Social Icons

Pages

Saturday, February 15, 2014

Status Halal ASB & ASN. Masih Hangat Dalam Pasaran!



apalah nak pening kepala. kalau aku aku ikut je!

Status Halal ASB & ASN.  Isu yang masih relevan kini timbul semula. Baru kejap tadi saya terbaca dalam Malaysiakini di mana sekali lagi:-

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menegaskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah 'harus'. Ini termasuk dividen atau bonus yang diterima menerusi kedua-dua skim pelaburan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa  Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin dalam satu kenyataan semalam.


Menurut Abd Shukor, Jawatankuasa Fatwa amat kesal kerana terdapat pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan keraguan dengan memuat naik surat daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menyatakan skim tersebut sebagai tidak patuh Syariah.

  
Status melabur dalam ASN dan ASB yang juga dibangkitkan oleh beberapa penceramah di laman-laman sosial, turut menimbulkan keresahan kepada masyarakat awam.

  
"Isu pelaburan ini merupakan perkara ijtihadi, yang sememangnya akan mengundang polemik dan perdebatan jika semua pihak yang mendakwa sebagai pakar mahu menegakkan pandangan masing-masing tanpa menghiraukan peranan pihak yang diberi autoriti dalam menentukan hukum.
  
"Sewajarnya mereka yang melabelkan diri sebagai intelektual Islam ini memahami isu ini secara menyeluruh dan hak-hak Ulil Amri kerana akibat daripada sikap mereka yang gemar dan sengaja mempertikaikan hukum yang telah dibuat, telah menimbulkan keresahan yang meruncing dalam kalangan umat Islam," katanya.


Abd Shukor menyifatkan tindakan itu hanya akan merugikan umat Islam sendiri.

Ulasan saya:-

1.    Saya faham hujah dan keprihatinan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa. 

2.    Saya akui saya antara orang yang ada menulis dan berbicara agak penjang tentang isu ini. Lama dah. Namun ia masih ada dalam blog saya.

3.    Namun saya bicara atas dasar bahawa saya adalah:- 

(1)  manusia yang berusaha membersihkan diri dari belenggu dosa apalagi jika ia berkaitan dengan dosa Riba, Garar  dan lain-lain.
(2)  Apabila keraguan timbul tentang ASB, dengan ilmu dan kelayakan sebagai peguam sivil dan syarie, saya berusaha mengkaji sendiri buat kepuasan dan keyakinan diri.
(3)  Akhirnya, saya kuat meragui status ASB, lalu membuat keputusan ‘mengakhirkan hubungan kami.’
(4)  Sebagai ahli atau pelanggan ASB, saya ada hak untuk menyuarakan pandangan bersifat ilmiah untuk dikongsi. Keputusan akhirnya ditangan diri sendiri.
(5)  Tiba-tiba dikeluarkan fatwa keharusan ASB …  sayangnya dalil dan hujah tidak diberi. Apakah harus saya mempercayai?
(6)  Keputusan fatwa saya hormati, namun buat diri sendiri saya masih tidak berganjak dari hasil kajian diri sendiri.  Atas tujuan menghampiri takwa, Saya memilih tunduk kepada ‘fatwa hati’. 

      -masa berlalu. Beberapa tahun.

(7)  Ternyata belenggu unsur Riba pada ASB  masih membelengui diri, saya masih lagi ahli … penyata akhir ASB masih menunjukkan sedikit jumlah yang berbaki.  Begitulah belitan yang bukan mudah untuk melepaskan diri. (Sila baca penulisan isu Riba.. dalam blog saya)

(8)  Saya tidak sekali berniat untuk menimbulkan apa-apa provokasi, saya sekadar mahu menjadi generasi yang mengkaji bukan bertaklid, mematuhi membuta tuli. Jika kami meyakini pada hujah dan keterangan, tentulah kami rela taat tanpa tentangan.

