quran yang bermaksud ‘wahai  orang beriman  selamatkan diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka….” atau dibesarkan secara sebaliknya?



Segala masalah berkaitan generasi muda hari ini tentulah tidak dapat dinafikan sebahagian besarnya berpunca dari kelemahan pendidikan oleh ibubapa (yang sub-puncanya melibatkan pelbagai sebab lain).   

  

Walaupun kita yakin kita bukan bapa yang gila .. .hingga sanggup berkorban dengan menyembelih anak … tetapi tidakkah terlebih ‘gila’ jika kita sebagai bapa membesarkan anak sekadar untuk di ‘korban’ ke dalam neraka.    



Fikirkan!... dan berbuatlah sesuatu…



Kepada semua- Jangan lupa puasa sunat hari arafah- 9 zulhijjah esok!  







hisham-ahmad.blogspot.com

No comments:

Post a Comment