Social Icons

Pages

Sunday, February 16, 2014

Layakkah Anwar Menggantikan Khalid?



Belumpun tahu siapa menang di PRK DUN Kajang, kita telah dihidangkan kisah-penulisan dalam 2 versi sokongan iaitu kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau Dato Sri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Macam yakin menang sahaja? Atau ada mainan muslihat pihak lain?

Benar, kelebihan Khalid tidak mudah diragukan. Saya percaya majoriti rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor percaya bahawa apa yang dilakukan oleh Khalid adalah jauh lebih baik daripada menteri-menteri besar sebelum ini, yang sama ada kebetulan atau suratan, kesemuanya adalah dari UMNO. Jika yang lain malu untuk menerima hakikat ini, sekurang-kurang Tan Sri Muhammad Taib, salah seorang daripada (bekas) menteri besar Selangor mengakuinya.

Dalam tempoh pentadbirannya yang masih dianggap baharu-tidak lama, Khalid telah membuktikan ‘amanah’ dan ‘kemampuan’nya. Dua sifat penting yang disebut dalam al-Quran.

Merit kredibiliti dan reputasinya semakin tinggi mengambilkira suasana ‘hostile’ kerajaan persekutuan yang dikuasai oleh parti lawan. Setahu kita, tiada satu kes rasuah yang dapat disangkutkan kepada Khalid, dalam keadaan kita percaya bahawa jika ada sekecil manapun, pasti beliau tidak mudah dilepaskan.

Mungkin, mungkin juga bagi sebahagian orang bijakpandai, prestasi Khalid di Selangor mungkin tidaklah sebagus mana, tetapi ia kelihatan sangat jauh lebih baik … apabila dibandingkan ‘kecorotan’ pentadbir-pentadbir yang sebelumnya. Kita masih tidak lupa kepada ‘mahligai’ Khir Toyo, sabitan kes rasuah serta hukumannya. Kita juga tidak boleh lupa kes VIP yang tak isytihar duit berjuta sampai ‘tertangkap’ di Australia. Alangkah banyaknya duit yang mereka ada semasa mereka memegang jawatan itu.  

Justeru sewajarnya jika ada sesiapa yang mahu gantikan Khalid, ia mesti dilihat sekurang-kurangnya sama atau sewajarnya lebih baik daripada Khalid. Persoalannya, adakah Anwar memenuhi kriteria itu?

Mari kita kembali kepada perkara asas. Adanya Khalid di kerusi MB Selangor itu tentu ada kaitannya dengan Anwar Ibrahim. Ketokohan Khalid tentulah bergerak selari dengan ketokohan Anwar. Cuba pengalaman politik dan pentadbiran Anwar lebih luas, jiwanya lebih kental dan telah diuji banyak kali yang jika ujian yang sama ditimpakan keatas kebanyakan kita… belum tentu kita mampu ‘survive’, kesedarannya kepada erti kesakitan, kemiskinan, keadilan adalah lebih tulus dan mendalam dan  matlamat perjuangannya lebih tinggi.

Adakah Anwar akan lebih bagus dpd Khalid? Jawapannya, mana saya tahu. Mungkin ya, mungkin tidak.

Namun pada kedudukan umur, kematangan, pengalaman dan visinya sekarang….  adakah tahap sifat ‘amanah’ dan ‘kemampuan’ dirinya mampu melayakkan dia mengambil alih kedudukan MB Selangor?  

Jawapan saya, Ya.

Saya juga tahu bahawa jika Anwar kehendaki, dia wajar diberikan jawatan MB itu. Dia adalah ketua PKR, dia adalah ketua Khalid. Dia yang paling menanggung risiko atas segala keburukan tindakan dan keputusannya. Anwar juga adalah masih lagi dilihat satu-satu calon PM dari parti pembangkang. Dia adalah seteru No 1 parti pemerintah. Tumbangnya dia, merabanlah pembangkang untuk mencari calon pengganti yang disepakati.  Semua ciri ada pada dia. Apa yang dia belum rasa… dari jawatan besar dalam kerajaan hingga kepada banduan yang ditumbuk  bukan oleh banduan, tapi kita tahu siapa punya gerangan. Dia juga mempunyai rangkaian hubungan luarnegara dari yang disukai dan disangsi.  Dia juga adalah antara  contoh bukti betapa kiamat semakin menghampiri dengan kes fitnah seksnya yang begitu geli dan jijik untuk kita ambil peduli.

