Social Icons

Pages

Sunday, February 9, 2014

Persediaan Awal Bagi Haji 2014



ANTARA BERSIH DAN HAJI
Sesiapa yang sudah ada niat, perancangan atau kemungkinan namanya ditawarkan untuk pergi haji tahun ini, maka berusahalah dari sekarang untuk mendapatkan ilmu dan maklumat terbaik dalam melakukan kerja ibadah haji dan yang berkaitan dengannya dan dalam hal-hal praktikal serta realiti yang akan dilalui bagi memudahkan urusan haji.
Pergi haji ertinya menuju Allah yang esa. Justeru, ia perjalanan yang diberkati tanpa kepentingan duniawi, melainkan ketaatan kepada Allah yang tidak berbelah bagi,  dengan harapan kepada haji mabrur, impian tertinggi.  Hati mesti dibersihkan. Kos pembiayaan haji juga mesti dari sumber yang bersih. Segala unsur yang tidak bersih, mesti dikeluarkan sehingga ia bersih sebersih-bersihnya. Persediaan juga mesti dilakukan. Persediaan yang bersungguh dan menyeluruh. 

Persediaan Menuju Allah.

1. Pembersihan Diri dan Harta

Bersih 1.0
Kos pembiayaan haji dan segala yang berkaitan dengannya mestilah dipastikan bersih dan bebas dari sumber haram, syubhah dan meragukan. Segala pendapatan dan simpanan yang sedia ada yang telah bercampur dengan yang haram atau syubhah, maka langkah pengiraan dan pengasingan dilakukan. Peratusan yang haram diasingkan ke dalam satu akaun. Bagi yang syubhat dan meragukan, dalam satu akaun. Manakala yang halal dan bersih dalam satu akaun. 3 akaun berasingan. Semua akaun islamik.
Jika ia dalam bentuk aset atau harta, maka penyelesaian adalah secara rapi dan berhati-hati. Jika ia haram boleh ditebus dengan wang yang halal pada harga pasaran yang adil, maka wang yang haram itu diasingkan pada akaun yang khas baginya tadi. Jika tidak boleh ditebus, maka mungkin perlu dijual bagi mengasingkan yang halal dan yang haram mengikut kadar peratusannya. Jika tidak harta itu perlu digunakan untuk maslahah awam tanpa kepentingan diri mengikut peratusan yang dianggarkan sebagai haram.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi tujuan penyelesaian dengan ukuran dan panduan bahawa yang haram itu tidak boleh dinikmati untuk kepentingan diri dan keluarga dan perlu dimanfaatkan bagi kepentingan umat Islam semua. Pengiraan peratusan adalah secara adil dan munasabah. Sesungguhnya Allah jua yang mengetahui apa yang ada (keikhlasan) di dalam hati manusia.

Bersih 2.0
Bagi kerja atau kerjaya yang masih terlibat dengan perkara yang menyebabkan pendapatan itu haram atau syubhah, ia mestilah ditinggalkan segera dan serta merta mengikut syarak. Sekiranya ia menimbulkan mudarat yang berat, mungkin ia perlu dilakukan secara teliti dan berhati-hati. Namun sekiranya ia melibatkan haram yang jelas dan dosa besar seperti kerja melibatkan pelacuran, penzinaan, jenayah, rasuah dan Riba, tiada alasan penangguhan, melainkan perlu dihentikan serta-merta (pada yang haram itu). Setakat ini, tiada alasan darurat yang mewajarkan kerana masih ada ruang mencari rezeki halal yang lain. Hatta meminta sedekah, jika terpaksa, lebih wajar daripada melakukan yang haram tadi. Tapi janganlah! ia sekadar bandingan.

Walaupun begitu, sekiranya ia pada kerjaya yang bercampur unsur haram dan syubhah tapi masih ada unsur halal, seperti menyanyi dan bermain muzik, maka dapatkan maklumat jelas tentang keadaan mana yang ia jatuh harus dan keadaan mana yang ia boleh jatuh haram. Hentikan yang haram, boleh teruskan yang harus. 

Bersih 3.0
Semua yang haram atau syubhah yang telah dimakan, pakai atau digunakan sehingga ia tidak munasabah untuk dikembalikan semula untuk disedekahkan. Maka bertaubat adalah pilihan yang ada, yang wajib dilakukan. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat.

Adakah kita masih memerlukan bukti dan dalil terhadap kebenaran ini. Bukankah kita semua sedia mengetahui akan amaran Rasulullah s.a.w. mengenai seseorang yang melakukan perjalanan jauh, berambut kusut penuh debu, mengangkat kedua-dua tangannya ke langit dan berkata, “Ya Rab, Ya Rab.” Jika makanannya haram,  minumannya haram,  pakaiannya haram dan biayai dengan yang haram, maka bagaimana doanya boleh diterima?” [1]

Fikirkanlah! Apalah guna bersusah payah kesana, jika ibadah dan doa tidak diterima.

sila ziarahi:- http://hisham-ahmad.blogspot.com

Berminat: sebahagian isi artikel ini juga adalah daripada isi kandung  buku haji 2013 bertajuk Baitullah Aku Datang, Terbitan Karangkraf - Terdapat kupasan kritis dan argumentatif beberapa isu yang beliau hadapi dan perhatikan semasa ibadah haji. Antara isu menarik, sensisitif dan kontroversi ialah isu kebal tanpa syahwat, solat diudara, wanita solat didepan lelaki dibelakang, kerana cinta (kisah ttg hajaral aswad), mahu susah atau muassasah dan lain-lain.  (Berminat sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)


[1] Rujuk HR Muslim

No comments:

Post a Comment