dah baiklah dari kena tembak! |
Kisah pasangan melayu yang
didakwa mendera anak-anak sendiri di Sweden. Suka tidak suka, kita telah
didedahkan dengan keterangan oleh anak-anak sendiri mengenai cara hukuman
dilakukan. Terdapat keterangan visual tentang ‘alat-alat penyiksaan’ (yang
didakwa).
Walaupun nurani saya merasakan,
mungkin sesekali ibubapa ini ada terlebih sedikit dalam cara mendisiplinkan
anak-anak, namun kita percaya bukan sampai ketahap penderaan, masih dalam
keadaan yang boleh diperbaiki dan diperbetulkan pada cara didikan dan hukuman
antara ibu-bapa ini dan sama sekali tidak wajar sampai didakwa, ditahan-reman (yang
lama), atau dipenjarakan.
Keadaan keluarga ini masih sangat
boleh diselamatkan, maka memadailah ibubapa itu diberi kaunseling, amaran serta
pengawasan. Pemenjaraan ibubapa itu adalah hukuman yang turut menghukum sekali
anak-anak itu.
Suatu hari itu, disebuah sekolah
pengajian tahfiz moden, anak saya bersama semua pelajar sekelas (tingkatan 1) dihukum
ketuk ketampi pada jumlah yang banyak kerana kelas tidak bersih. Akibatnya, selepas
itu, dia terpaksa menuruni tangga secara mengiring atas kesakitan yang dialami.
Dia juga terpaksa dibawa balik, bercuti satu hari dan terpaksa dihantar
mengurut.
Isteri saya marah dan menganggapnya
hukuman kuno. Saya pula pernah dihukum yang sama ketika darjah 5 atau 6 di
sekolah kebangsaan, tapi ketika itu saya lebih lasak daripada ‘life’ anak saya
sekarang. Cuma saya berpandangan hukuman yang membawa kesan menyusahkan begini
tidaklah bijak kerana menimbulkan masalah, membuang masa saya dan menyebabkan
tergendala pengajian. Itu belum tahu sama ada ia ada kesan buruk kepada tubuh?
Selang tak lama, anak saya
memberitahu seorang kawannya juga disebat rotan dibelakangnya kerana
menggunakan telefon diluar waktu ditentukan. Anak itu menefon ibunya. Kata anak
saya, ustaz tidak bertanya sebab dan siapa, dilibasnya dulu. Akibatnya ada
kesan birat dan ibubapa pelajar itu tidak berpuashati. Saya tidaklah terus
menerima secara total kesahihan cerita anak saya itu, kerana ia maklumat
sebelah pihak, dari kawannya. Penjelasan ustaz yang melibas itu perlu juga
didengar.
Isunya yang saya ketengahkan di
sini ialah melibas rotan dengan agak kuat hingga menimbulkan kesan pada fizikal.
Selang beberapa hari pula,
seorang ustaz dalam kuliah dikampung saya, menceritakan kisah dia belajar
dipondok. Hukuman merotan biasa diberi 2 pilihan iaitu antara rotan besar dan rotan
kecil, di punggung atau ditapak kaki. Ustaz menceritakan bagaimana kawannya
yang tengok cerita Hindustan telah dihukum rotan ditapak kaki atas pilihannya.
Kuatnya, hingga kakinya kebas, hilang deria rasa. Berjalan seolah-olah tidak
jejak kebumi untuk beberapa lama. Sakitnya, tak perlu dicerita. Rotan kecil
atau besar, tetap sakit, hanya berbeza cara rasanya.
Ustaz itu mengatakan bahawa sejak
itu kawannya itu menjadi pelajar yang bagus dan sekarang dirumahnya tiada TV.
Begitulah digambar berkesannya pendidikan dan hukuman cara merotan itu. Ustaz
ini menyuarakan hajatnya untuk mengasaskan dan membuka pengajian pondoknya
sendiri. Agak-agaknya adakah cara hukuman yang diwarisi akan kelak diaplikasi, kerana
dia memang berpuashati dan mengaku keberkesan cara hukuman dulu?