(9)  Kami berharap pihak Jawatankuasa Fatwa agar berilah hujah dan keterangan bukan sahaja dalam alasan keharusan tetapi dalam menjawab persoalan dan kemusykilan munasabah dan ilmiah- antaranya seperti di bawah:-

(Berikut Hanya Sebahagian Persoalan Akhir Dipaparkan Disini Kerana Agak Panjang, Untuk Hujah Awalan Pro dan Kontra - Sila Layari Blog Saya untuk maklumat lengkap)


Kita telah melihat penjelasan hujah yang mengharuskan dan penjelasan hujah yang tidak bersetuju dengan keharusan itu. Namun dalam pada itu, timbul lain-lain kemusykilan :-

1.    Adakah terpakai alasan Maslahah bagi individu pula? Adakah wujud seseorang itu memerlukan ASB atas alasan hajat/hajiah? Adakah ia suatu Maslahah bagi seseorang individu Islam di Malaysia untuk melabur ASB sedangkan dia mempunyai banyak pilihan kaunter pelaburan halal? Adalah diketahui terdapat mereka yang telah membebaskan diri daripada ASB ini, bagaimana pula ia menjadi suatu keperluan atau Maslahah kepada seseorang yang lain? 

2.    Walaupun ASB dihukumkan harus dan halal kerana antaranya atas dasar Maslahah atau sebab lain walaupun mengandungi elemen Riba, adakah ia merujuk hanya kepada wang pelaburan yang telah sedia ada? Bagaimana pula kedudukan & keinginan pelabur baru untuk melabur dan pelabur sedia ada yang ingin menambah pelaburan?

3.    Teori-teori berasaskan Maslahah, Hajah, Darurat atau apa jua istilah yang lain kelihatan berfungsi untuk memberi pengecualian atau kelonggaran pada suatu hukum am (haram). Teori-teori atau sebahagian teori-teori ini boleh dikatakan ada didasarkan dari al- Quran dan sunnah. Namun dari sudut Daruriyah, adakah dan setakat manakah pemakaian teori-teori ini patut dibenarkan dalam soal perlindungan harta (apabila bercampuran halal dah haram; dan haramnya adalah bersebabkan Riba, suatu dosa yang besar di sisi Allah).  Hujahan-hujahan dalam membezakan definisi dan perbezaan kekuatan pemakaian antara teori-teori di atas adalah menarik pada diskusi akademi namun pada realiti dan hakikatnya, serupa sahaja.      

4.    Teori-teori itu kelihatannya saling sokong menyokong dengan tujuan membenarkan, bahkan meluaskan ruang untuk membenarkan apa yang pada asalnya dilarang.  

5.    Seseorang mukalaf dihukum oleh Allah berdasarkan pilihannya sendiri kerana sama ada berbuat baik atau jahat, tidak kira teori apa yang dia bergantung harap, jika pada Allah ia tidak betul, dia juga sendiri yang akan menanggung bagi pihak dirinya?  

6.    Sebenarnya banyak kemusykilan timbul daripada fatwa menghukumkan harus tapi tidak diperjelaskan atau (jika ada) tak pula didedahkan penjelasannya. Mari kita lihat semula fatwanya. (i) Hukum melabur dalam Skim ASB serta dividen atau bonus yang diterima adalah  harus. (ii) umat Islam boleh menyertai skim pelaburan ini dan tidak perlu merasa ragu-ragu terhadap status pelaburan yang telah dibuat serta dividen atau bonus yang telah diterima.

7.    (i) Ini bermakna bahawa sesiapa sahaja umat Islam tidak kira kaya, miskin, memerlukan atau tidak memerlukan;  boleh melabur dalam skim ASB. Tidak terhad kepada pelabur sedia ada atau pelabur baru. Sesiapa sahaja boleh melabur dan menambah pelaburan. Seisi keluarga boleh menyertainya. Adakah begini maksudnya? Jika begitulah maksudnya, Ia seperti melampaui tujuan dan objektif penggunaan alasan-alasan yang membenarkannya (Darurat dan sebagainya).  (ii) Kesan implikasi daripada hukum halal dan harus ini, pemasaran ASB akan menjadi lebih rancak dan bersemangat kerana tiada lagi halangan syarak, usaha untuk memikat pelabur-pelabur baru (umat Islam) pasti akan ditingkat dan digiatkan lagi. Seolah-olah natijahnya lesen (halal) Darurat digunakan untuk mengembang biak aktiviti-transaksi Riba