Apakah dia tidak mampu berbuat lebih baik daripada Khalid?

Bagi yang skeptikel khususnya dari kalangan segelintir pemuda PAS dengan merujuk masalah reputasi Anwar atas dakwaan jenayah berunsur seksual, ia adalah alasan tidak wajar. Dalam keadaan biasa, kita terima alas an itu, tetapi dalam keadaan perseteruan politik yang ‘menghalalkan apa jua cara’  maka kes fitnah seks yang tidak ditangani melalui prosedur undang-undang syarak ini semestinya tidak boleh diterima. Kalau sebelum ini ramai orang Islam mungkin tertanya-tanya, keliru dan tidak merasai hikmah penetapan 4 saksi dalam kes zina dan hukuman sebat pula atas yang mendakwa tanpa cukup saksi adil, maka Kes fitnah Anwar (yang diperlakukan dalam bentuk sebaran rakaman video dan berkaitan serangan karekter politik) dalam zaman mutakhir ini ini sesungguhnya benar-benar membenarkan hikmah dan rahsia kehebatan ketetapan hukum Allah pada syarat kesaksian dakwaan zina dan hukuman Qazaf Zina.

Semoga ustaz-ustaz muda dalam PAS tidak dilemahkan dalam kefahaman perkara ini. Tidak harus ia dijadikan alas an jika sekalipun mereka mahukan Khalid dikekalkan.

Oleh itu itu juga, jika semua pihak pembangkang telah sekian lama sepakat bahawa Anwar adalah calon yang sesuai untuk jadi PM jika pembangkang menang, atau sekurang-kurangnya mereka telah menerima Anwar sebagai teraju utama kesepakatan pembangkang atau sekurang-kurangnya mengiktirafnya sebagai ketua PKR,… maka biarkanlah jika Anwar mahukan jawatan MB Selangor.

Bersangka baiklah.  Sifirnya tidak susah… Anwar tentulah mahukan Selangor menjadi lebih baik demi meningkatkan sokongan undi kepada pembangkang. Anwar tentulah ada strategi penting dan matlamat lebih besar untuk menakluki Putra Jaya… mungkin melalui Kajang. Anwar juga perlu satu wadah/medan baharu untuk membuktikan kemampuannya bagi melayakkan dia untuk jadi PM … atau jika tidak sempat untuk dia menikmati jawatan PM itu, untuk dia untuk meninggalkan satu kedudukan terbaik bagi calon-calon PM yang lain daripada pembangkang.

Apa salahnya jika Khalid jadi orang no.2 di Selangor dalam memajukan Selangor. Menganggap Anwar tidak layak atau tidak mampu menggantikan Khalid adalah anggapan dan andaian yang ‘against logic’ dan agak menggelikan hati.

Bagilah Anwar peluang… kedudukannya sekrg melayakkan dia bagi peluang itu…

Jika Anwar gagal mencapai tahap yang diharapkan … mungkin wajarlah jawatan MB diserahkan kepada Pas pula seperti  Khalid Samad ke, Dr Zulkifli ke?  

Kalau paling terukpun buat pembangkang ialah UMNO dapat balik jawatan MB. Tapi apalah salahnya?

Tentu UMNO telah sedar dan akan berusaha berbuat yang baik untuk rakyat Selangor. Lagipun, jika  ia berlaku, ia hanya boleh berlaku dengan kehendak rakyat Selangor jua. Kan, kan.

Apa pun, ini sekadar pandangan peribadi saya. Setakat ini. Kalau ada tak setuju, berilah pandangan balas. Saya sedia pertimbangkan.


hisham-ahmad.blogspot.com

No comments:

Post a Comment