Saya juga teringat salah seorang
kawan baik dan bekas sahabat sekelas dalam pengajian Quran dan Sunnah di UKM.
Dia jauh lebih muda daripada saya. Seorang imam masjid dan pengajar tahfiz di kota
metropolitan (KL atau Selangor), juga penulis berkontrak dengan Telaga Biru. Dia
juga bersikap garang dalam mengajar dan semasa dia belajar kelas tahfiz dulu,
gurunya lebih keras dan garang.
Mungkinkah ustaz yang melibas
tadi dan ustaz-ustaz muda yang keras dalam hukuman merotan dan sebagainya di
pusat-pusat pengajian tahfiz moden hari ini, sekadar ingin mewarisi kebaikan
ilmu pendidikan dan cara menghukum dari tok-tok guru pondok mereka. Atau ia
sebenarnya atau lebihnya kerana kesan atau kepercayaan psikologi atas apa yang
dahulu mereka alami?
Sebenarnya kita mesti
membezakan antara hukuman keras tetapi tidak mendatangkan kesan buruk kepada
fizikal dan mental tetapi sebagai pendisiplinan ketat untuk melahirkan jati
diri dan sifat tidak bermanja dengan jenis hukuman yang keras dan bersifat
mendera yang mendatangkan kesan buruk kepada fizikal dan mental sehinga ‘demoralise’
, ‘demotivate’ atau terus melumpuhkan keinginan untuk belajar. Mungkin garis
pemisah antara kedua adalah halus dan nipis ?
Cuma di sini ada satu isu penting yang ingin saya
kemukakan dan kongsikan dengan semua ibubapa diluar sana, para guru dan sesiapa
jua yang berminat nak tahu.
Mengapa saya memfokuskan bicara ini kepada sekolah
tahfiz al-Quran? Sebenarnya saya tidak memfokuskan kepada sekolah tahfiz tetapi
termasuk jugalah sekolah agama, atau mana-mana institusi pengajian berteraskan
pendidikan agama Islam.
Sekolah tahfiz mengajar dan
menyuruh menghafal al Quran. Sekolah agama dan seumpamanya juga tentulah
pelajaran dan subjek pengajiannya berteraskan syariah. Dalam ertikata mudah,
semua merujuk dan bertunjangkan kepada al-Quran dan Al-Sunnah.
Persoalannya, buktikan kepada saya
adakah cara-cara pendisiplinan dan hukuman sebagaimana dilakukan di atas atau
seumpamanya kepada/terhadap pelajar-pelajar pondok, pusat tahfiz, sekolah agama
adalah mengikut al-Quran dan al-Sunnah? Atau lebih jelas, mengikut ajaran,
perintah atau tunjuk ajar Rasulullah s.a.w mengikut apa yang dinyatakan dalam
hadith-hadith sahih, sirah yang tidak mencanggahi tetapi menjelaskan dan kisah
tauladan didikan dan hukuman dari 3 generasi terbaik ?
Saya tidak mempunyai banyak
maklumat di atas, justeru saya mengharapkan bantuan semua diluar sana khususnya
yang pakar dalam agama, pada isu dibicara. Saya minta bukti ini ialah kerana
setakat yang saya tahu ialah antaranya; 1 hadith sahih berkaitan keharusan memukul
anak bila anak berumur sepuluh tahun tapi enggan solat setelah disuruh. Itupun
sewajarnya anak itu telah melalui latihan solat 5 kali sehari bagi tempoh 3
tahun sejak berumur 7 tahun.
Isunya apakah yang dimaksudkan
dengan ‘pukul’ dan bagaimana cara dan had yang dibenarkan? Iaitu cara pukul
yang dibenarkan Rasul s.a.w. Adakah cara menghukum oleh ustaz dan tok guru yang
mengajar Quran dan berusaha menegak isu al-Quran dan al Sunnah itu mengikut
al-Quran dan al-Sunnah?
