Social Icons

Pages

Monday, January 20, 2014

Dr Asri, Selawat Syifa dan Maulana Asri



Ada seseorang hamba Allah yang saya sangat saya kenali dan sayangi. Seorang lelaki. Kita panggil nama dia di sini sebagai “Mat Pencinta Sunnah”. Agak baik perangainya dan suka mencari kebenaran berdasarkan hujah bukan emosi. Seorang ‘educated’ dalam bidang sekular untuk beberapa lama kemudian bersemangat menuntut ilmu agama, melalui pelbagai bahan bacaan  dan kuliah. Si Mat Pencinta Sunnah ini kemudian berminat ingin mengetahui alam jin dan perubatan Islam lalu berguru untuk beberapa lama dengan Tuan Guru Harun Din, hingga diijazahkan. Sekaligus menjadikannya pengamal selawat syifa’.

Alkisah dipendekkan cerita. Si Mat Pencinta Sunnah terjumpa kritikan ke atas selawat ini oleh antaranya Dr Azwira dan Dr Asri. Kemudian Si Mat Pencinta Sunnah terjumpa pula hujah yang antaranya pada Buletin Jabatan Mufti Negeri Perlis Bil. 1 April 2007.  

(Untuk meneliti hujah yang terdapat di dalam buletin Jabatan Mufti Perlis itu, sila lihat dalam blog. hisham-ahmad. blogspot.com)

Pada mulanya dia pun memang ada sedikit kemusykilan apabila membaca makna lafaz selawat itu:- "Ya Allah! Berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan dan juga cahaya penglihatan, dan berilah rahmat dan keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya.

Namun semasa itu Si Mat Pencinta Sunnah percaya tiada apa masalah dengan selawat syifa ini. Dalam hati dia berkata “kata kiasan atau bukan bermaksud literal.. makna mendalam” Takda apalah, semua ustaz baca, Imam-imam pun baca. Tok guru yang ajar ni pun memang terkenal alim dalam ilmu agama dan perubatan Islam” “Kita tahu bukan Muhammad yang menyembuhkan tapi Allah.. itu keyakinan kita”.

Namun terlintas pula bagi Si Mat Pencinta Sunnah; “ kalau gitu, kenapa lak guna perkataan yang boleh mengelirukan…” “Seni bahasa kot”

Dalam buku hafazan kuning, ayat terjemahan Selawat syifa telah ditukar kepada makna yang lebih ‘acceptable’, mengurangkan rasa kekeliruan. “Ya Allah! Berilah rahmat ke atas penghulu kami, nabi  Muhammad s.a.w yang dengan berkat berselawat ke atas baginda, akan menyembuhkan hati-hati….. “

Kata Si Mat Pencinta Sunnah lagi, dalam satu kuliah, tuan guru kemudiannya sendiri mengakui ada seorang yang menulis artikel mempertikaikan selawat syifa ini. Rasanya orang itu ialah seorang pensyarah kanan di suatu jabatan di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.  Bukan sebarangan, doktor falsafah pulak tu. Pelikkan?!

Tuan guru menyatakan bahawa beliau seorang yang berpendidikan bahasa arab dan memahami pengataan selawat ini. Tiada masalah, apalagi dakwaan wujud unsur syirik.Tidak benar sama sekali. Selawat ini telah begitu lama diamalkan. Bagaimana pun, katanya lagi, Tuan guru Harun Din tidak pula menghuraikan dari segi hukum dan tatabahasa arab.

Kesimpulannya, bukan nabi yang menyembuhkan… Allah yang menyembuhkan… kita memohon pada Allah melalui kelebihan berselawat kepada nabi. Gitulah kira-kiranya yang di fahami. Semua berpuashati. Hilanglah keraguan… tapi kembalikah keyakinan?

Kemudian selepas itu, baharulah Si Mat Pencinta Sunnah mengetahui nama pensyarah yang mengkritik selawat syifa itu. Jabatan Quran dan sunnah. Si Mat Pencinta Sunnah merasakan bahawa “Wah ini, bukan main-main. Ada merit juga orang yang kritik ni. Bukan penyair jalanan”..

Keinginan untuk mendapat maklumat hujah (dalil dan keterangan) disebalik kritikan itu adalah ‘attitude’ nya. Kadangkala menyusahkan dirinya sahaja, tapi bila dapat, kepuasannya berganda.

Rupa-rupanya, pandangan pensyarah itu dikongsi bersama oleh segolongan ilmuan agama yang lain, yang juga terpelajar dalam bidang hadith. Si Mat Pencinta Sunnah kata dia telah meneliti hujah mereka. Ia membuat dia bingung dan termenung.

