Social Icons

Pages

Tuesday, January 28, 2014

Anwar dan Kisah Si Luncai Dgn Labu-labunya


Kita sebagai rakyat harus terbuka dengan tindakan Anwar untuk bertanding di kerusi Adun Kajang. Hukum munasabah menyatakan bahawa Anwar dan PKR tidak akan mahu merugikan pengaruh politik partinya. Pasti ada sebab kuat untuk melakukan. 

Tentu ia adalah sebahagian daripada strategi mereka dan keputusan yang diambil telah melalui proses mengambikira semua aspek yang perlu diambil kira dan meramal-ukur kesan baik dan buruk yang mungkin timbul.  Untuk mencapai satu pencapaian yang lebih besar dan penting, tentulah memerlukan pengorbanan yang wajar dan kadangkala risiko yang diambil agak besar tetapi jika berjaya, mungkin mendatangkan pulangan yang sangat menguntungkan.

Anwar adalah orang yang paling berhak dalam menentukan mati-hidup partinya. Sudah tentu strategi yang berterusan diperlukan dalam menghadapi musuh politik yang lebih kuat kedudukannya.
Soal kos tinggi akibat PRK seperti dibangkitkan adalah relevan apalagi dalam suasana kenaikan kos sara hidup sekarang menjadikan rakyat berhak menuntut kepada pulangan manfaat yang lebih tinggi daripada Anwar. Pihak BN walaupun akan menjadikannya sebagai isu, tentu mengganggap ianya ‘ada rahmat disebalik kejadian’, peluang untuk mereka membuktikan kekuatan pengaruh dan ‘jentera politik’ mereka.

Jika keputusan telah dibuat oleh Anwar, maka sekelian rakyat dan parti-parti sekutu yang lain diminta bersabar…. untuk melihat apakah kebaikan bagi mereka atas tindakan Anwar yang terbaru ini. Anwar mestilah bersedia untuk meyakinkan kepada rakyat atas keputusan itu; apa dan bagaimana kebaikan yang akan diraih rakyat atas tindakannya itu khususnya di Selangor.  Saya percaya penjelasan akan diberi Anwar dalam proses kempen bagi PRK itu kelak.

Justeru, biarkanlah… biarkan anwar ‘terjun’ dalam cabaran terbarunya yang berisiko tinggi…  tentu fikirnya, ada strategi politik  hikmah yang tersimpan di dalam ‘labu-labu’nya  - ‘yang akan menyelamatkannya dari lemas’.  

Seperti mana si Luncai yang terjun dengan labu-labunya.

Cerita Rakyat: Si Luncai Dengan Labu-labunya[1]

Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja supaya dibuang ke tengah laut. Si Luncai dihukum kerana kesalahannya mempermain-mainkan raja serta pembesar-pembesar baginda oleh itu dia menerima hukuman itu dengan tenang.

Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.

Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu pun dikayuhlah ke tengah laut. Dari dalam guni itu Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu. Setelah lama mereka berkayuh, maka Si Luncai berkata; “kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu semua itu?”

Salah seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”

Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula tertarik dan beberapa orang pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

Maka beberapa orang yang lain pun menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.

“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

“Biarkan! Biarkan!”

Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hingga lekalah mereka semuanya.



Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun keluar dari guni dan dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu dan kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dar perahu itu. Si Luncai berenang ke tepian menggunakan pelampung labu air yang dua biji itu.


Apabila sampai ke tengah laut, pesuruh raja pun mencampakkan guni itu ke dalam laut. Pada mereka, matilah Si Luncai dan merka pun baliklah memberitahu raja akan hal itu. Tiada siapa yang tahu bahawa Si Luncai sebenarnya telah berenang sampai ke pantai.



[1] Ruj: https://www.facebook.com/notes/ada-sesiapa-yang-zaman-kanak-kanaknya-di-tahun-80an-awal-90an/39-cerita-rakyat-si-luncai-dengan-labu-labunya/136140783065201

No comments:

Post a Comment