Sedangkan dalam kebenaran memukul
isteri nusyuz, setakat saya ketahui hasil dari kuliah ustaz-ustaz yang
dipercayai bahawa tafsiran ‘pukul bini’ itu ialah dengan keadaan yang tidak langsung
membawa kesan pada fizikal atau mendera,
seperti dengan sapu tanganlah. Saya tidak pasti, jika pukul bini itu sampai dia
sakit, atau sebenarnya tidak sakit, atau sekadar sakit seperti digigit semut? (Pada
realiti saya tidak lagi terfikir untuk atau perlu memukul bini).
Hingga kesimpulannya, ‘seperti
tak pukul’, sebaliknya simbolik hukuman sahaja. Tak tahulah pula, kalau tafsiran
ustaz sekarang ni ada unsur pengaruh dan tekanan dari ‘women power’. Begitu juga, ketika Nabi Syuaib
Nabi Ayub a.s hendak menjalankan hukuman ke atas isterinya. Seingat saya pun caranya begitu
ringan yang tidak menyakitkan secara fizikal.
Atas sikap terbuka dan berlapang
dada, saya mengharap adanya contoh kes-kes lain daripada hadith sahih dan
rujukan lain khususnya yang menunjukkan ketegasan dan kekerasan dalam hukuman ke
atas kanak-kanak atau anak-anak, yang
digunakan sebagai dalil dan hujah bagi cara-cara hukuman keras yang telah
dilakukan.
Semasa menulis buku “aku
bersyukur anakku autism, terbitan Telaga Biru …” (sila dapatkan dipasaran)
yang tajuk asalnya diubah atas kehendak penerbit (sedangkan asalnya adalah ‘Pendidikan
kanak-kanak autisme mengikut al-Quran dan al-Sunnah dan melalui tunjuk ajar
Rasulullah s.a.w’,) hasil rujukan saya, kebanyakan atau hampir kesemua cara
didikan Rasulullah s.a.w berkaitan kanak-kanak adalah menggunakan kaedah
lembut, ketegasan yang berpatutan, kaedah psikologi, kreatif, inovatif dan
pelbagai tetapi belum saya temui kaedah kekerasan berbentuk fizikal (seperti
dilakukan seperti disebut di atas) khususnya kepada anak-anak, kanak-kanak atau
pelajar ilmu dari generasi muda.
Saya percaya bahawa sememangnya ada
sebahagian anak-anak atau kanak-kanak atau pelajar ilmu ini yang agak nakal,
nakal atau tersangat nakal, malah ada yang jahat lalu sangat mencabar daya
sabar para ibubapa dan guru-guru, serasa kekerasan wajar atas mereka!?
Namun adakah segala pendekatan
pelbagai telah diambil sebelum hukuman kekerasan dikenakan .. atau kita terus
melompat kepada langkah ke 5 dalam menghukum? Terdapat ayat Quran yang
membuktikan, sefaham saya bahawa kesemua anak lahir tanpa sikap buruk atau kejahatan dalam dirinya (semasa
mereka dilahirkan). Jadi apa yang terhasil (jadi jahat) sekarang pada diri
mereka adalah berlaku semasa dan sepanjang proses mereka dibesarkan, bermakna adanya
didikan langsung tak langsung bersifat negatif dari pelbagai pihak.
Untuk
itu berikan pencerahan dalam hal ini. Kalau dijadikan tajuk pembentangan kertas
kerja, “Isu Hukuman ke atas anak-anak, kanak-kanak, remaja atau
pelajar ilmu dan sebagainya menurut Quran dan Sunnah merujuk pada zaman
sekarang. Perbincangan komprehensif merangkumi definisi, cara-cara, setakat
mana, langkah-langkah, contoh kes dan praktikaliti dan sebagainya.
Semoga apabila kita mengajar
Quran dan Sunnah kepada anak-anak dan mahukan mereka mengamalkan isikandung
Quran dan Sunnah … tentulah perlu cara mengajar, mendisiplin dan menghukum
mereka juga mengikut Quran dan Sunnah.