Akhirnya, inilah pilihan dan pendekatan Si Mat Pencinta Sunnah  setakat hari ini:-

(1)      sekalipun disudut hati, Si Mat Pencinta Sunnah mengharapkan dan mempercayai bahawa selawat ini tidaklah sampai dikatakan berunsur syirik, namun kelemahan ilmunya, tidak memampukan dia menjustifikasinya secara ilmiah dan hujah… (malangnya dia tidak pula terjumpa hujah bertulis oleh pihak yang membela selawat ini)

(2)      2 golongan ilmuan agama yang hebat berselisih…  disisi Allah, siapa yang sebenarnya betul? Tiada Si Mat Pencinta Sunnah ketahui.

(3)      Si Mat Pencinta Sunnah kemudiannya mendapati, selawat syifa ni confirm bukan dari nabi, bukan sunnah nabi. Ia dipercayai ciptaan ulama. Ia tidak mendahului atau mengatasi (keutamaan) selawat yang sahih yang diajar oleh nabi.

(4)      Bermakna tiada fadilat khusus pada selawat ini, melainkan satu pengharapan semata-mata. Inilah kefahaman yang betul.

(5)      Rawatan juga masih boleh dilakukan dengan menggunakan banyak lagi kaedah lain.

(6)      Justeru, Si Mat Pencinta Sunnah memutuskan untuk tidak lagi beramal dengan selawat ini sehinggalah suatu masa nanti keyakinan diperolehi. Sehingga dia mendapat penjelasan yang meyakinkan. Melampaui keraguan.

(7)      Si Mat Pencinta Sunnah yakin inilah langkah paling selamat (bagi kepentingan akhirat) dengan tidak mengambil risiko kesilapan. Keluar dari perselisihan.

.... masa berlalu

Si Mat Pencinta Sunnah kemudiannya terjumpa satu rakaman oleh seorang tokoh hadith tempatan yang wasathiy iaitu Maulana Muhammad Asri Yusoff. (youtube-selawat syifa_adakah bercanggah dengan akidah).

Syeikh Maulana, favouritenya ini mengatakan selawat syifa tidak bercanggah dengan syariah atau akidah sekiranya difahami bahawa lafaz (penawar hati) itu dipakai sebagai majaz.. jangan diiktikad dia (rasulullah saw) sbg penyembuh.

Cuma Syeikh ini menasihati agar dicari (utamakan) selawat yang lebih bersih, warid, sabit  daripada hadith-hadith sahih walaupun lafaznya nampak ringkas tidak berbunga-bunga.    
Justeru, Si Mat Pencinta Sunnah merasakan bahawa mana-mana orang awam yang hendak mengamalkan selawat syifa hendaklah difahamkan dan memahami dengan jelas penggunaan dan maksud penggunaan kata-kata di dalamnya.

Namun mengutamakan dan memperbanyakkan lafaz selawat yang sahih khususnya selawat ibrahimiah adalah lebih wasathiy, lebih baik dan menguntungkan.  

Justeru dengan pengalaman dilalui Si Mat Pencinta Sunnah, saya ingin bertanya Dr Asri sekira beliau ada atau ingin mengkaji semua pandangannya tentang selawat syifa atau ada atau ingin memberi pandangan baru mengenainya?

bagaimapun bagi golongan pengamal selawat syifa daripada orang awam- tidak salah jika anda membaca pandangan yang mengkritik selawat ini dan menilai sendiri.

Itulah pendekatan ulul albab.



Kritikan Atas Selawat Syifa.

Buletin Jabatan Mufti Negeri Perlis Bil. 1 April 2007



Perkataan Selawat Syifa' sering kita dengar dan lihat dalam masyarakat kita. Selawat ini pada mulanya telah terbudaya di kalangan masyarakat Islam di Malaysia sebagai bacaan eksklusif dan peribadi, tetapi kelihatan menjadi semakin popular sehingga ada yang menjadikannya zikir dan doa selepas solat fardhu atau sebagai pembuka ucapan secara kekal. Lafaz selawat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:



وَنُوْرِ وَشِفَائِهَا الأبْدَان وَعَافِيَةِ وَدَوَائِهَا القُلُوْبِ طِبِّ مُحَمَّد سَيِّدِنَا على صَلِّ اللهمّ

وَسَلِّمْ وَبَارِكْ وَصَحْبِهِ آلِهِ وَعَلى وَضِيَائِهَا الأبصَارِ



Maksudnya: "Ya Allah! Selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati dan pengubatnya (hati), penyihat badan dan penyembuhnya (badan), pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan sahabat Baginda serta berkati sejahterakanlah." (Prof. Dr. Harun Din & Amran Kasimin, Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan al-Sunnah, hal. 32)



Terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan i'rab ini seolah-olah telah menyifatkan nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat maha perawat, maha pengubat, maha penyihat maha penyembuh, maha pemberi cahaya, dan maha pemancarnya.