8.    Kekeliruan :  (i) Apakah kaitan dan kepentingan Maslahah kepada ekonomi Islam atau ekonomi umat Islam, sekiranya seseorang yang stabil ekonomi peribadinya dan dulu meragui kehalalan ASB, kini meyakini kehalalannya dan merancang untuk menyertai skim pelaburan ASB?  Adakah kebenaran fatwa itu menambahkan (memburukkan) atau mengurangkan situasi Darurat kepada ekonomi umat Islam? Adakah ia juga akan menyebabkan pertambahan bilangan umat Islam yang berhajat secara kelompok sedangkan dia tidak berhajat pada agama untuk melindungi harta atau kerana kemiskinan?    

(ii)Bagaimanakah kedudukan seseorang yang stabil kewangan peribadi, tetapi mahu menyertai skim ASB sekadar hendak mendapat untung dan dividen yang baik sedangkan tiada hajat pada agama (untuk melepaskan kesukaran atau memenuhi keperluan).      

(iii) Fatwa ini kelihatannya memberi kebebasan mutlak kepada semua umat Islam menyertai skim pelaburan ASB, sedangkan semasa kita mencari alasan-alasan syarak untuk mengharuskannya, kita menemui istilah-istilah pengecualian (Maslahah, Darurat, Hajiat) ini. Bukankah istilah-istilah pengecualian ini mempunyai syarat dan had-had batasannya. Tetapi bila kita membenarkan, kita tidak pula menyangkutkan kepada apa-apa syarat dan had batasan yang merupakan sebahagian daripada  diri istilah-istilah (teori-teori) pengecualian itu.  

(iv) Adakah pinjaman Riba dibenarkan untuk menyertai skim ini memandangkan skim ini memang ada sebahagian wangnya berunsur Riba? Adakah pembiayaan mana-mana bank Islam dibenarkan untuk membeli sijil aset pelaburan skim ini memandangkan ia kini telah halal? Sudikah kini BIMB dan bank Muamalat menyertainya? Menyediakan pembiayaan untuknya? Bagaimana kedudukannya pada pihak Suruhanjaya Sekuriti, diiktiraf sebagai lulus syariah? Rasanya tak, tak tahulah sekarang. (v) Adalah mungkin sepatutnya fatwa yang mengharuskan dan menghalalkan ASB itu meletakkan beberapa syarat seperti berikut :-  (1) Selagi mana terdapat Riba, pelaburan ini terhad hanya kepada    pelaburan yang sedia ada, tidak boleh ditambah wang pelaburan.  (2) Individu Islam tidak boleh melabur sebagai pelabur baru, melainkan individu itu yakin dia memang berhajat untuk memenuhi keperluan dirinya. Ini pun pelik, sebab sekiranya seseorang itu mempunyai RM1,000-00 atau RM10,000-00 dalam pelaburan ASB nya, bagaimana pula dia dianggap terpaksa untuk memenuhi hajat atau keperluan bagi menambah pelaburannya demi untuk mendapat lebih sedikit pulangan dividen sedangkan dalam masa yang sama ada skim pelaburan atau simpanan halal seperti Tabung Haji dan lain-lain  

Isu Pemahaman Kedudukan Hukum Sesuatu Fatwa. [Susulan kekeliruan di atas, maka fikiran kita akan tertanya-tanya perkara yang lain].  

Apabila melihat kepada sesuatu keputusan oleh pihak berkuasa agama seperti mufti dan apabila terdapat perbezaan pandangan antara beberapa mufti, sarjana syariah atau ilmuan kewangan Islam, orang awam mengalami kekeliruan terhadap beberapa perkara. 