Semoga berlapang dada dalam
membaca. Jika ada bahasa berbau menyindir atau agak keras, ia sekadar bagi
menyampai maksud secara jelas dan untuk memberi kesan yang maksima supaya
difahami secara ‘crystal clear’.
Eeemmmm. Bagaimana agaknya jika tok-tok
guru dan ustaz-ustaz kita tadi berada di Sweden …
Wallahu taala alam.
{fakta tambahan, menurut ustaz hasrizal - ada hadith mengatakan antara lainnya- nabi ada beritahu kalau rotan tidak boleh lebih 10 kali , melainkan dalam kes hudud dan ada hadith tentang larangan nabi tidak boleh memukul di muka)
hisham-ahmad.blogspot.com
Assalamualaikum,
ReplyDeleteSaya terpanggil nak bagi komen di sini kerana saya pernah bertanya kepada beberapa ustaz yang saya hadir kuliah mereka. Dalam beberapa orang ustaz yang ditanyakan, kecuali seorang, yang lain menterjemah "pukul" sebagai literalnya pukul. Dan keluarlah teknik, apa alat, bila dan bagaimana.
Namun, tafsir yang berlainan saya perolehi dari seorang ustaz yang memang mengajar kami tafsir quran dan hadith secara berijazah sanad. Menurut beliau, berlaku silap terjemahan ni kerana bahasa melayu kita agak limited untuk menterjemahkan apakah yang sebenar praktik Rasulullah.
Benar seperti yang tuan selidiki, hanya sekali Rasulullah pernah laksana hukum "pukul" iaitu semasa menjalankan hukuman hudud jenayah zina. Tidak pernah dalam situasi lain baginda memukul orang lain, apatah lagi budak2.
Dalam konteks hadith pukul anak tak solat tu, ada beberapa aspek tafsiran hadith beliau sebut:
1. Solat tidak bermaksud solat per se. Ia sebenarnya merujuk kepada ilmu agama, dengan fokus pada ilmu ibadah. Namun, menurut ustaz tersebut, ada ulama yang mengkiaskan boleh juga hukum dalam hal2 lain macam tak buat homework etc.
2. Umur 10 tu merujuk umur baligh. Maka baligh mungkin kurang atau lebih.
3. Tiada vocab "rotan" dalam zaman Rasulullah. Sekiranya ada hadith sahih sebut rotan, ianya secara praktik di zaman Rasulullah merujuk ranting kecil.
4. "Pukul" yang dipraktikkan rasulullah: Rasulullah memanggil kanak2 tersebut duduk atas riba, kemudian rasulullah bercakap2 dan menasihati budak tersebut. Akhir sekali rasulullah tepuk belakang budak tu atas dasar nak bagi terkejut (mungkin budak tersebut asyik mendengar kot). Seperti yang diaksikan ustaz tersebut, "pukul" tersebut macam kita burp bayi selepas minum susu.
Akhir sekali, ustaz tersebut turut bagi beberapa contoh ayat alquran dan hadith dimana translasi tersebut telah difahami secara literal tanpa mengambil kira apakah praktik sebenar Rasulullah yang bersangkut dengan hadith2 tersebut.
Wallahualam.
satu kelas saya kene ketuk ketampi 100 kali .. tapi budaq laki main tipu .. diorang x buat sampai 100 pon .. kitorang (pompuan) .. cikgu tambah lagi 30 jadik 130 kali ketuk ketampi .. sbb .. kitorng ketok ketampi x same .. -_- .. smlm la kene ,, smlm nk naik or turun tangga .. mcm .. nk mati .. sakitnyer .. hanye allah yg tahu .. harinie .. naik dh boleh itupon sambil nangis .. tapi bile nk turun tangga .. .. kaki rase cam kene cocok paku ..
ReplyDeletekawan saya ade gi jumpe doktor .. doktor ckp .. teruk .. ~ jgn buat lagi .. klu buat lagi .. bahaya .. jadik nk tanyer .. kaki kitorang nie .. dlm bahaya ker ??? akan lumpuh ker ??? ..
~ika~