Persoalannya, apakah harus menyifatkan nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat demikian, sedangkan ia adalah sifat-sifat khusus bagi Allah s.w.t. yang tidak boleh dikongsi oleh sebarang makhluk? Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat-sifat tersebut?



Prinsip ilmu tauhid telah menetapkan bahawa Allah s.w.t. itu maha esa dan wajib diesakan pada sifat-sifatnya sebagaimana dia juga wajib diesakan pada rububiyyahnya dan uluhiyyahnya. (al-Uthaimin, Muhammad bin Soleh, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ter. Muhamad Yusuf Harun).



Nama-nama dan sifat-sifat yang khusus bagi Allah s.w.t. tidak boleh dikongsi dengan sebarang makhluk kerana perkongsian itu bermakna mensyirikkan(menyekutukan) sifat makhluk dengan sifat al-Khaliq. (al-Qahtani: Sa'id Ibn 'Ali, Syarh Asma' al-Husna fi Dau' al-Kitab wa al-Sunnah, hal. 51)



Allah s.w.t. berfirman:Maksudnya: "Tiada sesuatu yang sebanding dengan (Zat, Sifat-sifat dan pentadbiran)Nya, dan Dialah yang maha mendengar lagi maha melihat." (al-Syura: 11) Allah s.w.t. juga berfirman:Maksudnya: "Dan apabila aku sakit, Maka dialah (Allah s.w.t.) yang menyembuhkan penyakitku." (al-Syu'ara:80)


Dalam sebuah hadith baginda s.a.w. mengajar umatnya agar membaca doa berikut:  Maksudnya: "Ya Allah tuhan sekelian manusia, maha penghilang segala penyakit, sembuhkanlah ! Engkaulah maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau dan tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan engkau. (sembuhkanlah) dengan suatu sembuhan yang tidak meninggalkan penyakit sedikitpun." (Riwayat al-Bukhari)


Ungkapan: "Engkaulah yang maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau." jelas menunjukkan bahawa sifat penyembuh itu adalah sifat khusus bagi Allah s.w.t.  yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk. Struktur ayat yang mengandungi nafy (penafian) dan huruf nafy (La) dan diikuti ithbat (penetapan) dengan huruf istithna' (illa) memberi konsekuensi penafian dan penetapan yang kuat, sama seperti ungkapan kalimah Tauhid La Ilaha Illallah yang menfikan segala tuhan selain Allah dan menetapkan ketuhanan itu padanya semata-mata.


Dengan perkataan lain, doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. ini menafikan sifat penyembuh bagi selain Allah s.w.t. dan menetapkan sifat itu padaNya semata-mata, sedangkan lafaz Selawat Syifa' itu pula menetapkan sifat penyembuh itu pada baginda s.a.w. Justeru, lafaz Selawat Syifa' itu dilihat mengandungi unsur-unsur syirik yang jelas bercanggah dengan prinsip Tauhid al-Asma wa al-Sifat.


Ada yang berpendapat masih ada jalan untuk lari daripada maksud penyamaan sifat itu dengan cara metakdirkan (mengandaikan) wujudnya perkataan solat antara perkataan Muhammad dan perkataan Tibb. Mengikut andaian ini, maka lafaz selawat itu berubah menjadi seperti berikut:



وَنُوْرِ وَشِفَائِهَا الأبْدَان وَعَافِيَةِ وَدَوَائِهَا القُلُوْبِ طِبِّ صلاةًمُحَمَّد سَيِّدِنَا على صَلِّ اللهمّ

وَسَلِّمْ وَبَارِكْ وَصَحْبِهِ آلِهِ وَعَلى وَضِيَائِهَا الأبصَارِ



Dalam lafaz ini, perkataan solat itu berada pada kedudukan maf'ul mutlak (kata kena buat mutlak) yang berfungsi sebagai penguat atau penentu bagi jenis kata kerja salli (selawatkanlah), disamping ia juga berada pada kedudukan mudhaf i (yang disandarkan) kepada perkataan tibb. Berdasarkan kedudukan ini, maka lafaz selawat yang diandaikan itu difahami dengan maksud: "Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, dengan suatu selawat yang boleh menjadi rawatan bagi hati dan apa yang boleh menjadi ubat baginya (hati)... sehingga akhir."