(1)
Apakah sebenarnya kedudukan dan kepentingan sesuatu JKF pada hukum syarak yakni di sisi Allah? Maksudnya dari sudut kesan hukum dan pandangan yang dibuat? 
(2) 
Sekiranya diterima suatu JKF sebagai badan authoriti yang sah yang dilantik bagi sesuatu negara, apakah perbezaan dari sudut kekuatan dan keterpakaian pandangan mereka berbanding pandangan sarjana bebas maksudnya pada hukum yakni di sisi Allah?   
(3)  
Sekiranya ASB diputuskan oleh JKF sebagai halal dan wang daripadanya boleh digunakan untuk zakat,  adakah  di sisi Allah ianya juga halal dan sah?  
(4)  
Sekiranya ia tidak diketahui, samada di sisi Allah dikira sah dan halal,  bermakna ia mungkin tidak halal dan sah?  
(5)  
Sekiranya ia sebenarnya di sisi Allah tidak sah dan halal? Maka apa kesudahan kepada mufti dan orang awam yang percaya dan bergantung kepada fatwa mufti negara? Adakah orang awam itu dikira kembali berdosa? 
(6) 
Adakah kiranya apabila mufti khilaf dalam ijtihad, beliau masih tidak berdosa dan dianggap masih mendapat 1 pahala kurang-kurangnya?  Demikian itu juga, maka adakah orang awam yang bergantung dengannya dikira tidak berdosa? (Sekiranya mufti benar-benar ikhlas dalam memberi fatwa tetapi tersilap di sisi Allah).  
(7) 
Jika seseorang yang diberikuasa membuat fatwa telah membuat fatwa dengan mengikut kepentingan diri atau pihak ketiga, maka dengan itu dia dikira berdosa disisi Allah, maka adakah orang awam yang jujur ikhlas bergantung padanya juga dikira berdosa?     
(8) 
Sekiranya hukum dosa itu dikira/kembali semula, maka begitu jugakah kembalinya kesan (dosa) makan harta haram atau kesan Riba (yang berada dalam perutnya, perut anak-anaknya)? Kesan kedudukan haji dan umrahnya? Zakat dan sedekahnya? 
(9) 
Terdapat juga situasi di mana fatwa atau pandangan hukum dikeluarkan oleh mufti atau ahli agama, di mana dalam memberi jawapan dan fatwa, mereka menyatakan akan adanya dua pilihan iaitu (1) pilihan Darurat (2) pilihan ketakwaan?  Jika seseorang muslim itu hendak menjaga (lebih) ketakwaan dan berjaga-jaga (untuk lebih selamat) maka disaran jangan libatkan diri walaupun ada kelonggaran seperti Darurat, Maslahah dan sebagainya. Ini dikatakan untuk mengelakkan dari mengambil risiko terlibat atau termakan sesuatu yang haram atau syubhah.  Apa maksudnya di sisi Allah? Kalau difahami, adakah maknanya memilih pilihan yang bersandarkan alasan Darurah atau Maslahah merupakan pilihan berisiko di sisi Allah?  
(10)  Sebenarnya suatu pandangan atau fatwa yang dikeluarkan mestilah ada kekuatan alasan dan hujahnya. Fatwa itu juga mestilah bukan sekadar dijelaskan dengan alasan dan sebab-sebabnya bahkan wajar disediakan jawapan-jawapan konkrit bagi persoalan-persoalan yang dijangka akan ditimbulkan.

(11)  Menyedia jawapan-jawapan yang baik kepada soalan-soalan jangkaan yang timbul atas suatu fatwa atau pandangan agama yang dikeluarkan khususnya fatwa-fatwa ’panas’ dan kontroversi adalah suatu kerja tidak mudah dan mungkin bersifat fiqh andaian tetapi di era kontemporari dengan letusan maklumat tidak bersempadan, ia amat mustahak untuk memberi kefahaman yang baik kepada masyarakat awam yang kini sudah terlalu terdedah kepada pelbagai maklumat, bersifat suka bertanya dan mahu melihat hujah dan authoriti disebalik keputusan atau fatwa itu.

Saya adalah seorang daripadanya. Wallahu taala alam.

(Sila baca : Isu Fatwa Halal ASB- Kenang Semula P'bincangan Ilmiah dalam blog : hisham-ahmad.blogspot.com atau beli buku Syurga Lebih Hampir Tanpa Riba. Terbitan Galeri Ilmu.  (Karya Peguam Sivil & Syarie).

No comments:

Post a Comment