Berdasarkan maksud ini, maka tidak berlaku lagi apa yang dikatakan sebagai penyifatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat Allah s.w.t., kerana yang dilihat memberi khasiat perubatan bukan lagi zat nabi Muhammad s.a.w., tetapi selawat yang diucapkan itu. Oleh kerana membaca selawat itu adalah sejenis amal soleh, maka ia termasuk dalam jenis tawasul dengan amal salih yang disyariatkan oleh syara' dengan maksud ini. Maka penyamaan sifat yang dipersoalkan itu tidak berlaku kerana memang tidak ada penyifatan nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat penyembuh.


Jawapan Kekeliruan Pertama


Pertama: Sayugia diingatkan bahawa sesuatu ungkapan yang mengelirukan itu hanya perlu kepada takdir lughawi (andaian Bahasa) bagi mengelakkan kekeliruan, sekiranya ia memang merupakan nas syara' yang sahih dari al-Quran ataupun al-Sunnah. Adapun ungkapan yang bukan dari nas al-Quran ataupun al-Sunnah (seperti lafaz Selawat Syifa'), maka ia tak perlu kepada takdir lughawi (andaian bahasa) kerana asal usulnya adalah lemah, dan kerana kelemahan itu maka tidak perlu bersusah payah difikirkan andaian bahasa untuknya.


Kedua: Jika diandaikan masih ada kewajaran untuk membuat takdir lughawi bagi lafaz 
selawat itu dengan alasan kerana ia dicipta dan diamalkan oleh sebahagian ulama, maka perlu ditegaskan bahawa sebarang andaian bahasa mesti disokong oleh kaedah bahasa yang mantap. Mengikut kaedah bahasa arab, jika perkataan maf'ul mutlak hendak dihazafkan (dibuang), maka perkataan yang menggantikan tempatnya mesti dibaca dengan fathah (baris atas). (al-Najjar: Muhamad 'Abd al-'Aziz, Diya' al-Salik Ila Audah al-Masalik li Ibn Hisyam, 2: 127-129)


Dalam hal ini, jika diandaikan berlaku penghazafan (pembuangan) perkataan solat, maka perkataan tibb yang berada pada kedudukan 'pengganti' bagi perkataan solat itu mesti di baca dengan fathah (baris atas). Oleh kerana perkataan tibb yang terdapat di dalam lafaz asal Selawat Syifa' (sebelum dibuat andaian) dibaca dengan kasrah (baris bawah), maka itu menunjukkan bahawa tidak berlaku sebarang penggantian antara perkataan tersebut dengan perkataan lain. Justeru, andaian kononnya ada perkataan solat sebelum


Mungkin ada yang berkata bahawa perkongsian sesuatu sifat Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, kerana persamaan nama sifat tidak semestinya menggambarkan persamaan hakikat sifat berkenaan. Dengan perkataan lain jika berlaku perkongsian beberapa sifat seperti sifat hidup, mendengar, melihat dan sebagainya antara Allah dan makhluk maka ia mesti difahami dalam konteks yang berbeza, bersesuaian dengan zat masing-masing. Jika sifat maha hidup, maha mendengar, dan maha melihat Allah Subhanahu wa Ta’ala boleh difahami dalam konteks yang berbeza dengan sifat hidup, mendengar dan melihat makhluk, maka sifat maha penyembuhnya juga boleh difahami dalam konteks yang berbeza antara kedua-duanya.



Jawapan Kekeliruan Kedua:


Pertama: Memang diakui bahawa perkongsian sesuatu sifat antara Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, seperti yang berlaku pada sifat hidup, mendengar, melihat, bercakap, dan sebagainya. Tetapi persoalannya di sini, sifat 'penyembuh' yang diberikan kepada Nabi s.a.w. itu diungkap melalui gaya bahasa yang mengandungi unsur mubalaghah (bersangatan). Maka itu, bagaimanakah sifat maha penyembuh yang diberikan kepada Nabi s.a.w. itu boleh difahami dengan maksud yang tidak menimbulkan kesyirikan dengan sifat maha penyembuh Allah s.w.t. ?



Kedua: Bagaimana hendak digambarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. yang telah wafat boleh berfungsi sebagai maha perawat, maha pengubat, maha penyihat dan maha penyembuh kepada orang yang masih hidup?



Kekeliruan Ketiga:

Mungkin ada yang mengatakan bahawa orang yang mengamalkan selawat ini tidak bermaksud menyengutukan sifat nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat Allah s.w.t., kerana kebanyakan yang mengamalkannya tidak memahami maknanya, atau memahaminya dalam konteks yang tidak ada unsur tasybih.



Jawapan Kekeliruan Ketiga:


Pertama: Alangkah mujurnya jika keadaan si pengamal selawat itu benar-benar seperti yang diandaikan, tetapi adakah realiti mereka sedemikian? Ramai yang cuba berbaik sangka dengan semua amalan umat Islam, lalu mereka rasa tidak perlu untuk menjelaskan kekeliruan mereka. Di sini, perlu ada kesedaran bahawa perkara aqidah tidak boleh diambil mudah atau didiamkan begitu sahaja dan sikap berbaik sangka perlu ada had sempadannya. Jika dipakai alasan berbaik sangka dalam hal sebegini maka bermakna kita terpaksa biarkan semua ajaran sesat, khurafat dan bid'ah dengan alasan yang sama. Jika alasan berbaik sangka itu boleh diterima dalam persoalan akidah, maka kenapa perlu digezetkan ajaran wahdatul wujud, Martabat tujuh, Hakikat Nur Muhammad dan lain-lain sebagai sesat? (Kesesatan fahaman-fahaman seumpama ini telah dijelaskan oleh pihak berwajib. Lihat Mustafa Abdul Rahman, 2000, Mengenal Ajaran Sesat Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur, hal: 3-7)



Kedua: Dalam kes akidah seumpama ini, bukankah wajar digunakan kaedah Saad al-Zarai' (menutup pintu-pintu kemudaratan) sebagai langkah berwaspada terhadap keselamatan akidah masyarakat Islam? Nabi s.aw.bersabda (maksudnya):



"Jika kamu melampaui memuji ku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuji Isa bin Maryam as. Aku hanyalah seorang hamba Allah, maka katakanlah : seorang hamba dan pesuruh Allah." (Riwayat al-Bukhari)



Dalam hadith ini, Baginda s.a.w. melarang para sahabat ra. memujanya sebagaimana golongan Nasrani memuja Nabi Isa as. Sebaliknya baginda menyuruh mereka berpada setakat menyatakan statusnya sebagai seorang hamba dan rasul sahaja. Larangan Nabi s.a.w. itu termasuk dalam kaedah Saad al-Zarai' kerana kita sedia maklum bahawa cara para sahabat ra. memuji baginda tidaklah sampai ke tahap menyamakan sifat baginda dengan sifat Allah s.w.t., sebagaimana cara pemujaan kaum Nasrani terhadap Nabi Isa as. Tetapi baginda s.a.w. tetap melarangnya kerana bimbang sekiranya perbuatan itu akan membawa kepada kesyirikan dan kekufuran tanpa disedari, sepertimana yang berlaku kepada golongan Nasrani. Pendekatan Nabi s.a.w. melarang para sahabat r.a. daripada memujinya secara berlebihan adalah antara contoh paling tepat yang menunjukkan keperluan mengaplikasikan kaedah Sad al-Zarai' dalam menangani persoalan akidah.


Hujah lain


Sebagai umat nabi Muhammad s.a.w., kita sememangnya sangat dituntut supaya berselawat ke atas baginda, sebagaimana firman Allah s.w.t.: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w.); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya”. ( Al-Ahzab, 33: 56 )


Tidak diragukan lagi bahawa lafaz selawat yang terbaik ialah apa yang dikenali sebagai Selawat Ibrahimiyyah yang diajar oleh nabi s.a.w. kepada para Sahabat dan yang diriwayatkan melalui jalan sanad yang sahih oleh perawi-perawi thiqah serta dijadikan sebagai lafaz selawat dalam solat (sebelum salam). Dalam konteks ini, Imam As-Sayuti berkata: “Aku telah membaca keterangan Imam As-Subki dalam kitab At-Tabaqat yang diterimanya daripada ayahnya, bahawa sebaik-baik selawat yang dibaca ketika berselawat ialah selawat yang dibaca di dalam solat ketika tasyahhud, iaitu yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Maka sesiapa yang membacanya dia dilihat sebagai telah berselawat dengan sempurna dan sesiapa yang membaca  selainnya, maka mereka tetap berada dalam keraguan, kerana bentuk-bentuk  selawat yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim itu adalah yang sering diajar  oleh Nabi s.a.w. sendiri dan yang sering disuruh supaya kita membacanya”.

 ( As-Suyuti, Abd Ar-Rahman Ibn Abi Bakr, Al-Hirz Al-Mani, Dalam Prof. Dr. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy, 1987,  Pedoman Zikir Dan Doa, Thinkers Library, Malaysia, hal: 91 )

No comments:

Post a Comment